18 March 2013

Tips Untuk Calon PAC 2013

Lepas berjaya melepasi ujian bertulis SPA tempoh hari, saya diminta untuk menghadiri Program Assesement Centre (PAC) di Rumah Seri Kenangan Taiping, Sabtu lepas.

Calon yang sepatutnya hadir sepatutnya kira-kira 130 dan yang hadir hanya 98 orang. Program berlangsung selama sehari dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang. Rata-rata yang hadir kebanyakannya telah bekerjaya samada dengan sektor awam dan swasta. Tapi yang menariknya, dikhabarkan hampir 80 peratus yang menghadiri PAC (khususnya jawatan penolong pegawai pembangunan masyarakat s27) adalah daripada KPSL sejak 2008. Sangat kompetitif.

Apa yang dapat disimpulkan di sini berdasarkan pengalaman saya menghadiri PAC berkenaan adalah:

1. Calon seharusnya lebih tenang dan mengawal perasaan gugup. 
2. Perlu lebih bekerjasama dengan rakan sepasukan supaya tidak dilihat 'gila kuasa' dalam menyampaikan sesuatu idea.
3. Calon perlu melontarkan idea yang bernas dan tidak melalut dengan isi yang tidak berkaitan.
4. Tidak berbangga diri dengan tempoh perkhidmatan 5, 10, 15 atau 20 tahun kepada mereka yang baru bekerja.
5. Muka jangan berlagak dan rasa diri hebat berbanding orang lain.

PAC JKM ini adalah kali pertama diadakan dan bagi saya ia sangat mesra calon dan tidaklah menakutkan seperti yang dibayangkan. Fasilitator dan urusetia sangat membantu dan sesi ini berlangsung dalam suasana latihan dalam kumpulan.

Nanti ada ujian psikologi SPA, jangan lupa bawa pensil 2b jawab. 185 soalan dalam masa 40 minit. Perahlah otak dengan sebaik mungkin kerana soalannya mampu membuatkan gegaran medula oblongata serta DHA dan ganglioksida berhubung dengan cepat. hahaha...lepas tu tensi dengan orang sebelah tanya macamana nak jawab dan asyik pinjam pemadam. Sabar dalam senyuman. *kecik je aku tengok dia ni.

Paling menyentuh hati, ada sesi lawatan bertemu warga emas di mana kebanyakan warga emas yang saya temui adalah bekas anggota polis dan ibu tunggal yang ketiadaan anak. Tidak dapat dibayangkan saya menghabiskan sisa hidup seusia mereka di rumah ini. Sedih, tapi perlu berwatak hati kering di depan mereka.

Ada calon yang mengawal latihan berkumpulan secara total. Ada calon nak cakap, dia potong lepas tu suka-suka hati meminta orang mengeluarkan banyak pendapat sedangkan diri sendiri hanya ada satu isi yang kurang mantap. Alahai...bajet bagus sangat. Stress orang kiri kanan depan belakang tau, ahkak oiii...

Bagaimanapun, sesi petang adalah sangat bagus dengan kumpulan yang lain. Moderatornya adalah calon KPSL yang telah berkhidmat 20 tahun. Sangat berdiplomasi, bijak mengawal sesi dan kelakar. Saya tak terkejut jika beliau lulus PAC ini.

Jika lulus, calon seterusnya akan dipanggil temuduga. Dengarnya hanya kira-kira 80 kekosongan jawatan yang diperlukan. Bayangkan minta beribu-ribu, PAC ini 800, yang lulus kelak 400 untuk ditemuduga, kekosongan 80. Hurm...tawakal pada Allah. Kalau dah rezeki Allah tetapkan, takkan ke mana.


12 March 2013

Trauma Tengok Misi Datang

Saya syak Ilhan sekarang ni dalam mood trauma. 
Trauma sebab kena paksa makan ubat, kena pakai gas, kena cucuk antibiotik dan kena masuk air.
Asal nampak misi baju biru je, dia dah tak senang duduk.

Lepas tu, tetiba ajak keluar jalan-jalan gi cafe ke, lobi ke, tingkat 3 tengok En Bapak ke. 
Paling teruk, ajak keluar gi tempat parkir suruh cari kereta ajak balik.
Aiseh...tensi Ibu kamu ni.....

Mana tak tensi, tengah budak tu syok-syok main ke tidur malam ke , tetiba misi datang bawa ubat, akak kena bagi ubat demam dan kahak ni ye. Lepas tu kena nebulizer. Lepas tu buh antibiotik, lepas tu air. 
Kita orang dewasa ni kalau kena ganggu masa tidur pun rasa macam nak bagi orang tendangan halilintar. Ye tak...

