28 January 2013

Bila Pasar Besar + UTC Ipoh = Sesak!! Tapi...

Sudah tiga bulan saya mengambil alih sesi membeli barang mentah di pasar. Lokasi pilihan sudah tentu Pasar Besar Ipoh. Tahun lepas, biasanya saya keluar rumah seawal 7 pagi di mana budak berdua tu masih lena diulit mimpi.

Lebih kurang jam 7.15 pagi saya sampai dan tersenyum lebar bila parking tingkat bawah pasar lengang, hanya beberapa buah kereta yang terparkir di situ. Masuk 2013, waktu ke pasar agak terlewat sedikit kerana perlu menghantar Khalish terlebih dulu ke tadika sebelum jam 8.
Sampai-sampai pasar, dah jam 8.15 pagi dan agak tension sedikit bila parking bawah sudah penuh dengan kenderaan. Nak cari parking kenalah pergi ke bahagian hujung tak pun tingkat dua kalau ada. Nak parking di luar, memang takde punya sebab penuh.

Arghh...ni semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) punya hal. Sejak dibuka awal tahun lalu, tak pasal-pasal saya kena memasuki acara pencarian parking berkumpulan. Bukan saya yang merungut tau, ramai yang bising sebab susah nak parking.

Bayangkan UTC menawarkan perkhidmatan untuk 51 agensi kerajaan dan swasta. Jadi, rasanya kenderaan staf UTC dah berapa banyak yang parking kat situ. Tu belum lagi, peniaga-peniaga pasar, medan selera dan pelanggan yang datang lagi. Aduhai, benci tau bila mood ke pasar terganggu. *emosi la pulak. Baiklah...baiklah....tekanan darah kembali ke paras normal apabila parking kosong dijumpai akhirnya berhampiran tangga ke tempat menjual daging. Yeah...senyum, senyum...
Pantang nampak ikan, suka-suka hati je dia nak pegang budak ni. Habis hanyir satu badan.
Minggu lepas, saya, En Bapak dan Ilhan bersama-sama berganding bahu ke pasar. Selepas acara membeli stok bahan mentah untuk seminggu, kami kemudiannya mengambil kata sepakat untuk meninjau operasi UTC yang kelihatan gah di sebelah pasar. hehe...

Sebelum itu, haruslah kita bersarapan dulu di medan selera tingkat atas. Gerai kegemaran saya sudah tentu gerai mamak Uncle Zubir (sebelah gerai no 14). Sudah beberapa kali saya mencuba roti canai, roti telur spesel (ada sardin, kari dan telur dalam sekeping roti), capati, thosai dan paling sedap adalah apom manis yang lemak manis dan ringan je masuk ke tekak. Fuh...tambah pulak dengan teh tarik kaw.
En Bapak melayan je selera kemamakan saya dan Ilhan. Biasanya saya akan beli saja sarapan bila ke pasar. Ada juga gerai menjual mee goreng mamak bertentang dengan kedai ni. Tukang masaknya adalah seorang pakcik. Sedap juga. Kalau nampak minah indon yang masak tu kureng sikit rasanya, sebab dulu penah beli bakso sup rasa air paip. Ceh...

Lepas mengisi perut, kami memulakan lawatan pagi ke UTC dengan memasuki pintu betul-betul depan kaunter Tourism Perak. Masuk-masuk je, fuhh...agak lega sikit di situ sebab terasa sejuk penyaman udara. Lega...

Jadi, kami terus berjalan, oh di sini ada JPJ, eh Tabung Haji , pejabat Pos, JPN, kaunter polis, dan banyak lagi dan lagi. Kemudian kami masuk ke kedai buku 1 Malaysia. Walaupun tak berapa besar kedainya, namun pilihan buku adalah sangat banyak, terkini dan yang penting harganya lebih murah berbanding tempat lain.

Sebagai contoh, baru-baru ni saya ke MPH membeli karya terbaru penulis kegemaran Ramli Awang Murshid berharga RM25. Tapi kat kedai Buku 1 Malaysia ni, hanya RM22.50. Walaupun murah dua tiga ringgit, jimat juga di situ untuk karya yang sama. Banyak lagi buku-buku terbaru yang murah di sini tak perlu tunggu sale. Novel, buku-buku ilmiah, buku kanak-kanak, alat tulis semua ada di sini.

Oleh sebab kuota membeli buku untuk bulan ni dah habis, kita akan tangguh ke bulan depan beli buku di sini ye. Seterusnya, En Bapak mengajak kami ke Klinik Pergigian 1 Malaysia. Dari kedai buku memang dah nampak klinik ni.

