26 February 2013

Penggemar Udang Lipan Harus Ke Sini

Walaupun saya dibesarkan dengan kehidupan sebagai budak kampung yang tinggal berhampiran pesisir pantai, usahkan makan, dengar nama udang lipan pun tak pernah. hehe...Kalau setakat udang galah, udang kertas, udang geragau tu biasalah...

Sejak berkongsi hidup dengan En Bapak barulah saya diperkenalkan dengan udang ni. Dengar pun cuak juga sebenarnya. Sebab saya memang fobia dengan makhluk l.i.p.a.n ni. Saya pernah ceritakan di sini.

Sukar juga nak dapatkan udang ni sebenarnya. Masa En Bapak belum patah buku lali, beliau selalu mendapat tugas ke pasar membeli barangan basah. Kalau di Pasar Besar Ipoh, udang ni hanya dijual di gerai yang menjual ikan dan makanan laut sepinggan RM2. Dapatlah udang tu dalam 8 ke 10 ikut dengan saiznya bercampur kecil dan sederhana besar.

Masa mula-mula beli dulu, siap En Bapak telefon saya supaya mengubah menu yang telah dipersetujui bersama agar diganti dengan satu menu baru iaitu mi udang lipan. Saya setuju saja sebab dah namanya suamikan, jangan derhaka kang tak cium bau syurga. hehehe...

Semasa sesi membersihkan udang berkenaan, saya memang dah geli geleman sebab rupa udang tu betul-betul macam lipan. Malah, kerap kali juga tangan terluka akibat tercucuk kulit, kepala dan ekornya yang keras. Isinya ciput betul sampaikan rasa macam tak berbaloi je nak masak udang ni.

Tapi, bila masak udang ni, fuhh...kalah udang biasa rasa manis kuahnya. Stok udang lipan memang terbaik. Tak caya, leh cuba sendiri. Boleh tengok resepi di sini.

Jadi, bila ke Pantai Remis baru-baru ini, En Bapak berhajat menikmati menu berasaskan udang lipan dengan sepuasnya. Kami ke Razak Restoran Rasaria (3R) di Kampung Ujung Pasir, Pantai Remis. Petunjuknya adalah berhampiran Arena Square Pengkalan Baharu.

Kami adalah pelanggan pertama yang tiba. Senarai menu yang kami baca semuanya berkaitan udang lipan. Akhirnya saya memilih nasi goreng udang lipan, En Bapak sudah pasti memilih mi udang lipan manakala menu tambahan adalah udang lipan platter yang dihidangkan bersama coleslow dan kentang goreng. 
Bagi saya platter yang dihidangkan memang puas. Udang lipan yang siap dikopek kulit dan digoreng tepung menjadikan rasanya seakan ayam goreng kfc hinggakan Khalish yang bukan peminat udang berulang kali memakannya. Saya siap-siap pesan dengan En Bapak, jangan sebut itu adalah udang, silap haribulan Khalish tak lalu menjamahnya.
Nasi goreng yang dipesan rasanya biasa-biasa saja, kurang garam dan pedas. Saya ni harap je orang Melaka, memang tak kuat makan pedas sebab dulu ada masalah tonsil dan sejak itu tak berani nak makan pedas sangat. Lagipun, pesanan makanan biasanya saya berkongsi dengan anak-anak, dan nasi goreng ini juga tidak habis dijamah. Bagaimanapun, lauk iringannya iaitu udang goreng kunyit yang disertakan halia, bawang putih, cili dan daun kari sedap.
Mi Udang En Bapak pula, udang tu memanglah banyak. Sudah siap dikopek kulit mungkin untuk memudahkan pelanggan menikmati isi udang namun sayangnya dari segi rasa kemanisan stok udangnya sudah tiada. 

Bagaimanapun, keseluruhannya restoran ini adalah destinasi tepat untuk penggemar udang lipan serta makanan laut lain memandangkan lokasinya berhampiran Pantai Remis. Selain itu, restoran ini turut menjual isi udang lipan yang siap diproses.




