06 May 2015

Pengalaman Temuduga Penolong Pegawai Antidadah S27 2015 (part 2)

Assalamualaikum...

Temuduga jawatan ini telah berakhir hari Khamis lepas.

Maka marilah kita bersama-sama berkongsi pengalaman temuduga. Nanti share di ruang komen ya.

Saya dijadualkan pada sesi 11.30 pagi. Temuduga kali ini dikendalikan oleh pegawai SPA dan wakil daripada AADK.

Temuduga kali ini saya sifatkan lebih santai dan mesra alam...

Apabila nombor giliran tertera di skrin atas pintu...silalah bersedia dengan senyuman paling manis pernah dilihat.

Selepas masuk dan menyerahkan fail dan resume...

Penemuduga SPA berkata, : "Puan boleh mula memperkenalkan diri apabila puan telah bersedia..."

Terus saya tarik nafas dan senyum...masuk dah mood promoter dalam jiwa...hihi

Macam biasa silalah bercerita mengenai latar belakang anda yang PALING padat dan bersesuaian..
Jangan meleret-leret sampai nak cerita pasal hobi ke...anak suka makan apa...pakai kereta apa memang menempah kebosanan penemuduga jawabnya.

Soalan awalan mudah antaranya :

- Apa yang ada pada logo AADK? Kenapa simbol tu bukan simbol tengkorak ke...jarum suntikan ke...
  Tau tak apa jawapan saya agaknya? Boleh email nak tau. hihihi

- Jenis-jenis dadah yang ada...(ni kalau boleh bagi banyak nama sikit)

Soalan-soalan pengetahuan am :

 - Siapa pengarah AADK? Menteri bertanggungjawab?
(silalah bagi dengan betul pangkat dan nama penuh)

- Soalan berdasarkan lulusan diploma saya :

  Ceritakan mengenai 2 iklan AADK yang ditayangkan di televisyen.
  Apa mesej yang hendak AADK sampaikan.

- Kebetulan saya berasal dari Melaka, ditanyanya ada berapa pusat serenti di sana.

- Kebetulan pula, daerah tempat saya tinggal pernah ditandakan sebagai 'kawasan hitam' dadah, saya diminta memberikan cadangan bagaimana untuk memutihkan kembali kawasan berkenaan. Langkah terperinci jangka pendek...jangka panjang...pembabitan...

-Mengapa saya pilih untuk kerjaya ni? Apa yang boleh disumbangkan? Saya individu yang bagaimana?


Tak sedar 30 minit dalam bilik penemuduga...eehh macam sekejap sangat dan sesi berlangsung dengan penuh keterujaan...kahkahkah poyo. Serius sangat santai dan seronok!!!

Terima kasih kepada dua penemuduga terbabit...tak kiralah samada saya berjaya lulus temuduga atau tidak, saya rasa puas hati sangat dah jawab yang terbaik yang pernah saya lalui.


#Harap membantu bagi calon akan datang...untuk sebarang pertanyaan dan tips mengupgrate pengalaman sedia ada anda...jangan malu-malu email saya di adahsyafiah@yahoo.com. 
Khidmat perkongsian adalah percuma...


Sekian,

Terima kasih sudi membaca entry ini. :)





















23 April 2015

Pengalaman Menduduki Peperiksaan Online Pen. Pegawai Penerangan S27

Assalamualaikum...

Kejadian berlaku pada hari yang sama temuduga bagi jawatan Penolong Pegawai Antidadah iaitu pada 15 April lepas.

Temuduga sebelah siang, peperiksaan sebelah malam...rasa sibuk macam kembali ke zaman pelajar pula.

Sebelum ni, saya pernah menduduki peperiksaan jawatan yang sama ketika bermastautin di Ipoh.

Meh teman kabo sikit cerita lama yang tak pernah diceritakan secara terperinci (sebab bengang sangat masa tu)...tahun 2012 punya cerita. Masa tu daftar jawab exam di Ipoh, tapi dapat surat mengatakan kena pi Kedah jawab soalan kat sana. Kita yang tak banyak hal, oklah boleh melawat Kedah sekali.

Sehari sebelum exam sampai dah. Esoknya bersemangat lahai berpagi-pagian pi INTAN di Alor Setar. Tup-tup...kecoh pengurusan mengatakan tiada sebarang peperiksaan berlangsung. Bayangkan kami lebih kurang 50 calon terpinga-pinga..rasa macam eh kita ni kena prank ke ape...

Masing-masing menggelabah telefon SPA...tiada sebarang jawapan awal pagi sangat staf tak sampai lagi agaknya. Hinggalah dekat jam 10 dan hanya 11 orang yang tinggal termasuk saya, tak lama kemudian ada seorang calon maklumkan yang peperiksaan yang sama sedang berlangsung di Wisma Negeri.

Gigihlah kami pakat-pakat tumpang kereta kawan ke lokasi yang dinyatakan. Luluh hati (ecewah) melihat betul ada peperiksaan SPA berlangsung di sana dan mereka hampir selesaikan seksyen 2. Kitorang yang 11 orang ni jawablah soalan kat luar dewan...nasiblah ada kerusi meja kan...kalau disuruh jawab atas lantai maunya bertambah hiba hati.

Jawablah juga soalan...masa tu ada soalan esei sekali. Dah la tiada masa rehat langsung...disuruhnya kami anak tiri ni jawab direct 3 kertas soalan.

Ingat genius sangat ke...habis jawab periksa...otak memang stuck terus.
Balik Ipoh...saya terus email SPA dan email balasan adalah sangat cepat selang 2 jam sahaja. Siap telefon lagi pegawai yang berkenaan.
Mereka membuat keputusan memanggil semula calon yang mendapat surat mengatakan exam di INTAN dan menduduki semula exam di negeri masing-masing. Means, yang balik rumah semua dapat gi exam balik...kitorang yang 11 orang yang tu dah jawab kan...tak yah datang.

Hoi..menci tau jawab soalan dalam tekanan.

Takpelah...itu cerita 2012...sekarang banyak dah transformasi yang SPA lakukan..

Antaranya, sesi peperiksaan. Dulu, exam stail lama - manual menggunakan kertas dan pensil.

Sekarang...jawab soalan secara maya lebih santai jawab soalan sambil makan burger. phew...

Macam biasa, ada 3 seksyen soalan yang perlu dijawab.

Pertama, pengetahuan am.
Soalan adalah sangat mencabar ketika mana hang pa tak baca mengenai jabatan penerangan dan seangkatan dengannya. Kalau tiba-tiba tak pasti jawapan bolehlah check dalam handphone memasing dan yang pasti masa tu website jabatan traffic lah..bhahahaha..

Kedua, soalan daya menyelesaikan masalah (matematik).
Masa sekolah pun tak berapa bersemangat nak selesaikan soalan exam, tiba-tiba untuk kemasukan SPA bersemangat gila...dah kenapa! :)

Ketiga, soalan penaksiran personaliti. 
Perghh..benar-benar menguji daya ketahanan akal waras apabila perlu menjawab 102 soalan dalam masa 20 minit. Lepas tu dah la jawapan lebih kurang sama 
    A: Sangat kerap 
     B: Kerap            
C: Tidak pasti
       D: Kadang-kadang
  E: Tidak pernah

Lepas habis soalan ketiga, otak terus jemm...hahaha...

Apapun, keputusannya pada 20 April lalu...
Alhamdulillah LULUS dan menanti untuk panggilan ujibakat depan penemuduga. 
Marilah kita bersedia sebelum mood promoter tiba...

Good luck semua...

20 April 2015

Pengalaman Temuduga Penolong Pegawai Antidadah S27 2015 (part 1)

Assalamualaikum...

Amboi-amboi...
mencanak-canak pageview panggilan temuduga jawatan di atas :) ...
Ramai la yang dipanggil interview yer..
Hajat di hati nak berkongsi pengalaman....
Tapi...tapi nanti kita tunggu sampai 29 April ni (hari last interview) baru adil bagi semua pihak ye...hihihi...

Rilek korang...

Sebagai selingan...

Tengok tak statistik kekosongan jawatan ni dalam website SPA?

Nangis tau...

Kekosongan --> 29 orang
Simpanan     --> 100 orang
Dipanggil IV --> 3635 orang

Jadi, kebarangkalian terpilih adalah 1: 3635

#saya memandang serius kepada penemuduga...hihihi...