Terus terang, sejak kecil saya memang fobia dengan doktor gigi, jarum dan gerudi tampalan gigi. Menyesal pulak rasa bila saya asyik bising-bising ada gigi geraham yang tersompek ketika mencabut gigi di Melaka tahun lepas.

Selepas membayar RM1 manakala Ilhan tidak dikenakan sebarang caj. Kami menunggu giliran. Seronok juga rasa bila hanya kami yang ada ketika itu. Lengang. Akhirnya giliran kami dipanggil. Ok, doktor muda berbangsa India melakukan pemeriksaan gigi dan menyarankan saya menampal gigi yang berlubang.

Fobia saya sudah datang. Alamak, saya jeling-jeling En Bapak. Beliau tersnyum dan menyuruh saya mengikut nasihat doktor. Alang-alang dah sampai, saya cekalkan hati membenarkan doktor melakukan proses tampalan. *habislah aku..habislah..- kata hati saya.


Tak sampai 10 minit, lepas dia gerudi, tampal dan menekan gigi tersebut. Siap dah. Fuh...memang kerja yang sangat bagus dan berlemah lembut. Tak macam pengalaman sebelum ni di Melaka, semua doktor pergigian adalah diklasifikasi sebagai brutal. Melaka...Melaka...tang memberi khidmat perubatan memang tak pernah berubah sejak dulu, nak-nak klinik atau hospital kerajaan. *eh..tersalah topik nih. sori eh tok ali.

Baiklah, giliran Ilhan pula. Budah ni bila doktor menyuruh membuka mulut, diketapnya gigi dengan kuat dan membuatkan doktor dan jururawat di situ tertawa melihat telatahnya. Naughty boy, kata doktor. Gigi depan Ilhan sedikit terhakis sebab suka sangat makan benda manis seperti gula-gula dan coklat lepas tu payah nau nak gosok gigi.

Jadi, bila keluar semula saya kena bayar lagi caj RM2 untuk tampalan gigi dan senyum dengan gembira. Dua ringgit...dua ringgit...mana nak dapat dik non. Yeah, marilah kita ke kedai pemborong biskut depan tu membeli stok biskut pulak.

Kesimpulannya, walaupun sekarang pasar agak sesak sebab ada UTC, tapi kewujudannya sangat-sangat memudahkan hidup rakyat jelata dengan kemudahan yang ditawarkan di bawah satu bumbung. Lepas ke pasar kita ke UTC, kemudian balik rumah. Alah, masalah parking kat mana-mana ada juga, apa yang penting urusan kita mampu siap dalam sehari. Ye tak?

notajari: teringat saya ketika membuat ic baru di UTC Melaka tahun lepas, dalam tempoh tak sampai 3 jam dah siap walaupun ketika orang yang maha ramai beratur. En Bapak buat ic baru di UTC Ipoh sehari lepas tu baru siap. Kiranya Melaka lebih advance sikit bab ni la kan. hahaha...

25 January 2013

Rose Centre : Taman Bunga Ala Fairytale

Saban tahun percutian ke Cameron Highlands seakan destinasi wajib bagi kami sekeluarga. Cerita yang pernah dipaparkan boleh lihat di sini, di sini, di sini, dan di sini. Walaupun terpaksa mengharungi perjalanan hampir 80 kilometer dari Ipoh menerusi Simpang Pulai, terpaksa pula mengharungi dugaan pening lalat ketika pendakian dari puncak ke puncak, namun semuanya hilang perlahan-lahan tatkala melalui papantanda yang memisahkan antara jajahan Perak dan Pahang.

Dua minggu lepas kami ke sana lagi. Percutian kali pertama untuk tahun ini memandangkan keadaan En Bapak semakin pulih. Mengikut cadangan awal, kami merancang ke Lumut kerana stok ikan bilis dan udang kering habis. Haha...saya memang suka memborong stok-stok segar berkenaan kalau ke sana.

Tup...tup lagi sehari nak pergi, kami berubah arah ke Cameron kerana En Bapak 'mempengaruhi' saya untuk ke sana sebab mahu lari daripada cuaca panas di Ipoh. Khalish pula asyik menyebut nak makan strawberi...strawberi. Ikutkan saya tak kisah ke mana-mana, asalkan kami sekeluarga bersama.

Antara yang sempat kami jejaki adalah, Raju's Hill Strawberry Farm, Time Tunnel Museum, Pasar Malam Brincang, menikmati steamboat di Rosa Pasadena, Cameron Valley, Rose Centre dan semestinya Kea Farm  untuk stok membeli sayur-sayuran segar dan strawberi. 