24 February 2013

Jururawat Tak Bertauliah Pilihan

Seminggu kebelakangan ini saya sibuk menjaga Khalish dan Ilhan. Sekejap-sekejap batuk, selsema, demam hinggakan malam tak tidur lena risaukan panas yang tak kebah-kebah.

Terutama Khalish yang payah betul nak makan ubat. Asal batuk, muntah. Asal muntah badan panas balik. Sudahnya, tak guna juga pergi klinik kalau ubat yang ditelan tak sampai seminit dimuntahkan kembali.

Jadi mahu atau tidak, saya hanya memandikannya, mengelap badan serta kepalanya dengan tuala yang dibasahkan setiap 30 minit ke sejam sekali untuk hilangkan kepanasan. Kalau suhu termometer mencecah 38 celsius, saya jaram pula dengan air asam jawa pekat pada badan dan kepala Khalish.

Berbanding Ilhan, kalau dijangkiti selsema suhu badannya akan naik mendadak. Mujurlah Ilhan masih lagi menyusu badan dan senang diberi vitamin seperti spirulina dan pil kolestrum untuk dimakan. Khalish? Hurm...dia lebih sukakan appeton.

Saya bimbang betul kalau Khalish dan Ilhan demam. Sebab kalau demam minum pun tak nak, makan pun tak nak, mandi pun tak nak, pendek kata semuanya tak nak kecuali nak tidur sahaja. Sebagai mak, kesian juga lihat keadaan mereka dan kalau boleh biarlah sakit tu berpindah pada diri sendiri.

Jumaat lepas pula, En Bapak pula yang jadi pesakit. Risau juga hati apabila dikhabarkan beliau perlu kembali ke wad untuk disuntik dos cecair menyerupai tulang rawan yang bertindak sebagai pelincir antara buku lali dan tapak kaki.
Ayah dan anak yang sama-sama digelar pesakit
Khalish yang masih demam terpaksa ponteng tadika dan di'heret' sama ke hospital untuk menghantar En Bapak dimasukkan ke wad. Kasihan pula dia terpaksa menumpang tidur di katil ayahnya hinggakan jururawat tersalah anggap dia adalah pesakit yang di situ, bukannya En Bapak. hehe...

Sebelah malamnya, kami tiga beranak tidur di rumah sementara En Bapak menginap percuma di hospital. Mujurlah Khalish mahu makan ubat dan tidur lena sebelah malam walaupun dua tiga kali batuk dan muntah kahak.

Esoknya, demam Khalish sudah kebah dan kami bertiga ke hospital mengambil En Bapak pulang. Datangnya jam 10.30 pagi tapi daftar keluar hampir jam 4 petang kerana kelewatan yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

Bila dilihat bil yang diterima, RM10 ribu ++. Prosedur suntikan cecair je lapan 8 ribu. Nasib baik En Bapak dilindungi insuran. Kalau tak....hurmm...*gigit jari. Syukurlah, En Bapak cakap kakinya rasa lebih baik berbanding sebelum disuntik. Lepas ni, melangkah tu jaga-jaga. Jalan tengok atas bawah ye.


19 February 2013

Iktibar Kisah Amah Gila Lempar Bayi, Bersyukur Diri Seorang Suri rumah

Hari ini, amah indon yang gila melempar bayi di Kuantan telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun. Balasan setimpal yang patut diterima memperlakukan seorang bayi manusia bukannya anak kucing atau anak patung.

Sepanjang melihat rakaman cctv kelakuan kurang siuman amah berkenaan, saya kerap menjerit terkejut dan beristigfar apabila aksi melempar dilakukan. Jantung saya berderas laju seakan mahu menerjah masuk dalam situasi bayi malang itu untuk membantu melindunginya. 

