Showing posts with label Ilhan. Show all posts
Showing posts with label Ilhan. Show all posts

07 January 2014

Malu Seorang Kanak-kanak

Semalam.

Turun dari kereta cikgu, Ilhan dan Khalish kelihatan muram. Mata berkaca-kaca.
Bila saya tanya kenapa, terus kedua-duanya sebak dan menangis hiba.
Menangis secara duo.

Ilhan: "Kawan-kawan nampak huggies adik. Adik malu"
Khalish: "Kawan-kawan cakap bodoh"

Haishh...menangis guna nada tinggi hampir setengah jam. Puas memujuk hingga kehabisan modal. Mujur ada tart coklat sebagai galang ganti.

Kisahnya, sejak masuk sekolah saya akan pakaikan Ilhan lampin pakai buang bagi memudahkannya buang air. Risau juga takut dia terlepas 'shi-shi' sebab dia memang kuat kencing.

Semalam, saya tak pakaikan dia lampin namun membekalkan dua keping huggies dalam beg sekolah. Agaknya masa dalam kereta ada la budak yang sama-sama dihantar cikgu membuka begnya.

Maka, jadilah kejadian ejek-mengejek. Ikutkan logik, biasalah budak-budak. Yang menjadi masalah, anak-anak saya tak pandai ejek-mengejek ni. Mereka agak lembut hati dan sedikit berkecil hati.

Ilhan juga mengadu ada kawannya (mungkin yang 5 ke 6 tahun) cubit pipi dan perutnya. Mungkin geram, mungkin dia kat rumah selalu dicubit, kemudian lepas geram pada anak orang.

Mungkin.

Geram juga saya, kawan-kawan 'ajar' cakap bodoh. Serius cakap, tak pernah perkataan tu digunakan dalam rumah sebelum ni.

Saya dah pesan pada si abang. Jaga adik, kalau ada orang buat adik, bagitahu jangan buat adik saya. Saya tak suka.
Saya pesan Ilhan, kalau ada kawan-kawan buat adik, cubit dia balik. (sebagai tindakan mempertahankan diri, supaya tak mudah dibuli dikemudian hari).

Harap-harap menjadilah pesanan saya. Dah pesan pada cikgu untuk tengok-tengokkan mereka berdua.

Serius, masa tadika Khalish di Ipoh tiada kejadian begini. Saya sedikit terkejut. Baru tadika ni. Belum sekolah rendah dan menengah lagi.

Bayangan saya, saya mungkin akan jadi 'raksasa hijau' yang akan mengamuk bila anak dibuli di sekolah. Harap-harap saya tak terlalu beremosi kelak.

Naluri keibuan memang begini agaknya apabila kita tak mahu sesuatu yang tidak diingin berlaku pada anak. Jangan kata benda-benda ni remeh atas alasan kanak-kanak. Kanak-kanak perlu disiplin dan adab perlu disemai sejak kecil bagi membentuk peribadi yang elok bila besar kelak. Gitu.
Hari ni abang dah pesan jangan bawa huggies adik lagi. Baik, kita turutkan saja demi menjaga maruah seorang abang dan adik.

Tak sabar nak tunggu mereka sampai depan rumah, nak dengar cerita apa pula harini.

Menanti dengan sabar.

12 April 2013

Ilhan Yang Bermaharajalela Bila Abang Takde

Khalish akan ke tadika sebelum jam 8 pagi. Waktu pulang adalah sekitar jam 12.30 tengahari. 

Jadi, bila ketiadaan abang, Ilhan rasa seperti diberi kuasa mutlak bermain tanpa sebarang gangguan dari abangnya. Kalau Khalish tak usik adik, Ilhan pula sebaliknya. Padahal mainan dibeli samarata dan yang kat tangan abang juga Ilhan nak main. Budak-budak.

Mula-mula, main dengan kereta dia. Siap parking baik punya sambil tangan pegang bear dan nyet-nyet (monyet mainan) oh, anak saya pencinta haiwan tau. 
Lepas main, Ilhan akan buka tab untuk belajar Jawi tak pun saya yang akan ajar dia menerusi Bacalah Anakku. Tapi, sejak dua menjak ni paling saya kurang kesabaran bila alatan memasak saya diseludup keluar satu persatu daripada kotak. Senyap-senyap je, tau-tau dah tersusun kat lantai. Kalau dah main letak balik tak pe juga, ni dia pulak sound bila kita nak simpan. adeh...
Siap cakap "adik achak...adik achak...(adik masak), no, no, no". Ilhan, Ilhan. Mungkin dia terpengaruh dengan Ibu dia yang asyik beribu pejabat kat dapur, tak pun suka layan sama menonton My Kitchen Rules kat 702, Barefoot Contessa, Sugar Dome, Cupcakes War atau Giada At Home.