# Pengalaman Temuduga (Part 2)

20 March 2015

Panggilan Temuduga Penolong Pegawai Antidadah S27

Assalamualaikum....

Di satu petang yang sangap-sangap...ternampak satu email dari SPA.

Yeay...panggilan interview lagi untuk kali kedua tahun ni...selang sebulan dari jawatan bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kali ni...panggilan interview untuk Agensi Antidadah Kebangsaan...mata terus segar...

Dekat 5 tahun saya tunggu panggilan untuk jawatan ni...akhirnya sampai juga giliran...

Syukur...

Ada sesiapa yang pernah pergi temuduga untuk post ni? Kongsi sikit sebagai inspirasi boleh...? hehe...

Gigihlah pula kita menjelajah website AADK dari a-z.

Owh SPA...'belanja' satu post untuk saya yer....

:-)...

Pautan berkaitan:

# Pengalaman Temuduga (Part 1)

# Pengalaman Temuduga (Part 2)

18 February 2015

Pengalaman Temuduga Pen. Pegawai Pembangunan Masyarakat 2015

Assalamualaikum,

Pix takde kena mengena dengan ini cerita
Semalam saya menghadirkan diri ke temuduga kali kedua untuk jawatan di atas di SPA Putrajaya.

Nasiblah buku nota temuduga lepas saya tak lupuskan dalam tong sampah.

Hampir 2 minggu jugalah tidur malam tak lena mengenangkan situasi temuduga yang akan dihadapi.

Nak ingat pasal kementerianlah...jabatan...isu-isu semasa...dasar...(fuh naik mata panda aii...)

Sekali...masa iv semalam...santai-santai saja. Mungkin dia tengok akak ni lama nau 'melepak' kat rumah panel tanya soalan simple je...(padahal dalam hati...tolonglah bagi saya soalan mencabar sikit pasal akta kanak-kanak ke, warga emas ke, oku ke...gst jangan saya tak hadam lagi...) hihi...

Santai-santai pun ada makna tu...panel nak tengok skil komunikasi, berdebat, bahasa tubuh, semualah...

So, rasa lega sebab dah hilang 'beban' risau pasal iv. 

Geram...sebab apasal tak tanya soalan-soalan 'tough' macam iv pertama dulu...

Moga-moga ada rezeki untuk saya berkhidmat untuk bangsa dan negara...ecewah...

Rezeki Allah siapa tahu kan...

Kepada calon temuduga untuk jawatan ni, tak yah stress sangatlah...panel nak kasi trick je korang tu. Kalau diorang macam nak kondem tu, saja je tu. Kalau tak tahan tekanan dalam bilik iv, macam mana nak tahan dengan tekanan masa kerja nanti. Ye dakk...

Wassalam....


04 January 2015

3 Hari 2 Malam : Kampung Budaya Sarawak yang Ohsem

Destinasi : Kuching - Santubong - Kuching

Hari Kedua (Kampung Budaya Sarawak - SCV)

Kami bersiap-siap di awal pagi. Wah...macam tak biasa pula 6.30 pagi dah cerah macam jam 8 pagi. Kami bersarapan di hotel memandangkan sarapan pagi turut disediakan.
Destinasi pilihan kami adalah Kampung Budaya Sarawak (SCV) yang terletak di kaki Gunung Santubong. Memandangkan Sarawak adalah negeri yang terbesar di Malaysia, agak mustahil nak jelajah keseluruhan ceruk isinya dalam masa singkat.

Maka, cara yang terbaik adalah mengunjungi SCV untuk mendekati tradisi pelbagai budaya masyarakat etnik utama di Sarawak dalam masa setengah hari sahaja. SCV boleh diibaratkan sebagai muzium 'hidup' yang memaparkan cara hidup, rumah etnik, ritual, tarian, pakaian, kraftangan, makanan dan sebagainya. 

Perjalanan ke sana mengambil masa 40 minit dari bandaraya Kuching. Agak awal kami pagi itu memandangkan kaunter tiket masih belum dibuka dan agen di Damai Beach Resort pun tak sampai lagi. 




 Kami menghabiskan masa kira-kira setengah jam di Pantai Damai yang letaknya berhadapan dengan SCV. Serius cantik. Sesuai dengan namanya...