Sakitnya bila dihempas dan dibanting-banting begitu. 4 bulankan, apalah yang mampu dibuat. Hanya menangis mengharapkan belas ihsan dan bantuan. Sukar mengenangkan perasaan kedua ibu bapa bayi berkenaan ketika menyaksikan belang sebenar amah yang baru sehari menjalankan tugas mengasuh itu. Memang tak berperikemanusiaan.

Seketika, saya kembali kepada diri sendiri. Bermuhasabah dan bersyukur dengan keputusan untuk tidak bekerja demi menumpukan perhatian kepada rumah tangga dan anak-anak walaupun ada ketikanya saya rindukan saat bergelar wanita bekerjaya.

Namun, apabila saban tahun dikejutkan dengan berita penderaan anak-anak yang dilakukan si pembantu rumah atau pengasuh, saya sedar betapa bertuahnya saya dapat melindungi Khalish dan Ilhan daripada kejadian tidak diingini itu.

Saya tidak dapat bayangkan saya berada dalam situasi ibu bapa bayi berkenaan. Mungkin sebelum amah itu ditahan polis saya akan membelasah secukupnya, nak jadi apa pun jadilah. (bertarung nyawa aku nak bersalin, potong sana sini, sesedap rasa je ko lempar anak aku ye, rasakan) *ini betul-betul marah dan sakit hati.

Saya faham dengan situasi wanita yang bekerjaya, yang terpaksa menggunakan khidmat pembantu rumah untuk membantu mereka menjaga rumah dan anak-anak. Terpaksa menyerah nasib kepada orang yang baru dikenali malah terpaksa memberi kepercayaan dengan harapan anak-anak dilayan dengan baik. Tapi, bagi sangat sukar sebenarnya kita mahu menilai samada orang yang digajikan itu samada ikhlas bekerja ataupun fikirkan imbuhan diterima semata-mata.

Pernah satu ketika berita mengenai kanak-kanak didera pengasuh mengganggu mood saya. Hinggakan terbawa-bawa membayangkan bagaimana perasaan diri sendiri apabila melihat anak waktu pagi dengan sihat dan apabila balik anak terbujur kaku akibat kecuaian pengasuh. Nauzubillah. Simpang Malaikat 44.

Mungkin ada benarnya kata saudara saya yang anaknya pernah menggaji amah juga dari Indon, kata beliau, dapat amah ni nasib-nasib. Nasib baik dapatlah yang ikhlas bekerja dan pandai bawa diri. Nasib tak baik, dapatlah yang buruk perangai dan mementingkan diri.

Amah pertama yang mereka dapat sangat rajin dan pandai menjaga cucu-cucunya. Selama lima tahun bekerja tidak pernah membuat masalah hinggakan mereka mengganggapnya seperti keluarga sendiri.

Sayangnya, masuk tahun keenam, amah berkenaan terpaksa pulang ke kampung berikutan ibunya sakit dan terpaksa berhenti kerja. Dapat pula amah kedua, lebih muda daripada amah pertama. Amah ni, kerja semua bagus, cuma tang makan kalau maknya penuhkan peti ais dengan bermacam makanan seperti aiskrim, buah-buahan, vitagen dan sebagainya untuk kudapan anak, dia pula yang melebih-lebih makan.

Anak-anak bila ditanya, ada juga ketikanya tidak merasa. Kadangkala, anak-anak makan dihidang lauk yang biasa-biasa saja, si amah makanannya bermewah-mewah. Memang memeningkan betul perangai amah ni. Macam-macam peel. 

Berbalik kepada cerita amah gila tadi, saya cuma berharap bayi berkenaan tidak mengalami sebarang komplikasi teruk yang akan mengganggu tumbesarannya. Itu nasib baik dapat dikesan lebih awal kerana adanya cctv di rumah. Yang tak de cctv tu bagaimanalah nasibnya anak-anak kecil ini. 