Padahal dia tahu masakan Ibu dia tiap-tiap minggu sama je. Tak sampai tahap seperti dalam rancangan masakan pun. hihihi...

Seronok juga bila dia menunjukkan minat seperti itu untung-untung dah besar boleh jadi chef terkemuka. Yang tak berapa seronok tu, ruang tamu tempat dia bermain bersepah sana sini - dengan mainan, buku, kereta, basikal, motor, barang masak, makanan. Aduh boleh semput Ibu nak....

12 March 2013

Trauma Tengok Misi Datang

Saya syak Ilhan sekarang ni dalam mood trauma. 
Trauma sebab kena paksa makan ubat, kena pakai gas, kena cucuk antibiotik dan kena masuk air.
Asal nampak misi baju biru je, dia dah tak senang duduk.

Lepas tu, tetiba ajak keluar jalan-jalan gi cafe ke, lobi ke, tingkat 3 tengok En Bapak ke. 
Paling teruk, ajak keluar gi tempat parkir suruh cari kereta ajak balik.
Aiseh...tensi Ibu kamu ni.....

Mana tak tensi, tengah budak tu syok-syok main ke tidur malam ke , tetiba misi datang bawa ubat, akak kena bagi ubat demam dan kahak ni ye. Lepas tu kena nebulizer. Lepas tu buh antibiotik, lepas tu air. 
Kita orang dewasa ni kalau kena ganggu masa tidur pun rasa macam nak bagi orang tendangan halilintar. Ye tak...

Kalau setakat menangis biasa-biasa tak pe juga, ni meraung macam kena dera, siap tendang sana sini macam nak roboh katil. Lepas tu tangisan boleh dengar sampai wad hujung. Arghh...semua tensi. Nasib lah dah memang kaki raung dan susah makan ubat.

Sampaikan misi semua dah boleh kenal suara Ilhan yang garau-serak. Kalau ada Khalish maunya dicakap apalah adik ni, menangis, memalukan. haha...

Lepas pemeriksaan doktor tadi, katanya dah boleh balik petang ni. Alhamdulillah. Yahuu...
Dah tak larat nak berlama-lama kat wad ni. Rimas tak nampak dunia luar.
Sekarang tengah tunggu feedback insurans je, maunya tiga empat jam lagi kita melangut.
Tak pelah, marilah kita menanti lepas satu hidangan ke satu hidangan disediakan.

Tinggallah En Bapak keseorangan petang ni. Harap-harap dia boleh balik esok.
Indahnya dunia, indahnya.

Sekian, dari saya yang tengah bosan.
di wad pediatrik @ hospital pantai ipoh


11 March 2013

Hospital Adalah Tempat Kita Berkongsi Cerita

Perkara yang dibimbangi akhirnya berlaku juga. En Bapak yang dua tiga hari ini demam dan selsema teruk akhirnya ditahan wad. Mujurlah Khalish dibawa Mak balik ke kampung untuk mengelakkan sebarang jangkitan kembali pada dirinya yang telah ditahan lima hari di wad minggu lepas. 

En Bapak juga sah dijangkiti virus dalam paru-parunya. Ditambah pula dengan masalah sinus yang dihadapi sejak sekian lama, menjadikan keadaan selsemanya bertambah teruk. Sudahnya beliau kini ditempatkan di tingkat atas berbanding tingkat dua yang telah didiami Ilhan sejak 6 hari lalu.

Saya reda dengan dugaan ini memandang ia adalah secebis ujian Allah berbanding kesihatan yang telah kami lalui sepanjang tempoh hidup berdua, bertiga dan berempat. Sebak juga dalam hati melepaskan Khalish mengikut Neneknya balik Melaka sementara waktu hingga kesihatan Ilhan dan Ayahnya kembali pulih seperti sedia kala.

Saya cuma berharap agar Allah memberikan sebaik-baik kesihatan kepada saya supaya tidak dijangkiti selain keperluan untuk menjaga mereka berdua. Khalish perlu beralih angin untuk kembali pulih dan saya yakin Atuk dan Neneknya mampu menjaga Khalish dengan malah lebih baik daripada kami. Cucu sulung la katakan....

Maka, memandangkan sudah berkampung di hospital selama hampir dua minggu, aktiviti sosial saya adalah bergaul dengan ibu-ibu lain yang anaknya menghadapi pelbagai sakit. Bila dah terlalu lama dan berkenal-kenalan macam-macam cerita turut dikongsi. Tak kisah pasal kerja, kehidupan, anak-anak, malah politik pun boleh. hehe...Ini kiranya aktiviti berkongsi informasi secara sihat.

Kadangkala seronok juga bercampur dengan ibu-ibu pelbagai kaum dan peringkat umur, banyak informasi bertambah dan rasa macam dah kenal lama pun ada dengan orang sebelah dan depan katil. Masa bawa Khalish rawatan susulan tempoh hari di klinik pakar, ada seorang wanita Cina yang sedang hamil membawa anak buahnya yang baru lahir akibat jangkitan kuning.

Bercerita punya cerita, dia bertanyakan pada saya mengenai kepentingan susu ibu kepada bayi. Kasihan juga sebab rasa dia macam kekurangan maklumat mengenainya. Tambahnya lagi, kebanyakan ibu muda kaum Cina suka mengambil jalan mudah dengan memberi bayi mereka susu formula. Saya berkongsi segala pengetahuan mengenai penyusuan susu ibu dan pengalaman menyusukan Ilhan hingga kini. Sebagai panduan saya juga meminta dia mencari dalam internet khususnya blog pemilik Lunatots dan Sarakids yang juga pakar laktasi yang bertauliah.

Saya juga berkongsi cerita dengan dua tiga orang ibu muda yang beru mempunyai anak sulung. Ada juga tips yang mereka minta dan sekiranya ada, saya turut kongsikan bersama mereka. Staf di hospital sangat membantu menjaga Ilhan. Walaupun kebanyakan masa mood Ilhan adalah kurang baik, namun mereka tetap dengan perwatakan berlemah lembut. Syabas staf Hospital Pantai terutama wad kanak-kanak. 

Dalam proses penyembuhan, doktor berpesan supaya mengurangkan pemberian makanan berminyak kepada anak, mengelakkan membawa anak di tempat sesak selain memastikan keadaaan persekitaran bersih. 

Baiklah, minum petang sudah tiba. Pesakit sedang tidur, biarlah Maknya saja yang makan. hehe...



28 January 2013

Bila Pasar Besar + UTC Ipoh = Sesak!! Tapi...

Sudah tiga bulan saya mengambil alih sesi membeli barang mentah di pasar. Lokasi pilihan sudah tentu Pasar Besar Ipoh. Tahun lepas, biasanya saya keluar rumah seawal 7 pagi di mana budak berdua tu masih lena diulit mimpi.

Lebih kurang jam 7.15 pagi saya sampai dan tersenyum lebar bila parking tingkat bawah pasar lengang, hanya beberapa buah kereta yang terparkir di situ. Masuk 2013, waktu ke pasar agak terlewat sedikit kerana perlu menghantar Khalish terlebih dulu ke tadika sebelum jam 8.
Sampai-sampai pasar, dah jam 8.15 pagi dan agak tension sedikit bila parking bawah sudah penuh dengan kenderaan. Nak cari parking kenalah pergi ke bahagian hujung tak pun tingkat dua kalau ada. Nak parking di luar, memang takde punya sebab penuh.

Arghh...ni semua Pusat Transformasi Bandar (UTC) punya hal. Sejak dibuka awal tahun lalu, tak pasal-pasal saya kena memasuki acara pencarian parking berkumpulan. Bukan saya yang merungut tau, ramai yang bising sebab susah nak parking.

Bayangkan UTC menawarkan perkhidmatan untuk 51 agensi kerajaan dan swasta. Jadi, rasanya kenderaan staf UTC dah berapa banyak yang parking kat situ. Tu belum lagi, peniaga-peniaga pasar, medan selera dan pelanggan yang datang lagi. Aduhai, benci tau bila mood ke pasar terganggu. *emosi la pulak. Baiklah...baiklah....tekanan darah kembali ke paras normal apabila parking kosong dijumpai akhirnya berhampiran tangga ke tempat menjual daging. Yeah...senyum, senyum...
Pantang nampak ikan, suka-suka hati je dia nak pegang budak ni. Habis hanyir satu badan.
Minggu lepas, saya, En Bapak dan Ilhan bersama-sama berganding bahu ke pasar. Selepas acara membeli stok bahan mentah untuk seminggu, kami kemudiannya mengambil kata sepakat untuk meninjau operasi UTC yang kelihatan gah di sebelah pasar. hehe...

Sebelum itu, haruslah kita bersarapan dulu di medan selera tingkat atas. Gerai kegemaran saya sudah tentu gerai mamak Uncle Zubir (sebelah gerai no 14). Sudah beberapa kali saya mencuba roti canai, roti telur spesel (ada sardin, kari dan telur dalam sekeping roti), capati, thosai dan paling sedap adalah apom manis yang lemak manis dan ringan je masuk ke tekak. Fuh...tambah pulak dengan teh tarik kaw.
En Bapak melayan je selera kemamakan saya dan Ilhan. Biasanya saya akan beli saja sarapan bila ke pasar. Ada juga gerai menjual mee goreng mamak bertentang dengan kedai ni. Tukang masaknya adalah seorang pakcik. Sedap juga. Kalau nampak minah indon yang masak tu kureng sikit rasanya, sebab dulu penah beli bakso sup rasa air paip. Ceh...

Lepas mengisi perut, kami memulakan lawatan pagi ke UTC dengan memasuki pintu betul-betul depan kaunter Tourism Perak. Masuk-masuk je, fuhh...agak lega sikit di situ sebab terasa sejuk penyaman udara. Lega...

Jadi, kami terus berjalan, oh di sini ada JPJ, eh Tabung Haji , pejabat Pos, JPN, kaunter polis, dan banyak lagi dan lagi. Kemudian kami masuk ke kedai buku 1 Malaysia. Walaupun tak berapa besar kedainya, namun pilihan buku adalah sangat banyak, terkini dan yang penting harganya lebih murah berbanding tempat lain.

Sebagai contoh, baru-baru ni saya ke MPH membeli karya terbaru penulis kegemaran Ramli Awang Murshid berharga RM25. Tapi kat kedai Buku 1 Malaysia ni, hanya RM22.50. Walaupun murah dua tiga ringgit, jimat juga di situ untuk karya yang sama. Banyak lagi buku-buku terbaru yang murah di sini tak perlu tunggu sale. Novel, buku-buku ilmiah, buku kanak-kanak, alat tulis semua ada di sini.

Oleh sebab kuota membeli buku untuk bulan ni dah habis, kita akan tangguh ke bulan depan beli buku di sini ye. Seterusnya, En Bapak mengajak kami ke Klinik Pergigian 1 Malaysia. Dari kedai buku memang dah nampak klinik ni.

Terus terang, sejak kecil saya memang fobia dengan doktor gigi, jarum dan gerudi tampalan gigi. Menyesal pulak rasa bila saya asyik bising-bising ada gigi geraham yang tersompek ketika mencabut gigi di Melaka tahun lepas.

Selepas membayar RM1 manakala Ilhan tidak dikenakan sebarang caj. Kami menunggu giliran. Seronok juga rasa bila hanya kami yang ada ketika itu. Lengang. Akhirnya giliran kami dipanggil. Ok, doktor muda berbangsa India melakukan pemeriksaan gigi dan menyarankan saya menampal gigi yang berlubang.

Fobia saya sudah datang. Alamak, saya jeling-jeling En Bapak. Beliau tersnyum dan menyuruh saya mengikut nasihat doktor. Alang-alang dah sampai, saya cekalkan hati membenarkan doktor melakukan proses tampalan. *habislah aku..habislah..- kata hati saya.


Tak sampai 10 minit, lepas dia gerudi, tampal dan menekan gigi tersebut. Siap dah. Fuh...memang kerja yang sangat bagus dan berlemah lembut. Tak macam pengalaman sebelum ni di Melaka, semua doktor pergigian adalah diklasifikasi sebagai brutal. Melaka...Melaka...tang memberi khidmat perubatan memang tak pernah berubah sejak dulu, nak-nak klinik atau hospital kerajaan. *eh..tersalah topik nih. sori eh tok ali.

Baiklah, giliran Ilhan pula. Budah ni bila doktor menyuruh membuka mulut, diketapnya gigi dengan kuat dan membuatkan doktor dan jururawat di situ tertawa melihat telatahnya. Naughty boy, kata doktor. Gigi depan Ilhan sedikit terhakis sebab suka sangat makan benda manis seperti gula-gula dan coklat lepas tu payah nau nak gosok gigi.

Jadi, bila keluar semula saya kena bayar lagi caj RM2 untuk tampalan gigi dan senyum dengan gembira. Dua ringgit...dua ringgit...mana nak dapat dik non. Yeah, marilah kita ke kedai pemborong biskut depan tu membeli stok biskut pulak.

Kesimpulannya, walaupun sekarang pasar agak sesak sebab ada UTC, tapi kewujudannya sangat-sangat memudahkan hidup rakyat jelata dengan kemudahan yang ditawarkan di bawah satu bumbung. Lepas ke pasar kita ke UTC, kemudian balik rumah. Alah, masalah parking kat mana-mana ada juga, apa yang penting urusan kita mampu siap dalam sehari. Ye tak?

notajari: teringat saya ketika membuat ic baru di UTC Melaka tahun lepas, dalam tempoh tak sampai 3 jam dah siap walaupun ketika orang yang maha ramai beratur. En Bapak buat ic baru di UTC Ipoh sehari lepas tu baru siap. Kiranya Melaka lebih advance sikit bab ni la kan. hahaha...