Lepas membeli tiket (ruginya Ayah lupa nak gunakan kelebihan sebagai warga emas untuk penjimatan tiket masuk) bermulalah perjalanan kami mengelilingi kampung budaya. 

Yang menariknya, setiap pelawat diberikan sebuah buku pasport sebagai kenangan di mana setiap rumah (ada 7 kesemuanya) yang dilawati kita boleh mendapatkan cop di dalamnya. Di dalam pasport itu juga mengandungi maklumat mengenai rumah dan etnik terbabit.

Rumah pertama yang dijejaki adalah rumah Baruk. Baruk adalah ketua bagi kaum Bidayuh. Rumah ini dkatakan adalah tempat berkumpul dan tempat letaknya kepala-kepala musuh yang dipenggal. Tengkorak kemudiannya diletakkan di atas para dan di asapkan. Horror betul wak...

Tidak jauh dari situ letaknya rumah masyarakat kaum Bidayuh. Rumah ini agak besar dan berbentuk bulatan. Kesemuanya diperbuat daripada buluh dan memang agak berhati-hati untuk jalan di atasnya memandangkan ada di antara buluh berkenaan yang hampir mereput. 


Rumah lain yang ada adalah rumah Iban, pondok Penan, Orang Ulu, Melanau Melayu dan Cina. 
Kebetulan hari yang kami datang merupakan hari terakhir berlangsungnya Pertandingan Antarabangsa Eksesais Respons Insiden Besar (iMIREX) di SCV. 

Sebanyak 31 pasukan terdiri daripada 15 negara, sembilan pasukan antarabangsa dan tujuh daripada jabatan agensi penyelamat yang mengambil bahagian pada edisi kali ini. Jadi keadaan sedikit 'huru hara', kerana di mana-mana ada pemandangan sesi menyelamatkan orang pengsan, tercedera dengan teriakan dan larian mengusung 'mangsa'. 

Kelakar juga bila Khalish dan Ilhan terkejut melihat keadaan itu dan bertanya kenapa ramai sangat orang sakit di sini? hihi..Peserta sangat sporting bila Ayah saya melaungkan semangat...semangat...dan mereka menyahutnya kembali. 
Paling lama, saya dan En Bapak 'melepak' di rumah Melanau. Ayah, Mak, Khalish dan Ilhan tak larat nak mendaki tangga rumah hanya berehat sebentar di gerai menjual air berhampiran. 

Lepas melihat isi rumah Melanau, kami kemudiannya ke sebuah pondok di bahagian belakang di mana letaknya penghasilan sagu dilakukan. Ketika itu ada seorang wanita sedang memasak sesuatu dan kami bertanyakan apakah yang dimasaknya. Rupanya ia adalah lempeng sagu yang selama ini diajar oleh nenek. 

Entry mengenainya boleh lihat di blog masakan saya di sini

Akhirnya, misteri terjawab apabila sejak sekian lama resepi ini berasal dari mana apabila nenek hanya memberitahu yang ia diajar oleh arwah atuk. Saya menggagak mungkin atuk mempelajarinya ketika ditugaskan berkhidmat di Sarawak ketika bersama tentera puluhan tahun dulu. 

Kami sempat membeli sebungkus tepung linut serta sagu bakar yang sangat sedap dikudap-kudap.

Selain itu, kami sempat singgah di rumah ladang masyarakat Cina. Malangnya tak sempat pula merasa kuih yang sedang dibuat oleh kakak berkenaan memandangkan kami mengejar masa untuk menyaksikan persembahan seni yang diadakan kira-kira jam 11.30 pagi. 

Kami kemudiannya ke dewan mini teater untuk menyaksikan pelbagai persembahan tarian antaranya Ngajat Lesong dan Ngajat Pahlawan (Iban), Tolak Bala dan Langgi Julang (Bidayuh), Kanjet Ngeleput (Orang Ulu), Menyak dan Alu-Alu (Melanau), Senandong Sarawak, Tarian Royong dan Serampang Baru 
(Melayu), dan tarian singa (Cina). 