Terlebih dahulu, suka saya berkongsi cerita mengenai lawatan ke Rose Centre. Sebelum ini, tak rasa pun nak menjejak mana-mana taman bunga di Cameron Highlands ni walaupun dalam perjalanan selalu ternampak Rose Valley. Sebabnya, saya bukan pencinta bunga.

Memandangkan letaknya di Kea Farm, kami kesana terlebih dahulu sebelum sesi memborong sayur. Bayaran masuk adalah RM5 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak bawah 4 tahun. Memandangkan Khalish Mei ini baru menginjak 4 tahun, jadi berjimatlah RM2 di situ.

Tanggapan awal, ia mungkin sekadar taman bunga biasa yang akan ada beberapa kelompok bunga berlainan warna di setiap stesen. Namun, sangkaan saya meleset selepas mendaki dari satu tingkat ke tingkat yang lain. Ini kerana bukan setakat ratusan bunga ros yang terdapat di sini malahan pelbagai bunga yang tidak pernah saya ketahui turut berada di sini. Jom cuci mata:



Bunga Jade Vine - saya jatuh cinta dengan bunga ni!!
Eh! Mereka pon sama la...
Selain itu, kewujudan watak cerita dongeng, kartun dan pelbagai hasil seni  turut berada di sini sebagai penyeri di taman bunga ini. Pendek kata, berada di sini ibarat terapi buat mata kerana himpunan bunga di sini sangat cantik!
Peminat tegar yang posing ikut suka
Bilalah nak habis bergambar nih....
Tak dapat dipastikan kat belakang tu snow white ke queen yang jahat tu. tak comel langsung
Bila bunga matahari....*sambung sendirik la lagu maya tuh
Sayangnya, ekoran kesihatan kaki En Bapak agak terhad, saya memutuskan untuk mendaki bersendirian ke puncak untuk melihat apa yang menarik. Rugi pulak rasanya tidak habiskan sesi lawatan ini. Khalish dan Ilhan saya tinggalkan dengan bapa mereka.

Pendakian ke tingkat paling atas yang menempatkan replika sebuah rumah kasut yang sangat berwarna-warni sememangnya membuatkan saya semput. Namun, pemandangan yang disajikan membuatkan ianya berbaloi. Sayangnya, saya terpaksa merakam suasana berkenaan bersendirian kerana tiga hero saya berada di bawah. Saya melepaskan lelah selama beberapa minit seorang diri sebelum turun. Nyaman dan menenangkan.
 



Rumah kasut yang ohsem
Rupanya, pengunjung boleh meneruskan lawatan terus ke gunung berhampiran dengan meniti laluan di sediakan untuk merakam momen indah di atas puncak gunung. Sayangnya, stamina saya kurang padu untuk meneruskan pendakian lagi.
Tak larat acik nak panjat
Tak rugi menjejakkan kaki ke sini. Walaupun disajikan sekadar himpunan bunga, namun ia seolah-olah terapi mata dan minda buat bukan penggemar bunga seperti saya.

notajari: #teringat pula saya ketika hari konvo. Sebelum tu, En Bapak datang sekali untuk meraikan bersama saya dan keluarga. Beliau ada bertanya sekiranya saya mahukan bunga sebagai hadiah (kalau nak bagi, bagi jelah kan), oleh sebab saya bukan pencinta bunga, saya cakaplah bunga tak boleh makan dan akan layu). So, saya berharap beliau akan memberi saya kejutan untuk 'sesuatu' yang lain. Rupanya hampeh, dia datang berlenggang jek. Jeles betul tengok orang lain dapat bunga, teddy bear. Konon dia lurus dengar cakap saya. *menyampah betul masa tu.#


22 January 2013

Dulu Malika Saba, Sekarang Hadramout Paradise Ipoh Paling Sedap

Pantang ternampak restoran Arab baru di Ipoh ni, pasti saya akan menggoda En Bapak ke sana. Menggoda tak tahan. Al-maklumlah saya, Khalish dan Ilhan peminat tegar nasi Arab dan sewaktu dengannya. Sebagai suami dan bapa mithali (yeah, kipas2...), En Bapak layankan je selera kami anak-beranak.

Terbaru, restoran Hadramout Paradise yang terletak di Kinta Riverfront kami jejaki untuk makanan autentik Yamen dan Arab. Lokasinya sangat strategik berdekatan hotel Kinta Riverfront. Dulu, sebelum diambil alih tempat ni adalah sebuah galeri milik hotel terbabit.

