Showing posts with label resepi. Show all posts
Showing posts with label resepi. Show all posts

06 October 2011

Piza Bikin Sendiri

Akhirnya hajat nak membuat piza sendiri berjaya terlaksana. Rasa macam dah lama mengidam (ehem...bkn yg 9 bulan ye) sebab terliur tengok dapur orang lain dok tayang piza bikin sendiri. Orang dah berpuluh kali buat, saya baru nak kecoh sekampung. hehe... baru tau macamana rasa menguli tanpa bantuan breadmaker.

Resepi saya belek dari dapur Kak Umi Pahang dan En Mat Gebu. Lepas tu memandai-mandai campur aduk sampai piza mengembang semacam. Bila makan piza, saya suka kalau ada nenas banyak-banyak. Tu pasal buat sendiri boleh letak sukahati.
Chef kecil saya, Khalish rajin menghulurkan bantuan. Habis ditimbunkan nenas atas piza. Buat 500g tepung dapat 2 keping piza saiz 11". Siap boleh simpan makan breakfast. Hasilnya sangat mengujakan, rasanya kalau guna tepung roti mesti ekstra gebu. Tambah pula dengan taburan keju mozarella yang ekstra tebal. Yummy...
Pasni nak try buat ala hawaiian seafood pulak. Oh En Bapak, kalaulah ada breadmaker....(buat mata memandang ke atas sambil kelip2 ala-ala verangan golden dream). hehe..

14 July 2011

Daging Stroganof bersama Pasta Fettuccine


Gara-gara terpengaruh menonton rancangan realiti masakan esp Masterchef Australia, saya berjaya menghasilkan hidangan ini di atas baru-baru ini.

Nak cari orang yang menjualnya memang tak de jumpa kat Ipoh ni. So, try la masak sendiri jawabnya. Resepi ni saya main agak-agak je masa tengok ujian tekanan antara Callum Masterchef - Matt dan Sharnee.

Tp pasta diorang buat sendiri lah. Segar dari dapur siap kaler hijau lagi. Boleh tengok sini

Kami - saya, En Bapak dan Khalish si pencinta pasta syok santap dengan menu baru ini. Rasa paprika agak menonjol dan kosistensi (haha...ayat juri MC) kuahnya yang berkrim sesuai di makan seisi keluarga.

Ini versi saya:

PASTA STROGANOF bersama PASTA FETTUCCINE
300G daging (potong nipis dan dibersihkan)
2 sudu besar serbuk paprika
1 biji bawang benggala - potong dadu
2 ulas bawang putih - diketuk
2 sudu besar sos tomato
1/2 biji tomato - dicincang
1 tin susu cair (guna krim masakan pun boleh)
4 sudu besar tepung gandum
1 cawan stok daging
1 sudu besar sos worcestershire
Cendawan butang - jika suka
1/4 sudu minyak zaitun
Sedikit mentega
Daun pasli - potong halus (tak de tp saya ganti daun ketumbar)
Pasta Fettuchini - rebus al-dente

Cara masak:
1- Campurkan serbuk paprika, tepung dan sesudu kecil garam dalam mangkuk. Sadurkan daging ke dalam campuran tadi.
2- Masukkan minyak zaitun dan masakkan daging 1-2 minit atau hingga perang. Angkat.
3- Masukkan mentega ke dalam lebihan minyak zaitun tadi,masakkan cendawan seketika dan masukkan bawang. Tumis hingga lembut.
4- Masukkan sos tomato, tomato, stok dan sos worcestershire dan biarkan mendidih.
5- Dalam api sederhana, kacau hingga pekat dan perasakan dengan garam atau gula.
6- Hidangkan bersama pasta fettuccine dan taburkan daun parsli sebagai hiasan).

Tip: Enak dimakan bersama kentang goreng rosemary.

Ni pula saya share resepi yang ada dalam buletin Anmum Feb 2011.

STU STROGANOF

Bahan-bahan:
1 lb daging merah, dimasak hingga keperangan dan dipotong kiub.
2 cwn air
2 skop Anmum Essential
1 sudu teh sebuk bawang
1/4 sudu teh serbuk bawang putih
1 sudu teh sos Wercestershire
1 0z krim masam

Cara masak:
1. Masakkan daging dalam air hingga lembut.
2. Kacau bahan-bahan lain kecuali krim masam.Panaskan pada kepanasan sederhana hingga berbuih.
3. Masukkan krim masam dan hidangkan.

Tip: Anda boleh menambah mi telur yang telah dimasak dan ditos untuk hidangan ramai.

Ruj: Yummy recipes: www.kidapprovedmeals.com

Boleh tengok resepi lain di sini juga

05 May 2011

Mee Udang Lipan(@udang mentadak @ udang ronggeng)

*pix frm google

Serius cakap, udang dalam kamus makanan laut yang saya tahu adalah udang kara, udang galah, udang kertas, udang geragau dan udang kering.

