Showing posts with label SPA. Show all posts
Showing posts with label SPA. Show all posts

06 May 2015

Pengalaman Temuduga Penolong Pegawai Antidadah S27 2015 (part 2)

Assalamualaikum...

Temuduga jawatan ini telah berakhir hari Khamis lepas.

Maka marilah kita bersama-sama berkongsi pengalaman temuduga. Nanti share di ruang komen ya.

Saya dijadualkan pada sesi 11.30 pagi. Temuduga kali ini dikendalikan oleh pegawai SPA dan wakil daripada AADK.

Temuduga kali ini saya sifatkan lebih santai dan mesra alam...

Apabila nombor giliran tertera di skrin atas pintu...silalah bersedia dengan senyuman paling manis pernah dilihat.

Selepas masuk dan menyerahkan fail dan resume...

Penemuduga SPA berkata, : "Puan boleh mula memperkenalkan diri apabila puan telah bersedia..."

Terus saya tarik nafas dan senyum...masuk dah mood promoter dalam jiwa...hihi

Macam biasa silalah bercerita mengenai latar belakang anda yang PALING padat dan bersesuaian..
Jangan meleret-leret sampai nak cerita pasal hobi ke...anak suka makan apa...pakai kereta apa memang menempah kebosanan penemuduga jawabnya.

Soalan awalan mudah antaranya :

- Apa yang ada pada logo AADK? Kenapa simbol tu bukan simbol tengkorak ke...jarum suntikan ke...
  Tau tak apa jawapan saya agaknya? Boleh email nak tau. hihihi

- Jenis-jenis dadah yang ada...(ni kalau boleh bagi banyak nama sikit)

Soalan-soalan pengetahuan am :

 - Siapa pengarah AADK? Menteri bertanggungjawab?
(silalah bagi dengan betul pangkat dan nama penuh)

- Soalan berdasarkan lulusan diploma saya :

  Ceritakan mengenai 2 iklan AADK yang ditayangkan di televisyen.
  Apa mesej yang hendak AADK sampaikan.

- Kebetulan saya berasal dari Melaka, ditanyanya ada berapa pusat serenti di sana.

- Kebetulan pula, daerah tempat saya tinggal pernah ditandakan sebagai 'kawasan hitam' dadah, saya diminta memberikan cadangan bagaimana untuk memutihkan kembali kawasan berkenaan. Langkah terperinci jangka pendek...jangka panjang...pembabitan...

-Mengapa saya pilih untuk kerjaya ni? Apa yang boleh disumbangkan? Saya individu yang bagaimana?


Tak sedar 30 minit dalam bilik penemuduga...eehh macam sekejap sangat dan sesi berlangsung dengan penuh keterujaan...kahkahkah poyo. Serius sangat santai dan seronok!!!

Terima kasih kepada dua penemuduga terbabit...tak kiralah samada saya berjaya lulus temuduga atau tidak, saya rasa puas hati sangat dah jawab yang terbaik yang pernah saya lalui.


#Harap membantu bagi calon akan datang...untuk sebarang pertanyaan dan tips mengupgrate pengalaman sedia ada anda...jangan malu-malu email saya di adahsyafiah@yahoo.com. 
Khidmat perkongsian adalah percuma...


Sekian,

Terima kasih sudi membaca entry ini. :)


- 



















23 April 2015

Pengalaman Menduduki Peperiksaan Online Pen. Pegawai Penerangan S27

Assalamualaikum...

Kejadian berlaku pada hari yang sama temuduga bagi jawatan Penolong Pegawai Antidadah iaitu pada 15 April lepas.

Temuduga sebelah siang, peperiksaan sebelah malam...rasa sibuk macam kembali ke zaman pelajar pula.

Sebelum ni, saya pernah menduduki peperiksaan jawatan yang sama ketika bermastautin di Ipoh.

Meh teman kabo sikit cerita lama yang tak pernah diceritakan secara terperinci (sebab bengang sangat masa tu)...tahun 2012 punya cerita. Masa tu daftar jawab exam di Ipoh, tapi dapat surat mengatakan kena pi Kedah jawab soalan kat sana. Kita yang tak banyak hal, oklah boleh melawat Kedah sekali.

