08 April 2012

Minum Kicap Untuk Hilangkan Batuk

Beberapa hari lepas saya bersempatan berbual dengan teman lama di face book. Katanya dah seminggu batuk tak baik-baik. Dia dah ke klinik mendapatkan ubat namun batuknya tidak menunjukkan sebarang tanda untuk sembuh.
Telahannya, mungkin faktor cuaca atau tabiat minum ais yang tidak boleh ditinggalkan sehari-hari menjadi penyebab batuknya semakin menjadi-jadi. 

Sebagai teman, saya mencadangkan Fara untuk makan sesudu besar kicap masin ditambah dengan beberapa titis perahan limau nipis. Walaupun pelik dengan petua berkenaan namun beliau berjanji untuk mencubanya.

Semalam diberitahu batuknya sudah pulih dan berterima kasih atas tips berkenaan. Terima kasih juga pada mak saya. Lagipun, saya baru tahu petua ini ketika balik kampung tempoh hari. Saya telah mencubanya sendiri dan ternyata berkesan.

En Bapak yang asyik batuk pada waktu malam juga turut mengakui keberkesanannya (eceh dah macam testimoni produk pulak. hihihi). Padahal dia lebih rela minum ubat batuk daripada kicap - katanyalah sebelum itu.

Lepas hampir sebotol ubat batuk ditelan, batuknya tidak menunjukkan sebarang perubahan. Dalam diam-diam beliau dengan rela hati membeli sebotol kicap masin Faiza di The Store dan meminta saya menyediakan 'ubat' untuk batuknya.

Malam berkenaan, tidurnya (juga saya), lebih lena kerana batuk telah berkurangan. Selepas empat kali makan, sah batuk telah tiada.

Tips ini sangat sesuai bagi mereka yang tak suka makan ubat batuk dan batuk yang tak elok-elok lepas makan ubat. (ada fahamkah ayat di atas?*garu-garu kapla*.

Cubalah 3x sehari lepas makan buat beberapa hari. Kalau dah elok batuknya boleh berhenti ye.

Selamat mencuba.

06 April 2012

Nestle di Muzium Negara

Setelah hampir dua tahun, kami kembali ke Muzium Negara lagi. Kali ini pameran yang menggamit kami ke sana adalah mengenai 100 tahun Nestle Di sisimu.

Sebagai pengguna produk Nestle sejak kecil pameran ini memberi peluang kepada kami untuk mengenali lebih dekat mengenai syarikat menerusi pelbagai info serta mengimbau kenangan menerusi foto dan barangan antik. 

Antara 12 produk Nestle yang sedia ada, barangan wajib beli setiap bulan di rumah saya adalah milo, mi segera dan sos tiram. Tidak ketinggalan Khalish dan Ilhan kadang kala menggemari coco crunch dan kit kat.

Secara ringkas, pameran ini mengetengahkan sejarah awal mengenai produk hingga menjadi sebuah syarikat pembuatan makanan terbesar dunia dengan mempunyai lebih daripada 280,000 kakitangan di 81 buah negara seluruh dunia.

Selain itu, pelbagai aktiviti interaktif disediakan bagi semua peringkat umur. Lebih menarik, rentetan mengenai setiap produk dikeluarkan termasuk perubahan dari segi pembungkusan awal hingga terkini turut dipaparkan.

Moh layan antara koleksi bergambar kami sekeluarga.
Teringat tin susu dulu-dulu kat rumah nenek. Banyak dah kena baling dalam api. Kelakar lak rasa tin susu dah macam tin cat rupanya.
Jangan pandang-pandang... 
Ini biji kopi dan sekam padi ye anak-anak..
Khalish lumba dengan ayah siapa sampai dulu
Turn En Bapak posing
Saya peminat Milo!
Adik minat ni
Ok, jom balik...