Rupa amah tu nampak macam baik je. Tapi, tulah kadangkala orang yang kita nampak baik luarannya, belum tentu baik dalamannya. Oh amah, bertaubatlah kamu dalam penjara 20 tahun, macam rasa membazir duit kerajaan kena tanggung seorang lagi pesalah makan percuma.


notajari: semuanya bergantung kepada nasib, bukan setakat amah, kadang kala layanan bidan dan juru rawat pun nasib-nasib. dapat yang bagus, bersyukurlah walaupun hanya duduk hospital kerajaan kelas tiga. ada tu, staf hospital bila bersalin pun dapat layanan buruk daripada staf sendiri. Inilah kehidupan...

18 February 2013

Makan Nasi Arab Dalam Talam di Azzahra, Meru Raya

Nasi Arab lagi. Kalau kebetulan anda pelawat baru yang berkunjung ke blog ini untuk pengetahuan anda, saya dan anak-anak peminat masakan timur tengah. Sila lawat di sini dan di sini, restoran yang kami pernah kunjungi di Ipoh. Suami saya aka En Bapak, peminat yang biasa-biasa sahaja. Asalkan sedap di tekak beliau, beliau layankan saja.

Sebelum ni, En Bapak dan rakan sekerjanya telah sampai di restoran ini terlebih dahulu. Bila diberitahu nasi arabnya berharga bawah RM10 dan tukang masaknya adalah orang Melayu, saya hanya dengarkan sahaja. Belum sampai seru buat kata orang. hehe...(saya suka rasa asli sesuatu makanan tanpa perlu diubahsuai mengikut citarasa orang kita).

Lantas, bilamana diberi peluang 'direhatkan' daripada memasak pada waktu tengahari baru-baru ini, saya mencadangkan kami ke restoran berkenaan. Satu, sebab dekat sangat dengan rumah lima minit dah sampai. Dua, saya nak juga merasa keenakkan nasi arab yang dikatakan paling murah dalam negara. 
 
Sekilas pandang, restoran ini sama seperti restoran masakan Melayu lain. Dekorasi yang ringkas selain turut disediakan ruang makan samada duduk di kerusi ataupun makan bersila.

Menunya pula, terdiri daripada nasi arab untuk digandingkan bersama ayam, daging, kambing, udang atau ikan yang dimasak cara Kabsah, Mandy atau Kalili. Harganya pula antara RM8-RM11. Menariknya, nasi ini turut dihidangkan bersama sup, kari, sos, coeslow, salad dan air asam. Benar-benar memberi kepelbagaian kepada deria rasa!

Bukan itu saja, saya turut rambang mata dengan menu lain seperti syawarma, kufta, kebab, thowooq, kacang pool, hummus malahan turkish spaghetti juga turut ditawarkan. Penuh dengan citarasa timur tengah.

 Akhirnya kami memilih nasi mandy ayam dan kabsa kambing. Apabila makanan tiba, saya sedikit teruja apabila makanan dihidangkan di dalam talam. Sesekali makan dalam talam ni seronok juga, lebih mengeratkan ikatan kekeluargaan katakan.

Pendapat saya, nasi yang disediakan rasanya hampir sama dengan nasi minyak orang kahwin atau mungkin hampir ke nasi beriani. Namun, bila digabungkan bersama kambing yang diperap bersama pesto ketumbar / selasih membangkitkan selera kami. Berbanding ayam, kambing memberi rasa perapan yang sangat menyerlah.

Khalish dan Ilhan walaupun kurang sihat akibat selsema, tidak lepaskan peluang menikmati hidangan ini. Sederhana tapi tidak kurang sedapnya. Saiz hidangannya pula sangat mengenyangkan. Benarlah, tak pernah dapat harganya ditawarkan di tempat lain.
Sebelum pulang, sementara menanti syawarma kambing dan ayam untuk dibawa pulang, kami sempat berbual dengan pemilik restoran yang juga seorang pengetua sebuah maahad tahfiz di sini. Cerita beliau, anak-anaknya yang pernah belajar di Sudan, Syria dan Yemen adalah tunggak utama menyediakan makanan di restoran berkenaan. Tidak hairanlah pelbagai masakan timur tengah ditawarkan di dalam menu.