03 January 2013

WW: Basikal Pink Percuma

Eksen berbasikal walaupun kaki tak sampai
Berkat doa dan tuah En Bapak masa majlis makan malam syarikatnya, inilah hasilnya. Basikal berharga RM250 yang berjaya dibawa pulang. Walaupun sedikit kuciwa (event suami tapi isteri yang melebih-lebih berharap skuter RM12,000), namun rezeki berpihak juga pada kami.

Tahniah Ilhan, walaupun agak girlish sikit di basikal itu, kita abaikan jelah sebab basikal free kan. Cantik apa...

27 October 2012

Ilhan Sudah 2 thn

Hari ini hero kedua saya, Muhammad Ilhan Amsyar genap dua tahun.

Terima kasih kerana menceriakan hari-hari Ibu, Ayah dan Abang dengan keletah dan ragam adik yang membuatkan meter darah turun dan naik.

Doa saban hari Ibu, adik menjadi anak soleh yang akan mendoakan Ibu dan Ayah kelak. Moga adik membesar sebagai kanak-kanak yang cerdas dan pintar. Sayang selalu.

28 March 2012

Aktiviti Dalam Tren

Perjalanan hampir tiga jam ke KL Sentral gara-gara Ibu diorang ni salah beli tiket. 
Patut beli tiket ETS. Tapi beli tiket tren biasa. *sengal
Nasib baik Khalish naik tren je tidur. Adik kena leka kan dia tengok video Upin Ipin dalam fon.
Asalkan diorang tak mengamuk dan buat sesi lawatan dalam tren dah cukup baik.
Lain kali kita boleh balik Melaka naik tren ye nak....>Ayah budak2 ni keje, tu pasal tak ikut sama.

16 November 2011

Pembantu Rumah Kedua

Khalish yang pertama jadi pembantu.

Sekarang...Ilhan pulak.
 
Mula-mula tolong keluarkan CD dari bakul - kemudian masukkan semula - keluar, masuk, keluar masuk - lepas tu tinggalkan untuk Ibu jejak sapa punya kerja.

Bagus Ilhan...teruskan usaha anda mengenalpasti mana satu CD abang dan mana CD adik. 
Puas bahagian baju, beralih ke rak majalah Ibu.

Tarik-tarik mana majalah dan buku yang berkenan di hati. Kumpulkan dan kalau yang tak berkenan boleh koyakkan sesuka hati.

Bila tegur nada tinggi sikit mulalah mencebik minta simpati.

 
Penyudahnya, si abang jerit "Baby Ian, kin up (clean up). Sepah-sepah...". >sebijik macam Ibu cakap. hehehe... Bagus anak, dah besar tolong betul-betul tahu.





















31 October 2011

Ilhan Amsyar Setahun (part 2)

Plan asal adalah untuk menyambut hari lahir Ilhan yang jatuh sehari awal bersama Mak Su nya (SIL) di rumah MIL di PJ.

Namun, atas sebab yang sayang untuk dielakkan, maka hasrat itu terbatal dengan sendiri. Makanya, tema sambutan kecil-kecilan sangat sesuai dengan keluarga kecil kami. 


Hari setahun Ilhan bermula awal pagi di klinik desa berhampiran. Kebetulan temujanji untuk suntikan pertamanya jatuh pada hari yang sama. Sebab dah tunggu hampir sejam lebih, Ilhan naik bosan dan penat lalu terus rasa gundah gulana bila bertemu nurse.

Yang kelakarnya, Khalish langsung tak mahu masuk bilik nurse sebab trauma. Kelakarla Khalish ni, time orang pandai dia menyibuk, time diri sendiri cabut lari. hihihi

 Sebagai ingatan, Ilhan sekarang dah 9,7 kg (hampir seberat sekampit beras 10kg) dan tinggi 75cm. Patutlah sejak kebelakangan lengan saya cepat lenguh bila mendukungnya. Masa dibilik suntikan terus gelabah lalu menangis.



Sebelah petang, acara wajib yang sedap adalah memotong kek. Jangan tak percaya sayalah tukang buatnya tau. Mendapat inspirasi membuat kek tanpa telur ini ketika menjengah ke dapur Ummi, Kuantan.

Sangat senang, jimat dan sedap. Seronok bila melihat dua beradik comot sana sini bila makan ganache coklat. Tapi, hampir fengsan bila mereka menyapu kesan coklat di sofa kesayangan. iskh...



Selepas itu, masing-masing menggambil tempat menonton Appalam (cerita Papadom versi tamil) di TV2. En Bapak layan sampai habis tu.

