12 May 2010

Selamat Hari Lahir, My Baby Boy!!


Kejadian : Hari Ini...Setahun lalu
Masa : 8.30 pagi
Tempat : Hospital Pakar Putra (PHSM), Melaka

Saya ditemani Mak dan Orang Sebelah (OS) yang bergegas dari Ipoh pada hari sebelumnya tiba di PHSM kira-kira jam 8.30 pagi. Orang nak bersalin secara normalnya akan berasa sakit sebelum melahirkan, tetapi saya datang ke hospital dengan rasa gembira, gemuruh dan takut.

Dah la diturunkan betul-betul di ruang kecemasan, saya yang memboyot ketika itu, memakai baju t-shirt dan berbaju sejuk serta berkain batik (hahaha...fikiran saya - konon berpakaian begitu senang nak tukar baju dan bersalin) diterpa dengan pembantu hospital yang membawakan kerusi roda.

Saya selamba berkata, "Tak pe...akak masih boleh berjalan lagi,". Saya dan Mak kemudiannya naik ke tingkat lima untuk ke bilik pelahiran. OS masa tu mencari parking, menguruskan bayaran pendaftaran dan kemudiannya datang ke bilik berkenaan.

Tak lama lepas tu, Datuk Dr Khoo Kim Eng yang bertanggung jawab 'memaksa' saya untuk bersalin seminggu lebih awal (kerana dikesan kekurangan air ketuban dek diabetes semasa lewat kehamilan dan demi keselamatan bayi) datang membuat pemeriksaan dan memberi ubat cetusan bagi mempercepatkan kelahiran.

Sangat sakit bab cucuk mencucuk di ruang privasi okey. Sumpah rasa nak terajang je doktor time tu!!! (tips bagi mereka yang 1'st time nak bersalin, time dr check pintu rahim hendaklah anda menarik nafas sedalam yang mungkin bagi mengurangkan kesakitan, rilekskan peha anda ok. kalau rasa nak sepak dr, silakan....hahaha).

Hingga jam 10 pagi, Dr datang kali kedua memeriksa bukaan pintu rahim dan hanya 1cm saja terbuka. Saya kemudiannya diberi ubat untuk membuang air besar, tak samapai beberapa saat - saya dah rasa nak buang air dan mujurlah toilet beberapa langkah saja - tapi sisa kumuhan tak keluar pun).

Jam 12, perut saya dah mula rasa memulas dan kontraksi yang dirasa masih boleh dikawal minda dan emosi. Saya ditemani seorang nurse tua yang setia memantau wayar-wayar yang ditampal di perut saya (untuk denyutan jantung bayi dan graf kesakitan) malah kerap kali tersengguk akibat mengantuk.
Kadangkala, OS datang menjenguk saya juga Emak yang turut mengalirkan air mata melihat keadaan saya.

Masih berputar di ingatan, OS yang cuba menenangkan saya membantu mengurut belakang untuk mengurangkan kesakitan. Ada sedikit rasa haru melihat kasih seorang suami namun kemarahan mula memuncak bila dia melawak menyuruh saya -push...push......huh..huh..huh...- hishh...rasa nak belasah je OS time tu.

Tak lama kemudian, Dr datang buat kali ketiga dan ulang-periksa bukaan kat bawah tu - adui...2 cm ok. Kesakitan yang dirasai ketika itu - selang 5 saat- tersangatlah sudah sampai kemuncak sampaikan saya cakap pada Dr Khoo," Tak de cara lain ke nak periksa bukaan rahim, Dr?,". Tak suka betullah Dr main seluk-seluk ni," . Dr Khoo hanya tersengih melihat gelagat orang yang beremosi pertama kali nak jadi ibu.

Graf pelahiran menandakan sepatutnya sudah sampai waktu saya melahirkan baby namun laluan untuk mengeluarkannya masih belum terbuka. Dr mencadangkan saya untuk melahirkan secara C-Section bagi menyelamatkan bayi daripada kelemasan. Hanya lirikan mata pada suami yang mampu saya berikan dan persetujuan akhirnya dicapai untuk menyelamatkan bayi dan diri sendiri.


Akhirnya tepat jam 4.10 petang, ketika saya mabuk ubat dan melihat darah yang melalui tiub-tiub berselirat di sisi, suara tangisan kecil yang selama ini ditunggu-tunggu kedengaran. Perasaan sukar digambarkan bagaimana rasanya bergelar seorang ibu.


Berada dalam dakapan buat kali pertama, melihat dia membesar hari demi hari, melalui proses tumbesaran langkah demi langkah, keletah, ragam dan kemanjaannnya membuatkan saya sedar betapa beruntungnya memiliki anugerah Allah yang tidak ternilai ini.

