Assalamualaikum,
Baru rasa semangat nak update blog. Hari ni genap seminggu kejadian 'malang tidak berbau' ditempuhi En Bapak dan kami sekeluarga. Imbas kembali entry sebelum ini mengenai keterujaan kami sekeluarga untuk melawat Pulau Pinang.
Kami tiba di sana Jumaat lepas, sempat pusing-pusing Bukit Bendera, makan nasi kandar di Line Clear, cari jeruk Pak Ali di Pasar Chowrasta. melepak di Medan Selera Padang Kota Lama menikmati pasembur, sotong kangkung, coconut shake serta tak lupa mihun sup untuk anak-anak.
Keesokkan hari, perancangan seterusnya adalah untuk ke misi perkahwinan kawan seuniversiti En Bapak di Bukit Mertajam. Awal-awal pagi dah berangkut khazanah masuk ke bonet kereta. Oleh kerana penginapan adalah berhampiran Padang Kota Lama, kami terus berjalan kaki untuk mencari kedai untuk bersarapan pagi. Malangnya, tiada yang dibuka.
Jadi, kami kembali ke kereta dan bercadang untuk mencari kedai lain. Sedang elok saya masukkan Khalish ke tempat duduk belakang, saya masuk pula ke pintu penumpang depan sambil meriba Ilhan. Saya perasan En Bapak ke seberang jalan untuk merakam gambar hotel penginapan kami. Tak sampai 10 saat saya duduk, saya jeling untuk melihat En Bapak. Alih-alih saya terlihat ramai yang mengerumuni sambil memapah beliau..
Hanya Allah yang tahu bagaimana rasanya darah saya seakan menyerbu ke muka dan jantung berdebar-debar. Menggigil saya mendapatkan En Bapak yang menjerit kesakitan ketika mahu menarik kaki kanannya keluar daripada longkang separas peha dewasa.
Tanpa berfikir panjang, saya minta kebenaran beliau untuk memanggil ambulan dari hospital berhampiran. Khalish yang dalam kereta saya keluarkan dan letakkan bersama Ilhan bersama jagaan pengurus hotel seketika. Mujur ada yang sudi membantu menenangkan kami dan menghulurkan sebungkus ais untuk ditusm di buku lali suami yang sakit.
Hampir 20 minit kemudian, ambulan dari Hospital Pulau Pinang tiba dan mengusung En Bapak ke hospital. Sudahnya saya, Khalish dan Ilhan turut serta menemani En Bapak dalam ambulan. Kereta saya tinggalkan di depan hotel dan meminta pihak hotel menjaganya. Walaupun saya boleh memandu, saya risau sebab nanti tak dapat nak kejar ambulan, faham-faham sajalah pemandu bawa macamana dan tak mahir jalan kat George Town.
Saat menanti En Bapak dirawat adalah saat yang paling merisaukan saya sepanjang tahun ini. Anak-anak yang belum bersarapan saya uruskan mereka sambil menanti kehadiran teman sekolej, Liza datang. Sungguh saya berterima kasih pada beliau, suaminya Ehsan, Mak dan Ayahnya yang sangat-sangat membantu kami sekeluarga.
Dipendekkan cerita, En Bapak disahkan patah buku lali dan dijangka disimen pada sebelah petang. Selepas saya uruskan kemasukkan beliau ke wad, saya terfikir mungkin lebih baik En Bapak dihantar ke hospital panel di Bayan Baru untuk dirawat segera. Urusan menelefon hospital berkenaan dan menyelesaikan urusan discaj memakan masa lebih kurang 2 jam. Kelakarnya, En Bapak dah tukar pun baju rasmi pesakit dan sempat makan tengah hari.
Kira-kira jam 2, ambulan hospital swasta sampai dan urusan pemindahan pesakit diteruskan. Saya anak beranak dibawa Liza untuk mengambil kereta di hotel. Terima kasih tak terhingga pada pengurus hotel yang menjaga kereta dan tak mahu diberikan wang parking kerana katanya "duit sikit saja ma". Prihatin masih bertanyakan khabar suami serta keadaan kami anak beranak nanti.
Kami terus ke Hospital Pantai dan diberitahu En Bapak disahkan patah di dua tempat di buku lali. Doktor mencadangkan beliau menjalani pembedahan meletakkan skru di buku lali dijangka bedah pada jam 5 petang. Selepas saya, Khalish dan Ilhan bersalaman dengan Ayah mereka, En Bapak dibawa pergi ke bilik bedah. Harapan saya hanya satu, moga Allah melindungi suami saya.
Kami anak beranak akhirnya ke rumah Liza untuk makan dan berehat. Meskipun dah berjumpa malam sebelumnya dan Liza menjemput ke rumah, kami terpaksa menolak ekoran kekangan masa. Namun, ini adalah hikmah yang Allah berikan. Kami ke rumah Liza juga yang jaraknya hanya 5 minit perjalanan dari hospital En Bapak dirawat.
Kedua-dua keluarga dikhabarkan dengan kejadian sedih ini. Mama dan Ayah mentua saya dari Petaling Jaya segera datang ke Pulau Pinang untuk melihat keadaan anak sulung mereka. Manakala Mak dan Ayah saya di Melaka tidak dapat hadir kerana kesibukan urusan yang tidak boleh dipinda. Namun, selang sejam Mak menelefon saya untuk mengetahui perkembangan.
Akhirnya, En Bapak selamat dibedah dan dijangka pulih sepenuhnya dalam masa 2 hingga 3 bulan. Khalish yang petah berkata-kata mengatakan kesian Ayah sakit kaki jatuh longkang dan selalu membantu mengambil keperluan En Bapak. Agak kelakar, Khalish suka melepak di atas katil bujang yang baru dibeli khusus untuk En Bapak. Ilhan pula, kalau ralit bermain dekat dengan kaki En Bapak, cakaplah baik-baik kaki Ayah berdarah, confirm terus dia pergi jauh.
Semasa di hospital, En Bapak beberapa kali mengucapkan maaf pada saya kerana rasa bersalah menyebabkan kami terpaksa menempuh masa-masa kesukaran dan hajat membawa kami ke berkunjung ke Muzium Negeri Pulau Pinang, Muzium Islam Pulau Pinang dan menaiki feri menyeberang ke Butterworth tidak kesampaian.
Bagi saya, siapa yang menduga apa yang berlaku pada kita setiap saat? Mungkin ada hikmahnya di sebalik kejadian ini supaya kita lebih berhati-hati dalam setiap langkah. Mungkin ini adalah peluang terbaik kami mengeratkan lagi hubungan suami isteri, kekeluargaan, persahabatan dan saya belajar mengurus rumah tangga sepenuhnya dengan pemantauan En Bapak.
Lagipun, dapat juga kami merasa naik ambulan terutama Khalish yang teruja setiap kali dengar bunyi siren daripada ambulan yang saban hari lalu di depan rumah kami di Ipoh. (ok, tak kelakar isi perut).
Selamat menjalankan tugas sebagai pengurus rumahtangga dan jururawat khusus untuk En Bapak, saya boleh lakukan ini, saya kuat hadapi saat ini demi orang tersayang. (bila lagi nak berbakti pada suami ye tak). Moga orang kesayangan saya sembuh seperti sedia kala. Doakan ye. (panjang betul entry ni).
notajari: bakal menduduki exam spa lagi minggu depan. curi-curi masa tengah malam dan awal pagi untuk study. cepatlah exam, saya takut mata saya jadi macam mata panda. kikiki...
No comments:
Post a Comment