Gusar sambutan setahun Ilhan yang simple, En Bapak membawa kami ke KRR untuk makan malam. Ada menu promosi berbaloi-baloi untuk ayam dan ikan bakar hingga hujung bulan ini.
Sedap sosnya. Ilhan makan dengan berselera sekali. Ayam, ikan, muffin, coeslow, makaroni, mashed potato, pendek kata semua mahu dimakannya.


Biar pun sambutan yang simple, kami hanya mahu menggembirakan anak-anak dan mahu mereka tahu kami sentiasa menghargai kehadiran mereka dalam hidup kami suami isteri.

Abang dan adik adalah harta Ibu dan Ayah paling bernilai.

Sayang selalu.

Notajari:
En Bapak kini jauh di mata. Saya dan anak-anak sabar menanti kepulangannya hari Ahad ini. Beliau ke lawatan kerja ke negara jiran. 

28 October 2011

Ilhan Amsyar Setahun (part 1)

27/10 genap usia Ilhan setahun.

Saya asyik mengenang momen melahirkannya setahun lalu. Kejap-kejap melihat jam dan bercakap dengan En Bapak...

: eh, time ni saya dah mula sakit kan?
: time ni saya dah ditolak ke labor room kan>
: 7.11 pg -- yahuu, Ilhan dah keluar.
: 8.30 pg -- time ni masih kena jahit, rasa nak menyepak nurse sebab sempat lagi bergosip.

Syukur, sebab lepas melahirkan Khalish secara caesar, saya mendapat peluang melahirkan Ilhan cara normal. Perasaan seolah-olah bersalin anak pertama. Bila mengenang saat itu kembali membuatkan saya sangat beremosi.

 

Saya mahu Ilhan tahu momen untuk melahirkannya ke dunia ini selepas menginap dalam rahim Ibu selama 9 bulan bukan suatu tugas yang mudah.

Dan tugas saat-saat sebelum kelahiran itu bertambah menduga sejurus Ibu telan minyak selusuh yang dipercayai membantu memudahkan proses kelahiranmu.

Tidak dapat digambarkan bagaimana kestabilan emosi dan keberatan fizikal mengganggu tidur malam ibu. Lagi bertambah walang apabila melihat ibu-ibu mengandung lain di wad sebelah menyebelah lena diulit mimpi.

Sekejap-sekejap ibu bangun berjalan ke sana sini sambil melakukan teknik pernafasan, setengah jam sekali ke bilik air untuk membasuh muka dan membuang apa yang patut. Itu belum dicampur dengan sesi kira mengira apabila bertemu juru rawat. ...oh, baru 2cm, lepas tu 3cm, lepas tu 4cm...barulah Ibu dibawa ke bilik bersalin.

Kasihan pada Ayah adik yang terpaksa bermalam di surau hospital bersama bapa-bapa lain. Hinggakan bantal comel dalam kereta yang dibawa bersamanya hilang dirembat orang. huhuhu...

Kasihan juga pada Abang Khalish yang mahu ikut Ibu ke hospital jam 4 pagi dan ditinggalkan dua hari bersama Nenek di rumah. Mujurlah Nenek sudi datang dari Melaka untuk membantu kita.

Ibu mahu Ilhan tahu, Ibu cuba bertahan sedaya upaya untuk melahirkanmu secara normal meskipun ada risiko menanti. Ibu percaya kekuasaan Allah melebihi segala-galanya.

**Selama ini saya asyik mendengar cerita dari orang katanya sakit melahirkan ni rasanya seperti orang sembelit nak membuang. Serius, saya rasa benda tu lawak sebab masa Khalish tak rasa macamtu) sampai bila sendiri rasa baru faham apa yang dikatakan itu benar belaka.**

Ibu yang ketika itu mamai selepas diberi ubat tahan sakit sedikit keliru antara rasa nak tidur- sakit perut-nak meneran buang air besar-dan cara meneran yang bagaimana diperlukan untuk mengeluarkanmu.

Mujur ada bidan dan nurse yang sangat-sangat bersemangat membantu mengajar cara mengawal pernafasan dan meneran. Dan berkata ...yes, yes, yes bilamana saya berjaya meneran dengan cara yang betul.

Walaupun Ayahmu ada disebelah sambil memegang tangan dan menampung kepala ibu, namun diamnya seribu bahasa membuatkan Ibu sedikit geram. **walaupun Ibu tahu Ayahmu juga terkejut dengan situsi kali pertama ini, agak-agaklah B oii...bagi isteri ekstra booster untuk meneran. hehehe...

Ibu pasti Ilhan juga sangat-sangat bergelut untuk keluar sendiri kan. Yea...kita sama-sama berjuang untuk hidup. Hingga saat tangan Ibu mencapai rambut Ilhan, Ibu tahu anak Ibu ini bergelut untuk mencari jalan keluar. 