Sehari sebelum exam sampai dah. Esoknya bersemangat lahai berpagi-pagian pi INTAN di Alor Setar. Tup-tup...kecoh pengurusan mengatakan tiada sebarang peperiksaan berlangsung. Bayangkan kami lebih kurang 50 calon terpinga-pinga..rasa macam eh kita ni kena prank ke ape...

Masing-masing menggelabah telefon SPA...tiada sebarang jawapan awal pagi sangat staf tak sampai lagi agaknya. Hinggalah dekat jam 10 dan hanya 11 orang yang tinggal termasuk saya, tak lama kemudian ada seorang calon maklumkan yang peperiksaan yang sama sedang berlangsung di Wisma Negeri.

Gigihlah kami pakat-pakat tumpang kereta kawan ke lokasi yang dinyatakan. Luluh hati (ecewah) melihat betul ada peperiksaan SPA berlangsung di sana dan mereka hampir selesaikan seksyen 2. Kitorang yang 11 orang ni jawablah soalan kat luar dewan...nasiblah ada kerusi meja kan...kalau disuruh jawab atas lantai maunya bertambah hiba hati.

Jawablah juga soalan...masa tu ada soalan esei sekali. Dah la tiada masa rehat langsung...disuruhnya kami anak tiri ni jawab direct 3 kertas soalan.

Ingat genius sangat ke...habis jawab periksa...otak memang stuck terus.
Balik Ipoh...saya terus email SPA dan email balasan adalah sangat cepat selang 2 jam sahaja. Siap telefon lagi pegawai yang berkenaan.
Mereka membuat keputusan memanggil semula calon yang mendapat surat mengatakan exam di INTAN dan menduduki semula exam di negeri masing-masing. Means, yang balik rumah semua dapat gi exam balik...kitorang yang 11 orang yang tu dah jawab kan...tak yah datang.

Hoi..menci tau jawab soalan dalam tekanan.

Takpelah...itu cerita 2012...sekarang banyak dah transformasi yang SPA lakukan..

Antaranya, sesi peperiksaan. Dulu, exam stail lama - manual menggunakan kertas dan pensil.

Sekarang...jawab soalan secara maya lebih santai jawab soalan sambil makan burger. phew...

Macam biasa, ada 3 seksyen soalan yang perlu dijawab.

Pertama, pengetahuan am.
Soalan adalah sangat mencabar ketika mana hang pa tak baca mengenai jabatan penerangan dan seangkatan dengannya. Kalau tiba-tiba tak pasti jawapan bolehlah check dalam handphone memasing dan yang pasti masa tu website jabatan traffic lah..bhahahaha..

Kedua, soalan daya menyelesaikan masalah (matematik).
Masa sekolah pun tak berapa bersemangat nak selesaikan soalan exam, tiba-tiba untuk kemasukan SPA bersemangat gila...dah kenapa! :)

Ketiga, soalan penaksiran personaliti. 
Perghh..benar-benar menguji daya ketahanan akal waras apabila perlu menjawab 102 soalan dalam masa 20 minit. Lepas tu dah la jawapan lebih kurang sama 
    A: Sangat kerap 
     B: Kerap            
C: Tidak pasti
       D: Kadang-kadang
  E: Tidak pernah

Lepas habis soalan ketiga, otak terus jemm...hahaha...

Apapun, keputusannya pada 20 April lalu...
Alhamdulillah LULUS dan menanti untuk panggilan ujibakat depan penemuduga. 
Marilah kita bersedia sebelum mood promoter tiba...

Good luck semua...

20 April 2015

Pengalaman Temuduga Penolong Pegawai Antidadah S27 2015 (part 1)

Assalamualaikum...

Amboi-amboi...
mencanak-canak pageview panggilan temuduga jawatan di atas :) ...
Ramai la yang dipanggil interview yer..
Hajat di hati nak berkongsi pengalaman....
Tapi...tapi nanti kita tunggu sampai 29 April ni (hari last interview) baru adil bagi semua pihak ye...hihihi...

Rilek korang...

