29 December 2011

BerSpa di Pulau Pangkor

Salam semua,
Tuan rumah baru balik dari cuti-cuti Malaysia. Dari minggu lepas 3 hari 2 malam ke Pulau Pangkor bersama mentua, rehat dua hari, lepas tu sambung bercuti ke utara tanahair bersama famili sendiri, dari Melaka.

Meskipun badan masih bersaki baki penat, namun hajat saya untuk bercuti kesampaian akhirnya. Syukur, walaupun sedikit letih namun minda rasa lebih rileks dan stabil.

Sudah banyak kali saya ke Pulau Pangkor sejak zaman remaja namun tidak pernah bermalam di sana. Kali terakhir pergi ketika tiga bulan mengandungkan Khalish.

Pada masa itu, keluarga saya datang menziarahi kami dan aktiviti sempat dilakukan hanyalah mengelilingi pulau dengan menaiki bot, melawat Kota Belanda, Batu Surat dan Taman Fu Lin Kung {replika tembok besar China} serta membeli hasil laut di kilang berhampiran.

Mengingatkan saat bot laju meluncur membelah ombak, terasa seperti tunggang kuda pun ada. Seronok dalam seriau. Masa tu tak ingat langsung tengah mengandung. Mujurlah tiada kejadian tak diingini berlaku. 

Kini, lepas tiga tahun, kami kini sudah berempat sekali lagi berpeluang meronda pulau berhampiran menaiki bot laju. Pakej ditawarkan adalah RM4O termasuk sesi mandi manda di Pulau Giam aka Coral Island.

Bagi mereka yang mempunyai keluarga melebihi lima orang, boleh juga menaiki bot yang berbumbung dan lebih besar (mampu memuatkan 15 orang) dengan pakej RM130 satu bot atau RM15 seorang secara berkumpulan.

Jika diikutkan saya bukanlah seorang yang suka mandi laut {mungkin sebab air masin membuatkan saya kurang selesa} walaupun rumah keluarga terletak kira-kira 30 meter dari pantai Sungai Tuang. Maka, saya telah mencadangkan En Bapak berkelah dan mandi manda di Pulau Giam dengan alasan untuk merasai suasana sedikit berbeza berbanding mandi di tepi pantai.{ceh..padahal lautnya sama je. Percayalah, hanya mereka yang tinggal tepi pantai je faham apa yang saya ingin sampaikan. hehehe}


Lepas mandi, Khalish dan Ilhan diberi kebebasan bermain pasir. Ilhan paling tak tahan, sekejap korek pasir, campak pasir dan sesekali makan pasir. Alahai....bunyi kruk krak macam makan coco crunch pula.  Kalau tak dipantau maunya pasir menjadi snek kesukaan Ilhan. Ishhh....semua benda nak dibawa masuk mulut budak ni.

Petang hari kedua, kedua lengan dan bahu saya sengal semacam. Selepas menanyakan beberapa individu termasuk staf resort dan budak penyewa bot, saya dapati hanya dua saja spa di pulau ini iaitu di Heritage Spa & Beauty yang terletak di Coral Bay Beach Resort dan francaisnya di Puteri Bayu Resort, di Pasir Bogak.

Pakej yang ditawarkan termasuklah sesi urutan (tradisional, bali dan aromaterapi), body scrub, sauna, facial, urutan refleksologi, pedicure dan manicure. Harga yang ditawarkan pula agak berpatutan serendah RM35 hingga RM205.


Terlebih dahulu, saya membuat temujanji untuk urutan tradisional dan mama untuk urutan kaki. Namun, akhirnya setelah sampai mama bertukar fikiran untuk turut sama berurut badan manakala ayah mentua yang terseliuh kaki sempat mencuba urutan refleksologi.

Adik ipar, Mira sebagai peneman setia menunggu di ruang tamu. Mujur anak-anak lena kepenatan ditemani suami di bilik di Purnama Beach Resort, Teluk Nipah.

Sesi urutan sangat menenangkan dengan diiringi kelunakan lagu-lagu berentak perlahan yang mampu membuatkan mata terlena seketika. Sesi selama 60 minit yang diakhiri dengan secawan teh halia benar-benar membuatkan tubuh saya kembali segar. Bayaran bagi urutan adalah RM70 setiap sesi.

Sebarang pertanyaan mengenai rawatan spa hubungi 05-6855111 atau Ina 016-5164145.





15 December 2011

Suri Itu Aku

Assalamualaikum.

Aduhai...lama bebenor rasanya tak update blog.

Sejak balik kampung hujung bulan 11 sampai sekarang, baru mood datang balik. Apa nak jadi Ibu Khalish dan Ilhan ni ye.

Lebih seminggu balik kampung haritu, macam-macam benda saya dapat buat. Yer...hujan batu di negeri sendiri memang sesuatu yang sukar dilupakan, bukan?

Terima kasih pada En Suami aka Bapak kerana dah update aktiviti kitorang semasa berada di Melaka haritu. Macam tau-tau je Orang Rumah Bapak ni tak banyak masa nak masukkan entry. Padahal banyak je masa melompat-lompat ke blog orang lain. hehe...

Saya sekarang ni rasa macam bukan saya tiga tahun lepas. Yelah, mana nak sama kan, dulu bujang, pastu berdua, bertiga dan sekarang berempat. Memang rasa lain betul transformasi status dan tugasannya.

Ya, saya hanyalah seorang SURI yang berada di rumah menguruskan hal ehwal rumah tangga. {Oh, senanglah duduk rumah jaga anak-anak je, maklumlah tak kerja}. Hello, jangan ingat duduk di rumah ni adalah kerja mudah. Ini juga satu profesion ok.

Dengan dua hero yang semakin membesar dan aktif, kadang-kadang rasa nak resign je jawatan ni. Orang bekerja ada juga cutinya. Waktu kerja sekitar 8 jam sehari. Balik rumah ada orang sediakan itu ini. Rehat sambil layan kerenah anak-anak. Jadi suri ni, silap-silap 24 jam tu tak cukup tau. Banyak benda nak buat. Kerja-kerja remeh memang begitu.

Tapi, apakan daya. Tugasan ini adalah TANGGUNGJAWAB dan AMANAH yang wajib saya pikul sepanjang hidup ini.

Namun, alangkah gembira rasa di hati seandainya ada cuti khas bagi seorang SURI seperti saya di mana hari berkenaan saya dikecualikan dari membuat sebarang kerja rumah termasuk menjaga anak.

Nama pun cuti kan, lebih menggembirakan lagi jika saya dibenarkan keluar sorang-sorang menonton filem, main boling, ke spa dan shopping (atau window shopping) pun jadilah. Itu saya kira sebagai ganjaran dan cara untuk saya melepas tekanan, pada masa sama untuk mengecas tenaga baru dalam diri.

Anak-anak pula boleh tinggal dengan Ayah mereka ye. Indahnya dunia jika saya diberi peluang berkenaan. Owwh...indahnya, indahnya!

Bila diingatkan zaman dara dulu, hidup saya sangat padat tapi masih sempat meluang masa untuk menikmati spa setiap bulan di D'Ully Spa di bangunan merah, Banda Hilir dan facial di CNI Batu Berendam.Bermain boling dengan kawan-kawan sekerja, window shopping di Mahkota Parade. Menonton wayang dan membawa Mak shopping bunga di Cowboy.

Rindunya, rindunya momen indah itu. Tapi, itu semua adalah kenangan terindah pernah dilalui. Harap-harap satu hari nanti saya berpeluang melakukannya semua sekali lagi.

Aiseh, banyak betul verangannya ye. hehe...

Apapun, hidup saya sekarang adalah membahagiakan bersama suami dan anak-anak tercinta. Biarlah waktu tidur saya sekarang banyak yang berkurangan, badan lenguh sana sini, selain aktiviti sampingan mengutip kusyen sofa dan mainan yang bertaburan atas lantai, plus menyapu 10x sehari dan kadang kala membuatkan jiwa raga saya macam orang baru turun dari roller coaster.

Saya usaha sebaik mungkin untuk menjadi SURI yang mampu menguasai semua tugasan dengan jayanya. Baik untuk suami atau Khalish dan Ilhan.

Saya sedar, rumah ini adalah syurga dan neraka bagi saya.


Sekian,

Yang merapu,

Saya yang memerlukan sebuah percutian dan rawatan spa dari anak rambut hingga hujung kaki.


18 November 2011

Staf New York SS Biadap

(rentetan entry sebelum ini, sila klik sini)

"Hello, ni Cik A ke?"
"Ye Saya. Siapa ni".
"Saya dari NYSS. U ada sms kita, kenapa u asyik tangguh tak datang facial. Kita ada contact u banyak kali tapi u tak jawab".
"I banyak kerjalah and i dah tak berminat dengan produk u all."
"Sudah bertuah tak mahu datang".
"I dah cakap i dah tak berminat dengan staf yang kol i sebelum ni. Dah 3 bulan u all ganggu i. Dah macam along u tau tak. Tak professional langsung."
"Kalau u tak berminat, kenapa u sms kita?"
"I saja nak test luck n paling penting I dapat tahu ur company banyak kes kat NCCC kan? By the way, i bagi warning pada u jangan kol i lagi, faham?".
Terus saya matikan talian.

Bengang n bengkek. Huh...dari tak nak bagi tahu nama, kan dah terbagitahu.
Silalah sms kalau nak terkena macam saya.
Tensi.














16 November 2011

Pembantu Rumah Kedua

Khalish yang pertama jadi pembantu.

Sekarang...Ilhan pulak.
 
Mula-mula tolong keluarkan CD dari bakul - kemudian masukkan semula - keluar, masuk, keluar masuk - lepas tu tinggalkan untuk Ibu jejak sapa punya kerja.

Bagus Ilhan...teruskan usaha anda mengenalpasti mana satu CD abang dan mana CD adik. 
Puas bahagian baju, beralih ke rak majalah Ibu.

Tarik-tarik mana majalah dan buku yang berkenan di hati. Kumpulkan dan kalau yang tak berkenan boleh koyakkan sesuka hati.

Bila tegur nada tinggi sikit mulalah mencebik minta simpati.

 
Penyudahnya, si abang jerit "Baby Ian, kin up (clean up). Sepah-sepah...". >sebijik macam Ibu cakap. hehehe... Bagus anak, dah besar tolong betul-betul tahu.





















15 November 2011

Gangguan

Akibat gatal tangan sms ke sebuah konsultan yang mendakwa mampu menyelesaikan semua masalah kulit, saya sedang menerima bahananya sekarang.

Sebelum tu, meh sini saya bagi klue company tu. Mereka banyak buat iklan sana-sini esp di Kosmo! dan tv3. Konon bila kita terpilih antara 100 orang bertuah yang sms, dapat rawatan muka percubaan + kit produk percuma. Dah dapat teka? Bagus.

Lepas empat hari saya sms, ada sorang amoi ni dari KL kol di waktu maghrib yang hening untuk bagitau saya adalah antara 100 yang bertuah tu. Saya tak lah teruja sangat, sebab saja nak cuba nasib je sebenarnya.

Lepas berbual-bual pasal masalah apa, keje apa dll, amoi ni bagi tahu akan ada staf di Ipoh ni akan telefon untuk tarikh temujanji. Saya pun ok je padahal masa tu tak story lagi kat En Suami.

Bila dah story, En Suami dah bising-bising bagitau banyak kes dah dilaporkan di NCCC mengenai taktik licik company tu untuk mencari pelanggan baru. Malamnya, bila google pasal ni, melambaklah story yang menyebabkan angan-angan untuk kelihatan lebih jelita menjadi sedingin ais dalam peti sejuk. haih...

Esoknya, amoi dari francais mereka di Ipoh telefon dan tanya bila saya free untuk sesi rawatan. Saya cakap tak free dan ada banyak kerja untuk selesaikan. Mula-mula dia kata rugi kalau tak pergi sebab tawaran tu valid untuk seminggu je. Pastu saya cakap tak pelah saya bagi peluang tu pada orang lain.

Lepas tu, minah tu cakap nak tolong saya selesaikan masalah kulit yang dialami, dia rizabkan tempat khas untuk saya. Saya tolak dengan cara baik, dia kata dia bagi tempoh dua minggu untuk tarikh temujanji lain, lepas tu saya cakap lagi tak mengapa, mungkin lain kali. Terus dia kata dia rizabkan tempat tu sebulan khas untuk saya.

Haih...dasar amoi tak paham bahasa betul. Lepas seminggu, dia dah mula kol tiap-tiap hari 3x sehari. Mula-mula saya jawab dengan baik, bertegas dan berterus terang, lama-lama naik boring nak jawab sebab dah macam kena kejar dengan along paksa orang datang facial.

Dah cakap tak nak pun, masih pujuk rayu suruh orang datang. Terbayang macam mana pulak nasib kalau saya bercadang pergi dan lepas buat rawatan apa pula yang akan berlaku. (maunya berpeluh sejuk macam cerita sorang blogger dan adiknya). Bila En Suami jawab pandai lak terus letak telefon. Memang tidak professional langsung.

Masuk bulan ni dah tiga bulan saya dapat panggilan 'misteri' ni. Kali terakhir jam 1 tadi. Dia bukan kira pagi, tengah hari, malam sebelum jam 8 pun diorang kol. Nombor yang selalu naik adalah nombor ofis, no number dan 016-xxx. Memang sakit jiwa.

Hakikatnya, wanita dan kecantikan sememangnya tak dapat dipisahkan. Namun, setiap keputusan perlu dipilih dengan sewajarnya supaya tiada risiko negatif berlaku pada diri sendiri kelak. Yeah...ingatan tulus ikhlas daripada empunya yang terbabit iaitu saya sendiri. **iskh2...

Kes serupa boleh semak sini .
Notajari: Saya pernah terjebak sebelum ini dengan sebuah agensi kecantikan di Melaka Raya dengan tawaran promosi serupa. Bayar RM40 instead RM250. Servis selama 2 jam memang puas hati untuk muka dan urutan bahu.

Lepas tu, bergasak nak lepaskan diri bila 3 staf diorang pujuk-ala-paksa suruh ambil pakej dan produk. Dekat sejam bertikam lidah, tu pun penyudahnya saya cakap kerja di sekian, sekian tempat, akhirnya saya berjaya selamatkan diri.

Jangan haraplah saya nak datang lagi. Ok, saya sedar saya tak belajar dari pengalaman lalu. Tapi...naluri saya nak cantik untuk tambah keyakinan diri sukar dipadamkan. hehe...dasar perempuan!! #panjang pulak nota kali ni. hikhikhik...

31 October 2011

Ilhan Amsyar Setahun (part 2)

Plan asal adalah untuk menyambut hari lahir Ilhan yang jatuh sehari awal bersama Mak Su nya (SIL) di rumah MIL di PJ.

Namun, atas sebab yang sayang untuk dielakkan, maka hasrat itu terbatal dengan sendiri. Makanya, tema sambutan kecil-kecilan sangat sesuai dengan keluarga kecil kami. 


Hari setahun Ilhan bermula awal pagi di klinik desa berhampiran. Kebetulan temujanji untuk suntikan pertamanya jatuh pada hari yang sama. Sebab dah tunggu hampir sejam lebih, Ilhan naik bosan dan penat lalu terus rasa gundah gulana bila bertemu nurse.

Yang kelakarnya, Khalish langsung tak mahu masuk bilik nurse sebab trauma. Kelakarla Khalish ni, time orang pandai dia menyibuk, time diri sendiri cabut lari. hihihi

 Sebagai ingatan, Ilhan sekarang dah 9,7 kg (hampir seberat sekampit beras 10kg) dan tinggi 75cm. Patutlah sejak kebelakangan lengan saya cepat lenguh bila mendukungnya. Masa dibilik suntikan terus gelabah lalu menangis.



Sebelah petang, acara wajib yang sedap adalah memotong kek. Jangan tak percaya sayalah tukang buatnya tau. Mendapat inspirasi membuat kek tanpa telur ini ketika menjengah ke dapur Ummi, Kuantan.

Sangat senang, jimat dan sedap. Seronok bila melihat dua beradik comot sana sini bila makan ganache coklat. Tapi, hampir fengsan bila mereka menyapu kesan coklat di sofa kesayangan. iskh...



Selepas itu, masing-masing menggambil tempat menonton Appalam (cerita Papadom versi tamil) di TV2. En Bapak layan sampai habis tu.

Gusar sambutan setahun Ilhan yang simple, En Bapak membawa kami ke KRR untuk makan malam. Ada menu promosi berbaloi-baloi untuk ayam dan ikan bakar hingga hujung bulan ini.
Sedap sosnya. Ilhan makan dengan berselera sekali. Ayam, ikan, muffin, coeslow, makaroni, mashed potato, pendek kata semua mahu dimakannya.


Biar pun sambutan yang simple, kami hanya mahu menggembirakan anak-anak dan mahu mereka tahu kami sentiasa menghargai kehadiran mereka dalam hidup kami suami isteri.

Abang dan adik adalah harta Ibu dan Ayah paling bernilai.

Sayang selalu.

Notajari:
En Bapak kini jauh di mata. Saya dan anak-anak sabar menanti kepulangannya hari Ahad ini. Beliau ke lawatan kerja ke negara jiran. 

28 October 2011

Ilhan Amsyar Setahun (part 1)

27/10 genap usia Ilhan setahun.

Saya asyik mengenang momen melahirkannya setahun lalu. Kejap-kejap melihat jam dan bercakap dengan En Bapak...

: eh, time ni saya dah mula sakit kan?
: time ni saya dah ditolak ke labor room kan>
: 7.11 pg -- yahuu, Ilhan dah keluar.
: 8.30 pg -- time ni masih kena jahit, rasa nak menyepak nurse sebab sempat lagi bergosip.

Syukur, sebab lepas melahirkan Khalish secara caesar, saya mendapat peluang melahirkan Ilhan cara normal. Perasaan seolah-olah bersalin anak pertama. Bila mengenang saat itu kembali membuatkan saya sangat beremosi.

 

Saya mahu Ilhan tahu momen untuk melahirkannya ke dunia ini selepas menginap dalam rahim Ibu selama 9 bulan bukan suatu tugas yang mudah.

Dan tugas saat-saat sebelum kelahiran itu bertambah menduga sejurus Ibu telan minyak selusuh yang dipercayai membantu memudahkan proses kelahiranmu.

Tidak dapat digambarkan bagaimana kestabilan emosi dan keberatan fizikal mengganggu tidur malam ibu. Lagi bertambah walang apabila melihat ibu-ibu mengandung lain di wad sebelah menyebelah lena diulit mimpi.

Sekejap-sekejap ibu bangun berjalan ke sana sini sambil melakukan teknik pernafasan, setengah jam sekali ke bilik air untuk membasuh muka dan membuang apa yang patut. Itu belum dicampur dengan sesi kira mengira apabila bertemu juru rawat. ...oh, baru 2cm, lepas tu 3cm, lepas tu 4cm...barulah Ibu dibawa ke bilik bersalin.

Kasihan pada Ayah adik yang terpaksa bermalam di surau hospital bersama bapa-bapa lain. Hinggakan bantal comel dalam kereta yang dibawa bersamanya hilang dirembat orang. huhuhu...

Kasihan juga pada Abang Khalish yang mahu ikut Ibu ke hospital jam 4 pagi dan ditinggalkan dua hari bersama Nenek di rumah. Mujurlah Nenek sudi datang dari Melaka untuk membantu kita.

Ibu mahu Ilhan tahu, Ibu cuba bertahan sedaya upaya untuk melahirkanmu secara normal meskipun ada risiko menanti. Ibu percaya kekuasaan Allah melebihi segala-galanya.

**Selama ini saya asyik mendengar cerita dari orang katanya sakit melahirkan ni rasanya seperti orang sembelit nak membuang. Serius, saya rasa benda tu lawak sebab masa Khalish tak rasa macamtu) sampai bila sendiri rasa baru faham apa yang dikatakan itu benar belaka.**

Ibu yang ketika itu mamai selepas diberi ubat tahan sakit sedikit keliru antara rasa nak tidur- sakit perut-nak meneran buang air besar-dan cara meneran yang bagaimana diperlukan untuk mengeluarkanmu.

Mujur ada bidan dan nurse yang sangat-sangat bersemangat membantu mengajar cara mengawal pernafasan dan meneran. Dan berkata ...yes, yes, yes bilamana saya berjaya meneran dengan cara yang betul.

Walaupun Ayahmu ada disebelah sambil memegang tangan dan menampung kepala ibu, namun diamnya seribu bahasa membuatkan Ibu sedikit geram. **walaupun Ibu tahu Ayahmu juga terkejut dengan situsi kali pertama ini, agak-agaklah B oii...bagi isteri ekstra booster untuk meneran. hehehe...

Ibu pasti Ilhan juga sangat-sangat bergelut untuk keluar sendiri kan. Yea...kita sama-sama berjuang untuk hidup. Hingga saat tangan Ibu mencapai rambut Ilhan, Ibu tahu anak Ibu ini bergelut untuk mencari jalan keluar. 


Akhirnya, tepat jam 7.11 pagi suara rengekan manja Ilhan kedengaran. Saat memegang dan mengucup Ilhan kali pertama 'segar dari perut' tidak Ibu lupakan sampai bila-bila.

Semoga Ilhan membesar sebagai anak yang pintar dan cergas. Menjadi hamba Allah yang taat serta menjadi kebanggaan Ibu dan Ayah.
Ibu amat menyayangimu. Selamat Hari Lahir yang pertama, sayang.

Wassalam.

nota jari: Patutnya entry ni 27/11, broadband asyik edge je. Sakit jiwa.





26 October 2011

WW: Bila Besar Nanti

Habis semua benda diperiksanya. Sakit apa??? :) :) :)

22 October 2011

Hari Berendam @ Sungai Klah

*Macam biasa ini adalah entry tertunda*

Khamis lepas adalah hari berendam sekeluarga. Istilah yang wujud kerana kunjungan kami buat kali pertamanya ke Sungai Klah, Sungkai Perak sempena sebahagian hadiah hari lahir Ilhan hujung bulan ini.

Plan asal adalah ke Lost World of Tambun namun Felda Residence Hot Springs Sungai Klah aka Taman Rekreasi Air Panas (TRAP) Sungkai Klah, menjadi pilihan kerana saya dan anak-anak masih belum menjejakkan kaki ke sana. En Bapak pernah berkunjung ketika zaman bujang dulu.

Khalish, yang sangat suka melihat sungai di tv teruja bila mendengar Ayahnya akan membawa kami mandi di sungai. Namun, perjalanan hampir dua jam dari Ipoh menyebabkan Khalish dan Ilhan sempat melelapkan mata. Oleh kerana off day En Bapak jatuh pada hari bekerja, TRAP seolah-oleh menjadi kolam milik sendiri kerana kurang daripada 15 pengunjung pada hari berkenaan.
Apa-apa hal, makan tengah hari di cafe dan solat Zuhur wajib dilaksanakan dulu sebelum aktiviti mandi-manda diteruskan. Di sini disediakan dua jenis kolam mandian. Satu, kolam air gunung dan kedua, air panas. Kami memilih untuk mandi di kolam air gunung dahulu.
Tengok saja gelagat Khalish dan Ilhan bila berjumpa air yang banyak. Maklumlah di rumah hanya mandi dalam tab plastik dan baldi saja. Bila jumpa air, Khalish seronok mengapungkan badan dengan pelampung yang di beli di salah sebuah kiosk. (dh la RM10 kurang angin lak tu). Berlainan Ilhan yang pada mulanya blurr melihat abang dan Ayahnya asyik bermain air. Namun akhirnya Ilhan secara spontan menginjakkan badan dan kakinya seolah-oleh membuat gaya sotong bergerak di dalam air.
Siap ada gerakan tangan seolah-olah belajar berenang. Gelagat anak-anak kecil ini sangat menghiburkan hati saya dan En Bapak.
Hampir dua jam berendam hinggakan bibir Khalish bergetar kesejukkan, kami kemudiannya bergerak kira-kira 100 meter ke kolam air panas. Sebelum masuk, sila basahkan diri anda dengan air tempayan yang disediakan. Bila jejak je kaki ke dalam kolam, fuhh...panas betul. Tipsnya adalah, masuk kolam cepat-cepat dan duduk diam-diam dalam 10 saat dan mesti badan akan biasa dengan suhunya.
Khalish dan Ilhan mula-mula macam tu juga nak larikan diri sebab panas, tapi saya dudukkan mereka atas batu dan biarkan kaki menjulur ke dalam air. Dah lama sikit barulah masukkan diorang dalam air.

Air panas dipercayai boleh mengubati pelbagai jenis penyakit, antaranya lenguh-lenguh badan, sakit sendi, rheumastim, arthritis, sukar tidur, gatal-gatal dan sebagainya. Namun, bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dll anda dilarang mandi di sini.
Selepas membersihkan diri bersama anak sorang satu, kami akhirnya pulang melalui laluan pejalan kaki berkayu untuk melihat sendiri sumber aliran air panas semulajadi. Punca air di sini ada yang mencecah 100 darjah celcius. Gamaknya, kalau biawak jatuh dalam ni maunya jadi biawak rebus. hohoho...Bau seakan telur rebus menyelubungi kawasan ini.