Saya bersyukur dan insaf kerana berpeluang melalui pengalaman seorang ibu dan melalui apa yang pernah dialami oleh Mak saya ketika melahirkan, emmebesarkan dan mendidik kami 5 beradik. Sesungguhnya, Mak adalah sumber inspirasi saya dalam melalui liku-liku kehidupan.


Buat anakanda Muhammad Adib Khalish, Selamat Hari Lahir Ibu ucapkan. Semoga Khalish menjadi anak soleh yang bakal membanggakan Ibu dan Ayah. Semoga anakanda berjaya di dunia dan akhirat. Amin....

(Notakaki: OS kata cerita kelahiran Khalish dah basi, tapi bagi saya macam semalam je melahirkan Khalish. Sebelum ni tak sempat buat catitan kelahirannya. Sekadar sebagai tatapan memori masa hadapan).

06 May 2010

Antara Khalish dan Hujan

Salah satu keletah Khalish yang membuatkan saya tersenyum sendirian adalah bila turunnya hujan.

Bila hujan, biasanya saya akan cakap, "Khalish, hujan dah turun" dan secara automatiknya dia akan memandang ke arah sliding door untuk melihat kebenaran kata-kata saya itu.


Reaksinya, dia akan sebut ayat-ayat pingu hmmm...huhhuhhuh....atehtehh dan beberapa butir percakapan yang menggambarkan dia suka kehadiran hujan. Ada sekali tu, bila saya ajar sebut hujan....dia balas...ajan...dalam 2-3 kali tu. Eksited betul saya dibuatnya, rasa nak melompat pun ada.

Seingat saya, sejak Khalish berusia lima bulan saya memperkenalkannya dengan hujan. Pada awalnya, ia sekadar taktik saya untuk mengalih perhatian Khalish yang ketika itu sedang moody. Tak sangka pula, akhirnya ia menjadi kebiasaan dan kesukaan anak bujang saya itu melihat hujan.

Bila hujan (waktu siang), dia akan duduk / baring mengadap sliding door melihat air hujan yang turun dan atap. Leka sungguh...bukalah cerita kartun apa pun, offerlah permainan best mana pun, tak pun panggil dia. M*mp*s tak layan.

Pendapat saya, mungkin naluri kanak-kanak sukakan sesuatu yang bergerak, mungkin juga titisan hujan dalam kuantiti yang banyak serta bunyi jatuhannya mampu melekakan mereka. Atau mungkin juga mereka jenis yang sukakan air!!

Kalau saya free, saya akan menemaninya dan mereka-reka cerita versi kekanak..."Hujan kawan baik manusia, tanpa hujan kita tak dapat sumber air dan pokok akan mati sebab haus. Tapi...kalau hujan lebat sangat boleh menyebabkan banjir dan time tu hujan akan jadi musuh manusia".

Hehehe...macam la anak saya tu faham.

Ada sekali tu, lewat petang hujan, masa ni dia dah lapan bulan. Dia ketuk-ketuk sliding door bagai nak pecah sebab teruja hujan turun. Ntah macamana, saya dukung bawa Khalish keluar dan bagi dia pegang air hujan yang jatuh dari atap. Gelak tak ingat budak tecik ni. Bila bawa masuk, ngamuk nak terus main hujan. Sabar je lah...

Sekarang, dia dah boleh berdiri dengan bantuan. So, bila hujan saya akan dirikan dia kat pintu besi dan dia boleh tengok hujan dengan lebih jelas.



Tengok puas-puas sampai ngantuk. Lepas tu, Khalish dan Ibu leh titon.
Sedap wooo tidur time hujan. Sejuk....

03 May 2010

SimplySiti : Not For Me


Saya dapat produk free dari SimplySiti. Sebenarnya Orang Sebelah (incik somi) dapat masa cover pelancaran produk berkenaan di Jusco Kinta City, Ipoh, baru-baru ini.

Walaupun baru dipasarkan, Saya taklah terpengaruh untuk memilikinya kerana hantaran make-up Bobby Brown pemberian Orang Sebelah masih banyak yang belum terusik. Bagi Saya, tepek bedak sikit-sikit dan berlipstik nipis sudah cukup untuk Saya melaram bila keluar jalan-jalan. Saya ni kan simple orangnya....kekeke

Berbalik kisah SimplySiti tadi, secara ringkasnya ia terdapat dalam produk penjagaan kulit dan kosmetik. Yang dapat free ada 3 produk iaitu Lip Gloss Luscious Choc, Green Sorbet Eye Color dan 4 keping C Bright Simply 5 Cream. Tanpa berlengah, saya terus mencuba Eye Color dan Lip Gloss ke wajah dengan harapan saya bakal berseri seperti Dato' Siti. hahaha...