Sebagai selingan...

Tengok tak statistik kekosongan jawatan ni dalam website SPA?

Nangis tau...

Kekosongan --> 29 orang
Simpanan     --> 100 orang
Dipanggil IV --> 3635 orang

Jadi, kebarangkalian terpilih adalah 1: 3635

#saya memandang serius kepada penemuduga...hihihi...

# Pengalaman Temuduga (Part 2)

20 March 2015

Panggilan Temuduga Penolong Pegawai Antidadah S27

Assalamualaikum....

Di satu petang yang sangap-sangap...ternampak satu email dari SPA.

Yeay...panggilan interview lagi untuk kali kedua tahun ni...selang sebulan dari jawatan bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kali ni...panggilan interview untuk Agensi Antidadah Kebangsaan...mata terus segar...

Dekat 5 tahun saya tunggu panggilan untuk jawatan ni...akhirnya sampai juga giliran...

Syukur...

Ada sesiapa yang pernah pergi temuduga untuk post ni? Kongsi sikit sebagai inspirasi boleh...? hehe...

Gigihlah pula kita menjelajah website AADK dari a-z.

Owh SPA...'belanja' satu post untuk saya yer....

:-)...

Pautan berkaitan:

# Pengalaman Temuduga (Part 1)

# Pengalaman Temuduga (Part 2)

12 June 2013

Keputusan Pac Sesi Pertama PPPM S27 Dah Keluar

Jam 12 tengah malam baru check e-mail untuk hari Selasa.

Alhamdulillah, terus sujud syukur bila terima email dari SPA memberitahu saya LULUS pada keputusan Pac sesi pertama pada Mac lalu. Lega sangat-sangat berjaya ke peringkat seterusnya iaitu temuduga. 

Mana tak lega, terbayang-bayang masa nak duduki exam untuk Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPPM) tahun lepas, memang tak senang duduk selagi tak sampai hari peperiksaan. Lepas tu, risau lagi kena tunggu sebulan lebih keputusannya. Dah lulus, risau lagi nak ke Pac sesi pertama. Lepas tu risau lagi kena ngadap Pac sesi kedua. Risau lagi dan lagi jenuh tunggu result - ibarat kata, katakanlah..katakanlah lulus ke tidak ni. Dah lulus, syukur sangat-sangat. 

Teringat pula setiap kali nak exam, nak ke pac En Bapak diberi tugas penuh menjaga Khalish dan Ilhan seharian. Ke Alor Setar, ke Taiping, ke Kepala Batas kena berangkut. Mujur En Bapak sanggup berkorban masa, tenaga dan RM untuk memenuhi cita-cita isteri dia ni nak bekerja balik. Anak-anak juga tak banyak ragam. :)

Tapi...lepas ni risau datang balik sebab perlu bersedia dipanggil temuduga pulak. Mau ketaq lutut dan mulut sebab dah banyak tahun tak pergi temuduga. Rileks...tarik nafas panjang-panjang...lepas....

Saya sedar ramai persaingan yang hebat-hebat bakal dihadapi, saya perlu berusaha untuk membuktikan bahawa saya juga layak diberi peluang untuk turut serta berbakti kepada masyarakat, bangsa dan negara kelak. In sha Allah, doakan saya ye. 

notajari: sapa belum check silalah check kat website SPA ye.

xoxo

16 May 2013

Sabtu ni ada PAC 2 : Pembangunan Masyarakat

Lepas bercuti lama balik kampung sempena PRU lepas, akhirnya mood menaip kembali. Baiklah, mood sipi-sipi.

Sekarang dalam hati ada semak samun sebab sedikit risau untuk menghadiri PAC kali kedua Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat S27 di Pusat Latihan Kemas Kepala Batas, Sabtu ni. Masih tak dapat gambaran bagaimana ujian penapisan calon akan dikendalikan.

Hari tu JKM yang uruskan PAC kali pertama, ni KEMAS pula. Nampak paling ketara adalah akan berpakaian sukan sepanjang hari. Ada ujian kecergasan pulak tu, habislah dahlah berat badan kebelakangan ni di luar kawalan (kononnyalah padahal diri sendiri suka makan). Berharap masa ke pasar, ulang alik mengemas rumah dan mengambil Khalish di tadika akan membantu mengekalkan stamina berlari kelak. hihihi...