Ekstra :
TRAP diuruskan oleh Felda Plantation Resorts
Bayaran masuk : Dewasa RM10, kanak-kanak RM8
Kemudahan : Kolam Air Panas, Kolam Air Gunung, stesen merebus telur, taman herba, surau, cafe, kiosk makanan dan cenderahati serta tempat penginapan.
Selain itu, turut disediakan tempat parkir yang luas di luar dan di dalam (berhampiran kolam air gunung). Namun parking dalam hanya dibuka hujung minggu bermula jam 5 petang hari Jumaat.

Lagi satu, silalah beli pelampung diluar dan pam angin secukupnya.

Ok, lain kali ada rezeki kita datang lagi masa bukan hujung minggu. Wassalam.

12 October 2011

Doa Ibu

Mood berblogging sedikit terganggu kerana memberi tumpuan kepada Khalish yang dah tiga hari tak sihat.

Doktor mengatakan perutnya kembung dan dek kerana itu dia asyik membuang air besar hampir 5-6 kali sehari. Sampaikan Khalish tak berselera makan atau mungkin dia takut terbuang air besar lagi-lagi-dan lagi hingga melecet montot.

Syukurlah, nasi berlaukkan telur hancur kicap berjaya membuka seleranya.

Petang tadi En Bapak beritahu mungkin Khalish ada makan kacang dalam tin keropok, snek kegemarannya. Kami suspek mungkin itu adalah puncanya Khalish asyik membuang air kerana sebelum ini ada sejarah Khalish alergik dengan kekacang.

Berterima kasih kepada 20 keping CD yang banyak membantu, fengsan En Bapak kalau tiap sejam nak tukar diapers.

Harap-harap Khalish cepat sembuh dan aktif seperti sedia kala macam Ilhan. Pheww....

06 October 2011

Piza Bikin Sendiri

Akhirnya hajat nak membuat piza sendiri berjaya terlaksana. Rasa macam dah lama mengidam (ehem...bkn yg 9 bulan ye) sebab terliur tengok dapur orang lain dok tayang piza bikin sendiri. Orang dah berpuluh kali buat, saya baru nak kecoh sekampung. hehe... baru tau macamana rasa menguli tanpa bantuan breadmaker.

Resepi saya belek dari dapur Kak Umi Pahang dan En Mat Gebu. Lepas tu memandai-mandai campur aduk sampai piza mengembang semacam. Bila makan piza, saya suka kalau ada nenas banyak-banyak. Tu pasal buat sendiri boleh letak sukahati.
Chef kecil saya, Khalish rajin menghulurkan bantuan. Habis ditimbunkan nenas atas piza. Buat 500g tepung dapat 2 keping piza saiz 11". Siap boleh simpan makan breakfast. Hasilnya sangat mengujakan, rasanya kalau guna tepung roti mesti ekstra gebu. Tambah pula dengan taburan keju mozarella yang ekstra tebal. Yummy...
Pasni nak try buat ala hawaiian seafood pulak. Oh En Bapak, kalaulah ada breadmaker....(buat mata memandang ke atas sambil kelip2 ala-ala verangan golden dream). hehe..

27 September 2011

Bekam Polkadot

Tajuk ada polkadot dah macam apam polkadot pulak. hehe...Motif bergambar dengan beg polkadot adalah suka-suka. Tunjuk muka sipi-sipi saje dikhuatiri ada yang kol talian Nur repot kes dera.

Seumur hidup, ini kali pertama nak merasa berbekam. Ini semua gara-gara satu muka gatal-gatal sebab resdung. Ye...masalah yang tak habis-habis sejak dulu.

Sebelum kahwin setiap bulan harus ke salon Kak Ully di Banda Hilir untuk asap muka dengan rokok lilin resdung. Memang terbaek la.Bila dah kahwin dan beranak, harapan tinggal harapan la nak buat macam tu. Anak-anak asyik nak berkepit dengan ibu saja.

Pernah juga berangan nak buat rawatan dengan lintah. Tapi, bila membayangkan fizikalnya yang lembik, mengeliat-geliut dan merayap tu, uisshh...geli lak rasanya. Nak-nak ada 3-4 ekor melekap kat muka. Yearks...So, bila kegatalan makin tak terkawal, saya ambil keputusan drastik dengan persetujuaan Incik Abang untuk cubaan berbekam.

Kami ke pusat rawatan bekam di Rapat Setia, Ipoh. Di sini ada dua pengamal perubatan alternatif, suami isteri. So, tak yah malu sangat sebab si isteri akan berbekam untuk wanita sahaja begitu sebaliknya. Mula-mula seriau juga bila membayangkan muka bakal ditoreh dengan benda tajam spt pisau ke untuk keluarkan darah sebelum ditekap dengan cawan bekam tu.

Bila Sis tu terangkan hanya dicucuk dengan jarum halus, fuh...lega. Kuatkan semangat ok, nak sihat punya pasal. Lepas dikenalpasti tempat kegatalan dan sengal-sengal, maka cup yang disedut udara akan diletakkan seketika sebelum kulitmu dicucuk jarum.

Sebelum tu, balm sejuk diisi untuk kurangkan rasa perit. Pastu sesi cucuk (rasa dan bunyi macam kulit kena stapple) mula dilakukan. Nak kata sakit, sakit jugalah, nak kata sedap pun, bolehlah. huhuhu...Pastu, cup diletakkan semula tempat tadi antara 3-5 minit.

Pergh...terasa darah kotor keluar. Paling terasa bila tang hidung lega dapat oksigen dengan lebih banyak. Means, sebelum ni, hidung tersumbat semacam. Lega ya amat...Kat hidung je kena 5cup, pipi, dagu n tepi kepala sume sekali 7 cup. Bahu dan tepi leher 4 cup. Dok sedap je dia bubuh cup tu bila ko kata sakit sini dan sinun. 1 cup= RM5. Kiralah jumlahnya sendiri ye.

Mujur saya saja pelanggannya pagi tu. Suami dan anak-anak setia menanti di depan bilik rawatan sambil tengok tv.

Bila dah selesai semua, rasa lega berkurangan. Hasil luaran, alamak muka dah polkadot merah sana sini. Seminggu baru hilang kesan sume. Nasiblah kerja kat rumah je. Phewww...


notajari: Lepas rawatan kami ke tesco beli barang. Orang kiri kanan dok pssst...tengok muka polkadot saya. Oh ahkak, ni kesan bekam, bukan kena dera yer...

22 September 2011

1'st Time : Ilhan Gunting Rambut di Salon


Ilhan dilahirkan dengan rambut lebat, hitam berkilat dan berside burn seperti abangnya, Khalish. (orang tua-tua kata kalau asyik buang air kecil masa peknen, tandanya baby banyak rambut. o...patutlah)

Sejak bercukur rambut buat kali pertama kira-kira 9 bulan lalu (usia Ilhan dua bulan), rambutnya tumbuh dengan subur tanpa memerlukan bantuan Yon Nam.

Berbanding rambut Khalish yang lurus dan lembut ala-ala artis korea, rambut Ilhan dikesan lebih mengikuti jenis rambut saya yang juga lurus, tapi tebal dan kurang kelembutannya. hohoho. Ini membuatkan En Bapak mendakwa Khalish lebih mengikuti jenis rambut beliau. *yo lah cik abang oi...*

Ada dalam dua kali saya terpaksa menggunting rambut Ilhan sendiri sebab terlalu tebal sampai tak lut dijirus air. Tu pun masa dia tidur, so faham-faham je lah hasil non pro. Bukan tidak mahu membawanya ke kedai gunting bagi nampak lebih ensem, tapi saya khuatir pengalaman menggunting rambut Khalish bakal kembali lagi.

Isnin lepas, semasa En Bapak bercuti saya mengambil kesempatan ke Salon Milano di Silibin untuk menggunting rambut Ilhan yang dah super tebal dan rambut diri sendiri yang dah 3 bulan tak gunting.

Lagaknya cool masa sampai. Ok fine, lega hati ibu. Bila mula je amoi tu sikat rambutnya bagi lurus, mulalah Ilhan dah tak berkeruan. Bila mula menggunting, dia pun mula meragam, menangis macam orang nak kena potong kepala sambil melembikkan badan. hadoi...berpeluh ketiak dibuatnya.

Dekat 15 minit jugalah bertarung nak pujuk Ilhan ni, sudahnya dia buat taktik mengantuk tapi mulut masih nangis lagi. Sorilah Ilhan, tu taktik ibu lama tau dah.

Nasib baik hanya dua orang pelanggan kat kedai tu. Masing-masing pakat gelak sebab Ilhan akhirnya tertidur di riba saya sementara rambutnya masih lagi dipotong. *alahai Ilhan...memang sebijik macam abang awak - takut gunting rambut.