Tambah beliau lagi, mereka turut menyediakan perkhidmatan katering untuk sebarang acara selain pakej makan berkumpulan pada harga yang amat berpatutan. Selepas membayar harga makanan - 2 hidangan nasi arab, 2 jus dan 2 syawarma yang harganya kurang daripada RM40, kami pun terus pulang.
Restoran Nasi Arab Azzahra berada di no 13, Medan Meru Raya, Jalan Medan Meru Raya, Bandar Meru Raya, 30020 Ipoh, Perak. Senang cerita, dari lampu isyarat Mydin Meru Raya, pergi ke Kompleks KDN. Sebelum bulatan ambil simpang ke kiri, restoran ini terletak di bangunan bertentangan JPAM. 


17 February 2013

Segalanya Bermula 16 Februari...

Semalam adalah hari ulang tahun perkenalan kami suami isteri yang ke-7. Sambutan kecil-kecilan di mana saya sekadar menyediakan kek keju oreo dan piza kegemaran sekeluarga. Ulang tahun memperingati perkenalan sesebuah hubungan antara saat terpenting dalam mengukuhkan hubungan kasih sayang kami, itu pendapat saya.

Mengimbau kembali kenangan lalu, hari itu adalah hari kedua saya menjalani latihan industri di sebuah syarikat akhbar di Bangsar. KL Sentral menjadi saksi pertemuan apabila saya ditugaskan mengikut seorang wartawan senior menjalani tugasan acara KTMB. Awal juga kami sampai dan terlihat seorang lelaki (kata hati saya mungkin dah ada anak ni) sedang meneliti sesuatu di buku catitan beliau.

Bosan menunggu acara yang lambat mula, saya memberanikan diri menegur sambil memperkenalkan diri (budak baru la katakan haruslah beramah tamah). Cerita punya cerita, rupanya kami menyewa di kawasan sama di Wangsa Maju. Lebih tepat sama seksyen namun berlainan blok.

Pertemuan itu kemudiannya tidak terhenti setakat itu, ukhwah yang terbina tanpa disedari membuahkan bibit-bibit percintaan meskipun kami menjalani hubungan jarak jauh (saya bertugas di Melaka manakala En Bapak di Ipoh).

Walaupun beliau bukan orang pertama yang 'mencuri' hati ini, namun kesungguhan, sikap berterus terang dan sisi romantik tidak diduga yang dipamerkan berjaya mencairkan hati saya.

Lebih-lebih lagi ketika diberi 'cabaran' untuk bertemu keluarga saya untuk mendapat restu berjaya dilaksanakan. Kemudian, giliran saya diperkenalkan dengan bakal keluarga En Bapak. Pergh...seram sejuk tu nak jumpa bakal mak mentua padahal selama ni saya selamba je jumpa pelbagai jenis orang untuk ditemuramah.

Ketika sampai, saya perasan bakal mak mentua saya tu sedang sibuk menyiapkan makan tengahari di dapur sambil dibantu oleh adiknya, Mak Anjang. Hati saya dah terdetik, pasti ada sesi 'ujian memasak' yang bakal diadakan. (hehe..terpengaruh cerita kawan-kawan la ni).

Seperti diduga, mama En Bapak meminta saya membantu beliau memasak sayur kubis. Tuhan saja yang tahu betapa gemuruhnya saya apabila ada empat pasang mata termasuk En Bapak 6, memerhatikan saya mengacau sayur. Memang alamatnya serba tak kenalah kan. hahaha..

Syukurlah, walaupun kurang cemerlang dalam sesi berkenaan, tidak mengurangkan markah langsung dalam hubungan kami. Selepas itu, dari merisik hingga saat kami diijabkabulkan, segala-galanya berlalu dengan lancar bagi kami.
Terima kasih Allah kerana mempertemukan saya dengan En Bapak. Banyak yang saya pelajari dan masih lagi mempelajarinya tentang hidup dan berkongsi kehidupan bersama beliau.