Sedikit info:
- Pameran ini berlangsung selama dua bulan hingga 15 Mei ini. 
- Bayaran Masuk : RM 2.00 (Dewasa berumur 13 tahun ke atas) RM 1.00 (Kanak-kanak berumur 6-12 tahun) PERCUMA untuk kanak-kanak berumur bawah 6 tahun. Dari 9 pagi hingga 6 petang.

- Nestle diasaskan oleh seorang ahli kimia dan pencipta bernama Henri Nestle pada 1866 dengan produk pertamanya iaitu makanan bayi, Nestle Farine Lactee.

- Produk Nestle dibawa ke Malaysia pada tahun 1912 di mana pejabat pertamanya ditubuhkan di Bishop Street, Pulau Pinang.
Ok, jangan lepaskan peluang bawa keluarga menyaksikan pameran ini ye.


Wassalam.

04 April 2012

Ketagih ke Kelas Masakan


Haha..Tajuk tak tahan.

Rasanya hasrat untuk ke kelas masakan sebelum Ilhan lahir lagi. Tapi, hasrat tu terpendam jauh di lubuk hati sebab tak yakin nak tinggalkan Khalish dengan ayahnya, tempat kursus jauh dari rumah dan ongkos bagi satu kelas yang saya rasa dapat pergi dua tiga bulan sekali. hehe

Ok, saya (sejak tiga tahun lepas kahwin, bujang non ado ye) bab-bab lauk pauk dan sebahagian kuih muih boleh dikatakan yakin untuk membuatnya dengan hanya merujuk resepi dari internet atau buku.

Tapi, kalau melibatkan kek dan hiasannya, roti atau kuih yang penyediaannya nampak rumit, saya kurang yakin membuat dan takut tak jadi pun satu sebab.

Maka, sejak En Bapak membawa pulang risalah dari akademi masakan sweetbunssweetcakesbakery awal Disember tahun lepas adalah titik bermulanya saya ke kelas masakan bermula Januari lalu. (eceh, bajet macam peserta masterchef konon).

Percaya atau tidak, harga bagi setiap kelas (pelbagai jenis roti, kek, hiasan, kuih muih dan akan datang coklat) hanya RM50. Yer...50 bukan 5 ringgit ye. Mana nak dapat sekarang ni (saya pernah survey paling murah pun RM80). Rasanya ini yang paling murah.

Saya awalnya beranggapan mungkin kelas yang akan dijalankan secara demo dan biasa-biasa saja namun saya silap sebab cikgu kelas masak ni akan pastikan anak murid buat langkah yang ditunjukkan dengan jayanya.
Contoh, kalau ke kelas aneka roti dan bun. Awas la kalau anda bulatkan doh roti tak licin atau bentuk tak jadi macam cikgu buat. Siap la dia hadap sampai pandai depan dia.

Cikgu kelas kita namanya Shahidan. Dia ni memang minat memasak sejak kecil dan merupakan oku (pendengaran). Walaupun begitu, beliau dibantu oleh ibunya, Kak Siti yang bertindak sebagai juru bahasa.

Dengarnya banyak juga kelas masakan sifu-sifu yang mereka pergi sejak lima tahun lepas untuk menambah ilmu. Saya suka sebab mereka ni tak lokek ilmu dan telus dalam mengajar. Bab menimbang, mengadun hinggalah membakar semuanya dilakukan depan mata dan secara hands-on.

Kelas masakan biasanya dibuat hujung minggu bermula jam 2 petang hingga 7 malam. Saya suka sebab waktunya sesuai (masa anak-anak tidur siang) dan dekat je (sebelah taman) dengan rumah saya. Apapun, saya hanya dapat ke kelas apabila En Bapak off day. 

Terima kasih pada Mr Bapak sebab sudi menjadi pembiaya dana saya ke kelas. Saya tahu anak-anak pun restu pemergian ibu mereka sebab setiap kali saya pulang pasti akan membawa hasil yang dipelajari pada hari berkenaan.

