17 August 2012

Iftar Bersama Piranha di Malika Saba, Ipoh

Assalamualaikum,

Diam tak diam Ramadan tahun ini sudah sampai ke penghujungnya. Syukur peluang menikmati keberkatan berpuasa bersama suami tercinta dikurniakan Allah. Tahun ini kami mencipta rekod baru sebab baru sekali menjejakkan kaki ke bazar Ramadan. Tiba-tiba buat rekod sendiri. hihihi

Sudah tentu kita semua sibuk menguruskan persiapan terakhir untuk menyambut raya. Tahun ini saya sempat membuat beberapa jenis kuih raya untuk makan sendiri, keluarga di kampung dan keluarga mentua. Bila balang memenuhi ruang meja, macam tak percaya saya berjaya melakukannya. Sukar digambarkan kepuasan menghasilkan biskut raya dengan air tangan sendiri.

Untuk ingatan diri sendiri, kuih raya yang berjaya dihasilkan adalah; permintaan khas dari En Bapak (tart bunga, rempeyek bilis dan cornflakes madu), untuk keluarga & mentua (tart gulung, cornflake coklat, kuih gunting, snow almond dan sebahagian kacang2 dan muruku dibeli di Kampung Kacang Putih). Sempat juga saya ambil tempahan kuih tart gulung dan kuih gunting untuk Adik dan mentuanya. Nanti saya share resepi tart gulung yang sedap dan hasil satu adunan pun banyak di blog masakan saya kelak.

Kembali ke tajuk utama, Isnin lepas kami mencari tempat sesuai untuk iftar di luar. Sesekali dapat rehat memasak dan menikmati hidangan luar adalah saat yang paling didambakan seorang suri rumah macam saya. hihihi...

Tekak teringin nak makan makanan arab jadi setelah meng'google', saya berjaya menemukan sebuah restoran makanan arab di Greentown Ipoh iaitu Malika Saba. Lepas sesi mencari seluar raya, gigihlah kami ke sana membuat tempahan untuk iftar. 

Jam 6.45 petang, kami sampai di sana, ingatkan dapatlah tempat kat dalam restoran, sekali dapat kat sebelah luar. Oklah, nasib baik ramai lagi bersama-sama kami. Saya bukan apa, saya lebih suka makan di dalam restoran, sebab kalau di bahagian luar, sudah tentu ada yang mengambil peluang menghisap rokok. Saya memang pantang kalau tengah makan sekali bau rokok. Benci!

Jam 7.15, saya minta En Bapak ambil makanan dulu tapi dia suruh saya ambil dulu. Oklah, saya masuk ke dalam dan ramai yang dah keliling meja bufet. Masa tu adalah dalam 10 orang di hadapan saya. Pelanggan adalah dalam 100 orang. Bukan nak mengutuk dari pemerhatian saya mereka yang ambil makanan ni dah la terhegeh-hegeh memilih, pastu ambil macam nak makan lima orang sepinggan. Membumbung tuh. 

Nasi arab ada tiga jenis, lauknya ada ayam, daging, kambing, kebab, salad dan kuah dal, spaghetti, pencuci mulut warna hijau ada seloyang je - diulang seloyang dan semangkuk besar potongan buah-buahan. Air pula ada teh arab, oren dan air potih sejuk.

Sampai giliran En Bapak beratur, makanan dah tinggal sedikit dan pihak restoran tak reti-reti nak tambah dengan kadar yang cepat. Bila beliau kembali ke meja, muka dah sedikit hampa dan bengang. Ceritanya adalah sama, pelanggan yang makan kat dalam ambil makanan sampai tak ingat orang lain. Semua pinggan penuh membumbung. 

Lepas berbuka, saya minta En Bapak tunggu seketika manalah tau pihak restoran menambah makanan lagi. Masih berfikiran positif macam makan kat hotel. Sekali dekat jam 8 malam, tiada tambahan yang berlaku. Yang ada, mereka tambah kebab yang kering dan tak sedap serta sedulang ayam yang nak makan dengan kuah apa pun takde.