Kami tiba kira-kira jam 2 petang, selepas memilih tempat dan diberikan menu, kami membelek senarai makanan yang disediakan. Berbanding Malika Saba dan sebuah lagi restoran Arab di Greentown, Hadramout nampaknya lebih menawarkan pilihan menu yang menggiurkan anak tekak tambah pula saiz hidangan yang diberikan lebih besar.

Sudahnya, kami memilih gandingan nasi mandy campur daging dan kambing beserta hummus dan roti Arab. Sebab apa hummus yang dipilih, sebab pernah nampak peserta My Kitchen Rules musim 2 menyediakannya. Jadi, dah depan mata haruslah kita order.

Hummus adalah makanan tradisional Arab yang dihasilkan daripada kekacang, minyak zaitun dan jeruk lemon. Pendek kata, hummus ni ibarat kuah pencicah yang dimakan bersama roti. Kelakarnya, saya rasa roti Arab yang diberikan pada saya dah rasa macam roti canai cuma saiznya yang lebih besar. Tapi, sangat sedap dan sangat mengenyangkan.

Air En Bapak macam biasa order teh Arab dan saya jus lemon yang pahit dan menyesal order. kikiki...Lepas makan, konon nak merasa manisan Arab tapi lepas tengok deretan manisan yang sedia atas meja hidang berhampiran, entah kenapa jadi tak berselera pulak.

Jumlah keseluruhan RM57 tapi puas hati sebab sedap. Malika Saba, kalau anta semua tak jaga kualiti macam yang pernah saya ceritakan di sini, alamatnya pelanggan macam ana akan ke Hadramoutlah lepas ni. Teringat lepas puasa pergi lagi, tapi mix kebab buat spoil sebab masin teramat sangat. Ya ampun...

Kesimpulannya, restoran Arab di Ipoh yang paling sedap di tekak saya sekarang ni adalah Hadramout Paradise. Nanti kita ferasan Arabian lagi di sana ye, En Bapak. hihihi...

notajari: sori ye gambar restoran tak ambil sebab kurang rajin. pergi sendiri ambil ye. Restoran ini dibuka tujuh hari seminggu dari jam 11 pagi hingga 1 pagi.


Sekian, wassalam.

16 January 2013

Kenal Buah Kecupu atau Cerapu?

Dah hidup hampir 30 tahun di muka bumi ni, inilah kali pertama saya mengetahui kewujudan mengenai buah yang seakan pisang kaki ini. Itupun ketika membaca majalah Saji edisi Januari muka surat 15. Buah kecupu dalam bahasa Inggerisnya dinamakan 'button mangosteen' dan dalam bahasa latin ia dinamakan garcinia prainiana.

Ketika membaca, saya cuma berkata dalam hati ada ke buah ini ditanam di Malaysia sebab tak pernah jumpa pun walaupun saya ni orang kampung juga. Tup..tup...beberapa hari kemudian, En Bapak yang baru balik kerja tersengih-sengih membawa balik seplastik besar buah berwarna kuning kundang yang dibeli di Gopeng. Katanya penjual itu memberitahu buah itu namanya cheghapu (kuat bebenor bunyi pegahknyer...). hehehe...

Saya tak perasan lagi mengenainya, tapi bila beliau mengatakan namanya dalam bahasa inggeris terus saya teringatkan artikel dalam majalah Saji itu dan lantas membuka halaman yang dimaksudkan. Nah, tepat ianya buah sama yang diceritakan.

Sekali pandang ia sememang seperti pisang kaki. Dua kali pandang macam buah manggis yang kecil kerana tampuk pada bawah dan atas buah menyamai manggis. Saya sukakan daunnya yang melebar dan seakan seperti daun hiasan yang dijual di kedai bunga.

Rasanya? Dapat yang betul-betul masak memanglah manis seperti rasa buah pisang kaki, buah kundang dan buah rambai pun ada. Dapat yang masam manis terkenyit-kenyit mata Ilhan memakannya. Tapi, elakkan terkena kulit sebelah berhampiran isi kerana kesan kelat getah yang kuat boleh melekat pada bibir ketika menikmatinya.

Buah kecupu ni boleh dijadikan sambal belacan dan dimasak gulai lemak. Alang-alang dah di depan mata, haruslah kita bereksperimen dengannya. Bila dijadikan sambal belacan, buah kecupu ni menjadikan sambal kurang pedas dan bertambah sedap. Saya buat masak lemak ikan keli dan bila ditambah buah ini di akhirnya bersama bendi, rasa kuah seakan seperti gulai lemak biji cempedak. *sayang pula rasanya En Bapak terlupa snap gambar sebab dah terlalu ekxited bawa bekal berkenaan ke pejabat.