Paling best lagi adalah kami tak dapat lagi tempat penginapan di Kepala Batas. Hotel yang ada hanyalah Seri Malaysia. Homestay banyaklah tapi setakat ni yang saya kol sume dah penuh. So, esok lepas Khalish balik tadika kami akan terus ke sana untuk cari tempat menginap. Alternatif terakhir adalah tidur je di Seri Malaysia walaupun rasa nak nangis bayar duit hotel yang boleh dibayangkan interior designnye sama kat mana-mana. 

Dengarnya ada sesi pengucapan awam, so bersedialah dengan segala input yang munasabah untuk dibentangkan kelak. Setakat 5 minit apa la sangatkan, kekalkan wajah tenang dan isi yang mantap. Phew...Allah saja yang tahu perasaan mereka yang akan berucap depan orang ramai. 

Itu sahaja buat kali ni, bagi mereka yang akan ke PAC untuk jawatan ni, selamat berusaha semua dan semoga ada peluang yang baik untuk jawatan ni. Akhir kata, terimalah kata-kata klise dari saya: "Bukan senang nak jadi senang dan bukan susah nak jadi susah. Apa yang penting berusahalah, lepas tu berdoa dan bertawakal".


p/s: Jangan lupa bawa pensil, pen, pemadam dan buku nota. Elakkan menyusahkan orang sebelah dengan meminjam pemadam ketika menjawab soalan psikologi. Stress tau!

18 March 2013

Tips Untuk Calon PAC 2013

Lepas berjaya melepasi ujian bertulis SPA tempoh hari, saya diminta untuk menghadiri Program Assesement Centre (PAC) di Rumah Seri Kenangan Taiping, Sabtu lepas.

Calon yang sepatutnya hadir sepatutnya kira-kira 130 dan yang hadir hanya 98 orang. Program berlangsung selama sehari dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang. Rata-rata yang hadir kebanyakannya telah bekerjaya samada dengan sektor awam dan swasta. Tapi yang menariknya, dikhabarkan hampir 80 peratus yang menghadiri PAC (khususnya jawatan penolong pegawai pembangunan masyarakat s27) adalah daripada KPSL sejak 2008. Sangat kompetitif.

Apa yang dapat disimpulkan di sini berdasarkan pengalaman saya menghadiri PAC berkenaan adalah:

1. Calon seharusnya lebih tenang dan mengawal perasaan gugup. 
2. Perlu lebih bekerjasama dengan rakan sepasukan supaya tidak dilihat 'gila kuasa' dalam menyampaikan sesuatu idea.
3. Calon perlu melontarkan idea yang bernas dan tidak melalut dengan isi yang tidak berkaitan.
4. Tidak berbangga diri dengan tempoh perkhidmatan 5, 10, 15 atau 20 tahun kepada mereka yang baru bekerja.
5. Muka jangan berlagak dan rasa diri hebat berbanding orang lain.

PAC JKM ini adalah kali pertama diadakan dan bagi saya ia sangat mesra calon dan tidaklah menakutkan seperti yang dibayangkan. Fasilitator dan urusetia sangat membantu dan sesi ini berlangsung dalam suasana latihan dalam kumpulan.

Nanti ada ujian psikologi SPA, jangan lupa bawa pensil 2b jawab. 185 soalan dalam masa 40 minit. Perahlah otak dengan sebaik mungkin kerana soalannya mampu membuatkan gegaran medula oblongata serta DHA dan ganglioksida berhubung dengan cepat. hahaha...lepas tu tensi dengan orang sebelah tanya macamana nak jawab dan asyik pinjam pemadam. Sabar dalam senyuman. *kecik je aku tengok dia ni.

Paling menyentuh hati, ada sesi lawatan bertemu warga emas di mana kebanyakan warga emas yang saya temui adalah bekas anggota polis dan ibu tunggal yang ketiadaan anak. Tidak dapat dibayangkan saya menghabiskan sisa hidup seusia mereka di rumah ini. Sedih, tapi perlu berwatak hati kering di depan mereka.