Hasilnya?? Meskipun tak sechantik Siti tapi manisnya seorang yang namanya berpangkal Siti (sayalah tu) tetap ada tau -- jangan muntah di sini ye...--

Saya ralit menelek kelopak mata yang kehijauan dan bibir yang berkilat -- cam nak makan dek rasa coklatnya yang mengasyikkan. Khalish mungkin pelik kenapa Ibunya buat bermacam aksi wajah entah apa-apa depan cermin bedak.

Tak sampai setengah jam, saya rasa kelopak mata gatal semacam, issh3....sah Saya tak ngam dengan produk ni. Hakikatnya, kulit wajah Saya jenis sensitif selain tak sesuai dengan sebarang eye shadow jenis serbuk. Kalau jenis krim tak de masalah.

Nampaknya SimplySiti bukan untuk Siti yang simple ini ye. Sekian, terima kasih.

24 April 2010

Serabai @ Kuih Mayat (pedulikan nama lainnya janji lepas hajat nak makan)


(Peringatan : Ini entry suam-suam kuku yer)
Seminggu lalu, giliran kami sekeluarga pulang ke kampung halaman Saya di Masjid Tanah, Melaka. Rindu bangat rasanya cam berbulan-bulan tak balik kampung padahal dah jumpa Mak Ayah dan adik beradik di KL beberapa minggu sebelum tu - melawat Mak Mentua yang dimasukkan ke hospital.

Tiga hari sebelum balik kampung, Mak ada telefon memberitahu beliau sudah menempah khas kuih yang Saya 'termengidam'kan iaitu kuih serabai di Pasar Malam Kuala Sungai Baru. Secara tak langsung, saya rasa macam 'termeleleh air liur' bila terkenangkan rupa paras serabai yang tak seberapa tu.

Di Ipoh, susah betul nak jumpa serabai - mungkin kuih ni tak popular seperti di Selatan. Cik Abang @ Orang Sebelah Saya bila diberitahu kuih serabai ni juga dipanggil kuih mayat, secara spontan menunjukkan riak muka geli geleman (hek eleh...lebih-lebih pulak, cubalah berlagak jaga perasaan Saya yang mengidam ni).

Saya faham mungkin dia tak pernah makan makanan kampung ni memandangkan dia berasal dari bandar.

Kami tiba di kampung kira-kira jam 3.30 petang. Saya sabar menanti ketibaan serabai kerana Ayah bercadang mengambilnya jam 6 petang nanti. Tahu-tahu selepas mandi, Azam (satu-satunya adik lelaki Saya) memberitahu kuih yang dinantikan telah selamat sampai di dapur.

Tanpa menunggu, saya ke dapur membuka plastik kuih serabai. Aduhai...masih panas lagi. Bau minyak kelapa menusuk hidung mancung saya ni. Azam memberitahu lagi Ayah keluar mencari durian untuk ditambah dalam kuah gula Melaka untuk dicicah dengan serabai. Aduhai...terharu saya.

Walaupun Ayah membeli kesemua kuih serabai yang dijual mak cik kat pasar malam tu (9 keping je pun...- 3 keping = RM1) ditambah dengan putu mayam, saya hanya lalu makan 3 keping je pun. Sedap sungguh rasanya bila dimakan bersama kuah gula Melaka bercampur durian yang Emak sediakan. Lepas hajat....

Walaupun mengidam macam nak makan banyak, tapi bila ada depan mata, makan tak banyak mana pun. Orang Sebelah Saya yang sebelum ni geli geleman dengan nama lain serabai ni pun, Saya tengok khusyuk je menjamah...2 keping lagi. (ha...tu la, belum rasa belum tau sedapnya).

Mak ada memberitahu, serabai sering dijadikan juadah wajib apabila kenduri arwah diadakan di kampung-kampung. Mitosnya, fizikal kuih berkenaan kononnya melambangkan keadaan arwah di dalam kubur. Bunyinya macam menggerikan, tapi...lupakan saja cerita yang membuatkan anda tak lalu makan kuih tu.

Apa yang sebenarnya, pada waktu itu kos membuat kuih berkenaan adalah termurah dan mampu dihasilkan dalam kuantiti yang banyak. Sekarang ni, susah nak jumpa serabai masa kenduri arwah.