Akhirnya, berjaya juga menipis dan memendekkan rambut beliau walaupun bersepah rambut satu badan, dalam mulut pun ada. Rupa selepas bergunting ala-ala orang nak masuk sojer pun ada.

Bayaran menggunting di salon kegemaran saya ni adalah RM5 kanak-kanak dan RM16 dewasa. *cis...asal dia naik RM1. Rutin tiap kali menggunting, bawa rambut sendiri balik untuk ditanam bila berkesempatan. Nenek saya kata kalau nak bagi rambut cepat panjang kena tanam rambut yang dipotong dan makan masakan berserai selalu.

notajari: Nampak Ilhan macam budak besau, kurang comel seperti rambut sebelumnya. Tapi, yang penting adik kupang ibu ni tetap manja tapi garang seperti biasa.

16 September 2011

Sudoku Tak Lepas Ada Hati Nak Kakuro

Selamat Hari Malaysia semua.
Moga negara ini sentiasa dilindungi dan dirahmati Allah dari sebarang anasir kurang baik dari dalam mahupun luar negara.

Ok, cerita hari ini adalah seperti tajuk di atas.

Masa peknen Khalish, kegilaan saya adalah menyelesaikan puzzle sudoku.
Saya bukan terer math pon dan saya memang bencikan subjek tu masa sekolah.

Masa sekolah rendah, cikgu math miang nak mampos, tangan sebelah tanda buku sebelah lagi dok usap2 belakang budak pompuan. Dulu mana tau gangguan seksual ni so kitorg diam kan je.Macam hawau - kata orang Melaka bila marah.

Masa sekolah menengah, cikgu math membosankan dan asyik bertukar.
Bila naik tingkatan empat dapat cikgu veteren tp semangatnya kalah cikgu muda.
Sampaikan saya dok depan sekali siap tidur cikgu tak perasan.
Tulah, bila result spm keluar, dapat pon cukup2 idup je. Padan muka. Hampeh punya alasan padahal awak tu malas belajar. **nyesal...

Tp, bila math melibatkan RM saya tetiba terer bagai nak rak. Tahu plak bahagi-darah-tambah RM untuk shopping, facial, makan dll. hehehe...dasar perempuan.

Selesaikan sudoku ni kadang kala boleh menyebabkan kita tenang dan kadang kala sakit hati bila tak dapat selesaikan. So, bila padam balik, cuba lagi. Tak dapat, padam balik dan cuba lagi. Sampai kali keempat tak dapat2, sila curi tengok jawapan kat belakang buku cari 2-3 klue. hehe...

Baru jumpa Kakuro ni masa gi rumah adik kat Putrajaya.
Kakuro ni kiranya advance dari Sudoku. Sama-sama merupakan teka-teki logik dan berasal dari Jepun.
Dah try buat tahap easy dan medium. Bila time tahap susah, adus...rasa nak pecah kepala.

Cis...cis...apasal susah sangat nih.
Jangan harap nak beli buku kalau online punya pun tak pass.
Hussshh, korang try sendiri baru tau best ke tak games ni.

**pic: cdt to google. mls nak snap.
notajari: bila Khalish dah pandai mengira saya nak perkenalkan Sudoku sbg games minda dia. Tak sabarnya.

14 September 2011

Mercun Tak Perlu Bakar

Assalamualaikum,

Salam Aidilfitri buat readers yang masih sudi berkunjung ke blog saya ni. Macam biasa, blog ini seakan segan idup mati xmau. hihihi...Sangat sibuk dengan urusan harian yang ntah apa-apa termasuk riang ria bersama dua hero kecik saya + incik abang yang macho. Buka blog sekadar baca entry kengkawan hingga blog sendiri terabai.

Raya tahun ni turn rumah famili suami di PJ. (Boleh selak dalam blog En Bapak @ akubapak untuk cerita best raya kami). Then, raya ketiga ambil mak ayah balik dari Umrah di KLIA langsung lepak kampung seminggu. Sebabnya, raya ketiga En Bapak dah mula kerja. So, saya dan anak-anak dapat pelepasan raya lama sikit di Melaka. yippi...

Raya tahun ini adalah kali ketiga buat Khalish. So, sebagai bekas budak kampung, saya dah berani-berani ayam memperkenalkannya dengan bunga api dan mercun. Pak ciknya (adik lelaki tunggal saya, Azam) adalah pembekal bahan api. Maksudnya bukan tokei tp beli secara kecil-kecilan untuk memeriahkan suasana malam raya bersama sepupu sepapat dan anak-anak buahnya.

Malam adalah waktu yang syok bermain bunga api. Saya prefer bunga api besi bintang2 kecik untuk Khalish main. Tapi, saya bagi Khalish setakat 4-5 batang je. Gambar pada waktu malam tak amik, yang ada sebelah siang sajer.

Then, bila pak ciknya bagi mercun pop2- yang baling meletop ala-ala lemau tak cukup belerang, Khalish suka bangat. Selamat rasanya berbanding yang kena bakar.

Esoknya, dok mencari kat famili store 3 kotak=RM2. Lepas tu, Azam cari kat kedai RM2, leh dapat 5 kotak. Cis...lagi murah. Aksi Khalish bermain mercun paling menjadi peberet saya.

Mula-mula ajar dia baling ke jalan tar depan umah Mak. Kadang-kadang tak meletop disebabkan cara balingan yang tak padu. So, Khalish cari jalan baling tinggi ke udara dan hasilnya adalah bunyi pop2 yang kuat.

Bila tak berhasil juga, mayb sebab dah masuk angin, dia pijak-pijak sampai lunyai. Aksi tak boleh blah dia, bila dia melempar segenggam mercun ke udara. Berterabur saya angkat kaki selamatkan diri. *bahaya anak ibu ni bila mabuk bahan letupan.


Ilhan sekadar memerhati dari jarak dekat sambil mata melilau bunyi pop2 datang dari arah mana. Ibu mereka ni kadang2 join dua kaki baling mercun. Syok macam makan kuaci rasanya.

notajari: teringat dulu masa kecik2 mercun gasing berputar dalam kain. sib baik kain je berlubang bukan kaki. tu pasal trauma sepanjang hayat. huhuhu

16 August 2011

Tiramisu Untuk Suami

14 Ogos lepas adalah hari lahir suami terchenta saya. Agak lama mengupdate untuk entry yang sepatutnya dibuat pada hari berkenaan. Belum seminggu lagi kira story masih 'segar' lah kan?

Plan sebelum oven rosak adalah untuk membuat red velvet cake yang dah diidam-idamkan sejak Mei lalu. Namun, selepas memikirkan 'kekangan mood' untuk membuat kerja-kerja pembakingan (tatabahasa rosak disitu) kalau oven dibeli baru, maka saya buat-buat tak inginkan oven baru.

Makanya, selepas membuat beberapa research resepi, saya memberi tiga pilihan kek (2 daripadanya perlu dikukus dan 'segera' seperti tiramisu ni). Akhirnya, En Bapak mengundi untuk kek tiramisu sempena ulangtahun ke 31 beliau.

Awal pagi lagi kami dah bergegas ke Jus.co untuk membeli bahan-bahan kek. Saya frust sebab ladyfingers tak de. Saya cuma beli biskut butter kopi untuk dibuat hiasan.

Paling penting kek span yang telah siap. Saya plan untuk membuat kek bulat bersaiz besar, namun yang ada saiz paling kecik. (mana cukup, kot-kot lah sedap, kang nyesal tak buat lebih).

Konon nak cari di Tes.co - tapi tak de. Pergilah menjajau kedai kek dari Taman Meru-Jelapang-Silibin-Manjoi. Hampeh, semua tak buat kek span, ye lah masing-masing sibuk bikin biskut raya (hadoi ai, tak pertimbangkan faktor itu).

Sudahnya, kami kembali ke kedai bakeri di Taman Meru. Saya terus membeli kek marble saiz panjang. Saya fikir, kita yang buat kek tu, pandai-pandai sendiri la nak buat macamana.

Lepas balik, saya tak tunggu lama sebab jam 1.30, takut lewat pula, maklumlah kek ni kena simpan sejuk 4 jam lebih, baru sedap.

Kek yang bersaiz panjang saya belah dua dan dipotong tiga lapis untuk diisi frostingnya. Resepi dan cara-caranya saya rujuk menerusi Myresepi.com.

Jeng...jeng...jeng....akhirnya, waktu memotong kek tiba juga, berdebar juga menanti reaksi En Bapak kek yang dihasilkan. Yeah, mungkin rupa paras tak berapa macam kedai kek, namun harap dimaafkan sebab ni pestaim dok deco2 kek ni.

