08 April 2013

Anakonda di Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka


Assalamualaikum,

Lama benau tak mengupdate blog sampaikan nak mula balik punyalah kurang rajin. Baiklah, kita ada banyak entry tertunda untuk dikongsi. Baik selesaikan segera sebelum pilihanraya. *apa kena mengena?*. Dah nak pilihanraya, maka saya berkesempatan balik kampung lagi. yahuu...

Kembali ke siratulmustaqim...

Semasa balik kampung tempoh hari untuk mengambil Khalish, kami berkesempatan meronda ke Ayer Keroh. Tu pun sebab Ayah saya dapat 10 tiket free masuk ke Taman Rama-rama dan Reptilia Ayer Keroh.

Lepas balik dari rumah saudara yang buat kenduri aqiqah anaknya, saya, En Bapak, Khalish, Ilhan, adik bongsu saya, Acu dan Mak terus bergegas ke Ayer Keroh. Ikutkan hari yang sama kami patut bertolak balik ke rumah keluarga En Bapak di Petaling Jaya, tapi kami pergi beromba dulu memandangkan tak pernah ke taman ni walaupun telah dibuka sejak 1 Februari 1991.

Sampai je dekat jam 1 tengahari. Anak-anak dah seronok bila dengar ada rama-rama dan bermacam jenis haiwan yang bakal mereka saksikan. Budak berdua ni memang teruja sangat dengan haiwan sejak layan Nat Geo Wild di education channel.

Masuk-masuk je, ada beberapa kotak kaca memaparkan serangga, eh tengkorak pun ada *garu-garu kepala*. Ada sangkar burung dan burung Merak putih yang kurang asamnya mempamerkan sisi kurang sopan kepada pengunjung terutama kanak-kanak. Cer tengok...
Kemudian, akan berjumpa dengan kedai cenderahati yang sangat ohsem. Masa kat sini, Mak dah tak larat nak jalan dan nak rehat je kat kerusi depan tu. Ok, kami memulakan perjalanan masuk ke Taman Rama-Rama.
Mak dan Acu
Lupa nak cerita, pengunjung akan merentasi tiga bahagian taman iaitu taman rama-rama, reptilia dan kolam ikan koi. Ada juga sesi fotografi bersama reptilia seperti iguana dan ular sawa albino ataupun barangan antik di pintu masuk sebelah kiri

Dipendekkan cerita, saksikan aksi kami dan mereka yang sempat dirakamkan. 

Ini bukan telur dinasour


Tak banyak jenis yang cantik seperti di Cameron Highlands
Gua kecil menempatkan kala jengking, katak tanduk dan ular 
Di taman ikan koi
Ikan koi kelaparan - makanan dijual di kedai cenderahati

Inilah dia anakonda. Tak berani nak dekat lagi.
Pelbagai jenis ular
Lawatan berakhir di galeri yang menempatkan koleksi rama-rama yang telah diawet, kumbang dan serangga yang dipamerkan dalam kotak kaca. Selain itu, kedai cenderamata menjual pelbagai kenang-kenangan untuk dibawa pulang. Macam biasa, fridge magnet menjadi pilihan kami untuk dibawa pulang. 



Selepas penat berjalan hampir sejam, tenangkan diri dengan main piano
Bukan sekadar taman rama-rama biasa, dengan bayaran RM12 untuk dewasa dan RM7 bagi kanak-kanak 3-12 tahun ia adalah lawatan berbaloi untuk dinikmati. Taman ini dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Lokasinya terletak bersebelahan dengan susur keluar tol Ayer Keroh dan bersebelahan dengan Philea Resort & Spa.

Sila layari http://www.butterflyreptile.com untuk maklumat lanjut. 







18 March 2013

Tips Untuk Calon PAC 2013

Lepas berjaya melepasi ujian bertulis SPA tempoh hari, saya diminta untuk menghadiri Program Assesement Centre (PAC) di Rumah Seri Kenangan Taiping, Sabtu lepas.

Calon yang sepatutnya hadir sepatutnya kira-kira 130 dan yang hadir hanya 98 orang. Program berlangsung selama sehari dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang. Rata-rata yang hadir kebanyakannya telah bekerjaya samada dengan sektor awam dan swasta. Tapi yang menariknya, dikhabarkan hampir 80 peratus yang menghadiri PAC (khususnya jawatan penolong pegawai pembangunan masyarakat s27) adalah daripada KPSL sejak 2008. Sangat kompetitif.

Apa yang dapat disimpulkan di sini berdasarkan pengalaman saya menghadiri PAC berkenaan adalah:

1. Calon seharusnya lebih tenang dan mengawal perasaan gugup. 
2. Perlu lebih bekerjasama dengan rakan sepasukan supaya tidak dilihat 'gila kuasa' dalam menyampaikan sesuatu idea.
3. Calon perlu melontarkan idea yang bernas dan tidak melalut dengan isi yang tidak berkaitan.
4. Tidak berbangga diri dengan tempoh perkhidmatan 5, 10, 15 atau 20 tahun kepada mereka yang baru bekerja.
5. Muka jangan berlagak dan rasa diri hebat berbanding orang lain.

PAC JKM ini adalah kali pertama diadakan dan bagi saya ia sangat mesra calon dan tidaklah menakutkan seperti yang dibayangkan. Fasilitator dan urusetia sangat membantu dan sesi ini berlangsung dalam suasana latihan dalam kumpulan.

Nanti ada ujian psikologi SPA, jangan lupa bawa pensil 2b jawab. 185 soalan dalam masa 40 minit. Perahlah otak dengan sebaik mungkin kerana soalannya mampu membuatkan gegaran medula oblongata serta DHA dan ganglioksida berhubung dengan cepat. hahaha...lepas tu tensi dengan orang sebelah tanya macamana nak jawab dan asyik pinjam pemadam. Sabar dalam senyuman. *kecik je aku tengok dia ni.

Paling menyentuh hati, ada sesi lawatan bertemu warga emas di mana kebanyakan warga emas yang saya temui adalah bekas anggota polis dan ibu tunggal yang ketiadaan anak. Tidak dapat dibayangkan saya menghabiskan sisa hidup seusia mereka di rumah ini. Sedih, tapi perlu berwatak hati kering di depan mereka.

Ada calon yang mengawal latihan berkumpulan secara total. Ada calon nak cakap, dia potong lepas tu suka-suka hati meminta orang mengeluarkan banyak pendapat sedangkan diri sendiri hanya ada satu isi yang kurang mantap. Alahai...bajet bagus sangat. Stress orang kiri kanan depan belakang tau, ahkak oiii...

Bagaimanapun, sesi petang adalah sangat bagus dengan kumpulan yang lain. Moderatornya adalah calon KPSL yang telah berkhidmat 20 tahun. Sangat berdiplomasi, bijak mengawal sesi dan kelakar. Saya tak terkejut jika beliau lulus PAC ini.

Jika lulus, calon seterusnya akan dipanggil temuduga. Dengarnya hanya kira-kira 80 kekosongan jawatan yang diperlukan. Bayangkan minta beribu-ribu, PAC ini 800, yang lulus kelak 400 untuk ditemuduga, kekosongan 80. Hurm...tawakal pada Allah. Kalau dah rezeki Allah tetapkan, takkan ke mana.


12 March 2013

Trauma Tengok Misi Datang

Saya syak Ilhan sekarang ni dalam mood trauma. 
Trauma sebab kena paksa makan ubat, kena pakai gas, kena cucuk antibiotik dan kena masuk air.
Asal nampak misi baju biru je, dia dah tak senang duduk.

Lepas tu, tetiba ajak keluar jalan-jalan gi cafe ke, lobi ke, tingkat 3 tengok En Bapak ke. 
Paling teruk, ajak keluar gi tempat parkir suruh cari kereta ajak balik.
Aiseh...tensi Ibu kamu ni.....

Mana tak tensi, tengah budak tu syok-syok main ke tidur malam ke , tetiba misi datang bawa ubat, akak kena bagi ubat demam dan kahak ni ye. Lepas tu kena nebulizer. Lepas tu buh antibiotik, lepas tu air. 
Kita orang dewasa ni kalau kena ganggu masa tidur pun rasa macam nak bagi orang tendangan halilintar. Ye tak...