Kalau terjumpa di mana-mana, jangan lupa beli dan mencuba sendiri keenakkannya sebab buah ini sukar djumpai sekarang ni. .

15 January 2013

Review Kedai Makan Upin Ipin @ Meru Raya, Ipoh

Perginya akhir tahun lepas, macam biasalah baru sekarang nak tulis review. hehe...kedai makan ni letaknya di tingkat bawah di Mydin Mall Meru Raya. Kalau ke sana, Khalish dan Ilhan tau dah mana Upin Ipin tinggal. Kononnya. 
Kami pergi sebelum makan tengahari tiba. Tak ramai orang. Cuma ada dua tiga keluarga bersama anak-anak. Mula-masuk dekorasi kedai yang dipenuhi dengan karektor Upin Ipin dan Pada Zaman Dahulu mencuri perhatian. Cantik. Ada kaunter ala restoran makanan segera, ruang makan, pentas mini yang berlatarbelakang Upin Ipin, keluarga dan kawan-kawan, serta sudut jualan untuk barangan koleksi.

Selepas mengambil tempat, kami terus ke kaunter untuk memesan makanan. Baiklah, ada makanan Melayu dan Barat. Nampak menyelerakan. Saya memesan empat menu untuk kami sekeluarga. Walaupun Khalish mahukan air botol rasmi Upin Ipin dan aiskrim, permintaannya terpaksa ditolak kerana saya tahu rasanya adalah sangat manis jika diminum begitu sahaja.

Sementara makanan sampai, haruslah kita merakam aksi budak-budak yang teruja sangat sampai sini. Dah habis bergambar, mereka melayan tayangan kartun menerusi televisyen yang disediakan di kedai ini. 



Makanan sampai, Khalish konon menjiwai watak Ipin yang sukakan ayam goreng mendapat seketul peha ayam, kentang goreng dan salad kobis kosong. Diulang kobis kosong. Ilhan si pemakan nasi dapat nasi ayam gred b. Gred a, sedap. gred b, hampir sedap. hehe...

En Bapak paling terkesima dek penangan nasi goreng atok yang dipesan. Rupa dah ada, menyelerakan. Siap ada dua batang sate lagi. Sedap... tapi...tapi...rasa nasi gorengnya amatlah mengalami penjimatan garam melampau. Tawar macam makanan hospital Saya dah suruh En Bapak tukar, tapi dia dah lapar sangat layankan aje nasib ada sambal belacan dan sup yang dicilok daripada Ilhan sebagai perasanya.
Saya dapat nasi daging merah selepas saya tanyakan menu cadangan mereka pada saya. Sedap dah rasa macam daging asam pedas pun ada. huhuhu...Satu yang wajar dipuji adalah saiz hidangan yang diberikan adalah amat mengenyangkan. Tu pun kalau larat habiskan semua.

Kalau perlu diberikan perlima bintang, mungkin kami akan berikan 2. Tak baik tau, baiklah 2.3 bintang boleh, bukan mengutuk, mungkin nasib kami haritu kurang baik sebab mendapat makanan yang tidak kena di sana sini. Agaknya kami dah biasa makan sedap tiba-tiba dapat yang kureng terus cakap dalam hati alahai indah khabar dari rupa. :(

Apapun, saya harap kedai makan ni dapat mengawal kualiti makanan yang akan dibawakan kepada pelanggan. Rasa, cara dihidangkan atas pinggan hinggalah servis adalah penting. Bagi saya, kalau tema utamanya adalah ayam haruslah dijadikan ayam itu lebih sedap berbanding restoran lain yang menawarkan menu yang sama. Mungkin ayam haruslah diperap terlebih dahulu untuk memberi rasa yang berlainan. Kalau takat ayam goreng yang disediakan, saya rasa Marrybrown punya lagi sedap. Maaf.

Kami ke sini demi anak-anak, akan datang saya mungkin akan ke Ayam Penyet sahaja kalau nak makan ayam. Bayaran makan kalau tambah beberapa RM lagi mesti dah macam makan di Kenny Rogers ye. Tapi, tapi...bagi kami rasa yang penting. Lain orang lain pandangan dan tunas rasanya. Korang pergi cuba sendiri ye.

Apapun kami tetap menyokong Upin dan Ipin. Betul...betul...betul.

