18 February 2013

Makan Nasi Arab Dalam Talam di Azzahra, Meru Raya

Nasi Arab lagi. Kalau kebetulan anda pelawat baru yang berkunjung ke blog ini untuk pengetahuan anda, saya dan anak-anak peminat masakan timur tengah. Sila lawat di sini dan di sini, restoran yang kami pernah kunjungi di Ipoh. Suami saya aka En Bapak, peminat yang biasa-biasa sahaja. Asalkan sedap di tekak beliau, beliau layankan saja.

Sebelum ni, En Bapak dan rakan sekerjanya telah sampai di restoran ini terlebih dahulu. Bila diberitahu nasi arabnya berharga bawah RM10 dan tukang masaknya adalah orang Melayu, saya hanya dengarkan sahaja. Belum sampai seru buat kata orang. hehe...(saya suka rasa asli sesuatu makanan tanpa perlu diubahsuai mengikut citarasa orang kita).

Lantas, bilamana diberi peluang 'direhatkan' daripada memasak pada waktu tengahari baru-baru ini, saya mencadangkan kami ke restoran berkenaan. Satu, sebab dekat sangat dengan rumah lima minit dah sampai. Dua, saya nak juga merasa keenakkan nasi arab yang dikatakan paling murah dalam negara. 
 
Sekilas pandang, restoran ini sama seperti restoran masakan Melayu lain. Dekorasi yang ringkas selain turut disediakan ruang makan samada duduk di kerusi ataupun makan bersila.

Menunya pula, terdiri daripada nasi arab untuk digandingkan bersama ayam, daging, kambing, udang atau ikan yang dimasak cara Kabsah, Mandy atau Kalili. Harganya pula antara RM8-RM11. Menariknya, nasi ini turut dihidangkan bersama sup, kari, sos, coeslow, salad dan air asam. Benar-benar memberi kepelbagaian kepada deria rasa!

Bukan itu saja, saya turut rambang mata dengan menu lain seperti syawarma, kufta, kebab, thowooq, kacang pool, hummus malahan turkish spaghetti juga turut ditawarkan. Penuh dengan citarasa timur tengah.

 Akhirnya kami memilih nasi mandy ayam dan kabsa kambing. Apabila makanan tiba, saya sedikit teruja apabila makanan dihidangkan di dalam talam. Sesekali makan dalam talam ni seronok juga, lebih mengeratkan ikatan kekeluargaan katakan.

Pendapat saya, nasi yang disediakan rasanya hampir sama dengan nasi minyak orang kahwin atau mungkin hampir ke nasi beriani. Namun, bila digabungkan bersama kambing yang diperap bersama pesto ketumbar / selasih membangkitkan selera kami. Berbanding ayam, kambing memberi rasa perapan yang sangat menyerlah.

Khalish dan Ilhan walaupun kurang sihat akibat selsema, tidak lepaskan peluang menikmati hidangan ini. Sederhana tapi tidak kurang sedapnya. Saiz hidangannya pula sangat mengenyangkan. Benarlah, tak pernah dapat harganya ditawarkan di tempat lain.
Sebelum pulang, sementara menanti syawarma kambing dan ayam untuk dibawa pulang, kami sempat berbual dengan pemilik restoran yang juga seorang pengetua sebuah maahad tahfiz di sini. Cerita beliau, anak-anaknya yang pernah belajar di Sudan, Syria dan Yemen adalah tunggak utama menyediakan makanan di restoran berkenaan. Tidak hairanlah pelbagai masakan timur tengah ditawarkan di dalam menu.

Tambah beliau lagi, mereka turut menyediakan perkhidmatan katering untuk sebarang acara selain pakej makan berkumpulan pada harga yang amat berpatutan. Selepas membayar harga makanan - 2 hidangan nasi arab, 2 jus dan 2 syawarma yang harganya kurang daripada RM40, kami pun terus pulang.
Restoran Nasi Arab Azzahra berada di no 13, Medan Meru Raya, Jalan Medan Meru Raya, Bandar Meru Raya, 30020 Ipoh, Perak. Senang cerita, dari lampu isyarat Mydin Meru Raya, pergi ke Kompleks KDN. Sebelum bulatan ambil simpang ke kiri, restoran ini terletak di bangunan bertentangan JPAM. 


11 comments:

  1. Nasi arab hanith lamb feveret saya.kt sini di cyberjaya paling femes.penah try satu kedai.tukang masak melayu juga.rasanya lebih kpd nasi beriani kambing

    apapun nasi arab xleh mkn selalu.gemuk nnti.hehe

    Tp rega yg ditawarkan mmg murah dr biasa

    ReplyDelete
  2. Kak Irfa, setuju dengan nasi arab tak leh selalu makan. takut gemuk satu hal, satu hal lagi lepas makan badan rasa berat semacam. tapi nak buat macamana, sedap...

    ReplyDelete
  3. Nieda: Boleh buat fan club nasi arab nih. hehehe...

    ReplyDelete
  4. salam..baru je makan nasik arab malam tadi..masih terasa2 kambing dia tu. Nama azzahra ni macam sama dengan restoren nasik arab kat Nilai ni..

    ReplyDelete
  5. Cik Viva, sedap ke azzahra di nilai? kena pergi mkn sana jg nnti.

    ReplyDelete
  6. Salam. Nk minta num phone kedai boleh

    ReplyDelete
  7. saya terlupa letak mana name kad tuan kedai. maaf tak dapat bantu

    ReplyDelete
  8. Assalam..Singgah la restoran makanan nasi arab saya #Jaafar. https://m.facebook.com/hannoonsetiaalam

    ReplyDelete
  9. https://www.facebook.com/pages/Restoran-Nasi-Arab-Azzahra/198445596957838

    Contact Info
    Phone 017-598 3446
    Email nasiarabazzahra@yahoo.com

    ReplyDelete