Assalamualaikum,
Tajuk dah macam cikgu sejarah nak buat lawatan sambil belajar bersama anak murid. hehe..
Niat asal adalah untuk menziarahi Opah En Bapak di Teluk Intan. Kami bergerak awal pagi untuk bersarapan di restoran mamak di Jelapang.
Cadangnya adalah untuk melawat tempat menarik dalam perjalanan ke kampung Opah. Akhirnya kami bersepakat untuk melawat Kompleks Sejarah Pasir Salah di Kampung Gajah. Memandangkan jaraknya hanya kira-kira 25 km dari Teluk Intan kesempatan ini sukar kami abaikan.
Ketika sampai matahari hampir berada tegak di atas kepala. Hari yang kami lawati adalah bukan hari cuti, maka diibaratkan kunjungan berkenaan macam biasa seperti kompleks atuk nenek yang punya. Mula-mula kita harus menapak kira-kira 500 meter untuk masuk ke kompleks utama.
Kita bergambar dulu dengan jam suria sebagai simbolik kepada pembinaan terowong sejarah,
Kemudian, kita bayar tiket dan bergambar lagi depan pintu masuk terowong. hehe...Famili gila merakam memori ginilah.
Dah nama terowong, haruslah laluannya adalah bergelap. Apa yang bercahaya adalah paparan 42 diorama berkaca lengkap dengan ilustrasi lukisan, replika manusia yang menggambarkan keadaan sebenar sesuatu peristiwa. Plot kronologi yang dipersembahkan sangat menggagumkan kerana secara tidak langsung kami dapat mengimbas kembali sejarah tanah air bermula dengan penempatan awal di Kuala Selinsing, Perak yang wujud pada
tahun 200 sebelum masihi hingga 1000 masihi sehinggalah membawa kepada kemerdekaan negara. .
Selain itu, ada sebahagian diorama diperkukuh dengan kesan bunyi bagi menghidupkan perjalanan plot sejarah yang amat berharga ini. Hinggakan Khalish dan Ilhan terpegun dengan susun atur yang berwarna warni. Anak-anak masih kecil tidak faham apa-apa, tapi ini adalah peluang permulaan memperkenalkan mereka dengan kisah sejarah.
Usai menatap kesemua kisah sejarah, kami bergerak ke tingkat bawah untuk ke Galeri Keris yang mempamerkan koleksi 180 keris dari Kepulauan Melayu Nusantara. Sayangnya gambar tidak dibenarkan dirakam di galeri ini.
Kemudian kami melawat ke bahagian luar kompleks berkenaan yang memaparkan tapak asal J.W.W. Birch dibunuh
serta tugu peringatannya (beliau dikatakan mati dibunuh ketika sedang mandi di tepi sungai). Selain itu, turut terdapat tugu peringatan pahlawan Melayu, rumah Kutai, kubur Si Puntum dan replika perahu naga.
Selesai sesi merakam memori, kami kemudiannya bergerak ke rumah Opah. Sebelah petangnya, kami meneruskan perjalanan ke Menara Condong di Teluk Intan. Bolehlah pulak si Ilhan sedap tidur tak nak bangun walaupun dikejut beberapa kali.
Sudahnya saya menggagahkan diri mendukung si kecil yang sudah melebihi berat 10kg beras mendaki anak tangga dua tingkat dalam menara berkenaan. Alang-alang dah sampai haruslah dijejaki hingga ke dalam menara. Ye tak?
Ketika di sana, En Bapak berjumpa rakan kerjanya untuk membawa kami ke tepi sungai bagi membeli udang galah. Sudahnya melepaslah saya untuk menikmati mee rebus dan rojak Mastan Ghani yang dikatakan femes itu kerana kami kemudiannya dijemput beraya di rumah rakannya itu.
Tak mengapalah, kata En Bapak rasanya sama sahaja dengan restoran cawangannya di Silibin. Ok, jangan lupa belanja saya kelak ye, B. hehe...
No comments:
Post a Comment