Showing posts with label Khalish 2-5yo. Show all posts
Showing posts with label Khalish 2-5yo. Show all posts

25 June 2013

Apa Eksport Tetap Indonesia ke Malaysia?

Setuju sangat dengan status seorang teman Fb :

Eksport utama tetap Indonesia setiap tahun adalah :

1. PATI
2. Jerebu

Dua-dua bertambah saban tahun tak pernah miss. Lebih menakjubkan tak perlu kos yang banyak untuk dibiaya kerajaan Indonesia sebab :

Pati - datang sendiri masuk laluan tikus, guna uang sendiri.

Jerebu - dikirim melalui angin sahaja. Tak perlu naik Garuda atau Merpati Air. Jimat, cepat sampai dan boleh melewati dua negara sekaligus - Malaysia dan Singapura.

Tahniah kerajaan Indonesia, mentang-mentang tak kena di Jakarta. Sedaplah korang ye. Cer kalau kena, baru tahu bagaimana rasa apa yang kami, rakyat Malaysia lalui. Apa guna ada kuasa tapi tidak mengambil tindakan sewajarnya. Apa guna ada kuasa kalau setakat menyalahkan orang lain. Dan apa guna ada kuasa kalau tak prihatin dengan negara jiran.

Tiap-tiap tahun tu jelah plot ceritanya. Berulang-ulang tanpa sebarang tindakan bijak. Sama juga macam sinetron diorang. Terima kasihlah Indonesia sebab berjaya menghuru-harakan hidup rakyat Malaysia dengan jerebu hinggakan banyak aktiviti harian terjejas. 
Kawasan perumahan saya di Meru Raya ni, makin teruk jerebunya sejak semalam. Kedai depan dah nampak macam diselubungi asap. En Bapak dan Khalish asyik batuk-batuk sejak seminggu lalu. Batuk Khalish bertambah teruk hingga terpaksa menjalani rutin nebulizer empat hari berturut-turut pagi dan malam. 

Syukurlah, Ilhan masih sihat walafiat. Tekak sendiri mula terasa gatal dan perit terutama di malam hari. Mata pun naik pedih. Justeru, bantuan dequadin sangatlah diperlukan. 

Guruh sedang berbunyi di atas langit. Hujan adalah turun dalam beberapa titik besar airnya. Rasa nak menangis pun ada. Ya Allah, turunkanlah hujan selebat-lebatnya di bumi Ipoh ni khususnya dan seluruh Malaysia umumnya bagi mengurang dan memulihkan jerebu yang tidak diundang ini. Amin... 

24 May 2013

Kami Berkongsi Bulan Kelahiran

Assalamualaikum, 

Amboi, lama betul ko bercuti Jah (eh apasal guna Jah teringat lak Ummu Jah yang kena tangkap kat KLIA tu). Sebenarnya (bagi alasan la tu), saya buka blog hari-hari tapi setakat tengok kat new post dan kemudian dok blog walking sana sini sinun.

Sebelum tak perasan masuk bulan Jun, baik saya update mana yang patut. 12 Mei lepas adalah besday Khalish yang ke-4. Kejap je dah besar kamu nak. Dulu masa keluar merengek sayup-sayup je sekarang bak halilintar di tepi telinga kalau menangis. Doa Ibu semoga Khalish menjadi anak yang soleh dan sihat walafiat hendaknya. 
Sambutan hari lahir Khalish telah lama dalam perancangan kami. Cadangnya untuk sambut sekali dengan Mak Sunya (adik bongsu saya) yang jatuh pada 11 Mei. Namun oleh kerana 12 Mei kami akan balik ke rumah mentua, maka kita awalkan sehari ye.
Pada mulanya nak buat kecil-kecilan, setakat minum petang dan jemput saudara mara berhampiran. Ingat nak buat piza, agar-agar dan kek saja. Tup...tup Ayah minta ditukar pada sebelah malam. Menu kemudiannya ditambah dengan soto Mak yang super mabeles dan sedikit buah-buahan.
Alhamdulillah, keluarga Mak Long dan Mak Su sudi datang. Baru meriah. Terima kasih pada mak-mak dara Khalish yang sudi beri hadiah. Dah habis majlis baru perasan yang kami tak ambil gambar ramai-ramai sebab rasa macam sibuk sangat membakar Piza. huhuhu


Bukan setakat tu, Khalish kemudiannya diraikan oleh Ninda dan Atuknya (mentua saya) di Petaling Jaya. Alhamdulillah, rezeki kemudiannya dikongsi bersama kawan-kawan tadika Khalish. Kami bungkus goodies yang berisi cupcake, air kotak dan jeli. (untuk bagi budak-budak lagi hepi, cupcake lelaki dapat watak Ben10 dan ultraman manakala perempuan dapat watak barbie) 
Seminggu kemudian iaitu pada 19 Mei, hari lahir saya pula. Tak de nak makan kek bagai sebab rasa macam dah masuk ke alam tulang akan mula rapuh dan sel-sel awet muda akan mula terhakis. huhuhu...Agak tak tahu juga bila En Bapak bertanya mahu makan di mana. Tahun lepas dah makan kat Sharin Low. Eh, macam dah lama je tak makan kat nasi lemak ayam kampung (eh apehal besday makan nasi lemak). Last-last tekak saya memilih untuk ke Kenny Rogers. Nak panggang ayam bukan reti pun, jadi kita reti makan je lah kat situ. hew...hew..hew. Ilhan yang lebih-lebih makan sebenarnya. 

Syukur, terima kasih Allah atas limpahan nikmat dan kasih sayang-Mu.

04 January 2013

Ragam Tiga Hari Khalish di Tadika

Hari pertama:

Walaupun punyalah payah nak suruh dia bangun pagi, namun ber'gula-gula'kan sekotak susu dutch lady dan coco crunch sebagai sarapan, laju je Khalish ke bilik air untuk mandi. Nak mandi air panas je lak tu. Amboih...

Pergi kami suami isteri hantar. Bagus tak nangis dan ikut je arahan cikgu. Dalam beg yang dibawa ada sekotak bekas pensil bobiboy lengkap dengan sebatang pensil, pemadam dan pembaris. Pengasah pensil dah siap ada sekali kat tepi bekas tu. Ada buku mewarna dan sekeping huggies sebagai bekalan dia yak...yak. hehe. *bilalah dia nak pass buang air besar sendiri kat tandas.

Balik sekolah - saya dan Ilhan mengambilnya. Balik je rumah saya periksa beg dan .....

"eh, mana bekas pensil boboiboy Khalish?"
"alahai..ada kat sekolah lah" - dengan nada selamba 
"kenapa tinggalkan? esok tanya cikgu minta bawa balik ok"
"baiklah...." *cair tau dengar nada dia cakap- ala2 budak sopan gitu...

Hari Kedua:

Pagi macam biasalah drama musical anak beranak.
Pergi sekolah En Bapak dan Ilhan yang hantarkan. 

Balik sekolah - masa nak ambil saya nampak dia pakai baju lain. *baju rasmi tak dapat lagi so bebas pakai baju apa.

Saya: Eh, kenapa pakai baju lain? Baju kotor ye?
Cikgu Maziah: Masa dia ke tandas buang air, bajunya terkena air kencing. Kami pakaikan baju tadika kak.
Saya: Alahai Khalish, kan Ibu dah pesan bila nak shishi angkat baju paras dada. Lain kali ingat ye.
Khalish : Baiklah....

Bekas pensil dah dijumpai, Pensil hilang entah kemana. 

Hari Ketiga:

Mandi pagi dalam keadaan gembira. Lepas mandi dan sarapan susu dan semangkuk honey star, elok je dia masuk kereta. Jap lagi dia menjerit "Ibu...Khalish nak jam". hah sudah mana pulak jam budak ni semalam. Saya letak dalam bakul barang atas tangga tapi bila dicari tak jumpa.

Saya cakap tiada dan suruh En Bapak terus hantar dia ke tadika. Lagi dua minit jam 8. Baik-baik saya nak tutup pagar, kereta En Bapak ada depan rumah minta saya ikut sekali ke tadika. 

Khalish dah teresak-esak sebab tiada jam untuk dipakai. Alahai anak...Sampai je depan tadika, cikgu dah tunggu. En Bapak hantar Khalish sementara saya menanti dalam kereta sebab pakaian adalah sangat tidak sesuai  untuk berjumpa orang ramai. kikiki...

Balik sekolah- saya nampak Khalish pakai seluar lain pulak. Pagi saya pakaikan seluar berwarna hitam-biru. Tengahari dah bertukar warna merah. Hah sudah.

Saya: Cikgu, rasanya pagi tadi saya pakaikan Khalish seluar track blue black, seluar dia mana ye?
Cikgu : Eh, bukan seluar dia ke kak? Budak-budak ni tadi ramai ke tandas. Saya tengok dia paling akhir pegang seluar dan nampak susah nak pakai. Saya ingat seluar dia, terus saya pakaikan saja.
Saya : La...Khalish, ini bukan seluar awak. Ingat tak siapa ambil seluar awak? 
*Khalish menyorok belakang saya dengan muka bersalah*.
Cikgu: Cikgu tak marah Khalish, Khalish ingat tak siapa terambil seluar Khalish? 
*Khalish diam je - confirm dia takkan ingat atau jawab sebab masa balik sekolah semalam bila tanya siapa nama kawan, dengan yakinnya dia cakap Mohd Azli...alahai...tu nama Bapak awaklah!!*

Tak pelah mesti mak budak yang salah ambil seluar Khalish pun akan terkejut beruk sebab seluar anak dia dah jadi warna lain. Mari kita lihat Isnin ni sesi pemulangan seluar anak masing-masing. Phew...macam-macam kerenah anak masuk tadika ye... :)


02 January 2013

Khalish Mula Tadika

Syukur alhamdulillah saya masih bernafas dengan jayanya di tahun 2013, harapan tahun ini menjanjikan lebih pengalaman dan cabaran yang mampu diharungi dengan sebaik mungkin.

Hari ini adalah hari pertama Khalish ke tadika. Sejak tahun lepas asal nampak budak sekolah, bas sekolah mahupun menonton Upin Ipin dalam kelas pasti dia mengatakan mahu ke sekolah juga. Asal lalu tadika kat taman ni, pasti kedengaran di telinga kami suami isteri "Khalish nak sekolah".

Awal pagi lagi seperti dijangka saya akan menghadapi melodrama untuk kejutkan dia dari tidur. Mana taknya biasa dia bangun pagi sekitar jam 8.30-9 pagi. Tup...tup kena paksa-bangun jam 7 pagi sebab waktu masuk jam 8. Mau taknya ada adegan 'bapak-singa-meroyan' pagi hari tempa. 

Mujurlah semuanya dalam jangkaan dan saya hadapinya dengan sesabar mungkin berbanding 'rakan seunit' yang sorang tu. Selepas dipujuk rayu dan digula-gulakan dengan sekotak susu dan coco crunch, Khalish akhirnya berjaya disiapkan itupun lagi lima minit waktu masuk. Phew...

Nasiblah perjalanan ke tadika seminit je dah sampai. hehehe...Mood Khalish total berubah bila sampai tadika. Kedatangannya disambut cikgu dengan senyuman dan terus dibawa mendaftar sementara menanti diberi tag nama.

Tercuit juga melihat ragam kanak-kanak empat tahun yang baru masuk tadika. Ada yang menangis enggan melepaskan kaki ibunya, ada yang teresak-esak bila ditinggalkan malah ada yang keluar masuk mencari ibu bapa yang dah pergi kerja. Saya, En Bapak dan Ilhan yang masyam sebab terus diangkat ketika tidur menanti seketika untuk memastikan Khalish dalam keadaan baik.

Selepas berbual dengan guru tadika sambil mengingatkan beberapa amanat seperti anak saya alah dengan kekacang, dia kidal, kalau nak ke tandas dia sebut shi...shi. *over eh maknya ni. Kami akhirnya melangkah meninggalkan Khalish bersama jagaan pihak tadika.

En Bapak terus ke pejabat sementara saya dan Ilhan tinggal berdua. Ilhan asyik bertanyakan "ana ma...= yang bermaksud mana abang" dan seakan tercari-cari kelibat abangnya di seluruh pelusuk rumah. Hehe...tulah adik kalau abangnya asyik nak mengacau je kerjanya kan dah tercari-cari. 

12.15 tengahari saya berjalan kaki bersama Ilhan untuk mengambil Khalish ditadika. En Bapak hari ni kerja. Sampai saja saya di pintu, Khalish sudah bersedia untuk memakai kasut. Dek nak cepat balik, begnya pun boleh ditinggalkan. Katanya dia penat dan nak tidur. hahaha...

Sewaktu orientasi pada 28/12/12 - masih blur lagi nak buat apa
Buat masa ni baju rasmi dan buku belum dapat lagi. Namun, apa yang pasti Khalish katakan dia seronok ke sekolah dan esok mahu ke sana lagi. Good boy Khalish, macam nilah anak Ibu dan Ayah. 


notajari: Tadika Khalish adalah Tadika Impian IQ Genius di Halaman Meru Impian, Meru Raya, Ipoh. 


13 May 2012

Khalish Is 3

Khalish dilahirkan pada 12 Mei 2009. 
Tempoh tiga tahun berlalu dengan pantas seolah baru seminggu lepas dia menjadi penyeri sulung hidup kami suami isteri.
Walaupun fasa tumbesarannya semakin mencabar jiwa dan raga, saya sedaya upaya menikmatinya dengan penuh tabah dan berbangga.
Saya tak nak satu hari nanti saya menangis sebab tidak melayani kerenah anak dengan sewajarnya.
Atau sebab tak memahaminya dan tidak meluangkan masa dengannya sebaik mungkin. 
Bila makin membesar, dah bersekolah dan mempunyai kawan, saya harap saya masih lagi diberi keutamaan dalam pergaulan anak-anak. Famili yang pertama, bukan kawan-kawan.

 Eh, terlalu banyak berfikir saya ni.
 Walaupun saya dah dah beri ucapan dan kucupan sayang pada pagi hari lahirnya yang lalu, saya tetap nak titipkan pesanan untuk Khalish (*harap bila dia dah besar nanti, dia akan membaca blog saya).

Kek ini Ibu dengan penuh kasih sayang khas untuk Khalish
"Khalish, terima kasih menjadi anak baik Ibu.
Ibu doakan Khalish menjadi anak soleh yang taat perintah Allah dan Ibu Ayah.
Sayang adik (Ilhan) dan adik-adik lain (*mungkin akan menyusul nanti2).
Moga apabila besar kelak akan menjadi manusia berguna dunia wal akhirah.
Selamat Hari Lahir ke-3, manja. Ibu sayang Khalish".