Kesimpulan, nasib tak menyebelahi kami pada hari berkenaan kerana iftar bersama sekumpulan keluarga piranha. Malika Saba pun satu, lenkali bajet makanan tu biar berlebih untuk semua orang dan rasa macam makan kat kem pelarian sebab kena berebut. Harga seorang adalah RM30 macam tak berbaloi walaupun rasa makanannya lebih sedap berbanding restoran arab lain kat Ipoh.

En Bapak tak puas hati sebab katanya makan bufet ramadan kat hotel Kinta Riverfront atau kat Pakeeza Ipoh lagi murah, makanan banyak dan tak perlu nak berebut. Sadis je rasa. Mungkin kami ke sana lagi lain kali tapi bukan pada bulan Ramadan sebab takut terjumpa kaum keluarga piranha lagi. 

Sekian.


06 August 2012

Rambut Raya Macam Insyaallah

Assalamualaikum,

Akhirnya berjaya juga saya membuat entry terbaru pada hari ini iaitu 17 Ramadan 1433 Hijrah. Bagaimana persiapan semua untuk menyambut raya. Saya dah mulakan secara berperingkat-peringkat sejak sebelum Ramadan lagi. Puasa setakat ini alhamdulillah masih penuh walaupun menyusukan Ilhan. 

Sejam lagi waktu nak berbuka puasa memang penuh dugaan sebab tekak jadi kering mungkin kekurangan air sebab Ilhan asyik minta disusui. Hari-hari macam tu dan bila azan berkumandang masuk waktu berbuka memang menggelupur cari air dulu sampai kembung. Sabar jelah.

Berbalik kepada topik utama. Sebelum ni, Khalish dan Ilhan pernah berpengalaman menggunting rambut di salun rambut. Lagak mereka berdua memang dramatik macam nak kena potong kepala. Khalish memang seriau dengar bunyi ketam elektrik yang jenis bunyi kuat atau pengering rambut. 

Ilhan pula lebih kurang sama dan tak suka dengar bunyi gunting di telinganya. Dah penat tapi tak dilayan terus dia buat-buat tidur sambil menyusu dalam tudung. Itu cerita tahun lepas. Sudahnya saya sendiri yang menggunting rambut mereka bila rasa rambut dah panjang mencucuk telinga dan mata.

Rambut Khalish jenis lembut dan nipis. Buat kata En Bapak, macam rambut dia kononnya. Rambut Ilhan lebih tebal dan keras macam rambut saya. Kalau tak gunting dalam masa tiga bula memang alamat sakit kepala dan kepanasan tahap maksimum.

Baru-baru ini, saya ajak En Bapak ke salun rambut kegemaran, Milano di Siliban untuk rutin menggunting rambut. Saya nekad untuk mengguntingkan rambut Khalish dan Ilhan sebab dah panjang sangat dan rambut panjang tak sekata kesan daripada guntingan tak professional dari saya. hehehe...

Mula-mula cuak juga Khalish bila disuruh duduk atas kerusi. Dia menolak dan lari menjauhkan diri. Sebab adik yang paling dekat, saya letakkannya atas kerusi dan cakap rambutnya akan digunting macam Insyaallah (anak-anak saya peminat Maher Zain tapi sebut namanya Insyaallah saja). Sangat menggagumkan sebab Ilhan rela hati duduk diam-diam membiarkan rambutnya digunting dan diketam hingga akhirnya. 
 
Siap digunting, Ilhan diberi upah gula-gula oleh pemilik kedai yang menggunting rambut beliau. Khalish disebabkan mahukan gula-gula berkenaan akhirnya dia juga merelakan rambutnya dipotong. Seronok juga tengok kedua-duanya kini berwajah baru dengan rambut baru untuk raya. Yeah...misi berjaya. Ketakutan menguunting rambut berjaya diatasi.