09 January 2013

WW: Pengaruh Si Ayah

 

Budak ni dikesan meniru tingkah laku solat duduk yang dilakukan Ayahnya. 
 Ayah kamu solat duduk sebab kakinya sakit nak, kamu sihat dan perlu solat macam biasa.
Khalish nak solat atas kerusi juga. Jawabnya.....hurm....

08 January 2013

Modus Operandi Penjual Kepala Gas

Baru-baru ni ada seorang wanita beruniform hijau kuning terpacak depan pagar sambil memberitahu dia datang untuk memeriksa salur gas rumah. Bila ditanya, katanya dari UGS. Bila saya tanyakan mereka berkaitan dengan GAS Malaysia atau tidak. Wanita itu menjawab syarikat mereka lebih dari itu. International katanya. International. .

Sumpah, kalau En Bapak tiada di rumah pasti saya tidak akan mengizinkan wanita itu masuk. Meskipun En Bapak 'membuat muka' dan awal-awal memberitahu saya wanita itu pasti akan menjual 'sesuatu'. Saya memujuk En Bapak untuk membenarkan wanita itu masuk dek kasihankan kesungguhan dia menunggu hampir 10 minit di depan pagar.

Tanpa berlengah, wanita yang rasanya lebih muda daripada saya terus ditunjuk bahagian dapur dan memeriksa salur dan kepala gas. Dia  menunjukkan ekspresi terkejut dan bertanya kepada saya sudah berapa lama menggunakan kepala gas jenis berputar berkenaan. Saya katakan hampir setahun telah saya gunakan berbanding kepala gas biasa. Katanya, kepala gas itu (tertulis high pressure 6kg), adalah sangat berbahaya kerana khusus untuk memasak di luar rumah atau lebih tepat lagi adalah untuk jenis gas bertekanan tinggi seperti mereka yang mengusahakan katering.

Ok, sebelum tu saya gunakan kepala gas biasa yang tertulis 2kg. Tapi, bila tukar gas baru je mesti kepala gas tu longgar dan menyebabkan bunyi gas keluar. Jadi, bila saya tukar yang jenis high pressure tu, idoklah pulak bunyi gas. Baiklah saya dah rasa seriau sikit.

Nak bagi saya lebih seriau, dia menunjukkan betapa tak selamatnya kepala gas itu dengan menyalakan api ke arah kepala gas yang dah dibuka daripada gas. Kalau ikut logik haruslah ada api besar yang keluar ekoran masih ada sisa gas di situ. Baiklah, saya pura-pura takut.

Lepas tu, punyalah panjang lebar lagi ceramah tentang keburukan kepala gas yang saya guna hingga dia mengeluarkan kepala gas UGS yang khusus untuk gas 1kg, kononnya dari Itali tak silap. Siap demo macam tadi dan tiada sebarang nyalaan api yang keluar. Rasa macam nak terpengaruh pun ada sebab antara kelebihan kepala gas ni katanya, apabila ada kebocoran gas, automatik saluran gas akan ditutup.

Tambahan pula, kepala gas tu siap ada meter mengukur isipadu gas yang tinggal. Kan bagus kita boleh jangka gas akan bertahan berapa hari, takdelah kes tengah masak kemudian gas habis. Grr....sakit hatikan.

Dipendekkan cerita (dah dekat 2 jam menadah telinga), saya terus tanyakan harga gas regulator yang dijual. Baik, harganya seingat diberitahu saya adalah RM380++, konon ada diskaun RM260++. Mak aih, mahal gupanye ye.

Yang tak bestnya tu, bila saya minta kad nama syarikat dan memberitahu akan menghubungi mereka jika saya berminat, wanita tu seakan memujuk dalam memaksa supaya saya membeli. Aduhai, kelemahan saya memang tak pandai nak menghalau orang ke memotong cakap ke apa. Memakan masa.

Dekat jam 12 juga akhirnya wanita itu beralah dan banyak kali mengatakan saya mungkin akan terlepas peluang mendapatkan diskaun yang mereka tawarkan. Tak pelah ye, saya berminat tapi bila memikirkan harganya...saya fikirkan lagi ye. hehe...

Lepas tu, saya google mengenai company tu di sini. Rupanya banyak juga kritikan mengenai pendekatan promosi dan jualan dari rumah ke rumah yang dilakukan. Terpulang nak membeli atau tidak. Barang kalau berkualiti orang akan cari juga akhirnya. 

Saya memang berminat dan akan cari juga regulator tu kelak. Jangan tanya bila. Maklumlah kan, kita orang dapur ni kena pastikan keselamatan diri juga, bila jadi apa-apa nanti dah la takde socso nak cover. Pandai-pandailah letak alat pemadam api berhampiran. Selisih malaikat 44. 