Moga jodoh kami berpanjangan hingga akhir hayat. Moga kami diberi kekuatan untuk membina sebuah keluarga yang kukuh akidah, ibadah dan akhlak. Moga hubungan ini terus disuburi dengan kasih sayang dan keberkatan Ilahi.

Selamat Ulang Tahun Perkenalan, Cinta Hati!








15 February 2013

Al-Kisah Hidangan Seorang Isteri (harus baca)

Gambar hiasan : kailan ikan masin
Saya peroleh cerita ini menerusi FB seorang teman. Beliau pun copy paste daripada sumber lain yang turut di copy paste daripada sumber-sumber yang lain. Cerita ini saya kongsikan untuk semua. Untuk En Bapak, mungkin ada perkara yang baik untuk kita renungi bersama daripada kisah ini. Khas untuk hari istimewa esok, 16 Februari. 

Kepada si penulis asal cerita ini, saya mohon copy paste juga ye.

Mak saya suka memasak tapi mak bukan seorang suri rumah, mak seorang engineer. Ada satu malam, mak balik sangat kepenatan tapi masih perlu memasak untuk saya dan abah.

Mak hanya mampu masak ayam kunyit, sayur kailan ikan masin dan nasi. 3 hidangan itu diletakkan di meja makan di mana ayah duduk goyang kaki menunggu makan.

Ayah meminta diri untuk solat Maghrib dulu sebelum makan. Ketika itu saya mencuba hidangan mak. Alamak, ayam kunyit terlalu masin, kailan separuh masak dan nasi hangit.

Namun saya diam.

Selepas Isyak, ayah menjamu makanan masakan mak. Sambil makan, ayah bertanya bagaimana sekolah hari ini.

Saya tidak berapa ingat apa jawapan saya.

Ketika makan, mak mohon maaf pada ayah atas masakannya. Tapi ayah menjawab, “Sangat sedap sayang. Abang suka semua hidangan ini.”

Malam itu, sebelum tidur, saya pergi bersalam dengan ayah yang masih di ruang tamu dan bertanya betul ke ayah suka masakan mak tadi yang saya sendiri terasa susah nak telan.

“Anakku, mak dah penat sepanjang hari kerja. Mak dah penat. Hidangan kurang enak tak melukakan Mie dan ayah tapi kata-kata kasar akan menghiris perasaan,” kata ayah.

Mendengar kata-kata ayah, saya tersentak.

Lalu saya masuk bilik untuk bersalam dengan mak dan bertanya…

“Mak rasa ayah tadi kata suka masakan mak hari ini, mak percaya ke?”

“Anakku. Itu tak penting. Yang penting ayah jaga hati mak dan selepas makan, ayah tolong mak cuci pinggan. Ayah kamu itu orang besar, tapi benda-benda kecil sebegini yang buat mak sentiasa rasa bahagia kerana terasa ayah betul-betul sayang kat mak,” jawab mak.

Itulah perkara yang berlaku ketika kecil dan saya mengingati sehingga hari ini.

Kini saya sudah berkahwin, anak sudah tiga – dan melihat kembali kenangan manis ayah dan emak, saya semakin memahami fikiran mereka pada masa itu.

Mak dan ayah dan tindak-tanduk mereka menunjukkan mereka menerima segala kelemahan antara satu-sama lain dan meraikan perbezaan tersebut supaya hubungan erat dan kukuh sentiasa berkekalan. Mereka meraikan segalanya antara mereka, dan berusaha bersama untuk memastikan pasangan mereka sentiasa gembira dan bahagia.

Hidup ini terlalu singkat untuk sebarang kekesalan. Sayangi mereka yang melayan kita dengan baik dan kasihanlah pada mereka yang tidak.

Sebuah tulisan untuk renungan.

*so sweet* :)

13 February 2013

Padah Mengganggu Penyu Segari

Walaupun tahun ini tahun ular bagi kalender Cina, tapi kali ini kami pergi melawat penyu. hehe... Sempena cuti Tahun Baru Cina ni, En Bapak telah membawa kami anak beranak berjalan sekitar daerah Manjung. Kami bermalam di Lumut, dan keesokkan harinya memulakan jelajah sekitar Segari, Pantai Remis dan Beruas. 

