29 December 2011

BerSpa di Pulau Pangkor

Salam semua,
Tuan rumah baru balik dari cuti-cuti Malaysia. Dari minggu lepas 3 hari 2 malam ke Pulau Pangkor bersama mentua, rehat dua hari, lepas tu sambung bercuti ke utara tanahair bersama famili sendiri, dari Melaka.

Meskipun badan masih bersaki baki penat, namun hajat saya untuk bercuti kesampaian akhirnya. Syukur, walaupun sedikit letih namun minda rasa lebih rileks dan stabil.

Sudah banyak kali saya ke Pulau Pangkor sejak zaman remaja namun tidak pernah bermalam di sana. Kali terakhir pergi ketika tiga bulan mengandungkan Khalish.

Pada masa itu, keluarga saya datang menziarahi kami dan aktiviti sempat dilakukan hanyalah mengelilingi pulau dengan menaiki bot, melawat Kota Belanda, Batu Surat dan Taman Fu Lin Kung {replika tembok besar China} serta membeli hasil laut di kilang berhampiran.

Mengingatkan saat bot laju meluncur membelah ombak, terasa seperti tunggang kuda pun ada. Seronok dalam seriau. Masa tu tak ingat langsung tengah mengandung. Mujurlah tiada kejadian tak diingini berlaku. 

Kini, lepas tiga tahun, kami kini sudah berempat sekali lagi berpeluang meronda pulau berhampiran menaiki bot laju. Pakej ditawarkan adalah RM4O termasuk sesi mandi manda di Pulau Giam aka Coral Island.

Bagi mereka yang mempunyai keluarga melebihi lima orang, boleh juga menaiki bot yang berbumbung dan lebih besar (mampu memuatkan 15 orang) dengan pakej RM130 satu bot atau RM15 seorang secara berkumpulan.

Jika diikutkan saya bukanlah seorang yang suka mandi laut {mungkin sebab air masin membuatkan saya kurang selesa} walaupun rumah keluarga terletak kira-kira 30 meter dari pantai Sungai Tuang. Maka, saya telah mencadangkan En Bapak berkelah dan mandi manda di Pulau Giam dengan alasan untuk merasai suasana sedikit berbeza berbanding mandi di tepi pantai.{ceh..padahal lautnya sama je. Percayalah, hanya mereka yang tinggal tepi pantai je faham apa yang saya ingin sampaikan. hehehe}


Lepas mandi, Khalish dan Ilhan diberi kebebasan bermain pasir. Ilhan paling tak tahan, sekejap korek pasir, campak pasir dan sesekali makan pasir. Alahai....bunyi kruk krak macam makan coco crunch pula.  Kalau tak dipantau maunya pasir menjadi snek kesukaan Ilhan. Ishhh....semua benda nak dibawa masuk mulut budak ni.

Petang hari kedua, kedua lengan dan bahu saya sengal semacam. Selepas menanyakan beberapa individu termasuk staf resort dan budak penyewa bot, saya dapati hanya dua saja spa di pulau ini iaitu di Heritage Spa & Beauty yang terletak di Coral Bay Beach Resort dan francaisnya di Puteri Bayu Resort, di Pasir Bogak.

Pakej yang ditawarkan termasuklah sesi urutan (tradisional, bali dan aromaterapi), body scrub, sauna, facial, urutan refleksologi, pedicure dan manicure. Harga yang ditawarkan pula agak berpatutan serendah RM35 hingga RM205.


Terlebih dahulu, saya membuat temujanji untuk urutan tradisional dan mama untuk urutan kaki. Namun, akhirnya setelah sampai mama bertukar fikiran untuk turut sama berurut badan manakala ayah mentua yang terseliuh kaki sempat mencuba urutan refleksologi.

Adik ipar, Mira sebagai peneman setia menunggu di ruang tamu. Mujur anak-anak lena kepenatan ditemani suami di bilik di Purnama Beach Resort, Teluk Nipah.

Sesi urutan sangat menenangkan dengan diiringi kelunakan lagu-lagu berentak perlahan yang mampu membuatkan mata terlena seketika. Sesi selama 60 minit yang diakhiri dengan secawan teh halia benar-benar membuatkan tubuh saya kembali segar. Bayaran bagi urutan adalah RM70 setiap sesi.