Mungkin orang lebih berselera dengan nasi dan lauk pauk yang lebih menyelerakan untuk dijamu berbanding kuih mayat!

14 April 2010

Gatal Akibat Demam Campak???

Cuaca di Ipoh (terutama kawasan Meru Raya) sekarang ni membahang sungguh. Sampaikan saya sendiri kerap nak pitam macam kekurangan oksigen dan angin. Kalaupun nampak mendung, tak semestinya hujan nak turun. Kalau hujan pun, tak sampai 5 minit dah berenti.

Bila malam, saya selalu berdoa supaya Allah menurunkan hujan dengan selebatnya sekaligus membasahi bumi Meru Raya ni. Tak lupa, saya berangan-angan untuk tidur lebih lena bersama Khalish walaupun suhunya tak sedingin Cameroon Highlands.

Tapi, paling kasihan anak bujang saya yang baru baik dari demam beberapa hari lalu menanggung dugaan - kepanasan + kegatalan + kemiangan. Dah masuk hari ke-3 dia mengalaminya. Memula, kami ingat Khalish kena ruam dek kerana kebahangan cuaca.

Namun, bangun dari tidur pagi semalam muka dan badannya dah merah semacam. Cam gegata pun ada, cam jerawat merah tak jadi pun ada. Bila tengahari, mulalah dia rimas tergaru sana sini. Setelah dirujuk kepada kedua Ibu dan Ibu Mentua, mereka mengatakan mungkin Khalish kena campak.

Tersangat simpati dan kasihan, kalaulah boleh dipindahkan gatal tu pada saya sure saya garu pakai sikat. Teringat zaman kanak-kanak kena demam campak dulu, habis saya kena tibai dengan daun bambu oleh arwah moyang (moga Allah merahmati rohnya). Siap mandi air rebusannya selain minum air kelapa yang ditawar dengan bermacam doa.

Kat sini mana nak cari daun bambu, tanah sekangkang kucing depan rumah ni ada rumpun serai dan lalang je. Takkan nak tibai pakai daun tu kot? huhuhu...sengal ok.

Pastu, kami bawa dia gi klinik panel malam tadi. Tapi...siapa sangka kami diberitahu doktor bertugas pun tak sihat. Aduhai...dugaan. Klinik lain kami tak rajin nak pergi sebab dah biasa dengan servis Poliklinik Ar-Ridzuan. Pastu, kami pun balik. Mungkin bila berada dalam kereta berpenghawa Khalish rasa selesa sikit. Bila peluh tak kuar, dia still boleh tahan lagi.

Kami bercadang bawanya ke klinik lepas Hubby habis kerja malam ni. Nak tahu apa kata doktor mengenainya. Jap lagi saya nak mandikan Khalish dengan air kelapa yang dibeli oleh Hubby kat Batu Gajah. (kebetulan dia ada assignment sana, then terus belikan). Dah bagi minum ayor kelapa tadi tapi sikit-sikit je Khalish minum, muka pelik je.

Harap-harap anak bujang saya ni cepat sembuh.

Wassalam

03 April 2010

Khalish @10 bulan



Salam semua,
Seperti yang dijanjikan hari ni saya nak bercerita mengenai perkembangan terkini Khalish. Permata hati saya sekarang semakin kerap belajar untuk berdiri. Apa sahaja yang boleh dijadikan tempat berpaut, dia sedaya upaya menggunakan kekuatan otot tangan dan menolak kakinya untuk berdiri.

Memandangkan kami tiada sofa (malas nak fikir angkut barang banyak-banyak kalau berpindah nanti), maka Khalish menjadikan tangga, kerusi, tepi katil malah Ayah dan Ibunya tempat berpaut untuk berdiri.

Rasa seronok tengok keletahnya berusaha untuk berdiri, raut wajah yang bersungguh-sungguh dan keterujaannya terserlah bila berjaya berdiri sendiri. Siap nak bertepuk tangan dan melepaskan tangan. Aduhai anak Ibu, risau jatuh ke belakang dibuatnya.


Berat Khalish sekarang ni dah mencecah 8.8 kg dan berketinggian 75cm. Cuba perhati pix Khalish di atas, dia sekarang dah ada 4 batang gigi. Gigi atasnya tersangatlah kiut...gigi kapak okey. Walaupun dah pandai gigit biskut, hirisan buah-buahan, mainan dsbnya Khalish masih belum mampu mengunyah dengan betul.