Komen beliau, frostingnya sedikit manis namun masih boleh diterima. Bagi saya pula, tiramisu ini akan lebih sedap jika sirap kopinya dilebihkan dan kalau ditambah sedikit jus lemon, dapat rasa ala-ala kek keju kopi gitu.

Dapatlah diagih-agihkan pada kawan En Bapak yang datang dan jiran sebelah. Siap minta resepi lagi tau.

Apapun, saya berpuas hati kerana walaupun pestaim buat, kek ni sangat sedap dan resepinya teramatlah mudah. Mungkin lepas ni boleh mencuba resepi chef hanieliza pula.


notajari: Kos keseluruhan kek adalah separuh daripada harga di bakeri. Beratnya 1.3kg berbanding 1kg yang dijual. Namun, nilai sebenar ketika menghasilkannya adalah sebakul penuh kasih sayang untuk besday Dad. Selamat Hari Lahir, B. I Love U so much....


15 August 2011

Mainan Si Bijak

Berkat kesabaran mengumpul penutup tin susu Khalish selama beberapa bulan, akhirnya hadiah penebusan yang dihajati berjaya ditebus.

Asalnya kami mahu memesan menerusi pos, tapi dek kerana kurang kesabaran ibunya Khalish untuk menanti ketibaan hadiah yang memakan masa 5-6 minggu, kami terus pergi sendiri ke pejabatnya di Menara Lien Hoe 8, Persiaran Tropicana, Petaling Jaya.

Berpusing-pusing jugalah kami cari menara ni. Siap jumpa Ikea, tapi saya sabar je walaupun hati meronta-ronta nak menyinggah. Akhirnya selepas sejam, barulah kami berjaya sampai ke destinasi yang dicari. Syabas kepada En Bapak yang sabar memandu di waktu sesak.
Pejabat mereka di tingkat 15. Khalish asyik sebut susu...susu bila nampak logo susunya yang paling mahal di pasaran itu (*pengsan). Lepas beberapa minit staf berkenaan mengisi borang berkaitan akhirnya hadiah yang diangan-angan berjaya diperoleh.

Banyak pilihan mainan yang mampu membina keupayaan berfikir si kecil tapi akhirnya set blok binaan berbentuk rumah menjadi pilihan. Selain meningkatkan daya kreativiti anak, ia juga membantu pergerakan motor halus dalam meningkatkan keupayaan membina koordinasi di antara mata dan tangan.

Pilihan juga dibuat dengan harapan menggunung agar anakanda bakal menjadi seorang arkitek pada masa hadapan. :). Mainan sudah mula dibuka, namun Khalish dan Ilhan lebih gemar 'menerbangkannya' ke sana, sini, sinun walaupun saya dah tunjukkan cara membinanya. Selepas beberapa hari, saya ambil keputusan menyimpannya dalam kotak di stor.

Anak-anak, mainan ni ada 55 blok saja, jika hilang satu tiang, confirm tak jadi rumah seperti dalam gambar tu.

Agak-agak dah mampu mereka letak dengan baik, baru ibu akan keluarkan. Praktis dulu dengan lego yer. Hehe...


04 August 2011

Pengaruh Iklan Biskut

Waktu snek Khalish biasanya dihidangkan samada dengan biskut, roti, kuih, keropok ikan, keropok macam iklan keropok moni, atau buah-buahan.

Bercerita mengenai biskut, saya sendiri akan tentukan biskut mana yang akan diberikan selepas meneliti tahap kemanisan biskut berdasarkan percubaan sendiri.

Kadangkala saya turutkan kemahuan Khalish sekiranya dia teruja melihat iklan biskut di tv. Kalau pernah lihat iklan biskut Oreo, yang si anak ajar apak dia putar-jilat-rasa-celup dan time apaknya buat, si anak akan buat dalih tunjuk ke belakang dan sebut "Mama"...> makanya Khalish akan tunjuk ke rak simpan biskut dan sebut Mama...

Dek kesiankan anak dah sebut-sebut gitu, maka saya dengan suami belikanlah biskut oreo tu. Bila dibeli, dia suka dan cara makannya macam dalam iklan tapi yang inti je dijilat, biskut dilempar entah ke mana. Penyudahnya si adik kutip masuk mulut. habiskan. Tapi, bagi saya biskut itu manis dan dihadkan membelinya dua bulan sekali sahaja.


Biskut Capten Munch @ Boboiboy - biskut terkini pilihan Khalish gara-gara menonton siri kartun itu ketika ditayangkan di Tv3 tak lama dulu. Sekarang dah masuk Disney Channel itu iklan tak de. Bila nak makan biskut, sebut je BoboiBoy, saya faham apa yang dimahukan.


Ada tiga jenis, tapi saya rasa yang pek hijau tahap kemanisan adalah ok, kedua pek ungu (coklat) dan manis adalah pek biru ala-ala chipsmore. So, bila Ilhan tumpang sekaki pun saya tak de masalah nak bagi.

Buat pengetahuan, kami tidak beri Ilhan biskut bayi yang ada di pasaran sebab terlalu manis rasanya. Dah bereksperimen masa Khalish baby dulu, kebanyakan dibuang dalam cik tongs...Lain-lain biskut, samada biskut Meri, Cream Creaker atau Chipsmore disebut ikut sahaja.

Yang membuatkan En Bapak  Khalish pelik sangat sampaikan dia cakap "dah lebih 30 tahun saya hidup, baru lihat baby tak de gigi makan biskut walhal bukan biskut lembut pun,". (Baby yang dimaksudkan adalah Ilhan)

Year...Biarpun Ilhan belum tumbuh gigi, segala macam biskut yang abang dia makan, dia boleh makan sendiri tanpa bantuan. Cuma, kena rajin-rajin sapu sebab sisa biskut dimerata-rata tempat.

5 kali makan biskut, 5 kali jugalah kena menyapu. Tu baru biskut, belum keropok, nasi, buah....pheww....(ibu menyapu dahi yang tak berpeluh).

03 August 2011

Keranamu, Ramadan

Hari ni masuk hari ketiga umat Islam berpuasa. Harap kita semua bersemangat meneruskan ibadah dengan ceria walaupun kebelakangan ini cuaca panas semacam.

Hari ni juga buat kali pertamanya saya berpuasa sambil meneruskan penyusuan penuh untuk Ilhan. Walaupun dah berlatih masa Syaaban lepas, di penghujung harinya saya agak keletihan + tekak kering semacam. Walaupun itu budak kecik dah 9 bulan dan makan macam-macam (gamaknya batu dan kayu pun tak ditolaknya), Ilhan adalah salah satu contoh budak kuat minum susu.

Nak tidur pun, mesti nak berkopek dulu. Aduhai...rasa dehidrasi semacam. Saya dah tak mengepam sebab Ilhan lebih enjoy BF terus. Kalau masuk dalam botol sure dia lambat-lambat je nak habiskan susu perahan. Hurm...,demi anak, sabar je menanti jam menginjak ke angka tujuh. (Fuh3....macam budak-budak berpuasa walaupun dah jadi mak budak. kikiki...)

Ramadan kali ni saya rasa paling menduga kami sekeluarga esp adik beradik. Syukur, hajat Mak dan Ayah untuk sambut Ramadan dan berhari raya di tanah suci dimakbulkan tahun ini.

Mereka berlepas ke Jeddah tiga hari sebelum puasa. (kami lepak di KLIA dari jam 11.30 malam sampai 2.30 pagi - flight jam 3.45pg). Tak sangka ramai juga malam tu di KLIA. Bila dah berjauhan beribu-ribu kilometer ni, teringat momen manis bersahur, berpuasa dan berbuka dengan famili.

Time sahur, biasanya kami makan simple, lauk bergoreng like nasi goreng + ikan kering jadi pilihan. Teringat betapa payahnya nak kejutkan Kimah, Aisyah, Azam dan Acu bangun sahur. Rasa nak baling mercun kat telinga diorang.

Time berbuka paling syiok, boleh cakap tiap-tiap hari Ayah adalah orang yang akan membuat lawatan ke bazar sekitar Masjid Tanah. Paling kurang beli air soya / air tebu, murtabak, kuih kegemaran saya - kuih sagu merah, serabai, karipap pusing dan popia sambal. Semua ada peminat sendiri.

Sementara tunggu berbuka, kami adik beradik bersinsing lengan baju tolong mak hidang lauk. Makanan di minggu pertama berpuasa adalah heaven penuh semeja. Belum kira jiran bagi lagi. Orang azan je, Ayah baca doa berbuka dan semua makan tak ingat dunia.