Hinggalah kelmarin, En Bapak beritahu beliau ada membeli udang lipan yang dijual sepinggan RM2 di pasar. Mendengar namanya pun saya dah naik scary, bukan apa fikiran terus teringat pada makhluk L yang suka masuk bilik air rumah bila tiba waktu hujan.

Dan makhluk yang dimaksudkan itu adalah l.i.p.a.n. Bila tiba masa untuk membersihkan udang itu, mak aiihh...keras bebenor kulitnya dan bila ditelek betul-betul memang ada rupa si L tuh.

Saya kuatkan semangat gunting penyepit, muncung dan ekor kerasnya.

Tak pernah pun saya masak / makan udang ni, namun akhirnya kami membuat keputusan untuk menikmati Mee Udang Lipan sebagai menu hidangan tengah hari kami.

Menu saya ubah suai sendiri mengikut bahan yang sedia ada dalam peti ais.


MEE UDANG LIPAN (@udang mentadak @ udang ronggeng)
-----------------------------

1 bungkus mee kuning (basuh dan dicelur)
10 ekor udang lipan
1 labu bawang besar *
2 ulas bawang putih * (ditumbuk)
1 inci halia (diketuk)
1 1/2 sudu besar cili kisar
1 batang kulit kayu manis

1 keping fish cake*
8 biji fish ball *
1 keping tauhu putih *(dihiris kecil dan digoreng)
Sawi putih (dihirs)
1/2 biji tomato (potong dadu)

Bahan perasa:
Sos tiram
sos tomato
Garam / gula (jika perlu)

Bahan sampingan:
Telur (direbus)
Taugeh (dicelur)
Limau kasturi
Bawang goreng

Cara memasak:

1- Udang dibersihkan. Asing kepala dan ekornya. Kemudian rebus dgn 4 cawan air untuk dijadikan stok udang.

2- Tumis bawang besar, bawang putih, halia dan kulit kayu manis hingga naik bau. Masukkan cili kisar dan goreng hingga garing. Masukkan udang dan stok udang. Biarkan mendidih.

3- Masukkan fish cake, fish ball dan tauhu. Diikuti denngan sayur sawi dan tomato. Perasakan dengan sos secukup rasa. Biarkan kuah sedikit pekat dan angkat.

4- Untuk menghidang, satukan mee kuning, taugeh, telur, bawang putih dan limau kasturi. Kemudian, curahkan kuah ke atas mangkuk mee tadi. Siap!!!

review masakan : (haha...sendiri masak sendiri review)

Kemanisan stok udang ini lebih menonjol berbanding udang lain yang saya pernah buat. Tapi, kalau cari isinya ciput ya amat.

Udang ni sangat sesuai dijadikan hidangan berkuah. Suami kata lagi sedap dari mee udang kat Kuala Sepetang nun. hehe...mulut dia pun dah jadi manis macam kuah udang. Khalish siap sedut kuahnya dengan penuh kenikmatan walaupun sedikit pedas.

Ingatan tegas: sapa yang ada resdung tak boleh selalu makan udang ye, maunya gatal hidung lepas makan. Macam saya! huhuhu....

29 August 2010

I like....39 Idea Menu Seafood

Bestnya...macam banyakkan? Ni suma gara-gara menonton rancangan memasak bersama Ocean Ria yang dihoskan Anne Ngasri kat TV9. Hari ni dah last episod pun.

Tapi...sapa yang tak berkesempatan menonton tu, anda boleh dapatkan kesemua resepi 13 episod tu di SINI. Walaupun menggunakan produk seafood Ocean Ria, pelbagai resepi dapat dihasilkan dari masakan berkuah, ala barat, kuih-muih hingga kudapan. (oh...ini bukan iklan tp pendapat peribadi saya).

So, sesiapa yang dah bosan asyik-asyik makan ikan or seafood fresh boleh try kesemua resepi yang dipaparkan. Tak rugi mencuba. Apa yang saya tahu, produk OR ni sebenarnya dah siap dimasak dan kita cuma panaskan sekejap saja utk rasa yang lebih ummmphhh...(ini saya lagi suka coz boleh simpan lama tanpa was-was).

Tak sabar nak tunggu hari membeli-belah barangan stok dapur. Nak cari produk OR dan nak cuba seafood springroll, samosa dan sambal udang petai bersama bebola ikan sayur. hurmmm..

Selamat mencuba....

06 July 2010

Resepi Julung Kali di Tayangkan : Ayam Masak Bali


Hehe...tajuk tak tahankan....Sumpah, saya tipu banyak menyatakan bahawa peknen kali ni semangat untuk memasak dan mencuba resepi yang tak pernah dicuba amat tinggi tahapnya.