Tapi...tapi, dalam pencarian saya terjumpa satu blog ni berkongsi mengenai cara mengendalikan gas di rumah. Silalah baca di sini. Gas regulator tuan punya blog berkenaan buatan German. Kurang dari RM100. Haih...kena cari cepat ni En Bapak. :)
Moral cerita:

1. Jangan benarkan individu asing masuk rumah tanpa hal yang penting.
2. Nak menjual, cakap nak menjual jangan guna taktik periksa itulah inilah. 
3. Kalau tak nak buang masa mendengar demo diorang ni, jangan buka pintu atau layan berbual.


Sekian, salam khidmat gas dari saya. oppps...

04 January 2013

Ragam Tiga Hari Khalish di Tadika

Hari pertama:

Walaupun punyalah payah nak suruh dia bangun pagi, namun ber'gula-gula'kan sekotak susu dutch lady dan coco crunch sebagai sarapan, laju je Khalish ke bilik air untuk mandi. Nak mandi air panas je lak tu. Amboih...

Pergi kami suami isteri hantar. Bagus tak nangis dan ikut je arahan cikgu. Dalam beg yang dibawa ada sekotak bekas pensil bobiboy lengkap dengan sebatang pensil, pemadam dan pembaris. Pengasah pensil dah siap ada sekali kat tepi bekas tu. Ada buku mewarna dan sekeping huggies sebagai bekalan dia yak...yak. hehe. *bilalah dia nak pass buang air besar sendiri kat tandas.

Balik sekolah - saya dan Ilhan mengambilnya. Balik je rumah saya periksa beg dan .....

"eh, mana bekas pensil boboiboy Khalish?"
"alahai..ada kat sekolah lah" - dengan nada selamba 
"kenapa tinggalkan? esok tanya cikgu minta bawa balik ok"
"baiklah...." *cair tau dengar nada dia cakap- ala2 budak sopan gitu...

Hari Kedua:

Pagi macam biasalah drama musical anak beranak.
Pergi sekolah En Bapak dan Ilhan yang hantarkan. 

Balik sekolah - masa nak ambil saya nampak dia pakai baju lain. *baju rasmi tak dapat lagi so bebas pakai baju apa.

Saya: Eh, kenapa pakai baju lain? Baju kotor ye?
Cikgu Maziah: Masa dia ke tandas buang air, bajunya terkena air kencing. Kami pakaikan baju tadika kak.
Saya: Alahai Khalish, kan Ibu dah pesan bila nak shishi angkat baju paras dada. Lain kali ingat ye.
Khalish : Baiklah....

Bekas pensil dah dijumpai, Pensil hilang entah kemana. 

Hari Ketiga:

Mandi pagi dalam keadaan gembira. Lepas mandi dan sarapan susu dan semangkuk honey star, elok je dia masuk kereta. Jap lagi dia menjerit "Ibu...Khalish nak jam". hah sudah mana pulak jam budak ni semalam. Saya letak dalam bakul barang atas tangga tapi bila dicari tak jumpa.

Saya cakap tiada dan suruh En Bapak terus hantar dia ke tadika. Lagi dua minit jam 8. Baik-baik saya nak tutup pagar, kereta En Bapak ada depan rumah minta saya ikut sekali ke tadika. 

Khalish dah teresak-esak sebab tiada jam untuk dipakai. Alahai anak...Sampai je depan tadika, cikgu dah tunggu. En Bapak hantar Khalish sementara saya menanti dalam kereta sebab pakaian adalah sangat tidak sesuai  untuk berjumpa orang ramai. kikiki...

Balik sekolah- saya nampak Khalish pakai seluar lain pulak. Pagi saya pakaikan seluar berwarna hitam-biru. Tengahari dah bertukar warna merah. Hah sudah.

Saya: Cikgu, rasanya pagi tadi saya pakaikan Khalish seluar track blue black, seluar dia mana ye?
Cikgu : Eh, bukan seluar dia ke kak? Budak-budak ni tadi ramai ke tandas. Saya tengok dia paling akhir pegang seluar dan nampak susah nak pakai. Saya ingat seluar dia, terus saya pakaikan saja.
Saya : La...Khalish, ini bukan seluar awak. Ingat tak siapa ambil seluar awak? 
*Khalish menyorok belakang saya dengan muka bersalah*.
Cikgu: Cikgu tak marah Khalish, Khalish ingat tak siapa terambil seluar Khalish? 
*Khalish diam je - confirm dia takkan ingat atau jawab sebab masa balik sekolah semalam bila tanya siapa nama kawan, dengan yakinnya dia cakap Mohd Azli...alahai...tu nama Bapak awaklah!!*

