Khamis lepas adalah hari berendam sekeluarga. Istilah yang wujud kerana kunjungan kami buat kali pertamanya ke Sungai Klah, Sungkai Perak sempena sebahagian hadiah hari lahir Ilhan hujung bulan ini.
Plan asal adalah ke Lost World of Tambun namun Felda Residence Hot Springs Sungai Klah aka Taman Rekreasi Air Panas (TRAP) Sungkai Klah, menjadi pilihan kerana saya dan anak-anak masih belum menjejakkan kaki ke sana. En Bapak pernah berkunjung ketika zaman bujang dulu.
Khalish, yang sangat suka melihat sungai di tv teruja bila mendengar Ayahnya akan membawa kami mandi di sungai. Namun, perjalanan hampir dua jam dari Ipoh menyebabkan Khalish dan Ilhan sempat melelapkan mata.
Oleh kerana off day En Bapak jatuh pada hari bekerja, TRAP seolah-oleh menjadi kolam milik sendiri kerana kurang daripada 15 pengunjung pada hari berkenaan.
Apa-apa hal, makan tengah hari di cafe dan solat Zuhur wajib dilaksanakan dulu sebelum aktiviti mandi-manda diteruskan.
Di sini disediakan dua jenis kolam mandian. Satu, kolam air gunung dan kedua, air panas. Kami memilih untuk mandi di kolam air gunung dahulu.
Tengok saja gelagat Khalish dan Ilhan bila berjumpa air yang banyak. Maklumlah di rumah hanya mandi dalam tab plastik dan baldi saja. Bila jumpa air, Khalish seronok mengapungkan badan dengan pelampung yang di beli di salah sebuah kiosk. (dh la RM10 kurang angin lak tu).
Berlainan Ilhan yang pada mulanya blurr melihat abang dan Ayahnya asyik bermain air. Namun akhirnya Ilhan secara spontan menginjakkan badan dan kakinya seolah-oleh membuat gaya sotong bergerak di dalam air.
Siap ada gerakan tangan seolah-olah belajar berenang. Gelagat anak-anak kecil ini sangat menghiburkan hati saya dan En Bapak.
Hampir dua jam berendam hinggakan bibir Khalish bergetar kesejukkan, kami kemudiannya bergerak kira-kira 100 meter ke kolam air panas.
Sebelum masuk, sila basahkan diri anda dengan air tempayan yang disediakan. Bila jejak je kaki ke dalam kolam, fuhh...panas betul. Tipsnya adalah, masuk kolam cepat-cepat dan duduk diam-diam dalam 10 saat dan mesti badan akan biasa dengan suhunya.
Khalish dan Ilhan mula-mula macam tu juga nak larikan diri sebab panas, tapi saya dudukkan mereka atas batu dan biarkan kaki menjulur ke dalam air.
Dah lama sikit barulah masukkan diorang dalam air.
Air panas dipercayai boleh mengubati pelbagai jenis penyakit, antaranya lenguh-lenguh badan, sakit sendi, rheumastim, arthritis, sukar tidur, gatal-gatal dan sebagainya. Namun, bagi mereka yang mempunyai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis dll anda dilarang mandi di sini.
Selepas membersihkan diri bersama anak sorang satu, kami akhirnya pulang melalui laluan pejalan kaki berkayu untuk melihat sendiri sumber aliran air panas semulajadi. Punca air di sini ada yang mencecah 100 darjah celcius. Gamaknya, kalau biawak jatuh dalam ni maunya jadi biawak rebus. hohoho...Bau seakan telur rebus menyelubungi kawasan ini.
Ekstra :
TRAP diuruskan oleh Felda Plantation Resorts
Bayaran masuk : Dewasa RM10, kanak-kanak RM8
Kemudahan : Kolam Air Panas, Kolam Air Gunung, stesen merebus telur, taman herba, surau, cafe, kiosk makanan dan cenderahati serta tempat penginapan.
Selain itu, turut disediakan tempat parkir yang luas di luar dan di dalam (berhampiran kolam air gunung). Namun parking dalam hanya dibuka hujung minggu bermula jam 5 petang hari Jumaat.
Lagi satu, silalah beli pelampung diluar dan pam angin secukupnya.
Ok, lain kali ada rezeki kita datang lagi masa bukan hujung minggu.
Wassalam.
No comments:
Post a Comment