18 September 2013

Jelajah Perlis 2013 (7-8 September)

Kesempatan bercuti ke negeri paling hujung Malaysia iaitu Perlis baru-baru ini tidak disia-siakan. Hampir seluruh pelusuk kawasannya kami jelajahi.

Antara lokasi yang sempat dilawati:

1) Restoran Laksa Beras Kak Su, Kuala Perlis. 
Orang kata kalau singgah Kuala Perlis tak sah kalau tidak merasa makanan popular masyarakat setempat iaitu laksa beras. Kami memilih ke restoran Laksa Kak Su. 

Menariknya, laksa bersantan itu dikatakan enak dimakan bersama spera, iaitu kuih menyerupai karipap tapi berintikan serunding kelapa berserta pulut udang. Laksanya sedap diperbuat daripada beras. 
Bagaimanapun, tekak saya masih teringat pada kelazatan laksa Teluk Kecai. 

Alamatnya di no 97, Jalan Siakap 1, 02000 Kuala Perlis. Restoran ini berhampiran dengan Maybank Kuala Perlis. 

2) Muzium Kota Kayang
Kami tiba kira-kira jam 2.30 petang. Macam muzium sendiri sebab memang tiada pelawat atau petugas kelihatan. Dah nama muzium haruslah segala maklumat mengenai kewujudan awal negeri Perlis hingga kini terkandung di dalamnya.

Muzium terbahagi kepada tiga iaitu galeri am yang mempamerkan kronologi pembinaan Kota Kayang, galeri arkeologi yang mempamerkan hasil penyelidikan Kota Kayang dan sekitar negeri Perlis serta galeri Kedah / Perlis yang mempamerkan salasilah diraja negeri Perlis bermula dari Nabi Muhammad s.a.w dan replika bunga emas, kesan pendudukan penjajah dan pelbagai koleksi yang menarik.
Di luar muzium pula, terdapat persemadian Al-Marhum Kayang yang pertama, gua serta taman larangan. Ada juga bangunan yang menempatkan barangan sejarah berhampiran muzium namun ia ditutup.
Satu je saya tak berkenan ke muzium ini berbanding muzium lain, tolonglah pasang muzik tradisional ataupun tak yah pasang apa-apa pun bagus. Mungkin saya ni old-school skit, kalau masuk muzium mesti suasana senyap atau halwa telinga mesti didendangkan paling tidak dengan muzik berentak perlahan supaya otak dapat mencerna maklumat sejarah dengan baik.

Ini tidak, dah la lagu omputih, volume tahap macam ada kat anugerah planet muzik lak. Bising dan menyesakkan je rasa. Hew...

Bayaran masuk: nasib baiklah free

3) Taman Ular dan Reptilia 
Taman ini diiktiraf sebagai taman ular terbesar dalam negara. Lebih menarik ular-ular ditempatkan samada di ruang pameran tertutup dan terbuka. 
Saya yang memang penggeli binatang jenis merayap, layankan saja sebab inilah tempat yang sudah dirangka En Bapak untuk dilawati khas untuk memberi pendedahan kepada Khalish dan Ilhan. Asyik-asyik tengok dalam NGW, kita bagi yang tengok yang real punya. 
Bagi saya, ular mana-mana pun sama. hehe...Yang pasti Khalish dan Ilhan walaupun takut tapi berani nak mencari ular di dalam akuarium dan sangkar.

Pengunjung juga boleh melihat haiwan lain seperti kera, buaya, burung unta, rusa, burung dan arnab. 

Bayaran masuk : RM4 bagi dewasa dan RM1 bagi kanak-kanak.

4) Taman Anggur Perlis
Nasib tidak menyebelahi kami untuk melawat ladang ini bahkan diberitahu kebanyakkan pokok anggur sedang berputik. Anggur yang telah dipetik pula telah habis dijual. 

Sudahnya kami hanya bergambar di pintu masuk ke kawasan tanaman berkenaan. Jadilah walaupun tidak dapat merasa anggur yang ditanam di tanah Perlis ini. Alah...anggur mana-mana pun sama je rasa ye tak? 
*sekadar mententeramkan rasa hampa. hihih

Nak melawat ladang mempelam bukan musim pula. Pokoknya ada tapi kosong...kosong...kosong. 