Ada calon yang mengawal latihan berkumpulan secara total. Ada calon nak cakap, dia potong lepas tu suka-suka hati meminta orang mengeluarkan banyak pendapat sedangkan diri sendiri hanya ada satu isi yang kurang mantap. Alahai...bajet bagus sangat. Stress orang kiri kanan depan belakang tau, ahkak oiii...

Bagaimanapun, sesi petang adalah sangat bagus dengan kumpulan yang lain. Moderatornya adalah calon KPSL yang telah berkhidmat 20 tahun. Sangat berdiplomasi, bijak mengawal sesi dan kelakar. Saya tak terkejut jika beliau lulus PAC ini.

Jika lulus, calon seterusnya akan dipanggil temuduga. Dengarnya hanya kira-kira 80 kekosongan jawatan yang diperlukan. Bayangkan minta beribu-ribu, PAC ini 800, yang lulus kelak 400 untuk ditemuduga, kekosongan 80. Hurm...tawakal pada Allah. Kalau dah rezeki Allah tetapkan, takkan ke mana.


11 December 2012

Tips Menghadiri Pemeriksaan Fizikal, Pancaindera & Kecergasan

Sabtu lepas saya telah menghadiri pemeriksaan fizikal, pancaindera dan kecergasan bagi jawatan Penolong Pegawai Pertahanan Awan S27. Dukacitanya dimaklumkan saya terkandas pada bahagian ujian pancaindera sebab rabun silau yang melampau.

Walaupun sebelum ni En Bapak beberapa kali mengajak saya membuat cermin mata, saya menolak dan enggan menerima kenyataan bahawa diri ini rabun. Namun, selepas pemeriksaan berkomputer di focus point semalam, saya akur dan akhirnya mengaku diri ini rabun. Yeah, rabun silau je ok.

Rasa sedikit terkilan sebab saya memang minat untuk bekerjaya dalam unit beruniform satu, sebab tak yah fikir nak pakai baju apa bila nak pergi kerja, dua sebab nampak smart je dalam uniform. Tiga, gagal hanya disebabkan tak boleh nak baca huruf dengan baik. Hoi! Benci tau. Lainlah sebab gagal tak dapat panjat tali ke, tak habiskan larian 2.4km dalam masa 17 minit ke, tak larat angkat tangga 90 darjah ke. Rabun?? Memang tak dapat nak tolonglah.

Walaupun begitu,  rasa terkilan tu tidaklah seteruk terkilan tak lulus periksa penerangan kat Alor Setar tu sebab dah serap maklumat bagai nak rak sampai 3 pagi, pastu sanggup pulak buat ulangkaji balik soalan math masa sekolah menengah dulu (padahal time sekolah pun malas nak buat latihan), alih-alih time periksa tak leh jawab dengan baik juga. Perasaannya sungguh meruntu qolbu. Penah rasa? Penah? >Eh, melalut sangat jauh.

Baiklah, di sini dengan rendah diri saya ingin berkongsi tips untuk mereka yang pertama kali menghadiri ujian pemeriksaan fizikal SPA ini. Kebiasaannya pemeriksaan ini khusus bagi 24 jawatan beruniform yang dipohon calon. Pendek kata, hanya mereka yang cergas, sihat fizikal, dan berjiwa kental saja mampu melepasi pemeriksaan ini.

Diingatkan bahawa tips ini hadir daripada pemerhatian, pengamatan dan pengalaman sebenar saya. Baiklah, saya kongsikan tips JANGAN dulu ye:

JANGAN PERGI:

1) Kalau ketinggian dan berat korang tidak seimbang. Dalam erti kata BMI terlebih. 
Dalam surat panggilan ada menyebut SPA menetapkan ketinggian minima bermula daripada 1.57m bagi lelaki dan 1.53m bagi wanita tanpa sepatu, ataupun berat minima 48kg bagi lelaki dan 46kg bagi wanita. 