11 July 2012

Tips Membeli Kolam Renang

Khalish dan Ilhan sangat sukakan air. Kalau masa mandi jangan harap la nak sekejap-sekejap. Terutama Ilhan, tak kena gaya dia buat aksi lembikkan badan enggan dibawa masuk. Khalish yang sekarang ni sudah faham bahasa dan mendengar kata ikut saja bila disuruh masuk.

Bila anak tersenyum, mak bapak pun senyum sekali
Budak-budak biasalah, asal nampak kolam renang ke, laut atau sungai ke, pasti disebut-sebut dan mengajak kita ke sana. Kalau En Bapak off dan termakan pujukan anak isteri dia ni, aktiviti berendam antara kegemaran kami anak beranak.

Berbalik kepada pokok cerita utama, masa nak beli kolam renang mainan kanak-kanak kami cuma memikirkan soal kelebaran dan kedalamannya, warna dan jenis material digunakan. Lebih penting adalah harga yang berpatutan.

Hasilnya kami jumpa kolam mainan yang lebarnya sampai boleh muat lima budak dan silap-silap mak bapak budak sekali boleh muat di tesco. Harganya pula kira-kira RM26. Memang terujalah siap beli pengepam kaki yang ada meter tu.

Dah dibawa balik dan dibuka bungkusan, baru perasan yang kolam ni mempunyai tiga tiub udara disetiap gelung. Ingatkan senang je nak mengepam tapi anggapan itu nyata silap ye tuan-tuan dan puan-puan. Satu gelung tu je memakan masa dekat sejam mengepamnya kalau tak kolam tu takkan naik dengan jayanya. Selepas hampir tiga jam bertungkus lumus suami isteri kami berjaya mengepam keseluruhan kolam.

Ntah stail apa yang dibuatnya Khalish ni
Esoknya anak-anak bermandi-manda dengan gembira didepan rumah. Riuh dan basah jadinya. Macam biasalah, anak-anak mesti kena pantau bab-bab main air ni. Lainlah kalau terer berenang macam anak Dr SMS, Bella. Nantilah anak-anak, tiba masanya nanti ibu hantar korang ke kelas renang.

Masuk minggu kedua, angin dalam kolam mainan makin mengempis dan perlukan usaha pengepaman yang melenguhkan tangan dan kaki. Mula-mula bolehlah bersabar dan layankan kerenah kolam tu, masuk minggu keempat saya dah hilang sabar sebab penat mengepam. Lepas tengok ada diskaun kat giant. Saya minta En Bapak belikan satu.
Cer tengok nasib kolam kaler kuning kat tepi dinding nun
Ini adalah kolam yang sepatutnya dibeli. Buka-buka plastik je, boleh terus isi air. Tak perlu susah-susah nak mengepam bagai membina otot tangan. Tapi Khalish dan Ilhan tak bolehlah nak sandar-sandar atau baring kat kolam tu macam kolam yang warna kuning tu sebab dindingnya nipis sangat. Walaupun saiznya lebih kecik, tapi praktikal dan jimat masa.

Yang tak berapa jimat, bil airlah. Nasib baik bil air kat Perak ni, boleh dikira rendah. Kalau mandi kolam dua kali seminggu bil airnya tak sampai RM40. Kalau terlebih, sah-sah pemantau bil air aka En Bapak bising-bising suruh kurangkan aktiviti berendam. Ceh, kedekut betul. Padahal lebihan air tu dapatlah saya basuh simen depan rumah. (habislah saya kalau dia baca. hihihi)

Sudahnya, bila Khalish dah lama tak berendam dan asyik sebut nak mandi kolam (janji tak dapat ditepati sebab petang asyik hujan), saya minta En Bapak bawa kami ke pusat perkelahan di Ulu Chepor yang letaknya kira-kira lima kilometer dari rumah untuk berendam lepas.