Lepas tu, mulalah Ayah bising suruh cepat2 solat Maghrib. Ayah bekas tentera, so stail makan beliau adalah sangat cepat. Contoh, baru makan tak sampai setengah pinggan, Ayah dah basuh tangan dah. Mak pun selalu bising suruh Ayah kunyah dulu makanannya. Ayah cakap dah terbiasa sejak bujang lagi.

Lepas Isyak, Ayah jadi Imam solat terawih. Biasanya kat rumah nenek (belakang rumah je). Dah banyak tahun sejak nenek dan atuk tak sihat, kami solat terawih kat rumah. Permintaan nenek sebab tak nak ketinggalan buat solat sunat tu. Kadang2 Mak Long sekeluarga di Pengkalan Balak join sekali. Meriah sungguh, penuh ruang tamu rumah nenek.

Lepas solat, ada moreh. Budak-budak time tu sibuk main bunga api dan mercun - biasalah kat kampung ramai yang jual benda-benda seludup ni. Saya join sekaki kalau ada bunga api besi - bila bakar ada twinkle2 little star.

Bila teringat, rasa menitik air mata. Rindu sangat rasanya suasana tu. Agaknya apalah Mak dan Ayah berbuka. (emo semacam padahal diorang ikut pakej complete semuanya). Nasib baik ada bekalkan rendang segera, serunding, acar buah dan sambal bilis stok diorang kat sana kot-kot la rindu menu Malaysia.

Harap-harap, Abang dan Acu kuat semangat berpuasa di asrama, Adik di Putrajaya dan Aisyah di Sungai Besi tak risau sangat sebab diorang dah pandai hidup berjauhan dari mak ayah.

Moga Mak & Ayah dapat menunaikan ibadah dengan sebaiknya.
Dan semoga kami adik beradik dapat mengharungi hari-hari Ramadan ini dengan penuh semangat walaupun Mak Ayah tiada di Malaysia.

Sabarlah, raya ketiga atau keempat nanti, kita tunggu Mak Ayah sambil makan kuih gunting di KLIA eh.


**pssst...rasa macam panjang berjela entry ni, syukran sebab sudi baca sampai habis sebab saya tak reti-reti nak ringkaskannya. hihihi...>senyum mode mata kelip-kelip

22 July 2011

Demam Chicken Chop

Semalam turn Ilhan check up 9 bulan.
Tengah elok tunggu giliran tiba-tiba ada 1 family ni menonong je bawa dua anak mereka masuk bilik misi.
Beberapa saat kemudian, dengar misi tu ketawa kuat tak ingat.
Ok, seminit lepas tu family ni keluar. No giliran saya dipapar di skrin.
Lupa bgtau, saya di Klinik Desa Chepor bersama Ilhan yg cool.
Abangnya, Khalish saya pasti sedang bad mood di rumah bersama Bapak dia - kena tinggal paksa. hehe...

Misi : Hari ni saya dapat nama penyakit baru. Tu gelak tak ingat dunia tadi. Tak tahan.
Saya : Ceciter sikit.
Misi : Tadi puan tu bawa anak dia dengan konfiden cakap, "Nurse, anak saya kena demam chicken chop. Cuba tengok bintik-bintik merah ni. Saya apalagi, gelak tak ingat. Tak tahan...
Saya : Hahaha...patutlah.

Hehehe...jangan akak tu gi kedai makan order chicken pox sudah. Haru...

Oh, si babam Ilhan saya ni sekarang :

Berat : 8.75kg (naik 500gm)
Tinggi : 72cm (naik 5cm)
BMI : 17 (turun 1.3)

Sebab turun kerana berat naik sikit, tinggi naik banyak.
Tak pe Ilhan, janji anak Ibu ni berselera makan apa saja dan minum susu ibu.

Sekarang ni, sibuk berlatih aksi merangkak.
Tempat dahan berpaut adalah badan Ibu, Ayah dan Abang.

20 July 2011

Kulit Siput (hobi yang dirindui)

Hobi saya semasa zaman kanak-kanak (90an) membawa ke remaja adalah mengumpul cengkerang laut. Ia merujuk kepada kulit siput dan hidupan laut yang bertaburan atas pasir selepas air pasang atau surut.

Memandangkan rumah famili berdepan dengan Selat Melaka, maka hobi ini adalah paling sesuai dipraktikkan ketika masa lapang. Lagipun ia tidak melibatkan sebarang kos, hanya sedikit minat dan penat untuk mencari yang berkenan di hati.

Biasanya waktu pagi sangat sesuai untuk mengutip kulit-kulit siput ini memandangkan baru lepas air pasang. Saya akan menyusur di tepian pantai ditemani adik dan berbekalkan sebuah bakul khas. Kulit-kulit siput yang cantik, unik dan lain dari yang sedia dalam koleksi menjadi pilihan saya. Lepas kutip, biasanya saya akan rendam setengah hari, basuh dan keringkannya di tempat  redup.

Ada kulit siput yang ditemui baunya kurang menyenangkan walaupun dibasuh beberapa kali. Jangan dibuangkan pula ye. Apa yang saya buat adalah membiarkan kulit siput itu dibersihkan oleh hujan untuk 2-3 kali dan dikeringkan menerusi pancaran terus matahari. In Sha Allah, baunya akan hilang sendiri.

Nak lebih wangi, masukkan pot pouri dalam bekas simpanan khas kulit siput anda. Tapi biasanya saya lebih suka mengekalkan bau 'pantai' pada kulit siput. Baru feel tepi pantai kan....?

Lepas tu, saya akan asingkan mengikut saiz dan masukkan dalam tempat berasingan. Kadangkala, batu karang pun jadi 'buruan' saya. Dulu banyak sangat sampai berbeg-beg tapi lepas mak warning sebab menyemakkan bilik, banyak yang saya dah campak dalam tempat sampah. (menyesal)

Ada beberapa kali pernah terjumpa bangkai kuda laut dan tapak sulaiman. Mungkin sebab tak tahu cara nak awetkan dan takut berbau busuk kalau simpan, saya abaikan saja. (tambah menyesal). Kalau tak boleh wat kenangan sebab bukan senang nak jumpa sekarang.

Saya ada impian nak buat mini muzium atau galeri kecil khusus untuk koleksi siput. Nak kenalpasti spesis dan habitat sekaligus boleh kenalkan pada anak-anak mengenai spesis hidupan dalam laut yang kiut miut ni.

Selain tu, pernah berangan-berangan nak hasilkan kraftangan sendiri daripada kulit-kulit siput. Tapi, tiada peruntukan masa lagi ke arah itu. Sudahnya bila ke Lumut atau Pangkor saya beli saja. Saya paling kembang-berbunga-bunga kalau orang hadiahkan saya cenderahati siput like gelang, hiasan, key chain atau apa saja daripada kerangan laut tu.

Nantilah saya upload pix gift yang pernah saya dapat. Banyak kat kampung, lupa nak amik gambar.

Paling menakjubkan masa ke Underwater World Langkawi, ada satu bahagian mengenai sea shells. Sangat kagum melihat banyak cengkerang yang unik dan tak pernah jumpa dan rasa nak pilih-pilih-masuk dalam beg.

Dulu, Pantai Tanjung Kling ada banyak juga kulit siput (tak tau jenis apa), leper dan licin - biasanya orang buat tirai dengan tebuk ditengah susun ke bawah dengan tali tangsi. Banyak juga saya kutip sebab warna keemasannya mengancam.

Sekarang, jangan berangan nak dapat sebab dah pupus kerana penambakan laut yang dibuat. Pantai hilang, sekali dengan hasil geragau yang saya paling suka beli untuk buat cekodok. (ok, emo...)

Kesimpulannya, hobi ini yang paling saya rindu bila lalu kat pantai. Rasa macam satu kepuasan dapat cari dan kumpul kulit siput. Lepas tu, kalau boring-boring boleh belek koleksi dan ingat semula kat mana saya kutip. Hurmm...syok!

notajari: Amaran jika ada anak kecik, kalau nak koleksi selamat jangan berangan nak tayang depan diorang. Confirm jadi bahan mainan. huhuhu

14 July 2011

Daging Stroganof bersama Pasta Fettuccine


Gara-gara terpengaruh menonton rancangan realiti masakan esp Masterchef Australia, saya berjaya menghasilkan hidangan ini di atas baru-baru ini.

Nak cari orang yang menjualnya memang tak de jumpa kat Ipoh ni. So, try la masak sendiri jawabnya. Resepi ni saya main agak-agak je masa tengok ujian tekanan antara Callum Masterchef - Matt dan Sharnee.