Akhirnya, tepat jam 7.11 pagi suara rengekan manja Ilhan kedengaran. Saat memegang dan mengucup Ilhan kali pertama 'segar dari perut' tidak Ibu lupakan sampai bila-bila.

Semoga Ilhan membesar sebagai anak yang pintar dan cergas. Menjadi hamba Allah yang taat serta menjadi kebanggaan Ibu dan Ayah.
Ibu amat menyayangimu. Selamat Hari Lahir yang pertama, sayang.

Wassalam.

nota jari: Patutnya entry ni 27/11, broadband asyik edge je. Sakit jiwa.





03 August 2011

Keranamu, Ramadan

Hari ni masuk hari ketiga umat Islam berpuasa. Harap kita semua bersemangat meneruskan ibadah dengan ceria walaupun kebelakangan ini cuaca panas semacam.

Hari ni juga buat kali pertamanya saya berpuasa sambil meneruskan penyusuan penuh untuk Ilhan. Walaupun dah berlatih masa Syaaban lepas, di penghujung harinya saya agak keletihan + tekak kering semacam. Walaupun itu budak kecik dah 9 bulan dan makan macam-macam (gamaknya batu dan kayu pun tak ditolaknya), Ilhan adalah salah satu contoh budak kuat minum susu.

Nak tidur pun, mesti nak berkopek dulu. Aduhai...rasa dehidrasi semacam. Saya dah tak mengepam sebab Ilhan lebih enjoy BF terus. Kalau masuk dalam botol sure dia lambat-lambat je nak habiskan susu perahan. Hurm...,demi anak, sabar je menanti jam menginjak ke angka tujuh. (Fuh3....macam budak-budak berpuasa walaupun dah jadi mak budak. kikiki...)

Ramadan kali ni saya rasa paling menduga kami sekeluarga esp adik beradik. Syukur, hajat Mak dan Ayah untuk sambut Ramadan dan berhari raya di tanah suci dimakbulkan tahun ini.

Mereka berlepas ke Jeddah tiga hari sebelum puasa. (kami lepak di KLIA dari jam 11.30 malam sampai 2.30 pagi - flight jam 3.45pg). Tak sangka ramai juga malam tu di KLIA. Bila dah berjauhan beribu-ribu kilometer ni, teringat momen manis bersahur, berpuasa dan berbuka dengan famili.

Time sahur, biasanya kami makan simple, lauk bergoreng like nasi goreng + ikan kering jadi pilihan. Teringat betapa payahnya nak kejutkan Kimah, Aisyah, Azam dan Acu bangun sahur. Rasa nak baling mercun kat telinga diorang.

Time berbuka paling syiok, boleh cakap tiap-tiap hari Ayah adalah orang yang akan membuat lawatan ke bazar sekitar Masjid Tanah. Paling kurang beli air soya / air tebu, murtabak, kuih kegemaran saya - kuih sagu merah, serabai, karipap pusing dan popia sambal. Semua ada peminat sendiri.

Sementara tunggu berbuka, kami adik beradik bersinsing lengan baju tolong mak hidang lauk. Makanan di minggu pertama berpuasa adalah heaven penuh semeja. Belum kira jiran bagi lagi. Orang azan je, Ayah baca doa berbuka dan semua makan tak ingat dunia.

Lepas tu, mulalah Ayah bising suruh cepat2 solat Maghrib. Ayah bekas tentera, so stail makan beliau adalah sangat cepat. Contoh, baru makan tak sampai setengah pinggan, Ayah dah basuh tangan dah. Mak pun selalu bising suruh Ayah kunyah dulu makanannya. Ayah cakap dah terbiasa sejak bujang lagi.

Lepas Isyak, Ayah jadi Imam solat terawih. Biasanya kat rumah nenek (belakang rumah je). Dah banyak tahun sejak nenek dan atuk tak sihat, kami solat terawih kat rumah. Permintaan nenek sebab tak nak ketinggalan buat solat sunat tu. Kadang2 Mak Long sekeluarga di Pengkalan Balak join sekali. Meriah sungguh, penuh ruang tamu rumah nenek.

Lepas solat, ada moreh. Budak-budak time tu sibuk main bunga api dan mercun - biasalah kat kampung ramai yang jual benda-benda seludup ni. Saya join sekaki kalau ada bunga api besi - bila bakar ada twinkle2 little star.

Bila teringat, rasa menitik air mata. Rindu sangat rasanya suasana tu. Agaknya apalah Mak dan Ayah berbuka. (emo semacam padahal diorang ikut pakej complete semuanya). Nasib baik ada bekalkan rendang segera, serunding, acar buah dan sambal bilis stok diorang kat sana kot-kot la rindu menu Malaysia.