Kalau setakat menangis biasa-biasa tak pe juga, ni meraung macam kena dera, siap tendang sana sini macam nak roboh katil. Lepas tu tangisan boleh dengar sampai wad hujung. Arghh...semua tensi. Nasib lah dah memang kaki raung dan susah makan ubat.

Sampaikan misi semua dah boleh kenal suara Ilhan yang garau-serak. Kalau ada Khalish maunya dicakap apalah adik ni, menangis, memalukan. haha...

Lepas pemeriksaan doktor tadi, katanya dah boleh balik petang ni. Alhamdulillah. Yahuu...
Dah tak larat nak berlama-lama kat wad ni. Rimas tak nampak dunia luar.
Sekarang tengah tunggu feedback insurans je, maunya tiga empat jam lagi kita melangut.
Tak pelah, marilah kita menanti lepas satu hidangan ke satu hidangan disediakan.

Tinggallah En Bapak keseorangan petang ni. Harap-harap dia boleh balik esok.
Indahnya dunia, indahnya.

Sekian, dari saya yang tengah bosan.
di wad pediatrik @ hospital pantai ipoh


11 March 2013

Hospital Adalah Tempat Kita Berkongsi Cerita

Perkara yang dibimbangi akhirnya berlaku juga. En Bapak yang dua tiga hari ini demam dan selsema teruk akhirnya ditahan wad. Mujurlah Khalish dibawa Mak balik ke kampung untuk mengelakkan sebarang jangkitan kembali pada dirinya yang telah ditahan lima hari di wad minggu lepas. 

En Bapak juga sah dijangkiti virus dalam paru-parunya. Ditambah pula dengan masalah sinus yang dihadapi sejak sekian lama, menjadikan keadaan selsemanya bertambah teruk. Sudahnya beliau kini ditempatkan di tingkat atas berbanding tingkat dua yang telah didiami Ilhan sejak 6 hari lalu.

Saya reda dengan dugaan ini memandang ia adalah secebis ujian Allah berbanding kesihatan yang telah kami lalui sepanjang tempoh hidup berdua, bertiga dan berempat. Sebak juga dalam hati melepaskan Khalish mengikut Neneknya balik Melaka sementara waktu hingga kesihatan Ilhan dan Ayahnya kembali pulih seperti sedia kala.

Saya cuma berharap agar Allah memberikan sebaik-baik kesihatan kepada saya supaya tidak dijangkiti selain keperluan untuk menjaga mereka berdua. Khalish perlu beralih angin untuk kembali pulih dan saya yakin Atuk dan Neneknya mampu menjaga Khalish dengan malah lebih baik daripada kami. Cucu sulung la katakan....

Maka, memandangkan sudah berkampung di hospital selama hampir dua minggu, aktiviti sosial saya adalah bergaul dengan ibu-ibu lain yang anaknya menghadapi pelbagai sakit. Bila dah terlalu lama dan berkenal-kenalan macam-macam cerita turut dikongsi. Tak kisah pasal kerja, kehidupan, anak-anak, malah politik pun boleh. hehe...Ini kiranya aktiviti berkongsi informasi secara sihat.

Kadangkala seronok juga bercampur dengan ibu-ibu pelbagai kaum dan peringkat umur, banyak informasi bertambah dan rasa macam dah kenal lama pun ada dengan orang sebelah dan depan katil. Masa bawa Khalish rawatan susulan tempoh hari di klinik pakar, ada seorang wanita Cina yang sedang hamil membawa anak buahnya yang baru lahir akibat jangkitan kuning.

Bercerita punya cerita, dia bertanyakan pada saya mengenai kepentingan susu ibu kepada bayi. Kasihan juga sebab rasa dia macam kekurangan maklumat mengenainya. Tambahnya lagi, kebanyakan ibu muda kaum Cina suka mengambil jalan mudah dengan memberi bayi mereka susu formula. Saya berkongsi segala pengetahuan mengenai penyusuan susu ibu dan pengalaman menyusukan Ilhan hingga kini. Sebagai panduan saya juga meminta dia mencari dalam internet khususnya blog pemilik Lunatots dan Sarakids yang juga pakar laktasi yang bertauliah.