Tp pasta diorang buat sendiri lah. Segar dari dapur siap kaler hijau lagi. Boleh tengok sini

Kami - saya, En Bapak dan Khalish si pencinta pasta syok santap dengan menu baru ini. Rasa paprika agak menonjol dan kosistensi (haha...ayat juri MC) kuahnya yang berkrim sesuai di makan seisi keluarga.

Ini versi saya:

PASTA STROGANOF bersama PASTA FETTUCCINE
300G daging (potong nipis dan dibersihkan)
2 sudu besar serbuk paprika
1 biji bawang benggala - potong dadu
2 ulas bawang putih - diketuk
2 sudu besar sos tomato
1/2 biji tomato - dicincang
1 tin susu cair (guna krim masakan pun boleh)
4 sudu besar tepung gandum
1 cawan stok daging
1 sudu besar sos worcestershire
Cendawan butang - jika suka
1/4 sudu minyak zaitun
Sedikit mentega
Daun pasli - potong halus (tak de tp saya ganti daun ketumbar)
Pasta Fettuchini - rebus al-dente

Cara masak:
1- Campurkan serbuk paprika, tepung dan sesudu kecil garam dalam mangkuk. Sadurkan daging ke dalam campuran tadi.
2- Masukkan minyak zaitun dan masakkan daging 1-2 minit atau hingga perang. Angkat.
3- Masukkan mentega ke dalam lebihan minyak zaitun tadi,masakkan cendawan seketika dan masukkan bawang. Tumis hingga lembut.
4- Masukkan sos tomato, tomato, stok dan sos worcestershire dan biarkan mendidih.
5- Dalam api sederhana, kacau hingga pekat dan perasakan dengan garam atau gula.
6- Hidangkan bersama pasta fettuccine dan taburkan daun parsli sebagai hiasan).

Tip: Enak dimakan bersama kentang goreng rosemary.

Ni pula saya share resepi yang ada dalam buletin Anmum Feb 2011.

STU STROGANOF

Bahan-bahan:
1 lb daging merah, dimasak hingga keperangan dan dipotong kiub.
2 cwn air
2 skop Anmum Essential
1 sudu teh sebuk bawang
1/4 sudu teh serbuk bawang putih
1 sudu teh sos Wercestershire
1 0z krim masam

Cara masak:
1. Masakkan daging dalam air hingga lembut.
2. Kacau bahan-bahan lain kecuali krim masam.Panaskan pada kepanasan sederhana hingga berbuih.
3. Masukkan krim masam dan hidangkan.

Tip: Anda boleh menambah mi telur yang telah dimasak dan ditos untuk hidangan ramai.

Ruj: Yummy recipes: www.kidapprovedmeals.com

Boleh tengok resepi lain di sini juga

12 July 2011

Cerita Ex-Mak Andam

Semalam, adik saya, Hakimah kol bertanyakan kriteria mak andam macam mana yang patut diambil untuk wedding dia awal tahun depan. (Dah sampai seru ye dik. hehe..).

Menjadi satu kelaziman bagi mereka yang nak naik pelamin, kedudukan teratas dalam list adalah butik pengantin @ mak andam yang tiptop untuk menceriakan lagi wajah sang ratu dan raja. (cewah..).

Oleh kerana dah ada pengajaran masa lampau, saya suggestkan dia survey at least tiga butik pengantin untuk quotation, belek baju dan test makeup. Yang penting bajet dan hasil adalah selari supaya dikemudian hari tak nyesal macam saya. har3....

Ofkos mak andam yang akan menggayakan beliau dari atas ke bawah adalah seorang wanita tulen. Ini kerana mak dah warning awal-awal mengenainya sejak saya sebagai perintis pertama kahwin dalam family. Begitu juga selepas itu adik ketiga, Ecah.

Bila mengenang mak andam yang saya cari sendiri masa nak kahwin dulu, perghh...menyirap je sampai sekarang. Sebab tak nampak butik lain - dah tiap-tiap hari lalu depan butik dia-, saya di'butakan' dengan cakap-cakap si mak andam cerita bagai nak rak serbis tip top sampai vvip cari dia kononnya.

Cakap besar tak ingat macam dialah mak andam paling tp kat Melaka ni. Last-last hasilnya adalah hampas ok. Tak mencapai standard walaupun dialah yang saya harapkan bagi lebih keceriaan pada majlis bersejarah saya.

Terus terang cakap, wajah saya adalah kategori 'keras'yang mana kalau tak kena 'tangan seni' melakar makeup kat muka ni, maunya jadik macam muka minah drag tahu. Mungkin silap saya tak test makeup dulu dengan dia. Tapikan, kalau dah iktiraf diri tu terer serba serbi for sure tak de masalah nak makeup muka jenis apa pun bagi nampak cam ratu sehari.

Sampaikan saya sendiri yang tegur dia make up tebal macam pemain opera cina. Siap tacap sendiri bagi lebih voge. Cakap pakai make up mary.kay tapi ada gak pakej mus.tika.ratu ditonyohnya. Memang tebal gila sampai fotografer saya geleng kepala. Tak yah tunjuk gambarlah, buat malu-meluat je.

Huh...kami perabih kat dia je dengan makeup, baju, pelamin, cadar, langsir bilik dan rumah sume sekali tujuh ribu hengget. Kalau puas hati, memang saya tak banyak bunyik tapi....(uishh...sakit hati je bila flashback balik. dah la saya siap bagi promo 1 kolum pengantin BH kat dia dulu. pohdah).

Mujur 'kemuraman' makeup kahwin di rumah sendiri terubat dengan makeup mabeles masa majlis bertandang di rumah suami. Sampaikan fotografer saya siap puji-puji kata lebih cun dari rumah Melaka. Chesss...(Haha...tiba2 mood emo semacam). Nyesal pun tak guna, sebab dah selamat beranak dua pon. Tapi, sebabkan itu butik yang berada di Bertam Hulu now diblack list kepada seluruh kaum kerabat.

Back to the perenggan pertama, saya sebagai wedding planner-lantik-diri sendiri suggest adik gi butik andaman Andak Event di Plaza Mahkota, Banda Hilir sebab saya pernah berkunjung ke sana dan tengok koleksi baju dan pelamin sangat kreatif. Siap free spa lagi bagi bakal mempelai.

Lagi ada Mentari Kreatif berdekatan Melaka Sentral dan Gee Cantik now di Masjid Tanah untuk makeup gaya cam artis. Diorang pun ada pakej lengkap perkahwinan.

Hope adik dapat pakej yang diidamkan. Dengarnya tema biru-pink jadi pilihan.
Cantiklah kek cawan yang saya google ni.
Tak sabarnya nak tunggu adik naik pelamin.

09 July 2011

Waktu Berhibernasi Tamat

Salam kepada anda yang masih sudi jengah blog ini.

Selepas balik dari kampung hampir sebulan lepas, barulah malam ni saya tergerak hati nak mengupdate blog sepi ni. hehe...Minggu pertama sampai Ipoh, sibuk mengemas apa yang patut almaklumlah dekat 3 minggu tinggalkan rumah dan suami.

Minggu kedua, sibuk lagi dengan sesi berguling-guling dan babacak dengan anak-anak dan ntah apa-apa sampai nak layan internet pun tak berselera. haih...

Minggu ketiga, barulah rajin nak tengok blog dan jengah blog dari sini, ke sana, ke sinun. Tu pun tak lama, sebab itu dua hero nak je saya depan mata. Saya selalu lepak bilik atas buka laptop sementara mereka tidur kat tingkat bawah.

Banyak benda yang diplan nak buat di Melaka tak menjadi. Macam-macam hal termasuk anak-anak demam, tolong mak jaga adik berpantang, selain bantu jaga nenek dan atuk yang uzur (mereka tinggal rumah mak),tu belum melayan kerenah budak berdua yang makin membesar tu.

So, plan nak beround mengenang zaman bujang di Banda Hilir, nak jumpa bekas rakan sekerja, nak facial, malahan nak piknik kat pantai depan rumah sendiri pun tak kesampaian. Maklumlah, takkan nak tinggalkan beg tangan kecik tu kat Mak. Paling jauh pun saya tinggalkan diorang sebab nak beli barang kat family store Masjid Tanah, jauh takat 10km je.

Walaupun begitu, jadilah kan. Asalkan dapat balik rumah Mak Ayah, jumpa mereka dan adik beradik, sesedara lepaskan rindu dah lebih cukup. Dapat lak tidur kat bilik sendiri. Wallah...Terapi jiwa yang sangat bagus.

Cukuplah untuk kali ini. Sok-sok rajin acik update lagi. hehe...
Terima kasih baca entry ni.

Wasssalam.