Destinasi lawatan pertama kami adalah ke Pusat Pengurusan Penyu Segari. Pusat ini adalah di antara enam buah Pusat Pengurusan dan Penerangan Penyu di bawah kelolaan Jabatan Perikanan di seluruh negara.
Walaupun Segari di bawah mukim Manjung, saya ingatkan dekat-dekat sahajalah tempatnya daripada Lumut, namun tanggapan saya meleset sekali. Seriau juga mencari tempat ni bila terpaksa meredah hutan kelapa sawit, berjumpa dengan ladang ternakan ayam, jalan sempit dan berlopak hinggakan hampir rasa nak suruh En Bapak patah balik kerana tak jumpa papan tanda sepatutnya.
Luas kawasannya dan kemas sahaja
Hingga ke penghujung jalan kami bertemu Baitul Hilal Segari, dan akhirnya terpandang papan tanda ke pusat berkenaan. Yahuu...teruslah kami ke sana dan memakir kereta di luar pusat berkenaan. Ikut logik, haruslah pusat ini berhampiran pantai. Lebih tepat lagi, betul-betul letaknya bersebelahan pantai. Sayangnya, bahagian hadapan pusat ini ada pulak beberapa keluarga yang berkhemah dan siap sidai tuala mandi kat depan pintu pagar masuk.
Terlebih dahulu kami ke bangunan pusat informasi. Baiklah, ada seekor penyu gergasi menyambut kedatangan kami. Adalah beberapa informasi mengenai spesis penyu, habitat dan dua ekor penyu yang diawetkan. Ada juga mungkin hasil seni yang dibuat menerusi program pemuliharaan penyu.

Kemudian, kami ke lokasi penetasan penyu. Kita tengok dari jauh sahaja ye, kang terkejut lak anak penyu tu. Lepas tu, kami ke tangki asuhan anak-anak penyu. Teruja Khalish dan Ilhan melihat anak-anak penyu yang comel lote tu seakan belajar berenang. Saya lagi teruja sampai rasa nak capai masuk dalam henbeg sebab kiut sangat. Hahaa...
Anak-anak penyu

Penyu yang sudah besar sedikit. Cer teka penyu yang menonggeng tu buat apa??
Ada juga kolam menempatkan tuntung laut yang pemalas
Kemudiannya, kami ke kolam penyu dewasa. Terdapat kira-kira lapan ekor penyu dewasa (kalau tak silap) yang berehat di dalam kolam berkenaan. Ada juga seekor dua berlegar-legar di sekeliling kolam sesekali menjengahkan kepala sambil mengeluarkan bunyi seakan berdengus malah sesekali berbunyi dengkuran orang tidur.
Asal nampak penyu mengeluarkan kepala dari air, En Bapak beria-ria merakamkan aksi penyu berkenaan yang tak sampai dua saat, namun tidak berjaya. Selepas melihat dua tiga kali penyu berkenaan berbunyi tatkala mengeluarkan kepala ke atas air, saya mencuba meniru bunyian itu.
Hasilnya, amat mengejutkan apabila tidak lama kemudiaan seekor penyu mengeluarkan kepala dan membalas bunyian berkenaan. Berulang-ulang kali jugalah lepas seekor-seekor lagi yang keluar menjengah hingga saya berjaya merakam aksi mereka.
Inilah penyu yang marah dengan saya. huhuhu....
Penyudahnya, seekor penyu yang paling besar antara semua menjengah, mengeluarkan bunyi dan terus memercikkan air ke arah saya seolah-olah marah dengan muslihat yang saya lakukan. Apalagi, mencicit saya turun dari kolam menyelamatkan diri. Macamlah penyu tu boleh melompat keluar, ye tak? hehe...En Bapak tersengih-sengih melihat aksi berkenaan manakala Khalish dan Ilhan terpinga-pinga dengan apa yang berlaku.