Persembahan 45 minit yang sarat dengan perasaan mengujakan diakhiri apabila sebahagian penonton dijemput ke pentas menari bersama-sama penari budaya. Rupanya-rupanya sebahagian mereka telah kami jumpa di rumah etnik sebelumnya dengan pakaian persembahan mereka. hihihi...

Selesai persembahan kami kemudiannya ke restoran SCV untuk menikmati hidangan tradisi Sarawak seperti manuk pansuh, umai, asam pedas Sarawak, gulai rebung dan sayur midin. Kesemuanya ditempah sebelum persembahan dan satu set makanan beserta air, nasi dan buah-buahan hanya rm25. Kami tempah 3 
set dan mengajak pemandu pelancong makan bersama. Alhamdulillah...

Kami meneruskan perjalanan ke masjid negeri aka Masjid Jamek untuk solat jama'. 


Bersambung

21 December 2014

3 Hari 2 Malam : Kuching, Sarawak

Destinasi: Kuala Lumpur - Kuching Sarawak
Tarikh: 3 Disember - 5 Disember 2014

Hari Pertama

Alhamdulillah, akhirnya hajat nak bawa Mak dan Ayah menjejakkan kaki ke bumi Sarawak tercapai jua meskipun dah tertunda beberapa kali.

Lepas terlihat basic promo di laman web MAS beberapa bulan lepas, perjalanan pergi hanya RM600++ untuk 6 orang, terus laju-laju minta En Bapak tempahkan tiket.

Bagi anak-anak, Khalish dan Ilhan pengalaman pertama kali menaiki kapal terbang sangat mengujakan mereka. Mujur kedua-duanya tidak mabuk sepanjang perjalanan namun dipenuhi pelbagai soalan-soalan berkaitan alam semesta. hihihi...

Perjalanan kami bermula awal pagi pada 3 Disember lalu bermula dengan menaiki ERL dari rumah adik di Putrajaya ke KLIA. Cepat dan terus dah sampai KLIA. Lepas daftar bagasi, kami pun terus ke surau untuk solat subuh.

Kami kemudiannya ke balai berlepas kira-kira jam 8.25 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) satu jam setengah selepas itu. Destinasi pertama kami lawati adalah tandas LTAK. hehe...

Selepas mengambil bagasi, kami kemudiannya mengambil teksi eksekutif dengan bayaran RM43 untuk ke Hotel Ariva Gateway. Saya telah menempah menerusi agoda.com penginapan 3 hari 2 malam dengan bayaran RM480 untuk apartmen dua bilik.

Nasib menyebelahi kami apabila dibenarkan daftar masuk awal. Dapatlah meletakkan bagasi dan meluruskan pinggang untuk seketika.

Memandangkan kami tidak berhasrat menyewa kereta, menapaklah kami berpusing hotel menuju ke Waterfront - tak jauh mana pun kira-kira 5 minit berjalan kaki laju-jangan-berlengangkangkung pulak. 

Dalam perjalanan, terjumpalah keluarga Tugu Kuching anak beranak di tengah jalan dan tak sah kalau tak merakam kenangan sebagai bukti kami telah sampai ke sini. 

Tak jauh dari situ, kami berjumpa beberapa pemandu teksi sambil bertanyakan restoran Nusantara untuk mengisi perut. Ayah terus bertanyakan pakej untuk meronda sekitar Santubong dan Kuching untuk keesokkan hari. 

Rata-rata caj satu hari dari jam 8-6 petang sekitar RM240-RM300 bergantung kepada jenis kereta sewa yang diminta. Tawar punya tawar, dapatlah kami RM180 untuk kereta sewa jenis Wira. Hehe...Ayah memang pandai menawar harga.

Kami kemudian makan tengahari di Nusantara. Saya sedikit kecewa kerana laksa sarawak dan mee kolok yang diminta di restoran berkenaan tidak menepati citarasa. Sampai balik pun, memang tak berjumpa laksa Sarawak yang sedap. Sedih...Sudahnya saya beli pes laksa sarawak untuk dibikin sendiri nanti.

Usai makan, kami kemudiannya menyeberang Sungai Sarawak dengan menaiki bot penambang RM1 seorang dan bersolat di sebuah surau di Kampung Boyan. Selepas itu kami mengadakan kunjungan rasmi ke kedai kek lapis Mira House dan Dayang Salhah di Kampung Gersik. Entry khas kek lapis akan menyusul kelak.

