17 October 2009

Panggil Nama Saya, Doakan Saya...



Ibu suka tengok iklan Deepavali Petronas (klip di atas) yang mengisahkan Muniandy dan Muthusamy yang bangga sangat guna nama ala-ala mat saleh bila nak berkenalan dengan aweks. Mungkin terlalu mengagungkan budaya barat dan ingin nampak lebih urban (konon la), mereka malu nak gunakan nama sebenar masing-masing.

Mesej iklan berkenaan mungkin berkisar mengenai penghargaan terhadap diri dan bangsa sendiri. Walaupun ibu tak tau maksud Muniandy Chinnadorai atau Muthusamy Karupiah, ibu berpendapat seseorang perlu menghargai nama yang diberi oleh ibu bapa sendiri.

Lagipun, dalam Islam mengatakan nama adalah doa kepada individu yang memilikinya. Jika namanya baik, secara tak langsung kita mendoakan yang baik-baik pada pemiliknya. Namun, sesetengah dari kita bukan main pening cari nama anak yang mempunyai maksud yang hebat. Tetapi akhirnya memanggil dengan nama singkatan yang tiada maksud.

Rasulullah (s.a.w) menganjurkan supaya kita memilih nama yang baik untuk anak-anak. Sabda Nabi yang telah diriwayatkan : " Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari Kiamat nanti dengan nama-nama kamu, oleh itu perelokkanlah nama kamu,".

Cik abang ibu awal-awal lagi dah pesan jangan panggil Khalish@ nama penuhnya Muhammad Adib Khalish (yang bermaksud : terpuji>sempena nama Nabi s.a.w, orang yang berpengetahuan, bersopan, sasterawan, suci, ikhlas, murni) dengan nama singkatan seperti Khal, Lish atau Deep kerana panggilan itu tiada maknanya.

Kami mahu Khalish sentiasa didoakan dengan doa yang baik, bukannya yang mempunyai 'doa kosong'.



No comments:

Post a Comment