5) Medan Selera Dataran Brasmana
Dah lama En Bapak mengidam nak makan mentarang di Kuala Perlis. Mujurlah saya pernah terbaca dalam internet supaya ke kedai makan SM4- Alia, kerana di situ satu-satunya kedai yang menawarkan mentarang bukan pada musimnya.
Kami memesan - sotong goreng tepung yang sedap, mentarang goreng asam, kailan ikan masin, udang goreng kunyit, sup ayam dan sate yang diminta si Ilhan. Kesemuanya lebih kurang RM60. Murah, enak dan segar. 

Dalam menuju ke parkir, boleh pulak nampak kereta kuda padi- bajet macam pelakon Ezani kahwin naik kereta kuda - naiklah kami 4 beranak dengan bayaran RM10 untuk kira-kira 400 meter perjalanan pergi-balik. 
Mujurlah tiada kejadian muntah berlaku. hehe...

6) Masjid Terapung Al-Hussain, Kuala Perlis

Kami kemudian singgah solat di masjid ini yang terletak berhampiran Dataran Brasmana. Masjid tidak kelihatan terapung mungkin sebab air surut dan banyak nyamuk.
Ketika menanti En Bapak, saya sempat terdengar perbualan petugas masjid mengenai seorang pengunjung masjid yang datang ke situ. Bila ditegur supaya mengenakan tudung ketika masuk masjid, jawab perempuan tu, kalau tak bertudung bukan Islam ke? Hei, bagi saya jawapan itu agak biadap. Walaupun tidak bertudung, ada set tudung dan telekung disediakan di pintu masuk masjid. Bagi saya, orang bukan muslim yang nak masuk masjid pun boleh lagi hormat dengan memakai penutup kepala ketika masuk masjid untuk menghormati rumah Allah. Ini kan kita orang Melayu Islam sendiri. 

7) Wang Kelian
Kami ke sini pada keesokkan harinya. Nanti saya akan sediakan entry lain khas mengenainya. 

8) Gua Kelam

Kali terakhir ke gua ni masa kami honeymoon lima tahun lepas. Kira oklah juga banyak dah diimprovisasi termasuk dari segi pencahayaan, kewujudan taman rahsia dan pelbagai lagi. Cuma satu, hajat nak naik kereta api masuk gua tak kesampaian sebab kereta api rosak. Alahai...

Khalish paling tak boleh tahan, penakut ya amat. Jalan rapat-rapat sambil peluk kaki saya. Ajak balik lagi. Mungkin sebab suasana kelam dan bunyi air mengalir buat dia takut. Sampai penghujung gua, gembira dia bukan kepalang. Ilhan bagus, rileks saja. 

9) Restoran Anjung Keli

Plan asal sepatutnya nak melawat ke taman burung unta. Disebabkan ada salah faham mengenai kedudukannya - dalam googlemaps tulis Beseri tapi sebenarnya berhampiran Kampung Tersusun, Padang Besar. Lebih tepat di Pusat Perkhidmatan Veteriner makanya kami abaikan lawatan berkenaan. Malas nak patah balik.
Antara selebriti yang pernah bertandang kat sini. Semuanya terpapar di dinding. Dalam byk2 pic, ini jd pilihan En Bapak
Sudahnya En Bapak terus memandu dan tahu-tahu dah sampai kat restoran Anjung Keli ni. Jam 3 petang masih penuh dengan pelanggan. Hebat. Restoran ini berasaskan ikan keli, semua masakan adalah ikan keli. Nak ikan lain sila cari kedai lain.

Walaupun harganya sedikit mahal berbanding kedai lain, namun saya rasa semua lauk yang saya ambil adalah sedap di tekak. Lebih-lebih lagi ikan keli bercili. Sedap panas-panas.

10) Ladang Nipah Kipli
Senyum menahan berat buah nira
Terletak di Kampung Tanah Timbul, Kuala Sanglang. Ladang ini diusahakan keluarga En Kipli dengan menanam lebih 2,000 pokok nipah betul-betul bersebelahan dengan kediaman pemilik. 

Lebih menarik, beberapa pondok rehat turut disediakan di celah-celah deretan pokok sambil menikmati keenakan air nira yang segar ditambah dengan aktiviti bertepuk tampar dengan nyamuk. hehehe...
Air niranya saya rasa lebih sedap dan kurang rasa berlumpur berbanding air nira yang pernah saya rasa di Teluk Intan. Selain air nira, turut disediakan laksa, jeli nira dan pelbagai makanan kudapan selain cuka nipah juga turut dijual.

Selesai mengisi perut, kami terus pulang ke Ipoh. Dengan ini, lengkap sudah jelajah negeri-negeri di utara semenanjung. Alhamdulillah. 

2 comments: