Isnin lepas, genap sebulan Atuk pergi mengadap yang Maha Esa. Moyang kepada Khalish dan Ilhan menghembuskan nafas terakhirnya selepas hampir sebulan terlantar akibat patah tulang pinggul dan peha selepas menunaikan solat.
Masih terbayang dalam kotak ingatan kenangan manis bersama arwah atuk ketika kecil. Memandangkan saya dan adik-adik adalah cucu yang paling dekat dengan atuk dan nenek, saya pernah menikmati zaman kanak-kanak sebagai 'kampung girl' yang sangat manis.
Bersara sebagai tentera yang pernah ke Congo, atuk menghabiskan sisa usianya di kampung halaman dengan membuat kerja-kerja kampung untuk mengisi masa lapang dan menambah sumber pendapatan.
Saya pernah menemani atuk ke laut untuk menarik jaring dan merasa pengalaman menolak dan menarik sampan ke laut. Perit panahan matahari dan kemasinan air laut saya lupakan seketika kerana seronok meredah ombak laut bersama atuk dan hasil tangkapan.
Saya juga pernah meredah ladang getah selepas subuh menemani atuk dan nenek menoreh. Itu pun setakat jadi peneman membawa bekalan sambil beraktiviti menampar nyamuk. Seingat saya, kerja yang pernah saya bantu adalah membantu memutar mesin untuk menipiskan getah beku yang telah dipijak dan dinipiskan.
Getah keping yang telah siap dimesin akan dibawa pulang untuk dijemur hingga kering (ladang dan bangsal letak kira-kira satu kilometer dari rumah atuk). Selain itu, atuk juga gemar membawa cucu-cucunya naik motor ke kedai untuk membeli rokok. Kami juga diizinkan membeli jajan kegemaran sebelum pulang.
Atuk seorang ringkas, suka berjenaka dan tegas. Kami selalu diberi nasihat yang berguna bergantung kepada situasi yang berlaku. Seorang penghisap rokok tegar sejak usia muda, rokok berkotak hitam emas sering menjadi pilihannya.
Makanan kegemaran beliau adalah nasi yang dimakan bersama santan, durian dan gula merah. Paling ringkas, adalah biskut tongkat yang ditumbuk bersama kelapa parut dan gula merah. Minuman kegemarannya pula adalah kopi dan air sirap.
Aduhai, banyak kenangan menerpa di minda tatkala menulis memori ini. Saya pasti Khalish juga masih terkenangkan Tuk Yangnya apabila terlihat gambar kenangan dalam blog Aku Bapak dan album kami. Soalan "mana Tuk Yang" seringkali meniti di bibirnya.
Manakan tidak, ketika atuk berada di Hospital Melaka selama hampir tiga minggu, kami kerap ke sana menziarahi. Bila pulang ke rumah pula, saban petang Khalish (kadangkala memimpin Ilhan) pergi ke rumah atuk untuk bermain.
13 Februari 2012 jam 3.30 pagi adalah detik atuk menghembuskan nafasnya terakhir. Sejujurnya, saya dan emak tidak berasa kehilangannya kerana seolah-olah kami telah bersedia dengan pemergiannya. Manakan tidak, sejak terlantar sakit, boleh dihitung berapa suap atuk jamah dan berapa teguk ditelannya setiap hari. Kami terutamanya nenek dan emak hiba mengenangkan keadaan atuk.
Suasana paling hiba ketika nenek mencium dan menatap jenazah atuk buat kali terakhir. Sungguh...air mata kami yang ada ketika itu turun mencurah tatkala nenek bercakap perlahan dengan nada bergetar..."awak rehatlah sepuasnya. nanti kita jumpa di sana ye.." Sungguh...itu adalah sesi paling menyedihkan pernah saya tempuh.
Terima kasih kerana menjadi atuk yang pernah mewarnai dan membahagiakan saya dan keluarga. Semoga atuk di tempatkan di kalangan orang-orang beriman.
Al-Fatihah.
great article..starfall
ReplyDelete