04 January 2015

3 Hari 2 Malam : Kampung Budaya Sarawak yang Ohsem

Destinasi : Kuching - Santubong - Kuching

Hari Kedua (Kampung Budaya Sarawak - SCV)

Kami bersiap-siap di awal pagi. Wah...macam tak biasa pula 6.30 pagi dah cerah macam jam 8 pagi. Kami bersarapan di hotel memandangkan sarapan pagi turut disediakan.
Destinasi pilihan kami adalah Kampung Budaya Sarawak (SCV) yang terletak di kaki Gunung Santubong. Memandangkan Sarawak adalah negeri yang terbesar di Malaysia, agak mustahil nak jelajah keseluruhan ceruk isinya dalam masa singkat.

Maka, cara yang terbaik adalah mengunjungi SCV untuk mendekati tradisi pelbagai budaya masyarakat etnik utama di Sarawak dalam masa setengah hari sahaja. SCV boleh diibaratkan sebagai muzium 'hidup' yang memaparkan cara hidup, rumah etnik, ritual, tarian, pakaian, kraftangan, makanan dan sebagainya. 

Perjalanan ke sana mengambil masa 40 minit dari bandaraya Kuching. Agak awal kami pagi itu memandangkan kaunter tiket masih belum dibuka dan agen di Damai Beach Resort pun tak sampai lagi. 




 Kami menghabiskan masa kira-kira setengah jam di Pantai Damai yang letaknya berhadapan dengan SCV. Serius cantik. Sesuai dengan namanya...

Lepas membeli tiket (ruginya Ayah lupa nak gunakan kelebihan sebagai warga emas untuk penjimatan tiket masuk) bermulalah perjalanan kami mengelilingi kampung budaya. 

Yang menariknya, setiap pelawat diberikan sebuah buku pasport sebagai kenangan di mana setiap rumah (ada 7 kesemuanya) yang dilawati kita boleh mendapatkan cop di dalamnya. Di dalam pasport itu juga mengandungi maklumat mengenai rumah dan etnik terbabit.

Rumah pertama yang dijejaki adalah rumah Baruk. Baruk adalah ketua bagi kaum Bidayuh. Rumah ini dkatakan adalah tempat berkumpul dan tempat letaknya kepala-kepala musuh yang dipenggal. Tengkorak kemudiannya diletakkan di atas para dan di asapkan. Horror betul wak...

Tidak jauh dari situ letaknya rumah masyarakat kaum Bidayuh. Rumah ini agak besar dan berbentuk bulatan. Kesemuanya diperbuat daripada buluh dan memang agak berhati-hati untuk jalan di atasnya memandangkan ada di antara buluh berkenaan yang hampir mereput. 


Rumah lain yang ada adalah rumah Iban, pondok Penan, Orang Ulu, Melanau Melayu dan Cina. 
Kebetulan hari yang kami datang merupakan hari terakhir berlangsungnya Pertandingan Antarabangsa Eksesais Respons Insiden Besar (iMIREX) di SCV. 

Sebanyak 31 pasukan terdiri daripada 15 negara, sembilan pasukan antarabangsa dan tujuh daripada jabatan agensi penyelamat yang mengambil bahagian pada edisi kali ini. Jadi keadaan sedikit 'huru hara', kerana di mana-mana ada pemandangan sesi menyelamatkan orang pengsan, tercedera dengan teriakan dan larian mengusung 'mangsa'. 

Kelakar juga bila Khalish dan Ilhan terkejut melihat keadaan itu dan bertanya kenapa ramai sangat orang sakit di sini? hihi..Peserta sangat sporting bila Ayah saya melaungkan semangat...semangat...dan mereka menyahutnya kembali. 
Paling lama, saya dan En Bapak 'melepak' di rumah Melanau. Ayah, Mak, Khalish dan Ilhan tak larat nak mendaki tangga rumah hanya berehat sebentar di gerai menjual air berhampiran. 

Lepas melihat isi rumah Melanau, kami kemudiannya ke sebuah pondok di bahagian belakang di mana letaknya penghasilan sagu dilakukan. Ketika itu ada seorang wanita sedang memasak sesuatu dan kami bertanyakan apakah yang dimasaknya. Rupanya ia adalah lempeng sagu yang selama ini diajar oleh nenek. 

Entry mengenainya boleh lihat di blog masakan saya di sini

Akhirnya, misteri terjawab apabila sejak sekian lama resepi ini berasal dari mana apabila nenek hanya memberitahu yang ia diajar oleh arwah atuk. Saya menggagak mungkin atuk mempelajarinya ketika ditugaskan berkhidmat di Sarawak ketika bersama tentera puluhan tahun dulu. 

Kami sempat membeli sebungkus tepung linut serta sagu bakar yang sangat sedap dikudap-kudap.

Selain itu, kami sempat singgah di rumah ladang masyarakat Cina. Malangnya tak sempat pula merasa kuih yang sedang dibuat oleh kakak berkenaan memandangkan kami mengejar masa untuk menyaksikan persembahan seni yang diadakan kira-kira jam 11.30 pagi. 

Kami kemudiannya ke dewan mini teater untuk menyaksikan pelbagai persembahan tarian antaranya Ngajat Lesong dan Ngajat Pahlawan (Iban), Tolak Bala dan Langgi Julang (Bidayuh), Kanjet Ngeleput (Orang Ulu), Menyak dan Alu-Alu (Melanau), Senandong Sarawak, Tarian Royong dan Serampang Baru 
(Melayu), dan tarian singa (Cina). 

Persembahan 45 minit yang sarat dengan perasaan mengujakan diakhiri apabila sebahagian penonton dijemput ke pentas menari bersama-sama penari budaya. Rupanya-rupanya sebahagian mereka telah kami jumpa di rumah etnik sebelumnya dengan pakaian persembahan mereka. hihihi...

Selesai persembahan kami kemudiannya ke restoran SCV untuk menikmati hidangan tradisi Sarawak seperti manuk pansuh, umai, asam pedas Sarawak, gulai rebung dan sayur midin. Kesemuanya ditempah sebelum persembahan dan satu set makanan beserta air, nasi dan buah-buahan hanya rm25. Kami tempah 3 
set dan mengajak pemandu pelancong makan bersama. Alhamdulillah...

Kami meneruskan perjalanan ke masjid negeri aka Masjid Jamek untuk solat jama'. 


Bersambung