Kalau dah periksa BMI dan pasti bahawa julat diperlukan tidak melebihi 19-26, korang boleh pergi dengan senang hati. Agak-agak kalau BMI tersasar jauh daripada julat berkenaan, saya syorkan rileks saja di rumah pada hari pemeriksaan berlangsung.

Cara macamana nak kira BMI, korang boleh google sendiri caranya ataupun lagi mudah buat macam saya cari je mesin BMI yang ada kat pusat membeli belah. Masuk je 40 sen automatik dia akan keluarkan sekeping kertas tercatat berat, ketinggian, BMI dan julat BMI lagi. Senang bukan?

Sebab apa kena periksa BMI siap-siap? Saya perhatikan kebanyakan calon berbadan besar (maafkan saya), terkandas pada sesi ujian fizikal dan diarah pulang selepas itu. Jangan marah penguji pulak kalau BMI korang terlebih ye. Salahkan diri sendiri. Tapi, kalau rasa "alahai blogger ni, memandai tak bagi pergi apahal. Biarlah, orang nak cari pengalaman". Oh, bukan tak bagi pergi cuma rasa kasihan pulak sebab nanti pengalaman anda setakat ukur ketinggian dan berat je pun. Kalau lepas oklah, kalau tak disuruh balik juga. Makanya, pengalaman korang setakat daftar, tunggu giliran diperiksa, ukur tinggi dan berat. Kendian balik. :) (Pastu lalu pulak depan keluarga dan kerabat calon lain yang datang sambil mendengar suara-suara halus cuba lagi ye dik. Dah macam budak AF terkeluar pun ada gak. Sebel ok).

2) Kalau yang dah kahwin dan disahkan mengandung tak kiralah berapa bulan sekali pun disyorkan tarik diri awal-awal. Sesi yang saya hadiri tempohari ada seorang calon yang mengandung 6 bulan. Molek je orangnya tak nampak pun macam mengandung. Pengawai penguji ada maklumkan, mereka tidak menghalang namun mengesyorkan calon berkenaan tarik diri sebab tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Tambahnya lagi, kalau berkeras juga, mereka minta calon buat satu surat dan tandatangan beserta suami calon sebagai saksi. 

Calon yang datang ini, pertama kali dipanggil SPA (time mengandung lak tu, teringat masa mengandungkan Khalish dulu dapat panggilan bomba, dah 8 bulan apahal nak pergi, kang tak memasal terberanak awal) so dia khuatir SPA senaraihitam nama dia. Jangan risau, ada rezeki nama anda akan dipanggil kelak. Macam saya, tahun ini alhamdulillah dah tiga kali SPA panggil. Tapi yang lepas satu jelah, tu pun PAC tahun depan. Syukur. 

3) Kalau rasa rabun macam saya silalah test power kot-kot ternampak pulak time nak diuji tu. Ujian penglihatan dilakukan berasingan kiri dan kanan. Tanpa cermin mata / kanta lekap (diorang check tu). Mula-mula diorang tunjuk huruf kat carta ujian penglihatan secara rawak. Lepas satu baris, baris berikutnya. Kurang-kurang pun markah yang diperlukan V/6/9.

Malang betul saya sebab masuk baris ketiga je saya main sebut je huruf yang ada sebab betul-betul imej yang terhasil seakan melarut dalam iris. Saya rasa penyumbang utamanya adalah lampu bilik berkenaan yang membuatkan mata saya silau. Dah la jarak berdiri 20 kaki, sah-sah huruf yang halus-halus tu takkan nampak. *sudahlah, banyak alasan pulak dia ni. dah rabun tu terimalah hakikat walaupun sukar ditelan. ceh...

Kalau yang rasa rabun warna tu, jangan ingat selamat. Ujian rabun warna dan pendengaran pun ada lepas tu, kalau tak lepas, silalah balik juga. 

4) Ada penyakit kronik atau kecacatan. Ada calon yang dari mata kasar nampak semua ujian boleh lepas. Tapi, tidak sebenarnya. Ini ditentukan semasa pemeriksaan fizikal (sesi ini dikendalikan berasingan jantina) di mana calon perlu membuka baju untuk memastikan bahu, tangan atau kaki tiada bengkok. Sebab apa, saya rasa ini penting untuk memastikan calon yang terpilih nampak segak ketika berkawat dan bertugas.  