Ini mungkin juga disebabkan:

1) Dulu...1'st time peknen tak de sapa nak layan bila OS gi kerja, layan tidur je. Sekarang...Rajin sebab dah ada budak kecik yang berusia 1 tahun 2 bulan (Khalish la tu ) nak makan.

2) Sebab nak lepaskan hajat mengidam sesuatu makanan yang susah nak dapat kat tempat pemastautin saya ni.

3) Tergoda tengok pelbagai jenis gambar masakan terutama dalam blog Kak Hanieliza dan Che Mat Gebu selain kawan-kawan blogger (spt Kak Inahar, Kak Ct Delima, Umi Kuantan, Kak Hana - sekadar menyebut beberapa nama) yang membuatkan tekak saya tiba-tiba termengidam.

Kalaulah mereka terbabit berjiran dengan saya confirm saya akan membuat muka kesian sambil menggosok perut saya yang semakin membuyung nih. (eheh...sadis).

4) Mungkin kerajinan ini sedikit sebanyak berpunca daripada jantina orang dalam ni kot. Orang kata, kalau peknen anak perempuan rajinnya terlebih sikit. (boleh tak alasan nih....tak sabar nak tunggu check up esok, harap-harap time scan kali ni baby tak tunjuk montots lagi. ekeke...)

Dah la tu, banyak pula bebelan saya ni. Sebenarnya nak kongsi resepi yang dipelajari dari ibunda tercinta, Hjh Rohana. Baru pagi tadi minta resepi sebenarnya. Tetiba teringat dengan keenakkan masakan ni. Jom tengok resepinya....


AYAM MASAK BALI (untuk 2 orang makan)
------------------------------

Bahan-bahan:
6 ketul ayam (digoreng lemau - jangan garing)
3 batang serai (dititik hingga hujung batang)
Daun Kari (Lagi banyak lagi bagus)
3 inci lengkuas (dititik)
1 labu bawang besar (ditumbuk)
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
4 sudu besar cili kisar
Kicap kipas udang
Minyak untuk menumis

Cara menyediakannya:

1. Tumis serai, lengkuas dan daun kari hingga naik bau. (1 rumah bau harum - sedap beb)

2. Masukkan bawang dan cili kisar. Masak hingga garing.

3. Masukkan kicap (ini ikut suka nak masuk bapa banyak, tapi jangan sampai gelap sangat warnanya, biar ada merah-hitam sikit rupanya). Kacau rata kemudian masukkan ayam yang telah digoreng tadi.

4. Ratakan ayam dan masukkan kicap bagi menampakkan masakan sedikit basah. Sesuaikan rasa (tak perlu masuk garam lagi sebab masa goreng ayam dah isi garam). Hanya tambah kicap untuk menyedapkannya.

5. Sedia untuk dihidangkan bersama nasi panas. Ratah begitu saja pun sedap...

Selamat mencuba.

10 February 2009

Masakan Untuk Suamiku....


Orang kata semua wanita mesti pandai memasak kerana ia adalah cara terbaik untuk memikat suami...Mak teman kata pula orang perempuan belajar setinggi mana pun ceruk dapur juga tempatnya.

Terus terang, teman bukanlah seorang yang pandai memasak. Maklumlah zaman bujang dulu pun masa banyak dihabiskan di luar rumah dan bila balik keje pun perut dah kenyang. Kalau mak ajak masak bersama, teman setakat tolong bab potong memotong menyediakan bahan dan tolong tengok mak masak sambil berbual2.

Bila mak suruh teman masak, teman akan memberi alasan mengatakan "masakan mak paling best dalam dunia, ayah suka masakan mak, nanti akak dah kahwin tak dapat rasa masakan mak lagi". hehe...maka dengan sendirinya teman akan selamat meskipun terpaksa menadah telinga mendengar bebelan dari mak.

Pikior teman, bila dah kahwin baru cari buku masakan untuk dijadikan panduan bila nak sediakan makanan untuk suami. Kalau dapat suami kaya raya, boleh gajikan bibik. Senangkan? hehe...Paling tak pun, restoran kan banyak apa susah pegi je makan or tapau. Setakat dua orang, apa la sangat, ye idak?

Lagipun teman bukanlah tak pandai sangat memasak (nada membela diri). Walaupun bapa teman mengusahakan bisnes katering, idak le teman buta sangat perihal dapur ni. Tapi...idak le seterer mak atau mak cik milah (tukang masak) ayah teman tu. Setakat goreng sayur, masak telur kicap, sambal, nasi goreng, pisang goreng dan seangkatan dengannya...boleh le teman sediakan.