Saya juga berkongsi cerita dengan dua tiga orang ibu muda yang beru mempunyai anak sulung. Ada juga tips yang mereka minta dan sekiranya ada, saya turut kongsikan bersama mereka. Staf di hospital sangat membantu menjaga Ilhan. Walaupun kebanyakan masa mood Ilhan adalah kurang baik, namun mereka tetap dengan perwatakan berlemah lembut. Syabas staf Hospital Pantai terutama wad kanak-kanak. 

Dalam proses penyembuhan, doktor berpesan supaya mengurangkan pemberian makanan berminyak kepada anak, mengelakkan membawa anak di tempat sesak selain memastikan keadaaan persekitaran bersih. 

Baiklah, minum petang sudah tiba. Pesakit sedang tidur, biarlah Maknya saja yang makan. hehe...



10 March 2013

Dugaan Itu Benar-benar Menduga!

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya ruang mengupdate berita terkini kami sekeluarga terus dari wad 27A. Rasanya tiga minggu kebelakangan ini adalah ujian paling menduga untuk dilalui.

Bermula 22 Februari lepas, En Bapak dimasukkan ke wad untuk diberi suntikan pelincir untuk buku lali, lima hari lepas tu, Khalish pula ditahan wad kerana demamnya kembali melebihi 38 celsius ekoran kahak dan lendir sudah berkumpul di paru-parunya dan menyebabkan jangkitan kuman turut berlaku.



Doktor turut memberitahu berdasarkan ujian darah merahnya juga turut dijangkiti kuman manakala sel darah putih dikesan melebihi aras darah merah. Mungkin disebabkan kuman dan makanan yang tidak teratur ekoran ketiadaan selera makan serta tonsil yang makin membengkak akibat batuk.

Akibatnya, dia ditahan selama lima hari di hospital dan kini semakin beransur pulih. Seminggu lepas tu, giliran Ilhan pula dimasukkan ke wad. Sebelum ini, doktor ada mengingatkan bahawa infection berkenaan boleh berjangkit dari individu kepada individu lain tidak kira kecil atau dewasa. 
Cuma kali ini, suhu badan Ilhan turun naik, pagi kalau elok petang sekejap je dah naik 39 hingga 40 celcius. Hampir lima botol air turut dimasukkan. Sudahlah budak kecik ni susah nak telan ubat, ibarat macam kita nak bagi racun gamaknya.

Ilhan juga dikesan mempunyai gumpalan kahak di salur penafasannya. Selain itu, tindak balas menggunakan nebulizer juga membuatkan selsemanya yang selama ini tidak kelihatan akhirnya keluar tanpa henti.

Hari ni genap lima hari, doktor juga belum memberi kepastian samada dibenarkan pulang atau tidak ekoran suhu badannya yang tidak stabil. Doktor asyik tersenyum bila saya membangkitkan soal bila boleh balik. Kami betul-betul rindukan rumah dan masakan sendiri. hehe...

Hati bertambah gundah bila Khalish pula meragam tidak tentu pasal sejak dibenarkan keluar hospital. Ada sahaja tidak kena, sekejap-sekejap ok, lepas tu menangis hampir apa jua yang berlaku di depan mata tidak kena gaya.

Semalam pula, En Bapak disahkan demam, batuk, selsema. Seperti dijangka, infection daripada Khalish dan Ilhan. Doktor memberikan perskipsi dan memberi tempoh hingga esok, jika tidak menampakkan kesan, beliau juga akan ditahan wad.

Ada satu tahap, sebagai manusia biasa terasa diri tidak berdaya, telefon Ayah konon bertanya khabar, namun kelainan suara dapat dikesan dan meminta saya bercerita apa yang terjadi. Naluri seorang Ayah dan Mak benar-benar mengharukan, Ayah mengizinkan Mak untuk datang 'membantu' saya di Ipoh dengan kebaikan hati adik, Hakimah dan suaminya mengambil Mak di Melaka langsung ke Ipoh.

Kalau En Bapak sihat dan Khalish tidak meragam, mungkin saya dapat bertahan. Namun, bila keadaan seakan 'huru-hara' saya benar-benar memerlukan bantuan 'kecemasan'.

