08 January 2013

Modus Operandi Penjual Kepala Gas

Baru-baru ni ada seorang wanita beruniform hijau kuning terpacak depan pagar sambil memberitahu dia datang untuk memeriksa salur gas rumah. Bila ditanya, katanya dari UGS. Bila saya tanyakan mereka berkaitan dengan GAS Malaysia atau tidak. Wanita itu menjawab syarikat mereka lebih dari itu. International katanya. International. .

Sumpah, kalau En Bapak tiada di rumah pasti saya tidak akan mengizinkan wanita itu masuk. Meskipun En Bapak 'membuat muka' dan awal-awal memberitahu saya wanita itu pasti akan menjual 'sesuatu'. Saya memujuk En Bapak untuk membenarkan wanita itu masuk dek kasihankan kesungguhan dia menunggu hampir 10 minit di depan pagar.

Tanpa berlengah, wanita yang rasanya lebih muda daripada saya terus ditunjuk bahagian dapur dan memeriksa salur dan kepala gas. Dia  menunjukkan ekspresi terkejut dan bertanya kepada saya sudah berapa lama menggunakan kepala gas jenis berputar berkenaan. Saya katakan hampir setahun telah saya gunakan berbanding kepala gas biasa. Katanya, kepala gas itu (tertulis high pressure 6kg), adalah sangat berbahaya kerana khusus untuk memasak di luar rumah atau lebih tepat lagi adalah untuk jenis gas bertekanan tinggi seperti mereka yang mengusahakan katering.

Ok, sebelum tu saya gunakan kepala gas biasa yang tertulis 2kg. Tapi, bila tukar gas baru je mesti kepala gas tu longgar dan menyebabkan bunyi gas keluar. Jadi, bila saya tukar yang jenis high pressure tu, idoklah pulak bunyi gas. Baiklah saya dah rasa seriau sikit.

Nak bagi saya lebih seriau, dia menunjukkan betapa tak selamatnya kepala gas itu dengan menyalakan api ke arah kepala gas yang dah dibuka daripada gas. Kalau ikut logik haruslah ada api besar yang keluar ekoran masih ada sisa gas di situ. Baiklah, saya pura-pura takut.

Lepas tu, punyalah panjang lebar lagi ceramah tentang keburukan kepala gas yang saya guna hingga dia mengeluarkan kepala gas UGS yang khusus untuk gas 1kg, kononnya dari Itali tak silap. Siap demo macam tadi dan tiada sebarang nyalaan api yang keluar. Rasa macam nak terpengaruh pun ada sebab antara kelebihan kepala gas ni katanya, apabila ada kebocoran gas, automatik saluran gas akan ditutup.

Tambahan pula, kepala gas tu siap ada meter mengukur isipadu gas yang tinggal. Kan bagus kita boleh jangka gas akan bertahan berapa hari, takdelah kes tengah masak kemudian gas habis. Grr....sakit hatikan.

Dipendekkan cerita (dah dekat 2 jam menadah telinga), saya terus tanyakan harga gas regulator yang dijual. Baik, harganya seingat diberitahu saya adalah RM380++, konon ada diskaun RM260++. Mak aih, mahal gupanye ye.

Yang tak bestnya tu, bila saya minta kad nama syarikat dan memberitahu akan menghubungi mereka jika saya berminat, wanita tu seakan memujuk dalam memaksa supaya saya membeli. Aduhai, kelemahan saya memang tak pandai nak menghalau orang ke memotong cakap ke apa. Memakan masa.

Dekat jam 12 juga akhirnya wanita itu beralah dan banyak kali mengatakan saya mungkin akan terlepas peluang mendapatkan diskaun yang mereka tawarkan. Tak pelah ye, saya berminat tapi bila memikirkan harganya...saya fikirkan lagi ye. hehe...

Lepas tu, saya google mengenai company tu di sini. Rupanya banyak juga kritikan mengenai pendekatan promosi dan jualan dari rumah ke rumah yang dilakukan. Terpulang nak membeli atau tidak. Barang kalau berkualiti orang akan cari juga akhirnya. 

Saya memang berminat dan akan cari juga regulator tu kelak. Jangan tanya bila. Maklumlah kan, kita orang dapur ni kena pastikan keselamatan diri juga, bila jadi apa-apa nanti dah la takde socso nak cover. Pandai-pandailah letak alat pemadam api berhampiran. Selisih malaikat 44. 

Tapi...tapi, dalam pencarian saya terjumpa satu blog ni berkongsi mengenai cara mengendalikan gas di rumah. Silalah baca di sini. Gas regulator tuan punya blog berkenaan buatan German. Kurang dari RM100. Haih...kena cari cepat ni En Bapak. :)
Moral cerita:

1. Jangan benarkan individu asing masuk rumah tanpa hal yang penting.
2. Nak menjual, cakap nak menjual jangan guna taktik periksa itulah inilah. 
3. Kalau tak nak buang masa mendengar demo diorang ni, jangan buka pintu atau layan berbual.


Sekian, salam khidmat gas dari saya. oppps...

No comments:

Post a Comment