Tak pelah mesti mak budak yang salah ambil seluar Khalish pun akan terkejut beruk sebab seluar anak dia dah jadi warna lain. Mari kita lihat Isnin ni sesi pemulangan seluar anak masing-masing. Phew...macam-macam kerenah anak masuk tadika ye... :)


03 January 2013

WW: Basikal Pink Percuma

Eksen berbasikal walaupun kaki tak sampai
Berkat doa dan tuah En Bapak masa majlis makan malam syarikatnya, inilah hasilnya. Basikal berharga RM250 yang berjaya dibawa pulang. Walaupun sedikit kuciwa (event suami tapi isteri yang melebih-lebih berharap skuter RM12,000), namun rezeki berpihak juga pada kami.

Tahniah Ilhan, walaupun agak girlish sikit di basikal itu, kita abaikan jelah sebab basikal free kan. Cantik apa...

02 January 2013

Khalish Mula Tadika

Syukur alhamdulillah saya masih bernafas dengan jayanya di tahun 2013, harapan tahun ini menjanjikan lebih pengalaman dan cabaran yang mampu diharungi dengan sebaik mungkin.

Hari ini adalah hari pertama Khalish ke tadika. Sejak tahun lepas asal nampak budak sekolah, bas sekolah mahupun menonton Upin Ipin dalam kelas pasti dia mengatakan mahu ke sekolah juga. Asal lalu tadika kat taman ni, pasti kedengaran di telinga kami suami isteri "Khalish nak sekolah".

Awal pagi lagi seperti dijangka saya akan menghadapi melodrama untuk kejutkan dia dari tidur. Mana taknya biasa dia bangun pagi sekitar jam 8.30-9 pagi. Tup...tup kena paksa-bangun jam 7 pagi sebab waktu masuk jam 8. Mau taknya ada adegan 'bapak-singa-meroyan' pagi hari tempa. 

Mujurlah semuanya dalam jangkaan dan saya hadapinya dengan sesabar mungkin berbanding 'rakan seunit' yang sorang tu. Selepas dipujuk rayu dan digula-gulakan dengan sekotak susu dan coco crunch, Khalish akhirnya berjaya disiapkan itupun lagi lima minit waktu masuk. Phew...

Nasiblah perjalanan ke tadika seminit je dah sampai. hehehe...Mood Khalish total berubah bila sampai tadika. Kedatangannya disambut cikgu dengan senyuman dan terus dibawa mendaftar sementara menanti diberi tag nama.

Tercuit juga melihat ragam kanak-kanak empat tahun yang baru masuk tadika. Ada yang menangis enggan melepaskan kaki ibunya, ada yang teresak-esak bila ditinggalkan malah ada yang keluar masuk mencari ibu bapa yang dah pergi kerja. Saya, En Bapak dan Ilhan yang masyam sebab terus diangkat ketika tidur menanti seketika untuk memastikan Khalish dalam keadaan baik.

Selepas berbual dengan guru tadika sambil mengingatkan beberapa amanat seperti anak saya alah dengan kekacang, dia kidal, kalau nak ke tandas dia sebut shi...shi. *over eh maknya ni. Kami akhirnya melangkah meninggalkan Khalish bersama jagaan pihak tadika.

En Bapak terus ke pejabat sementara saya dan Ilhan tinggal berdua. Ilhan asyik bertanyakan "ana ma...= yang bermaksud mana abang" dan seakan tercari-cari kelibat abangnya di seluruh pelusuk rumah. Hehe...tulah adik kalau abangnya asyik nak mengacau je kerjanya kan dah tercari-cari. 

12.15 tengahari saya berjalan kaki bersama Ilhan untuk mengambil Khalish ditadika. En Bapak hari ni kerja. Sampai saja saya di pintu, Khalish sudah bersedia untuk memakai kasut. Dek nak cepat balik, begnya pun boleh ditinggalkan. Katanya dia penat dan nak tidur. hahaha...

Sewaktu orientasi pada 28/12/12 - masih blur lagi nak buat apa
Buat masa ni baju rasmi dan buku belum dapat lagi. Namun, apa yang pasti Khalish katakan dia seronok ke sekolah dan esok mahu ke sana lagi. Good boy Khalish, macam nilah anak Ibu dan Ayah. 


notajari: Tadika Khalish adalah Tadika Impian IQ Genius di Halaman Meru Impian, Meru Raya, Ipoh.