En Bapak yang juga suka berendam
Berjemur menghilangkan kesejukan
Muka Ilhan bila terpaksa berposing atas batu
Memang syok habis, sebab air sungainya memang sejuk sangat walaupun masa mandi tu pukul 12 tengahari. Sampaikan Khalish yang mandi tak sampai 20 minit minta naik sebab dia dah terketar-ketar kesejukan.

Yang bertahan adalah Ilhan yang asyik mengocak air. Mandi tak sampai sejam kami anak beranak naik sebab tak tahan sejuk. Kesimpulannya, mandi sungai lebih baik daripada mandi kolam sebab tak perlu bayar bil air dan mak bapak boleh berendam sekali. Tapi, awas dengan ingatan keselamatan dan jangkitan kencing tikus. phew...






09 July 2012

Laksa Din Teluk Kecai

En Bapak kata laksa utara paling sedap adalah laksa Kuala Kedah. Harap-harap kuah laksanya bukan dari belut (ada cerita di situ). Maka, kesempatan ketika berkunjung ke Alor Setar baru-baru ini tidak disia-siakan. Gigih la beliau memandu hingga ke jeti Kuala Kedah sampai ke APMM di Marina Harbour namun malangnya bila ditanya peniaga di situ katanya laksa utara yang sedap ada di Alor Setar. Sabar je lah kan.

Sebelum itu, saya perasan ada sebuah gerai berhampiran jambatan menuju ke Jeti Kuala Kedah namun saya enggan untuk berhenti di situ sebab ramai sangat kaum adam yang sedang menonton bola ketika itu.

Walaupun sedikit hampa kerana tidak terjumpa dengan gerai yang menjual laksa kedah asli, kami teruskan juga perjalanan pulang ke hotel di Alor Setar. Mujur ketika kami melalui Jalan Kuala Kedah saya perasan ada banyak kereta di bahu jalan berhenti di sebuah kedai tertera Laksa Din Teluk Kecai. Walaupun terlepas, En Bapak terus berpatah balik dan memakir kereta betul-betul di depan kedai membuat laksa beras Zakaria.

Ramai juga pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai kaum ketika itu. Kami segera memesan dua pinggan laksa sebagai santapan petang. Khalish dan Ilhan yang baru bangun tidur makan pisang goreng yang di beli di kota kuala muda.

Laksa yang dipesan akhirnya tiba di meja. Saya perhatikan pinggan laksa itu seperti kekurangan sesuatu iaitu tiada telur rebus. En Bapak segera meminta telur rebus dan rupanya telur dicaj dengan harga lain. Laksa sepinggan RM3 tanpa telur.

Sedap juga rasa laksa ni. Kuahnya terasa dengan isi ikan yang diblend kasar ditambah dengan sambal kelapa pedas. Walaupun saya bukan peminat laksa namun keenakkan kuah dan laksa beras buatan sendiri menggamit selera saya dan En Bapak. Sampaikan Khalish juga berselera menikmati laksa berkenaan. 

Untuk pengetahuan, Laksa Teluk Kecai ini diusahakan oleh dua orang adik beradik Din dan Zakaria. Kedai mereka juga bersebelahan namun ketika saya pergi kedai Zakaria tutup. Walaupun nampak ringkas tidak seperti laksa di negeri lain, perasanya kena dengan tekak saya.

Oleh kerana itu, kedai ini akan masuk dalam senarai wajib kunjung bila ke Kedah kelak. Hidangan 'signature dish' harus dicuba bila ke utara.

Sekian.

28 June 2012

Wang Kelian Yang Membuatkan Wang Anda Habis Tanpa Sedar


  

Selain Langkawi, senarai paling atas untuk agenda membeli belah adalah Padang Besar. Kali ini saya bersungguh-sungguh mengajak Ayah dan Mak singgah ke Wang Kelian. Pengalaman baru yang membuat kami rambang mata dan bermandi peluh.

Wang Kelian adalah sempadan antara Perlis-Thailand. Jalan nak pergi ke sana ibarat jalan dari Tapah nak ke Cameron Highlands, turun naik bukit jumpa Arked Pekan Sehari Wang Kelian, jalan terus lagi sampai jumpa sekatan UPP jalan terus lagi sampai lah jumpa pos imigresen Malaysia. 

 
Setiap sabtu dan ahad adalah waktu yang dinanti-nantikan kerana kita boleh masuk tanpa pasport atau border-pass begitu juga dengan warga sana. Tapi agak-agak lah ye jangan le masuk sampai Satun sebab had dibenarkan adalah sekitar kawasan membeli-belah sahaja. Polis Thai memang ada merata-rata tempat.

 
 Wang Kelian kebanyakkannya menjual barangan buatan siam seperti makanan, pakaian, peralatan rumah dan dapur, kelengkapan bilik, bunga-bunga hiasan, beg, hiasan wanita, permainan dan macam-macam lagi lah. Pendek kata, mata saya sememangnya tertumpu pada toto yang besar dan murah sahaja. Kelambu moden dijual hanya RM15 berbanding harga tempatan yang mencecah RM40. 
 
Tapi sayang kerana suhunya yang mencecah 38 darjah membuatkan kami semua tak senang jalan kerana panas dan peluh ketiak. Saya berkesempatan pusing setakat setengah jalan memandangkan saya kira ada 3-5 kilometer deretan gerai di Wang Kelian. Semuanya menarik dan menggoda jiwa raga.

Mainan kanak-kanak seperti motor dan kereta, kereta kawalan, sekuter dan papan laju antara yang 'hot sale' di sana kerana harganya jauh lebih murah daripada kedai. Di sini kita ketepikan soal jenama. Khalish dah ada motor (walaupun rosak) yang Atuknya hadiahkan, so selamat la sikit. Nasib baik dia hanya nak lori dan traktor mainan walaupun mulanya dia nak set lengkap masak-masak (memang pengaruh masterchef budak ni).
Ikutkan hati saya nak pusing semua gerai, namun dengan cuaca panas dan kasihankan anak-anak, kami semua membeli apa yang ada di depan mata. Saya seronok sebab dapat beli pulut ayam yang sedap seperti di Hatyai dulu walaupun saya sangat berharap ada pulut mangga atau durian.

Sebelum pulang ke Ipoh, kami sempat lagi ke Padang Besar untuk menunaikan hajat Azam. Saya juga perlu ke sana sebab En Bapak memesan jersi Jerman kaler hijau untuk dibawa pulang. Kat kompleks tu, ada satu kedai khas jual jersi di tingkat bawah. En Bapak kata murah sebab jenis A boleh dapat dalam tak sampai RM40.

Saya juga sempat membeli makanan ringan seperti kerepek dan pes tom yam dari siam. Tapi pekedai tu haram tak nak bagi kurang seringgit pun. Hampeh tol. Teringat pula kata-kata pak cik tempat kami memakir kereta yang menyatakan Padang Besar sekarang ni dah mahal. Juga kata-kata pegawai UPP yang berasal dari negeri kami, kata beliau Wang Kelian lebih murah daripada Padang Besar dan kami sangat bersetuju dengannya. Lepas ni mungkin Padang Besar akan dikeluarkan dari senarai.

Tips ke Wang Kelian:

1- Pastikan bawa payung jika membawa anak kecil. Lebih elok datang pada waktu pagi dan tak ramai orang.

2- Walaupun harga yang dipaparkan murah bagi anda, tapi silalah tawar menawar bagi memperoleh harga lagi murah sampai anda terkejut beruk.

3- Kalau boleh, sila letakkan kereta paling hampir dengan pos kastam sebab kalau borong banyak sangat barang memang tak larat nak bawa. (mungkin bawa troli lagi elok).