Maka, selepas berkahwin mood untuk memasak tu datang dengan sendiri (maklumlah ada tukang makannya), berbekalkan resepi dari pelbagai majalah kewanitaan dan masakan, teman pun mulalah menjalankan ujikaji memasak masakan yang idak pernah teman try sebelum ni.

Resepi2 baru belajar seperti mee goreng, bihun goreng, sweet sour, karipap (guna terap je, tak pandai mengelim), nasi ayam, nasi lemak berjaya teman buat walaupun pada awalnya terpaksa berpandukan buku resepi di tepi dapur. Berpeluh juga la menyediakan. Buku resepi pula naik kotor dek terkena percikan minyak.

Jika kebuntuan pula, terpaksalah teman menghubungi emak di kampung bertanyakan resepi masakan hinggakan terdengar ketawa kecil di hujung talian. Itulah...dulu mak ajak belajar memasak macam2 alasan diberi...padan muka teman.

Walaupun suami teman bukanlah cerewet orangnya dalam bab makan2 ni, kadang kala beliau mengusik mengatakan masakan teman tak sesedap masakan mamanya, namun teman idak le berasa hati sangat. Teman tau ia sekadar motivasi untuk teman berusaha lebih gigih lagi. Paling idak pun, teman balas "ok lepas ni kalau B nak makan menu ni lagi, sila order pada mama ye"...maka lagaknya akan segera memujuk teman. hehe...

Terbaru, teman mencuba resepi puf daging yang teman dapat dari satu majalah koleksi resepi yang tidak kurang hebatnya (namanya dirahsiakan). Dengan penuh semangat teman pun menyediakan inti dan mula mengadun tepungnya pada suatu petang yang tenang. Kalau jadi, kiranya ia akan menjadi santapan sarapan teman berdua pada keesokkan harinya.

Bila dah siap, teman pun try la membakar seketul puf ni. Bila digigit sekali, tak lut, kali kedua tak lut gak maka dengan penuh kegeraman teman pun mengigit dengan sekuat hati dan akhirnya berjaya juga. Amboi...keras semacam...ibarat baling di dinding pun masih tak pecah2.

Apa silap teman? Mungkin teman terkurang ayor ataupun terlalu cepat mencanai tanpa merehatkan tepung dulu? Puas teman pikior, akhirnya teman ambil keputusan simpan sahaja dalam peti sejuk. Andaian teman mungkin esok puf ni akan lembut dengan sendiri.

Keesokkan harinya, lepas dibakar puf itu sedikit lembut berbanding semalam tapi masih lagi memerlukan kekuatan gigi untuk menghancurkannya. Adus...bersalahnya teman pada suami kerana menghidangkan puf tidak seperti yang teman harapkan. Namun, apa yang teman terharu suami hanya makan dan tidak merungut mengenainya. Alahai suamiku...mungkin nak jaga hati ataupun tak nak membazir kot! Lebih mengharukan bila dia mahu membawa bekalan minum pagi tiga biji puf ke opisnya. Terharu + bersalah pun ada. Kenapalah kau jadi keras, puf oii...

Setelah diflashback kembali, teman rasa telah membuat satu kesilapan besar iaitu tidak mencairkan marjerin bagi melembutkan adunan. Mengikut petua mak teman, bila nak buat adunan seperti roti canai or karipap marjerin mesti dicairkan terlebih dahulu. Puf pun lebih kurang karipap je, kan. Aduh..tak boleh pakai 100 peratus buku resepi ni.

Itulah...bila dah jadi macamtu, baru timbul kekesalan kenapa aku tak practice memasak masa zaman bujang dulu. Kalau tak, mesti dah pro sekarang. Tapi...kalau pro sangat nanti aku kena apply jadi chef lak kan? hehe...

Apapun, paling penting bagi teman usaha untuk meningkatkan skill memasak memang memakan sedikit masa namun ia juga aktiviti yang menyeronokkan. Sampai bila nak berada di tahap tak tahu memasak atau hanya mampu menyediakan beberapa hidangan biasa, ye idak?

Lagipun, memasak bukan sahaja dapat menjimatkan bajet sesebuah keluarga, malah dengan menghasilkan sesuatu masakan menerusi air tangan sendiri akan lebih mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Teman rasa memasak juga sekarang ni dah jadi salah satu terapi bagi menghilangkan kebosanan bila melanda diri.

Bukankah orang2 veteran ada berpesan, kita kena pandai jaga perut suami…hehehe…Pada teman menjadi ke tak itu soal lain, yang penting kita mencuba…Paling best, kepuasan memasak itu hadir bila masakan kita menjadi dan bila hubby puji masakan kita sedap. Aduhai...berbunganya hati sepanjang hari.

Teringat teman sebuah drama Hong Kong antara dialognya "memasak dengan penuh kasih sayang akan menghidupkan rumah tangga", mungkin ada kebenarannya...