Tak sabar rasanya nak pergi ke kelas membuat tart, fancy cookies dan deko kek. Eh, kelas roti boy pun best juga. Kelas frozen pun juga menarik. Resepi jangan risau turut dberi sekali dan sure jadi tau. (Aha...En Bapak, kalau nak minta buatkan bun dan mini piza lagi, sila belikan saya bread maker ye. Tak sanggup tau tiga hari lenguh tangan bagai nak rak menguli.)

Sesiapa yang berminat boleh jenguk-jenguk:
sweetbunssweetcakesbakery.blogspot.com atau fb: sweetbunssweetcakesbakery.
Hanya 10 orang setiap kelas sahaja. Jom jumpa di sana....

03 April 2012

Letupan di Hatyai? Mujurlah....

*kredit to : reuters
Terkejut. Itu reaksi pertama saya selepas En Bapak memberitahu mengenai kejadian letupan di Hotel Lee Gardens Plaza, kelmarin.

Rasanya macam baru sahaja ke sana (padahal dah tiga bulan berlalu). Sebelum pergi, terdetik juga di hati mengenai keselamatan kami ke Hatyai kerana risau kejadian tidak diingini berlaku. Maklumlah, Hatyai juga terletak di selatan Thai seperti Yala dan Pattani. 

Jadi, bila Hatyai dibom, macam tak percaya pun ada. Yala yang asyik kena bom, macam dah terbiasa dengan berita tu. 

Malam kedua kami di Hatyai, kami dikejutkan dengan letupan kuat yang bertalu-talu seakan mercun, bom dan tembakan. Risau juga kami sebab khuatir sesuatu buruk berlaku. Mujurlah staf hotel memberitahu ada sambutan pembukaan tesco (tak silap, ingat-ingat lupa) di kawasan berhampiran. Lega!

Syukurlah, perjalanan kami Januari lalu selamat dan dipermudahkan semua aktiviti dan urusan. Mujur sebab kami tak jadi menempah hotel berkenaan (sebab promosinya tak sebest New Seasons :) yang letaknya kira-kira 500 meter dari pusat membeli belah berkenaan.

Buat kata En Bapak, ingatkan ramai Melayu dan India suka ke sana, tapi bila dibaca nama mangsa terbabit majoritinya kaum Cina.

Rasanya ramai kaum Cina ke sana tapi tak dapat nak kenalpasti sebab raut wajah diorangkan lebih kurang serupa je dengan warga tempatan. Jadi, mungkin kami tidak perasan mereka tu.

Terdetik juga hati kalaulah masa kami bercuti tempoh hari kejadian ini berlaku tanpa diduga (dijauhkanlah). Bayangkan Lee Garden Plaza tu memang berada di tengah-tengah pusat bandar. Semua aktiviti perniagaan termasuk kedai urut berada di sepanjang jalan berkenaan.

Situlah kami lalu untuk ke walking street, situlah kami cari pulut mangga dan dumpling yang sedap bersebelahan bangunan tu.

Dan yang paling terbayang difikiran, kami masuk dalam bangunan tu untuk menikmati aiskrim Swensens (letaknya betul-betul bertentang dengan Mc D yang meletup tu) serta ke Idea Market mencari barangan buatan tangan yang unik di tingkat dua plaza berkenaan. Haishh...masih terbayang-bayang gerak-geri kami lalu depan bangunan tu.


Syukurlah, perjalanan dan keselamatan kami dilindungi Allah. Oleh kerana kejadian berlaku pada sebelah petang, rasanya peniaga sebelah malam mungkin terselamat. Harap-harap kakak jual pulut mangga sedap itu selamat hendaknya.

Lepas ni, Hatyai nampaknya kurang menjadi destinasi pilihan pelancong luar untuk beberapa tahun akan datang sebab dah jadi destinasi kurang selamat untuk dilawati. *Baru berura-ura untuk ke sana Jun nanti.* Mungkinkah harga hotel akan lebih murah selepas ini di agoda? *_*

Apapun, takziah untuk semua mangsa terbabit. Khabarnya ramai juga terkandas di sana. Moga mereka selamat kembali ke tanahair. Buat pelaku yang merancang kejadian tragis di Hatyai dan Yala , harap dapat ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan. Tak de kerja lain la tu asyik nak mengebom orang. :(

Nota: Teringat saya pada tahun 2002, seminggu selepas balik dari program pertukaran belia Malaysia-Indonesia, Bali kena bom. Seharian kami melepak di sana terutamanya di pantai Kuta. Mak cium saya tanda syukur sebab saya selamat. **terharu


Wassalam.