Kalau setakat menangis biasa-biasa tak pe juga, ni meraung macam kena dera, siap tendang sana sini macam nak roboh katil. Lepas tu tangisan boleh dengar sampai wad hujung. Arghh...semua tensi. Nasib lah dah memang kaki raung dan susah makan ubat.

Sampaikan misi semua dah boleh kenal suara Ilhan yang garau-serak. Kalau ada Khalish maunya dicakap apalah adik ni, menangis, memalukan. haha...

Lepas pemeriksaan doktor tadi, katanya dah boleh balik petang ni. Alhamdulillah. Yahuu...
Dah tak larat nak berlama-lama kat wad ni. Rimas tak nampak dunia luar.
Sekarang tengah tunggu feedback insurans je, maunya tiga empat jam lagi kita melangut.
Tak pelah, marilah kita menanti lepas satu hidangan ke satu hidangan disediakan.

Tinggallah En Bapak keseorangan petang ni. Harap-harap dia boleh balik esok.
Indahnya dunia, indahnya.

Sekian, dari saya yang tengah bosan.
di wad pediatrik @ hospital pantai ipoh


11 March 2013

Hospital Adalah Tempat Kita Berkongsi Cerita

Perkara yang dibimbangi akhirnya berlaku juga. En Bapak yang dua tiga hari ini demam dan selsema teruk akhirnya ditahan wad. Mujurlah Khalish dibawa Mak balik ke kampung untuk mengelakkan sebarang jangkitan kembali pada dirinya yang telah ditahan lima hari di wad minggu lepas. 

En Bapak juga sah dijangkiti virus dalam paru-parunya. Ditambah pula dengan masalah sinus yang dihadapi sejak sekian lama, menjadikan keadaan selsemanya bertambah teruk. Sudahnya beliau kini ditempatkan di tingkat atas berbanding tingkat dua yang telah didiami Ilhan sejak 6 hari lalu.

Saya reda dengan dugaan ini memandang ia adalah secebis ujian Allah berbanding kesihatan yang telah kami lalui sepanjang tempoh hidup berdua, bertiga dan berempat. Sebak juga dalam hati melepaskan Khalish mengikut Neneknya balik Melaka sementara waktu hingga kesihatan Ilhan dan Ayahnya kembali pulih seperti sedia kala.

Saya cuma berharap agar Allah memberikan sebaik-baik kesihatan kepada saya supaya tidak dijangkiti selain keperluan untuk menjaga mereka berdua. Khalish perlu beralih angin untuk kembali pulih dan saya yakin Atuk dan Neneknya mampu menjaga Khalish dengan malah lebih baik daripada kami. Cucu sulung la katakan....

Maka, memandangkan sudah berkampung di hospital selama hampir dua minggu, aktiviti sosial saya adalah bergaul dengan ibu-ibu lain yang anaknya menghadapi pelbagai sakit. Bila dah terlalu lama dan berkenal-kenalan macam-macam cerita turut dikongsi. Tak kisah pasal kerja, kehidupan, anak-anak, malah politik pun boleh. hehe...Ini kiranya aktiviti berkongsi informasi secara sihat.

Kadangkala seronok juga bercampur dengan ibu-ibu pelbagai kaum dan peringkat umur, banyak informasi bertambah dan rasa macam dah kenal lama pun ada dengan orang sebelah dan depan katil. Masa bawa Khalish rawatan susulan tempoh hari di klinik pakar, ada seorang wanita Cina yang sedang hamil membawa anak buahnya yang baru lahir akibat jangkitan kuning.

Bercerita punya cerita, dia bertanyakan pada saya mengenai kepentingan susu ibu kepada bayi. Kasihan juga sebab rasa dia macam kekurangan maklumat mengenainya. Tambahnya lagi, kebanyakan ibu muda kaum Cina suka mengambil jalan mudah dengan memberi bayi mereka susu formula. Saya berkongsi segala pengetahuan mengenai penyusuan susu ibu dan pengalaman menyusukan Ilhan hingga kini. Sebagai panduan saya juga meminta dia mencari dalam internet khususnya blog pemilik Lunatots dan Sarakids yang juga pakar laktasi yang bertauliah.

Saya juga berkongsi cerita dengan dua tiga orang ibu muda yang beru mempunyai anak sulung. Ada juga tips yang mereka minta dan sekiranya ada, saya turut kongsikan bersama mereka. Staf di hospital sangat membantu menjaga Ilhan. Walaupun kebanyakan masa mood Ilhan adalah kurang baik, namun mereka tetap dengan perwatakan berlemah lembut. Syabas staf Hospital Pantai terutama wad kanak-kanak. 