4- Jangan mengada-ngada pakai kasut bertumit kalau berhajat nak ronda sampai penghujung gerai. Maunye krem kaki tu turun naik bukit.


Sekian. Wassalam.

Hebatnya Berbaju Kurung Jelajah Pulau

*yeah, tajuk bagi membuktikan bahawa pakaian sopan bukan penghalang melakukan aktiviti lasak - naik turun bot. *hikhikhik...

Assalamualaikum,

Humang eh, lama benor saya tak update blog eh. Banyak betul entry yang tertunggak dan saya gigih-suka-paksa menghabiskannya sebelum Julai tiba
.
Meh sambung cerita haritu ye.

Selepas acara makan-makan pada majlis bertandang rumah pengantin lelaki tempoh hari, kami sepakat menghabiskan masa yang ada dengan menjelajah sekitar Langkawi. Jadi, memandangkan kebanyakkan tempat telah dilawati tahun-tahun sebelum ini, Mak memutuskan kami untuk menjelajah pulau sekitar Langkawi. Cayalah Mak ajak Ayah sampai Ayah kata ok jom.

Disebabkan kesuntukkan masa dan lebih kepada kurang rajin nak salin baju yang bersesuaian dengan aktiviti di laut, maka saya dan Mak dengan selamba je sepakat memakai baju kurung ke rumah orang kahwin tu untuk aktiviti island hopping. Haha...hebat tak hebat kami berdua. Ko ado?? hahaha...

Ingatkan kalau nak naik bot jelajah pulau kena naik dari Pantai Cenang, rupanya kami silap. Di situ hanya aktiviti seperti banana-boat, surfing, jetski, parachuet dan mandi-manda. Kalau nak naik bot jelajah pulau kena naik di Porto Malai.
Harga standard bagi jelajah tiga pulau : Pulau Dayang Bunting dan tasiknya, Pulau Singa, Pulau Beras Basah adalah RM250 bagi sebuah bot dengan kapasiti 10 penumpang. Memandang kami 6 orang dan mahukan privasi sekeluarga, maka dapat kurang RM180 sebot.

Masa kami pergi, ombak dan gelombang memang besar. Sampaikan Mak yang bersemangat nak pergi terus dia kata tak nak sebab takut. Lagi pula, cuak juga bila bawa Khalish dan Ilhan, tapi syukurlah masing-masing tak meragam. Khalish masuk-masuk bot, terus kata nak tidur padahal saya tahu dia takut. Ilhan duduk diam-diam dalam pelukan saya. Gemuruh tau, walaupun bot ni lagi besar berbanding bot laju di Pulau Pangkor, tapi rasa takut memang ada sebab bila kita di laut ni, faham-faham sahajalah. Saya siap-siap interview pengendali bot yang dah berapa lama bawa bot. Bila dia kata dah berpengalaman selama lima tahun, kami sedikit lega.

Destinasi pertama kami adalah ke Tasik Dayang Bunting. Nak ke tasik tu memang menduga kekuatan mental dan kaki. Dari jeti ke laluan masuk hutan dah makan masa 10 minit.

Lepas tu, nak ke tasik makan masa 10 minit lagi kalau jalan laju-laju. Kalau sakit kaki baik takyah pergi. Mak gigihkan juga lutut dia yang sakit tu nak pergi tengok tasik. Kata Mak, alang-alang dah sampai redah je lah

Dah penat panjat tangga dan berjalan, jumpalah tangga curam ya amat menuju ke tasik. Hah, dah sampai bolehlah buat aktiviti apa yang patut, nak mandi ke nak spa kaki (anak ikan keli) nak naik bot ke. Kedalaman airnya adalah 10 meter dan rasanya payau. 


Ada sesetengah orang percaya air tasik ni boleh membantu mereka yang lambat dapat anak. Tapi, buat kata kawan saya dia dah minum sampai kembung perut tapi tak dapat anak sampai sekarang. So, kita berbalik kepada kuasa Allah  yang menentukan segala-galanya.