Sebarang pertanyaan mengenai rawatan spa hubungi 05-6855111 atau Ina 016-5164145.





15 December 2011

Suri Itu Aku

Assalamualaikum.

Aduhai...lama bebenor rasanya tak update blog.

Sejak balik kampung hujung bulan 11 sampai sekarang, baru mood datang balik. Apa nak jadi Ibu Khalish dan Ilhan ni ye.

Lebih seminggu balik kampung haritu, macam-macam benda saya dapat buat. Yer...hujan batu di negeri sendiri memang sesuatu yang sukar dilupakan, bukan?

Terima kasih pada En Suami aka Bapak kerana dah update aktiviti kitorang semasa berada di Melaka haritu. Macam tau-tau je Orang Rumah Bapak ni tak banyak masa nak masukkan entry. Padahal banyak je masa melompat-lompat ke blog orang lain. hehe...

Saya sekarang ni rasa macam bukan saya tiga tahun lepas. Yelah, mana nak sama kan, dulu bujang, pastu berdua, bertiga dan sekarang berempat. Memang rasa lain betul transformasi status dan tugasannya.

Ya, saya hanyalah seorang SURI yang berada di rumah menguruskan hal ehwal rumah tangga. {Oh, senanglah duduk rumah jaga anak-anak je, maklumlah tak kerja}. Hello, jangan ingat duduk di rumah ni adalah kerja mudah. Ini juga satu profesion ok.

Dengan dua hero yang semakin membesar dan aktif, kadang-kadang rasa nak resign je jawatan ni. Orang bekerja ada juga cutinya. Waktu kerja sekitar 8 jam sehari. Balik rumah ada orang sediakan itu ini. Rehat sambil layan kerenah anak-anak. Jadi suri ni, silap-silap 24 jam tu tak cukup tau. Banyak benda nak buat. Kerja-kerja remeh memang begitu.

Tapi, apakan daya. Tugasan ini adalah TANGGUNGJAWAB dan AMANAH yang wajib saya pikul sepanjang hidup ini.

Namun, alangkah gembira rasa di hati seandainya ada cuti khas bagi seorang SURI seperti saya di mana hari berkenaan saya dikecualikan dari membuat sebarang kerja rumah termasuk menjaga anak.

Nama pun cuti kan, lebih menggembirakan lagi jika saya dibenarkan keluar sorang-sorang menonton filem, main boling, ke spa dan shopping (atau window shopping) pun jadilah. Itu saya kira sebagai ganjaran dan cara untuk saya melepas tekanan, pada masa sama untuk mengecas tenaga baru dalam diri.

Anak-anak pula boleh tinggal dengan Ayah mereka ye. Indahnya dunia jika saya diberi peluang berkenaan. Owwh...indahnya, indahnya!

Bila diingatkan zaman dara dulu, hidup saya sangat padat tapi masih sempat meluang masa untuk menikmati spa setiap bulan di D'Ully Spa di bangunan merah, Banda Hilir dan facial di CNI Batu Berendam.Bermain boling dengan kawan-kawan sekerja, window shopping di Mahkota Parade. Menonton wayang dan membawa Mak shopping bunga di Cowboy.

Rindunya, rindunya momen indah itu. Tapi, itu semua adalah kenangan terindah pernah dilalui. Harap-harap satu hari nanti saya berpeluang melakukannya semua sekali lagi.

Aiseh, banyak betul verangannya ye. hehe...

Apapun, hidup saya sekarang adalah membahagiakan bersama suami dan anak-anak tercinta. Biarlah waktu tidur saya sekarang banyak yang berkurangan, badan lenguh sana sini, selain aktiviti sampingan mengutip kusyen sofa dan mainan yang bertaburan atas lantai, plus menyapu 10x sehari dan kadang kala membuatkan jiwa raga saya macam orang baru turun dari roller coaster.

Saya usaha sebaik mungkin untuk menjadi SURI yang mampu menguasai semua tugasan dengan jayanya. Baik untuk suami atau Khalish dan Ilhan.

Saya sedar, rumah ini adalah syurga dan neraka bagi saya.


Sekian,

Yang merapu,

Saya yang memerlukan sebuah percutian dan rawatan spa dari anak rambut hingga hujung kaki.