Cadangnya mahu menyusuri sungai pada sebelah petang sambil menyaksikan keindahan matahari terbenam. Kononnyalah...Alih-alih Ayah dah siap-siap deal dengan pemandu bot penambang membawa kami menyusuri Sungai Sarawak di saat matahari sedang rancak menebarkan sinarannya. 

Maka, redhalah kami menyusuri sungai dengan tangan mengipas-ngipas muka. Mujurlah tidak lama selepas itu, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa mengiringi sepanjang perjalanan. Khalish dan Ilhan sedap je tertidur sampai tamat perjalanan. Saya dan mak sempat juga melelapkan mata. Syok juga sesekali melayan mata menaiki bot ni. hehe...


Cerita punya cerita, bolehlah pulak En Bapak bertanya samada sungai tu ada buaya atau tidak. Choi...jangan ditanya-tanya bang, kang muncul tanpa diduga bagaimana reaksi kita agaknya. 

Cerita pak cik tu lagi, ikan patin paling banyak diperoleh di sungai ini. Namun, katanya ikan berkenaan bukan pilihan penduduk untuk dimakan. Wah...kalau kat semenanjung pakcik, ikan patinlah paling top. Nak-nak patin masak tempoyak. Nyum...

Lepas menyusuri sungai, kami kemudiannya bercadang ke Main Bazaar. Memandangkan mak mula sakit lutut, kami memutuskan menaiki teksi di depan 7 eleven Waterfront. Elok-elok teksi nak jalan je, terdengarlah bunyi dentuman di belakang teksi. Siap dilanggar-langgar 3-4 kali. 

Ya Allah, rupanya teksi yang kami naiki dilanggar oleh sebuah pacuan empat roda yang berada di belakang teksi berkenaan. Cepat-cepatlah saya minta semua keluar sebelum keadaan yang lebih buruk terjadi.

Rupanya, pemandu kereta berkenaan tidak menarik brek tangan dan mod pemanduan tidak diletakkan dengan sewajarnya. Sudahnya, bila enjin dihidupkan maka keretanya terus menerjah teksi yang baru hendak keluar daripada parkir.

Berdramalah sekejap tu pun dekat 40 minit menyaksikan perbincangan antara pemandu teksi dan pemandu kereta terbabit. Mereka kemudiannya bersetuju untuk selesai sesama sendiri dengan memberi ganti rugi yang diminta oleh pemandu teksi. Tak nak banyak cerita, bayar sajalah. Nak panjang cerita, jom ke balai.

Sudahnya pemandu teksi menghantar kami pergi ke Main Bazaar dan balik ke hotel secara percuma memandangkan beliau berterima kasih kerana kami sanggup menunggu sebagai saksi kejadian.

Main bazaar ni pada 2004 saya dah sampai. Masa tu sudah ke Kuching atas jemputan kakak angkat, Kursiah namanya. sayangnya sekarang dah putus hubungan...

Barangan cenderamata memang banyak di sini. Sebutlah apa saja seperti t'shirt, key chain, fridge magnet, kraftangan, makanan tradisional dan pelbagai lagi ada di sini. Yang pasti, anda perlu merajinkan diri pergi ke beberapa kedai untuk membandingkan harga. Sebabnya, kebanyakan barangan adalah sama, tapi kalau dapat harga lebih murah mengapa tidak kita borong di kedai berkenaan. hihihi...

Saya perhatikan kedai di deretan hujung adalah paling murah. T-shirt putih kanak-kanak I Love Kuching tu boleh dapat RM4.50 sehelai. Murah tu...kain pun selesa di pakai. Bermulalah sesi membeli belah kami di sini.

Pada sebelah malam pula, saya dan En Bapak mencari restoran Planet Sambal. Tapi kami berjumpa pula dengan RJ Ikan Bakar. Terkagum sekejap dengan restoran ni dah berkonsep restoran ala makanan segera pula.

Kami bungkus balik makan hotel sebab Mak, Ayah dan anak-anak dah letih sangat. Sedap juga makanan RJ Ikan Bakar ni. 

Ok, kembara kami esok padat dengan pelbagai acara. 

Bersambung nanti ya...Terima kasih kerana sudi membaca.