Mak dan adik sampai malam tadi. Mengikut pemerhatian Mak, Khalish mungkin 'diganggu' mengakibatkan dia berperilaku sedemikian, tidak tahu lagi samada Mak akan membawanya pulang ke kampung atau kami akan mencari ikhtiar lain di sini.

Saya cuma berharap Ilhan akan segera dibenarkan keluar, dan mempunyai cukup masa untuk persediaan PAC Sabtu depan. Rasa benar-benar tidak terurusnya kehidupan sekarang. Dengan adik, Khalish dan En Bapak.

Moga Allah memudahkan semua urusan dan selamatkan kami daripada kepayahan dan keluh kesah. Saya yakin Allah memberikan dugaan ini bukan untuk menjadikan kami lemah, malah supaya kami mengambil pengajaran atas apa berlaku juga sebagai satu petunjuk agar lebih dekat pada-Nya.  


notajari: Ketika hati resah gelisah, dakapan seorang Mak mampu melarutkan segala keresahan walaupun seketika. Terima kasih Mak juga Ayah atas segala keprihatinan.

26 February 2013

Penggemar Udang Lipan Harus Ke Sini

Walaupun saya dibesarkan dengan kehidupan sebagai budak kampung yang tinggal berhampiran pesisir pantai, usahkan makan, dengar nama udang lipan pun tak pernah. hehe...Kalau setakat udang galah, udang kertas, udang geragau tu biasalah...

Sejak berkongsi hidup dengan En Bapak barulah saya diperkenalkan dengan udang ni. Dengar pun cuak juga sebenarnya. Sebab saya memang fobia dengan makhluk l.i.p.a.n ni. Saya pernah ceritakan di sini.

Sukar juga nak dapatkan udang ni sebenarnya. Masa En Bapak belum patah buku lali, beliau selalu mendapat tugas ke pasar membeli barangan basah. Kalau di Pasar Besar Ipoh, udang ni hanya dijual di gerai yang menjual ikan dan makanan laut sepinggan RM2. Dapatlah udang tu dalam 8 ke 10 ikut dengan saiznya bercampur kecil dan sederhana besar.

Masa mula-mula beli dulu, siap En Bapak telefon saya supaya mengubah menu yang telah dipersetujui bersama agar diganti dengan satu menu baru iaitu mi udang lipan. Saya setuju saja sebab dah namanya suamikan, jangan derhaka kang tak cium bau syurga. hehehe...

Semasa sesi membersihkan udang berkenaan, saya memang dah geli geleman sebab rupa udang tu betul-betul macam lipan. Malah, kerap kali juga tangan terluka akibat tercucuk kulit, kepala dan ekornya yang keras. Isinya ciput betul sampaikan rasa macam tak berbaloi je nak masak udang ni.

Tapi, bila masak udang ni, fuhh...kalah udang biasa rasa manis kuahnya. Stok udang lipan memang terbaik. Tak caya, leh cuba sendiri. Boleh tengok resepi di sini.

Jadi, bila ke Pantai Remis baru-baru ini, En Bapak berhajat menikmati menu berasaskan udang lipan dengan sepuasnya. Kami ke Razak Restoran Rasaria (3R) di Kampung Ujung Pasir, Pantai Remis. Petunjuknya adalah berhampiran Arena Square Pengkalan Baharu.

Kami adalah pelanggan pertama yang tiba. Senarai menu yang kami baca semuanya berkaitan udang lipan. Akhirnya saya memilih nasi goreng udang lipan, En Bapak sudah pasti memilih mi udang lipan manakala menu tambahan adalah udang lipan platter yang dihidangkan bersama coleslow dan kentang goreng. 
Bagi saya platter yang dihidangkan memang puas. Udang lipan yang siap dikopek kulit dan digoreng tepung menjadikan rasanya seakan ayam goreng kfc hinggakan Khalish yang bukan peminat udang berulang kali memakannya. Saya siap-siap pesan dengan En Bapak, jangan sebut itu adalah udang, silap haribulan Khalish tak lalu menjamahnya.
Nasi goreng yang dipesan rasanya biasa-biasa saja, kurang garam dan pedas. Saya ni harap je orang Melaka, memang tak kuat makan pedas sebab dulu ada masalah tonsil dan sejak itu tak berani nak makan pedas sangat. Lagipun, pesanan makanan biasanya saya berkongsi dengan anak-anak, dan nasi goreng ini juga tidak habis dijamah. Bagaimanapun, lauk iringannya iaitu udang goreng kunyit yang disertakan halia, bawang putih, cili dan daun kari sedap.
Mi Udang En Bapak pula, udang tu memanglah banyak. Sudah siap dikopek kulit mungkin untuk memudahkan pelanggan menikmati isi udang namun sayangnya dari segi rasa kemanisan stok udangnya sudah tiada. 

