28 March 2012

Aktiviti Dalam Tren

Perjalanan hampir tiga jam ke KL Sentral gara-gara Ibu diorang ni salah beli tiket. 
Patut beli tiket ETS. Tapi beli tiket tren biasa. *sengal
Nasib baik Khalish naik tren je tidur. Adik kena leka kan dia tengok video Upin Ipin dalam fon.
Asalkan diorang tak mengamuk dan buat sesi lawatan dalam tren dah cukup baik.
Lain kali kita boleh balik Melaka naik tren ye nak....>Ayah budak2 ni keje, tu pasal tak ikut sama.

22 March 2012

Kisah Kelambu Kami (eh, nenek punyalah)

Khalish dan Ilhan tak pernah tidur berkelambu. Kalau ada, kelambu baby macam tudung saji ketika mereka berusia bawah tiga bulan. Lepas tu, kelambu berkenaan disimpan dalam kotak sampai sekarang.

Ayah mereka juga tidak pernah tidur dalam kelambu. Maklum le, orang bandar. Kan En Bapak kan. Tapi, akhirnya merasa juga pengalaman orang kampung ni.

Semasa berada di Melaka selama sebulan tempoh hari, mereka berpeluang (tiga malam sebenarnya) menikmati pengalaman tidur berkelambu di rumah moyang mereka.

Teringat saya semasa hayat atuk, jika tidur malam wajib pasang kelambu di bilik kecil arwah. Kalau tak pasang kelambu, tak lena lah jawabnya.

Malam pertama bermalam di rumah nenek, saya enggan memasang kelambu kerana risaukan anak-anak kepanasan. Namun, tidak lama selepas membentangkan tilam, saya membatalkan niat berkenaan kerana lebih risaukan kami yang berdarah-manis ini bakal menjadi 'hidangan' untuk nyamuk-nyamuk yang berkeliaran.

Khalish hanya melihat saja perlakuan saya menggantungkan tali kelambu di empat penjuru ruang. Diam tapi berminat. Ilhan pula merengek mahukan tali untuk dibuat mainan. (Ilhan memang minat benda-benda bertali untuk dijadikan bahan mainan).

Selepas itu, saya ajak mereka masuk dengan segera-cepat-dan tangkas (untuk mengelakkan nyamuk sekali masuk). Selepas masuk, Ilhan mula meronta mahu keluar. Selepas dipujuk-pujuk, barulah dia mula menyesuaikan diri.

Lepas itu, lain pula ceritanya. Dia mula mencucuk lubang-lubang kecil yang ada di jaring kelambu. Pergh...kalau dibiarkan maunya Ilhan bikin laluan masuk untuk nyamuk pula.

Dah tu pula, siap main gegar-gegar kelambu sampaikan malam kedua kami bermalam di rumah nenek, salah satu tali kelambu terputus. Ilhan, Ilhan...Nasib baik ada tali lain untuk diganti.

Tidur dalam kelambu memang panas ok. Jalan penyelesainnya, saya pasangkan kipas lain di penjuru kelambu supaya tidur kami nanti tidak kepanasan. Hingga ke Subuh, lena kami diulit mimpi tanpa gangguan nyamuk. Yeah, ada kelambu tiada shieltox. hehe...
ceritaceriti: sekarang ni kelambu pun ada yang moden tau. Macam-macam bentuk seperti khemah dan kubah pun ada. Yang kecil macam kelambu baby pun ada, tapi versi dewasa la.

15 March 2012

Tenanglah Atuk di sana

Isnin lepas, genap sebulan Atuk pergi mengadap yang Maha Esa. Moyang kepada Khalish dan Ilhan menghembuskan nafas terakhirnya selepas hampir sebulan terlantar akibat patah tulang pinggul dan peha selepas menunaikan solat.

Masih terbayang dalam kotak ingatan kenangan manis bersama arwah atuk ketika kecil. Memandangkan saya dan adik-adik adalah cucu yang paling dekat dengan atuk dan nenek, saya pernah menikmati zaman kanak-kanak sebagai 'kampung girl' yang sangat manis.

Bersara sebagai tentera yang pernah ke Congo, atuk menghabiskan sisa usianya di kampung halaman dengan membuat kerja-kerja kampung untuk mengisi masa lapang dan menambah sumber pendapatan.

Saya pernah menemani atuk ke laut untuk menarik jaring dan merasa pengalaman menolak dan menarik sampan ke laut. Perit panahan matahari dan kemasinan air laut saya lupakan seketika kerana seronok meredah ombak laut bersama atuk dan hasil tangkapan.

Saya juga pernah meredah ladang getah selepas subuh menemani atuk dan nenek menoreh. Itu pun setakat jadi peneman membawa bekalan sambil beraktiviti menampar nyamuk. Seingat saya, kerja yang pernah saya bantu adalah membantu memutar mesin untuk menipiskan getah beku yang telah dipijak dan dinipiskan.

Getah keping yang telah siap dimesin akan dibawa pulang untuk dijemur hingga kering (ladang dan bangsal letak kira-kira satu kilometer dari rumah atuk). Selain itu, atuk juga gemar membawa cucu-cucunya naik motor ke kedai untuk membeli rokok. Kami juga diizinkan membeli jajan kegemaran sebelum pulang.

Atuk seorang ringkas, suka berjenaka dan tegas. Kami selalu diberi nasihat yang berguna bergantung kepada situasi yang berlaku. Seorang penghisap rokok tegar sejak usia muda, rokok berkotak hitam emas sering menjadi pilihannya.

Makanan kegemaran beliau adalah nasi yang dimakan bersama santan, durian dan gula merah. Paling ringkas, adalah biskut tongkat yang ditumbuk bersama kelapa parut dan gula merah. Minuman kegemarannya pula adalah kopi dan air sirap.

Aduhai, banyak kenangan menerpa di minda tatkala menulis memori ini. Saya pasti Khalish juga masih terkenangkan Tuk Yangnya apabila terlihat gambar kenangan dalam blog Aku Bapak dan album kami. Soalan "mana Tuk Yang" seringkali meniti di bibirnya.

Manakan tidak, ketika atuk berada di Hospital Melaka selama hampir tiga minggu, kami kerap ke sana menziarahi. Bila pulang ke rumah pula, saban petang Khalish (kadangkala memimpin Ilhan) pergi ke rumah atuk untuk bermain.

13 Februari 2012 jam 3.30 pagi adalah detik atuk menghembuskan nafasnya terakhir. Sejujurnya, saya dan emak tidak berasa kehilangannya kerana seolah-olah kami telah bersedia dengan pemergiannya. Manakan tidak, sejak terlantar sakit, boleh dihitung berapa suap atuk jamah dan berapa teguk ditelannya setiap hari. Kami terutamanya nenek dan emak hiba mengenangkan keadaan atuk.

Suasana paling hiba ketika nenek mencium dan menatap jenazah atuk buat kali terakhir. Sungguh...air mata kami yang ada ketika itu turun mencurah tatkala nenek bercakap perlahan dengan nada bergetar..."awak rehatlah sepuasnya. nanti kita jumpa di sana ye.." Sungguh...itu adalah sesi paling menyedihkan pernah saya tempuh.

Terima kasih kerana menjadi atuk yang pernah mewarnai dan membahagiakan saya dan keluarga. Semoga atuk di tempatkan di kalangan orang-orang beriman.

Al-Fatihah.