28 March 2012

Aktiviti Dalam Tren

Perjalanan hampir tiga jam ke KL Sentral gara-gara Ibu diorang ni salah beli tiket. 
Patut beli tiket ETS. Tapi beli tiket tren biasa. *sengal
Nasib baik Khalish naik tren je tidur. Adik kena leka kan dia tengok video Upin Ipin dalam fon.
Asalkan diorang tak mengamuk dan buat sesi lawatan dalam tren dah cukup baik.
Lain kali kita boleh balik Melaka naik tren ye nak....>Ayah budak2 ni keje, tu pasal tak ikut sama.

22 March 2012

Kisah Kelambu Kami (eh, nenek punyalah)

Khalish dan Ilhan tak pernah tidur berkelambu. Kalau ada, kelambu baby macam tudung saji ketika mereka berusia bawah tiga bulan. Lepas tu, kelambu berkenaan disimpan dalam kotak sampai sekarang.

Ayah mereka juga tidak pernah tidur dalam kelambu. Maklum le, orang bandar. Kan En Bapak kan. Tapi, akhirnya merasa juga pengalaman orang kampung ni.

Semasa berada di Melaka selama sebulan tempoh hari, mereka berpeluang (tiga malam sebenarnya) menikmati pengalaman tidur berkelambu di rumah moyang mereka.

Teringat saya semasa hayat atuk, jika tidur malam wajib pasang kelambu di bilik kecil arwah. Kalau tak pasang kelambu, tak lena lah jawabnya.

Malam pertama bermalam di rumah nenek, saya enggan memasang kelambu kerana risaukan anak-anak kepanasan. Namun, tidak lama selepas membentangkan tilam, saya membatalkan niat berkenaan kerana lebih risaukan kami yang berdarah-manis ini bakal menjadi 'hidangan' untuk nyamuk-nyamuk yang berkeliaran.

Khalish hanya melihat saja perlakuan saya menggantungkan tali kelambu di empat penjuru ruang. Diam tapi berminat. Ilhan pula merengek mahukan tali untuk dibuat mainan. (Ilhan memang minat benda-benda bertali untuk dijadikan bahan mainan).

Selepas itu, saya ajak mereka masuk dengan segera-cepat-dan tangkas (untuk mengelakkan nyamuk sekali masuk). Selepas masuk, Ilhan mula meronta mahu keluar. Selepas dipujuk-pujuk, barulah dia mula menyesuaikan diri.

Lepas itu, lain pula ceritanya. Dia mula mencucuk lubang-lubang kecil yang ada di jaring kelambu. Pergh...kalau dibiarkan maunya Ilhan bikin laluan masuk untuk nyamuk pula.

Dah tu pula, siap main gegar-gegar kelambu sampaikan malam kedua kami bermalam di rumah nenek, salah satu tali kelambu terputus. Ilhan, Ilhan...Nasib baik ada tali lain untuk diganti.

Tidur dalam kelambu memang panas ok. Jalan penyelesainnya, saya pasangkan kipas lain di penjuru kelambu supaya tidur kami nanti tidak kepanasan. Hingga ke Subuh, lena kami diulit mimpi tanpa gangguan nyamuk. Yeah, ada kelambu tiada shieltox. hehe...
ceritaceriti: sekarang ni kelambu pun ada yang moden tau. Macam-macam bentuk seperti khemah dan kubah pun ada. Yang kecil macam kelambu baby pun ada, tapi versi dewasa la.