Sebagai contoh, kalau bagi dia hirisan epal, dia akan gigitnya besar-besar dan terus telan. Lepas tu mesti terserdak. So, bila bagi dia makan sesuatu saya akan ajar dia gigit kecil-kecil, kumam dan telan. Makanan rasminya adalah nasi lembik campur kentang, lobak merah, atau bayam, ikan rebus / ikan goreng / ayam. Bahan perasanya adalah ikan bilis yang digoreng tanpa minyak dan dikisar.

Lain-lain makanan sampingan seperti roti cicah susu, oat + susu serta makanan yang saya rasakan sesuai untuk diberi.

Mari kita layan aksi Khalish berlatih di atas tangga baru-baru ni.

Sebelum naik, kita posing dulu....Babachaakkk!!!


Eleh, orang nak snap gambar, buat-buat main lak dia....


Ada iklan best pulak, landinglah kejap...


Sekian kali ini.
Wassalam.

02 April 2010

Hari-hari Mengidam (penat betul!!)

Salam semua,

Saya rasa sedikit sihat hari ni. Cadang nak masuk entry kemahiran baru Khalish. Tapi...tengok2 Ayah Khalish sudah bawa card reader gi opis lak. Insyaallah, kalau tak de aral esok saya bercerita mengenainya.

So, dah alang-alang update blog saya nak share mengenai pengalaman ngandung 2nd Junior (SEJU - pinjam perkataan dari Mummy Luna). Memula, saya bersyukur sebab kali ni saya tidak teruk kena alahan @ morning sickness seperti mana ngandungkan Khalish dulu. Ingat lagi, 4 bulan saya kena MS tak kira pagi, tengahari, petang, malam, asyik nak uwek...uwek...je. Sampaikan masa saya lebih banyak dihabiskan dalam toilet.

Kali ni, memang ada terasa loya-loya tapi tak sampai tahap nak uwek2 lagi. Cuma awal Subuh tadi teruwek sebab tak tahan bau sabun Cik Abang. Tak kuar apa pun, cuma angin perut yang menolak-nolak esofagus saya.

Pening kepala, rasa nak pitam, susah tidur malam dan sembelit adalah masalah yang saya alami setiap hari. Kadang kala rasa kebencian menular dalam diri kerana tidak selesa di sana sini. Bayangkan, seminit saya rasa bahagia, seminit saya rasa letih bila memikirkan banyak benda saya nak kemas, membasuh CD Khalish, seminit saya rasa malas yang teramat sangat dan minit-minit lain saya rasa nak tidur je...

Namun, saya akur ini adalah masa saya menempuhi gelombang emosi yang sukar dijangka dan saya percaya proses ini adalah perlu dilalui oleh setiap ibu mengandung. Saya bersyukur kerana meskipun berkeadaan demikian saya mampu menguruskan tanggungjawab harian malah Khalish masih lagi dalam senarai prioriti saya.

Melayan kerenahnya kadangkala membangkitkan semangat, namun kadangkala menimbulkan kegeraman sebab dia tersangatlah suka turun naik atas perut saya. Apa yang pasti, keceriaannya mampu menghilangkan ketidakselesaan dialami beransur-ansur.

Kerabu Mangga Johnny's adalah makanan pertama saya mengidam- sila abaikan muka sememeh tak berbedak dek kerana nak cepat dapatkan kerabu tu

Perkara yang membuatkan saya sendiri risau pada kehamilan kali ini > risau berat badan naik sebenarnya < adalah setiap hari saya rasa mengidam - kejap nak makan siput pahat bercili, rendang kerang, kerabu kacang botol, kuah kacang + nasi impit, lepat, bubur gandum, air sarsi dan macam-macam lagi. Pendek kata, buka majalh atau buka rancangan masakan, mesti ada benda nak termengidam. Aduhai...Selagi tak dapat, rasa semacam je tekak ni.

Tak seperti membawakan Khalish dulu, saya kurang selera makan dan tidak mengidam macam-macam. Walaupun saya memotivasikan diri supaya tidak terlalu mengikut selera, namun saya gagal untuk melaksanakannya dek kerana tidak mahu baby lahir dalam keadaan air liur meleleh tak henti-henti > eceh....alasan sengal tak ingat.

Mujur Cik Abang memahami dan berusaha menunaikan apa yang saya hajati. Mungkin dia terpaksa melayan kerenah saya walaupun saya rasa lemah semacam bila beliau meminta balasan dengan mengurut badannya. Apapun, terima kasih, B.

P/s: kalau dapat buah delima dan cempedak durian alangkah nikmatnya dunia. Balik Melaka tengah bulan ni sure saya nak cari serabai, daging dendeng Indori dan rojak mamak kat Kg Jawa. fuh....surpp....

Layan je lah diri saya yang tak bape nak sihat ni ye....

Wassalam