Kalau datang ke Tasik ni, jangan nak tunjuk baik bagi makanan kat monyet-monyet yang ada. Masa saya sampai, ada seekor yang paling besar bawa lari beg tangan akak ni atas pokok. Siap dia keluarkan segala macam yang ada dan duit. Bayangkan terjerit-jerit akak tu minta tolong. Memang dasar monyet tul. 

Kami kemudiannya dibawa ke Pulau Singa. Pulau Singa adalah habitat helang di pulau ini. Bagi nama pulau helang kan senang. Menariknya, kalau tengok dari jauh macam takde helang. Bila dah dekat baru helang-helang semua keluar berterbangan. Kami tak bagi pun helang-helang tu makanan. Diorang kan penangkap ikan yang bagus. 
Pulau terakhir adalah Pulau Beras Basah. Pulau ini adalah milik persendirian tapi dibolehkan untuk mandi-manda di sana. Persisirnya sangat bersih dan luas. Kami tak rancang untuk berkelah di sini mungkin lain kali. Total keseluruhan masa island hopping adalah kira-kira empat jam. Seronok juga aktiviti di laut sebab walaupun rumah Mak Ayah di tepi laut, tak do makno nak jalan-jalan cenggini. .


Sekembali ke daratan. Ayah menunaikan hajat saya untuk Dataran Langkawi. Punyalah banyak kali datang sini tak pernah pun nak jejakkan kaki, setakat tengok dari jauh je Helang resaksa tu. Seronok betul Ilhan dapat main air kolam kat bawah burung tu. Dirty la dik oii...

Sebelum balik chalet, sempat lagi kami memborong coklat di Haji Ismail di Pekan Kuah sampai mabuk coklat la jadinya kami anak beranak. Saya juga sempat menyambar baju-baju kiut untuk Khalish dan Ilhan. Ole-ole untuk Bapak diorang pun ada juga.

Antara tips yang perlu diingat bila ke Langkawi lain kali :

1- kalau berhajat nak memborong pinggan mangkuk atau segala macam peralatan dapur pastikan anda menyimpan segala resit termasuk resit hotel atau feri atau resit bot. Mak saya lepas beli set periuk je, lain-lain pinggan mangkuk melepas sebab staf Haji Ismail minta resit hotel sebagai bukti kitorang bermalam di langkawi. Kononnya mengikut syarat yang ditetapkan. *apadehal kalau kena cukai bukannya diorang bayar pun ek.

2-  kena pandai survey harga kereta sewa apabila sampai di jeti ada sesetengah tawar harga tak masuk akal. Takat nak lepak kat pulau 2-3 hari amik kereta murah-murah sudah lah. Mat saleh rilek je guna motor round pulau.

3- rasanya melawat Langkawi dah tak seronok sangat macam empat lima tahun lepas. mungkin banyak sangat pembangunan dan suasana dah serabut sana-sini. cer tengok kat pantai cenang melambak restoran makanan luar - jepun la, india, arab, orang gi langkawi nak cari makanan pure langkawi - susah juga nak cari kerabu bronok.




Ok, nanti bersambung lagi.
Wassalam.













05 June 2012

Nasi Minyak Gamat Bronok di Langkawi


Tanda bagus sebab dapat seat bawah - kapal tiga tingkat, bawah sekali tiada tingkap.
Apabila Mak Ayah dari Melaka mempelawa kami sekeluarga ke Langkawi bagi menghadiri majlis perkahwinan sepupu, Sakinah automatik saya terus bersetuju. Walaupun En Bapak tak dapat bercuti, namun keizinan beliau membenarkan saya dan anak-anak amatlah dihargai.
Khalish tak bagi Ilhan jalan jauh-jauh sebab orang ramai
 Kami bertolak ke Kuala Perlis sehari lebih awal (15.6). Sampai di Kuala Perlis sudah lewat petang. Memandangkan cuti sekolah, jeti berkenaan dibanjiri ramai pengunjung yang ingin ke pulau lagenda yang terkenal itu. Nak tahu berapa tambang parkir kereta, RM15 sehari ye. Mujurlah Ayah saya membawa kereta sewa beliau yang hanya diletakkan bersama pengusaha kereta sewa lain dengan tanpa bayaran.