15 March 2012

Tenanglah Atuk di sana

Isnin lepas, genap sebulan Atuk pergi mengadap yang Maha Esa. Moyang kepada Khalish dan Ilhan menghembuskan nafas terakhirnya selepas hampir sebulan terlantar akibat patah tulang pinggul dan peha selepas menunaikan solat.

Masih terbayang dalam kotak ingatan kenangan manis bersama arwah atuk ketika kecil. Memandangkan saya dan adik-adik adalah cucu yang paling dekat dengan atuk dan nenek, saya pernah menikmati zaman kanak-kanak sebagai 'kampung girl' yang sangat manis.

Bersara sebagai tentera yang pernah ke Congo, atuk menghabiskan sisa usianya di kampung halaman dengan membuat kerja-kerja kampung untuk mengisi masa lapang dan menambah sumber pendapatan.

Saya pernah menemani atuk ke laut untuk menarik jaring dan merasa pengalaman menolak dan menarik sampan ke laut. Perit panahan matahari dan kemasinan air laut saya lupakan seketika kerana seronok meredah ombak laut bersama atuk dan hasil tangkapan.

Saya juga pernah meredah ladang getah selepas subuh menemani atuk dan nenek menoreh. Itu pun setakat jadi peneman membawa bekalan sambil beraktiviti menampar nyamuk. Seingat saya, kerja yang pernah saya bantu adalah membantu memutar mesin untuk menipiskan getah beku yang telah dipijak dan dinipiskan.

Getah keping yang telah siap dimesin akan dibawa pulang untuk dijemur hingga kering (ladang dan bangsal letak kira-kira satu kilometer dari rumah atuk). Selain itu, atuk juga gemar membawa cucu-cucunya naik motor ke kedai untuk membeli rokok. Kami juga diizinkan membeli jajan kegemaran sebelum pulang.

Atuk seorang ringkas, suka berjenaka dan tegas. Kami selalu diberi nasihat yang berguna bergantung kepada situasi yang berlaku. Seorang penghisap rokok tegar sejak usia muda, rokok berkotak hitam emas sering menjadi pilihannya.

Makanan kegemaran beliau adalah nasi yang dimakan bersama santan, durian dan gula merah. Paling ringkas, adalah biskut tongkat yang ditumbuk bersama kelapa parut dan gula merah. Minuman kegemarannya pula adalah kopi dan air sirap.

Aduhai, banyak kenangan menerpa di minda tatkala menulis memori ini. Saya pasti Khalish juga masih terkenangkan Tuk Yangnya apabila terlihat gambar kenangan dalam blog Aku Bapak dan album kami. Soalan "mana Tuk Yang" seringkali meniti di bibirnya.

Manakan tidak, ketika atuk berada di Hospital Melaka selama hampir tiga minggu, kami kerap ke sana menziarahi. Bila pulang ke rumah pula, saban petang Khalish (kadangkala memimpin Ilhan) pergi ke rumah atuk untuk bermain.

13 Februari 2012 jam 3.30 pagi adalah detik atuk menghembuskan nafasnya terakhir. Sejujurnya, saya dan emak tidak berasa kehilangannya kerana seolah-olah kami telah bersedia dengan pemergiannya. Manakan tidak, sejak terlantar sakit, boleh dihitung berapa suap atuk jamah dan berapa teguk ditelannya setiap hari. Kami terutamanya nenek dan emak hiba mengenangkan keadaan atuk.

Suasana paling hiba ketika nenek mencium dan menatap jenazah atuk buat kali terakhir. Sungguh...air mata kami yang ada ketika itu turun mencurah tatkala nenek bercakap perlahan dengan nada bergetar..."awak rehatlah sepuasnya. nanti kita jumpa di sana ye.." Sungguh...itu adalah sesi paling menyedihkan pernah saya tempuh.

Terima kasih kerana menjadi atuk yang pernah mewarnai dan membahagiakan saya dan keluarga. Semoga atuk di tempatkan di kalangan orang-orang beriman.

Al-Fatihah.