Harap-harap, Abang dan Acu kuat semangat berpuasa di asrama, Adik di Putrajaya dan Aisyah di Sungai Besi tak risau sangat sebab diorang dah pandai hidup berjauhan dari mak ayah.

Moga Mak & Ayah dapat menunaikan ibadah dengan sebaiknya.
Dan semoga kami adik beradik dapat mengharungi hari-hari Ramadan ini dengan penuh semangat walaupun Mak Ayah tiada di Malaysia.

Sabarlah, raya ketiga atau keempat nanti, kita tunggu Mak Ayah sambil makan kuih gunting di KLIA eh.


**pssst...rasa macam panjang berjela entry ni, syukran sebab sudi baca sampai habis sebab saya tak reti-reti nak ringkaskannya. hihihi...>senyum mode mata kelip-kelip

22 July 2011

Demam Chicken Chop

Semalam turn Ilhan check up 9 bulan.
Tengah elok tunggu giliran tiba-tiba ada 1 family ni menonong je bawa dua anak mereka masuk bilik misi.
Beberapa saat kemudian, dengar misi tu ketawa kuat tak ingat.
Ok, seminit lepas tu family ni keluar. No giliran saya dipapar di skrin.
Lupa bgtau, saya di Klinik Desa Chepor bersama Ilhan yg cool.
Abangnya, Khalish saya pasti sedang bad mood di rumah bersama Bapak dia - kena tinggal paksa. hehe...

Misi : Hari ni saya dapat nama penyakit baru. Tu gelak tak ingat dunia tadi. Tak tahan.
Saya : Ceciter sikit.
Misi : Tadi puan tu bawa anak dia dengan konfiden cakap, "Nurse, anak saya kena demam chicken chop. Cuba tengok bintik-bintik merah ni. Saya apalagi, gelak tak ingat. Tak tahan...
Saya : Hahaha...patutlah.

Hehehe...jangan akak tu gi kedai makan order chicken pox sudah. Haru...

Oh, si babam Ilhan saya ni sekarang :

Berat : 8.75kg (naik 500gm)
Tinggi : 72cm (naik 5cm)
BMI : 17 (turun 1.3)

Sebab turun kerana berat naik sikit, tinggi naik banyak.
Tak pe Ilhan, janji anak Ibu ni berselera makan apa saja dan minum susu ibu.

Sekarang ni, sibuk berlatih aksi merangkak.
Tempat dahan berpaut adalah badan Ibu, Ayah dan Abang.

24 May 2011

Aktif Sudah

Jumaat lepas suhu badan Ilhan sedikit panas dari biasa.

Seperti sebelum ini, bila jadi begitu saya cuma berinya susu banyak-banyak dan jeram badan dan kepalanya dengan air atau air asam jawa. Lepas sehari, still tak kembali pada normal. Kami kemudiannya membawa Ilhan ke klinik panel untuk pemeriksaan.

Suhunya mencecah 39 darjah dan terus diberi ubat cucuk montot. Aduhai...cian anak ibu, patutlah Ilhan baring saja tak golek-golek sana sini. Bila ibu jauh sikit mulalah merengek minta dipeluk dan nak berkopek.
Kami syak mungkin gigi Ilhan mula nak tumbuh sebab gusinya dah nampak kembang dan macam ada garis gigi nak keluar.

Kesian kan bila tengok anak-anak esp baby bila sakit. Nak cakap tak tahu, yang tahu cuma buat ekspresi muka, merengek dan menangis. So, sebagai ibu pandai-pandailah baca apa yang anak sendiri perlukan.

Hari ini, Ilhan semakin sihat dan kembali aktif mengoyak timbunan surat khabar lama. Syukur alhamdulillah, mood untuk berblog ibu juga kembali pulih. hehe....

24 April 2011

Tiga Hari Lagi....

Lagi tiga hari anak kedua saya, Ilhan genap 6 bulan. Yahuu...suka sebab makan time dah tiba.

Sangat tidak sabar tunggu 27hb ni sebab nak mulakan suapan pertama makanan pejalnya.

Ok, menu hari-hari pertama beliau adalah puri buah, diikuti puri sayur dan barulah kanji aka bubur. Susu ibu hidangan wajib tau. Anytime anywhere. Ewah...cam slogan lak. Walaupun dah ada pengalaman masa Khalish dulu namun tetap rasa macam baru jadi ibu. hehe...


*Khalish makan time

Sedang mengumpul info dan menelek resepi yang bersesuaian. Mungkin akan mereka-reka resepi sendiri untuk si comel saya itu.

Sabar Ilhan, Ibu akan sediakan makanan sedap untuk kamu.
Makan banyak-banyak bagi montel lagi.