26 February 2009

Alamak! Bermandi Peluh Lagi Aku Malam Ni...


Lirikan mata suami teman yang sedikit sepet itu tampak menggoda lebih daripada kebiasaannya. Seakan mendambakan sesuatu...namun permintaannya diluahkan dengan cara halus dan berhati-hati.

Kerlipan matanya sudah menzahirkan maksud yang tersirat. Renungannya bersinar dan berbeza daripada malam-malam lain, perlakuannya agak menggetarkan jiwa tatkala beliau menghampiri teman persis kucing siam yang ingin mengawan.

Teman seakan sudah menghidu ada kemungkinan sesuatu akan berlaku malam ini apabila si suami menghajatkan sesuatu dari diri ini.

Berdasarkan lagak menggodanya, teman faham apa yang dimahukan tetapi teman buat-buat endah tak endah sambil menginjakkan kaki ke atas katil, menyusun bantal sambil meng'set' alarm handphone pada angka 5 pagi.

"Sayang...jom la siang tadi dah janji kan...," nada manjanya membuatkan mood teman yang baru nak landing atas katil empuk bercadar ungu sedikit terganggu.

Alamak...habislah aku! Alamatnya bermandi peluh lagi la aku malam ni....., getus teman di dalam hati.

Mengenangkan tugas seorang isteri antara lain memberi layanan mesra kepada si suami, maka teman yang mengidamkan gelaran 'isteri mithali' ni lantas menjalankan tanggung jawab yang sewajarnya.

Ahhah! Jangan dok pikior lain no. Ni bukan cerita 18sx ye. Sebenarnya ni cerita suami teman yang la ni dah dok gian dengan Cakar Harimau. Ya...urutan yang pernah dipopularkan oleh penceramah bebas, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood tidak lama dulu.

Asalnya teman sekadar meminjam bahan bacaan kepunyaan bonda tercinta untuk dijadikan santapan rohani dan minda. Namun apabila disertakan langkah demi langkah urutan ini dilakukan maka teman pun mendemonstrasikannya kepada suami tercinta.

Mula2 sedikit kekok, namun selepas 3-4 kali mencuba, akhirnya teman berjaya menguasainya. Hingga kini, hampir 3 bulan teman udah praktikkannya. Pada awalnya, teman menetapkan 2x sehari untuk men'cakar' suami. Namun bila perut makin membesar ni, nafas pun makin pendek dan termengah-mengah. Sudahnya teman berjanji pada suami akan mengurutnya 2x seminggu.

Masa diperuntukan bagi sekali urutan 15-20 minit, lagi syok menggunakan minyak aromaterapi. Suami teman kata teman pandai mengurut. (ye lah kot, kalo tak takkan syok sangat sampai berdengkur dibuatnya. hehehe...).

Teman faham setiap orang perlukan terapi untuk menghilangkan kepenatan setelah seharian bekerja mencari rezeki. Ada yang hilangkan penat dengan cara membelai diri, bershopping, bermain dengan anak dan sebagainya.

Dan sebagai usaha untuk menambah kebahagiaan dalam berumahtangga, teman bukan saja menjadikan aktiviti mengurut ni sebagai satu senaman jari-jemari malah satu fenomena yang boleh menzahirkan sikap pengasih dan penyayang kepada suami....

Semoga ada ramai lagi pasangan suami isteri yang mengaplikasikan teknik urutan ini kepada pasangan mereka. Lebih penting, jangan biarkan suami anda pergi ke rumah urut untuk menghilangkan lenguh2 badan. Bahaya!! (eh...tiba2 je ada pesanan khidmat masyarakat...).

Ekstra: Buat para suami pula, jangan asyik mengharapkan isteri membelai badan anda, sesekali apa salahnya bagi ekstra servis pada isteri. Kalo tak berapa rajin, make sure bagi ongkos pada isteri anda membelai diri di spa. Ada berani ka?

No comments:

Post a Comment