Oleh itu, katakanlah sebelum ini calon ada kemalangan - patah di mana-mana anggota, penting untuk memasukkan besi untuk membetulkan semula allignment supaya tidak kekal bengkok. Orang kata simen je boleh elok. Memang tulang akan cepat tumbuh tapi belum tentu akan kembali ke bentuk asal. Ada faham?

Baiklah, info JANGAN hanya setakat itu yang dapat saya senarai dan kongsikan. Kalau ada lagi akan saya update kelak.

SILA BUAT:

1) Mulakan ujian kecergasan diri. Kebiasaannya, surat panggilan akan diberikan tiga minggu sebelum tarikh pemeriksaan dilakukan. Tempoh ini bagi saya cukup untuk untuk calon membuat persediaan kecergasan.

Bagi saya yang dah empat tahun tak melakukan rutin senaman tetap, memulakan dengan langkah membeli pakaian sukan selengkapnya. Walaupun tak tahu lepas ke tak, haruslah dijadikan elemen ini sebagai pembakar semangat. hehehe...Baju, seluar, kasut sukan, stoking adalah asas pemakaian diperlukan. Bagi wanita pula, silalah menyenaraikan bra sukan sebagai sokongan terpenting. Korang mesti nak berjogging tanpa sebarang bebanan bukan? Saya syorkan cari bra sukan jenama Audrey di Aeon. Tips membeli bra sukan akan saya kongsikan entry berikutnya.

2) Jadikan sebagai rutin harian dan tambah mengikut kemampuan. Pada mulanya saya memulakan jogging di kawasan padang bola di taman dengan 1x pusingan dengan berjalan dan 1x pusingan dengan berlari. Korang goggle lah sendiri cara-cara memulakan senaman / berjongging dengan betul. Beberapa hari minggu pertama kaki terutamanya peha dan betis akan terasa berat dan sengal. Saya suka memandai mengatakan ianya proses pecah lemak. Nak-nak bila bangun tidur, perghh...memang banyak lemak rasanya. 

Bertabahlah sebab minggu berikutnya, masalah itu tidak akan berlaku dan mampu membuatkan anda lari 3 pusingan dengan jayanya. kalau ada masa sebelah petang, cuba buat senaman aerobik 30 minit. Cari je dalam you tube melambak. Cari yang simple dan bersesuaian.

3) Kalau rasa sengal-sengal juga dalam tempoh persediaan, silalah dapatkan bantuan tukang urut ataupun mesin urut RM10=30 minit. Memang membantu mengurangkan kesengalan dan stress akibat bersenam.

4) Kurangkan makanan berlemak dan berminyak. Eceh...dah macam program penurunan berat badan lak rasanya. Jangan pulak hari pemeriksaan korang bedal nasi lemak sebungkus. Cukup sekadar roti dan air.

5) Siap berpakaian sukan pada hari pemeriksaan. Tak payah nanti terhegeh-hegeh baru nak tukar pakaian lepas berdaftaran. Buang masa hokey. 

Itu saja sedikit perkongsian daripada saya. Harapnya korang dapat gambaran untuk menghadiri pemeriksaan fizikal, pancaindera dan kecergasan kelak. Rajin-rajinlah buka website SPA. Banyak info yang boleh diperolehi. Selamat maju jaya dan mendapat kerja. 

Sekian,
Ikhlas daripada saya yang akan menyenarai keluar semua permohonan jawatan yang melibatkan ujian penglihatan.Tapi, akan berusaha mengumpul dana untuk buat LASIK dengan Prof  Dr Muhaya. 
In Sha Allah. 

notajari: Walaupun terkandas, sekurang-kurangnya berat saya turun 900gm dalam tempoh 2 minggu. So, lepas ni kena teruskan berjogging untuk kecergasan diri. :)


UPDATED: 24/9/2013

#SPA kini telah menyediakan video pemeriksaan fizikal dan pancaindera menerusi laman webnya di bahagian panduan. Sila cari untuk tambahkan pengetahuan anda ok#.