Sebelah malamnya, kami menghadiri majlis kenduri dan khatam Al-Quran yang diadakan di pihak pengantin lelaki (selalu tengok sebelah perempuan je kan). Buat pertama kalinya saya, keluarga dan saudara mara yang turut hadir dapat merasa keenakkan makanan tradisi orang Langkawi terutamanya kerabu bronok.
Saya pernah melihat penyediaan kerabu ni dalam sebuah rancangan masakan. Bronok atau dipanggil timun laut tidak di masak, cuma dibersihkan, dipotong kecil dan digaul dengan kelapa, serai, kerisik, bawang, garam gula dan sedikit cabai. Rasanya seakan kerang tapi sedikit kenyal seperti sotong.

Untuk pengetahuan, bronok tidak dimasak kerana teksturnya yang lembut selepas dibuang segala isi perut akan membuatkan bronok mencair apabila dimasak. Mak cik yang makan di sebelah saya berpesan jangan makan banyak kalau tidak biasa kerana khuatir nanti sakit perut dan panas badan. *sabar je kan, bila dah syok makan orang cakap camtu terus potong selera*.
Rupa bronok segar *imej di google
Masa zaman sekolah dulu, kalau mandi laut depan rumah di kampung, mesti akan jumpa bronok ni. Tapi, tak pernah pulak dengar orang kampung buat kerabu ke apa. Kami cuma tarik keluar dari lumpur dan main baling-baling. Rasa zalim lak sekarang.

Lepas makan, kami terus balik hotel di Kelibang.

Hari kedua :

Sebelum ke majlis bersanding pada waktu tengahari, kami sempat singgah ke Gamat Nusantara yang terkenal dengan produk berasaskan gamat. Kali terakhir saya ke sana ketika berbulan madu bersama En Bapak empat tahun lalu.
Emak saya memborong minyak untuk stok beberapa tahun
Makin maju nampaknya kilang ini dengan adanya beberapa penambahan bangunan seperti kafe dan pejabat. Kalau minyak gamat botol kecil sedozen di kilang ini harganya RM10 manakala kalau di kedai lain seperti di Haji Ismail harganya RM9 sedozen. Pendapat saya, bezanya samada minyak gamat itu baru atau telah lama dibuat. Baik beli di kilang saja.
Replika botol gamat gergasi baru dibuat. Dulu masa saya pergi takde lagi.
 Tengah hari kami ke rumah pengantin. Rasa seronok juga bila tuan rumah memberi beg cenderahati yang di dalamnya terdapat sebotol minyak gamat, bekas telur, kuih ros dan wajik.

Selesai majlis, kami berpisah dengan keluarga lain untuk ke destinasi lawatan masing-masing. Percutian sebelum ini kami telah melawat hampir keseluruhan tempat menarik di Langkawi seperti Underwaterworld, Gunung Mat Chincang, Makam Mahsuri dan lain-lain.

Tapi ada yang masih tidak dikunjungi seperti galeri perdana, air hangat (masa kecik-kecik pernah) dan telaga tujuh (tak larat nak naik atas) kerana kesuntukan masa.
Tahniah buat pengantin Sakinah & Anwar Ibrahim (glem nama suami awak). Moga bahagia hingga ke hujung nyawa.
Bersambung di bahagian kedua kelak : jelajah pulau.
Sekian.

notajari: jangan lah tanya resepi tajuk entry ni pulak. saya saja letak. takde makna nak makan nasi minyak gamat kat rumah pengantin. .