Bagaimanapun, keseluruhannya restoran ini adalah destinasi tepat untuk penggemar udang lipan serta makanan laut lain memandangkan lokasinya berhampiran Pantai Remis. Selain itu, restoran ini turut menjual isi udang lipan yang siap diproses.




24 February 2013

Jururawat Tak Bertauliah Pilihan

Seminggu kebelakangan ini saya sibuk menjaga Khalish dan Ilhan. Sekejap-sekejap batuk, selsema, demam hinggakan malam tak tidur lena risaukan panas yang tak kebah-kebah.

Terutama Khalish yang payah betul nak makan ubat. Asal batuk, muntah. Asal muntah badan panas balik. Sudahnya, tak guna juga pergi klinik kalau ubat yang ditelan tak sampai seminit dimuntahkan kembali.

Jadi mahu atau tidak, saya hanya memandikannya, mengelap badan serta kepalanya dengan tuala yang dibasahkan setiap 30 minit ke sejam sekali untuk hilangkan kepanasan. Kalau suhu termometer mencecah 38 celsius, saya jaram pula dengan air asam jawa pekat pada badan dan kepala Khalish.

Berbanding Ilhan, kalau dijangkiti selsema suhu badannya akan naik mendadak. Mujurlah Ilhan masih lagi menyusu badan dan senang diberi vitamin seperti spirulina dan pil kolestrum untuk dimakan. Khalish? Hurm...dia lebih sukakan appeton.

Saya bimbang betul kalau Khalish dan Ilhan demam. Sebab kalau demam minum pun tak nak, makan pun tak nak, mandi pun tak nak, pendek kata semuanya tak nak kecuali nak tidur sahaja. Sebagai mak, kesian juga lihat keadaan mereka dan kalau boleh biarlah sakit tu berpindah pada diri sendiri.

Jumaat lepas pula, En Bapak pula yang jadi pesakit. Risau juga hati apabila dikhabarkan beliau perlu kembali ke wad untuk disuntik dos cecair menyerupai tulang rawan yang bertindak sebagai pelincir antara buku lali dan tapak kaki.
Ayah dan anak yang sama-sama digelar pesakit
Khalish yang masih demam terpaksa ponteng tadika dan di'heret' sama ke hospital untuk menghantar En Bapak dimasukkan ke wad. Kasihan pula dia terpaksa menumpang tidur di katil ayahnya hinggakan jururawat tersalah anggap dia adalah pesakit yang di situ, bukannya En Bapak. hehe...

Sebelah malamnya, kami tiga beranak tidur di rumah sementara En Bapak menginap percuma di hospital. Mujurlah Khalish mahu makan ubat dan tidur lena sebelah malam walaupun dua tiga kali batuk dan muntah kahak.

Esoknya, demam Khalish sudah kebah dan kami bertiga ke hospital mengambil En Bapak pulang. Datangnya jam 10.30 pagi tapi daftar keluar hampir jam 4 petang kerana kelewatan yang tidak diketahui hujung pangkalnya.

Bila dilihat bil yang diterima, RM10 ribu ++. Prosedur suntikan cecair je lapan 8 ribu. Nasib baik En Bapak dilindungi insuran. Kalau tak....hurmm...*gigit jari. Syukurlah, En Bapak cakap kakinya rasa lebih baik berbanding sebelum disuntik. Lepas ni, melangkah tu jaga-jaga. Jalan tengok atas bawah ye.