11 February 2009

Remis Oh Remis...

Kampung halaman teman letaknya berhadapan dengan Selat Melaka. Time cuti hujung minggu apatah lagi cuti umum memang penuh dengan pengunjung bermandi-manda dan bercanda di tepian pantai tu.

Antara aktiviti yang menjadi kegemaran teman dan pengunjung tempatan tatkala menjengah ke pantai adalah mencari siput remis. Kenal ke dgn siput tu? Bagi mereka yang kurang mengenali remis atau disebut lala kecil dikalangan segelintir masyarakat, ia adalah sejenis moluska bercengkerang boleh didapati di persisir pantai.

Bentuknya seakan lala namun saiznya lebih kecil dan hanya diperolehi dengan banyak sekitar Jun hingga Disember setiap tahun. Tidak seperti siput bercengkerang lain yang lebih popular seperti kupang, tiram, siput sedut mahupun kerang, remis hampir tidak dikenali oleh sesetengah individu.

Adik sepupu teman dan remis yang berjaya dicari

Kulit remis umumnya mempunyai pelbagai corak yang unik dan berjalur. Malah, ada yang tidak mempunyai corak namun mempunyai warna tertentu seperti hitam, putih dan coklat.

Mencari makanan eksotik itu agak unik di mana anda dikehendaki mengorek tanah sedalam kira-kira satu meter bagi mencari siput remis yang terdapat dalam pepasir laut kira-kira satu meter dari gigi air. Peralatan seperti pengorek tanah mampu mempercepatkan pencarian siput berkenaan. Kalau teman biasanya akan meng'kidnap' senduk nasi lama mak teman untuk menggorek pasir. Jika tidak, guna jari pun boleh...

Apa yg pasti, pencarian itu menuntut kesabaran yg tinggi kerana tidak semua tempat di kawasan pesisir pantai itu menjadi habitat siput kiut itu selain memaksa anda menahan panahan panas mentari pagi.

Namun, sekiranya dugaan di atas itu berjaya anda atasi, kira-kira tiga kilogram siput bakal dibawa pulang dan bolehlah dijadikan hidangan keluarga seperti dimasak sweet sour, goreng bercili ataupun direbus bersama sayur-sayuran. yum2...

Siput yang berjaya dikutip itu kemudiannya dimasukkan ke dalam bekas berisi air laut bagi memastikan kesegaran siput itu terjamin sehingga ia dimasak. Rasanya agak manis dan menikmatinya membuatkan seseorang menjadi leka seperti ketika makan kuaci.

Tak percaya? Cubalah pengalaman mencari siput ini sekiranya anda berada di tepi pantai khususnya di Melaka!


1 comment:

  1. kalau yg bukan penggemar siput mcm akak nih, sure boring jer nak mengutipnya ekk..

    Siput sedut yg biasa terjual di pasar tuh pun tak reti makan..huhu. Tapi bagus juga, dapat mengenali satu lagi spesis siput.

    ReplyDelete