Kata Khalish, "kenapa Ibu?". Jawab saya, tak de apa, penyu tu lapar tapi Ibu mainkan dia. hehe...
notajari: Teringat saya Pusat Pengurusan & Penerangan Penyu Padang Kemunting di Pengkalan Balak. Dekat je dengan rumah tapi lama tak pergi. Walaupun pusatnya lebih informatif dan menarik, namun kuantiti penyu adalah sangat sedikit di situ kerana kebanyakkan dilepaskan sejak kecil. Segari lebih banyak penyu tapi sayang lokasinya agak jauh daripada laluan utama. 

03 February 2013

Tak Khatam Lagi

Tak perasan entry ni tak publish lagi. 
Buku-buku ni dibeli oleh adik saya, Hakimah ketika The Big Bad Wolf tempoh hari. 
Terima kasih kepada beliau dan suaminya, Syakirin yang bersusah payah mencari senarai yang diberikan.
Mujur ada laman web BBW yang memudahkan kami memilih bahan bacaan yang diminati.
Kebanyakan buku adalah milik saya, kedua Khalish dan sebuah buku En Bapak (patutnya dua buah tapi sebuah lagi tak dijumpai). 
Terima kasih juga pada paymaster saya, En Bapak. hehe *like 100x.
Baru mulakan dengan buku Sudoku (tu pun tak habis lagi).
Fuh...harap dapat khatam semua sebelum ke pesta buku antarabangsa.
 

01 February 2013

Steamboat @Rosa Passadena, Cameron Highlands

Rugilah kalau ke Cameron Highlands (CH) tak pekena steamboat. Pilihan kami masih lagi di restoran Ferns, Hotel Rosa Passadena, Brinchang. Sebelum ni kami pernah ke sini. Oleh kerana percutian kali ini adalah pada hari Jumaat maka parking di CH dibanjiri banyak kereta dan bas pelancong. Agak tensi kejap di situ.

Makanya kami empat beranak gigih la berjalan dari hotel ke sana. Tak jauh mana pun, cuaca pun sejuk jadi ibarat makan angin di malam hari. Kalau nak order steamboat ni, kena order minima untuk dua orang. Satu kepala RM25, dua RM50. Untuk seorang makan tak dapat dik. Akak dah tanya.

Walaupun korang datang empat orang, Order jelah dua dah cukup banyak tau. Serius, tak larat nak habiskan. Sup, sos pencicah, sos kicap, semua sedap, memang tak boleh lawan mana-mana tempat. Kali ni ada penambahan sikit dalam set steamboat mereka, ada kepah dan sotong kembang.

Set steamboat berkenaan biasanya turut serta dihidangkan bersama teh cina yang saya tak suka tu. hehe...Steamboat ni, nak makan tak boleh rushing nak habiskan. Kena ambil masa, makan perlahan-lahan. Lepas habiskan bahan gorengan, baru mula makan mi, bihun dan bahan-bahan yang direbus. Agak-agak mengah, berhenti jap.

Sembang-sembang apa yang patut. Main kejar-kejar dengan anak ke. Lepas tu sambung makan balik. Tapi...kali ni memang rasa makan main sumbat je sebab tak habis separuh makan, Khalish yang selsema merengek ajak balik hotel nak tidur. Ishh...terpaksalah ibu makan apa yang mampu. Rugi2...


notajari: kami lunch di sebuah medan selera (tak ingat la nama) di Brinchang, belakang Greenhill Hotel. masakan yang dihidangkan pada tekak kami semuanya sedap belaka. kailan ikan masin siap ratah macam tu je. tak tau la kenapa. hehe...

p.s:# ada restoran namanya Rosa juga dan turut menyediakan steamboat. Jangan bagitahu saya rasanya tak sama macam yang saya pergi ni sebab tempatnya lain hokey. Diulang saya pergi ni restoran Ferns di Hotel Rosa Passadena. Harap maklum.