Dalam proses penyembuhan, doktor berpesan supaya mengurangkan pemberian makanan berminyak kepada anak, mengelakkan membawa anak di tempat sesak selain memastikan keadaaan persekitaran bersih. 

Baiklah, minum petang sudah tiba. Pesakit sedang tidur, biarlah Maknya saja yang makan. hehe...



10 March 2013

Dugaan Itu Benar-benar Menduga!

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya ruang mengupdate berita terkini kami sekeluarga terus dari wad 27A. Rasanya tiga minggu kebelakangan ini adalah ujian paling menduga untuk dilalui.

Bermula 22 Februari lepas, En Bapak dimasukkan ke wad untuk diberi suntikan pelincir untuk buku lali, lima hari lepas tu, Khalish pula ditahan wad kerana demamnya kembali melebihi 38 celsius ekoran kahak dan lendir sudah berkumpul di paru-parunya dan menyebabkan jangkitan kuman turut berlaku.



Doktor turut memberitahu berdasarkan ujian darah merahnya juga turut dijangkiti kuman manakala sel darah putih dikesan melebihi aras darah merah. Mungkin disebabkan kuman dan makanan yang tidak teratur ekoran ketiadaan selera makan serta tonsil yang makin membengkak akibat batuk.

Akibatnya, dia ditahan selama lima hari di hospital dan kini semakin beransur pulih. Seminggu lepas tu, giliran Ilhan pula dimasukkan ke wad. Sebelum ini, doktor ada mengingatkan bahawa infection berkenaan boleh berjangkit dari individu kepada individu lain tidak kira kecil atau dewasa. 
Cuma kali ini, suhu badan Ilhan turun naik, pagi kalau elok petang sekejap je dah naik 39 hingga 40 celcius. Hampir lima botol air turut dimasukkan. Sudahlah budak kecik ni susah nak telan ubat, ibarat macam kita nak bagi racun gamaknya.

Ilhan juga dikesan mempunyai gumpalan kahak di salur penafasannya. Selain itu, tindak balas menggunakan nebulizer juga membuatkan selsemanya yang selama ini tidak kelihatan akhirnya keluar tanpa henti.

Hari ni genap lima hari, doktor juga belum memberi kepastian samada dibenarkan pulang atau tidak ekoran suhu badannya yang tidak stabil. Doktor asyik tersenyum bila saya membangkitkan soal bila boleh balik. Kami betul-betul rindukan rumah dan masakan sendiri. hehe...

Hati bertambah gundah bila Khalish pula meragam tidak tentu pasal sejak dibenarkan keluar hospital. Ada sahaja tidak kena, sekejap-sekejap ok, lepas tu menangis hampir apa jua yang berlaku di depan mata tidak kena gaya.

Semalam pula, En Bapak disahkan demam, batuk, selsema. Seperti dijangka, infection daripada Khalish dan Ilhan. Doktor memberikan perskipsi dan memberi tempoh hingga esok, jika tidak menampakkan kesan, beliau juga akan ditahan wad.

Ada satu tahap, sebagai manusia biasa terasa diri tidak berdaya, telefon Ayah konon bertanya khabar, namun kelainan suara dapat dikesan dan meminta saya bercerita apa yang terjadi. Naluri seorang Ayah dan Mak benar-benar mengharukan, Ayah mengizinkan Mak untuk datang 'membantu' saya di Ipoh dengan kebaikan hati adik, Hakimah dan suaminya mengambil Mak di Melaka langsung ke Ipoh.

Kalau En Bapak sihat dan Khalish tidak meragam, mungkin saya dapat bertahan. Namun, bila keadaan seakan 'huru-hara' saya benar-benar memerlukan bantuan 'kecemasan'.

Mak dan adik sampai malam tadi. Mengikut pemerhatian Mak, Khalish mungkin 'diganggu' mengakibatkan dia berperilaku sedemikian, tidak tahu lagi samada Mak akan membawanya pulang ke kampung atau kami akan mencari ikhtiar lain di sini.

Saya cuma berharap Ilhan akan segera dibenarkan keluar, dan mempunyai cukup masa untuk persediaan PAC Sabtu depan. Rasa benar-benar tidak terurusnya kehidupan sekarang. Dengan adik, Khalish dan En Bapak.

Moga Allah memudahkan semua urusan dan selamatkan kami daripada kepayahan dan keluh kesah. Saya yakin Allah memberikan dugaan ini bukan untuk menjadikan kami lemah, malah supaya kami mengambil pengajaran atas apa berlaku juga sebagai satu petunjuk agar lebih dekat pada-Nya.  


notajari: Ketika hati resah gelisah, dakapan seorang Mak mampu melarutkan segala keresahan walaupun seketika. Terima kasih Mak juga Ayah atas segala keprihatinan.