En Bapak sekarang dalam percutian panjang (kira-kira 2-3 bulan) gara-gara insiden patah buku lali tempoh hari. Lepas menjalani dua pembedahan memasukkan implan di buku lali beliau, En Bapak sekarang bergerak ke sana sini menggunakan bantuan tongkat yang ditampung di ketiak.
Emosi orang sakit memang sukar diduga. Ingat bila sakit, dapat rawatan, ubat dan cuti panjang mampu menghilangkan kesakitan sekaligus ke? Oh tidak sesekali. Makanya, sebagai jururawat khas untuk pesakit yang dijaga haruslah memastikan emosi stabil dengan jayanya walaupun dihambat dengan pelbagai tugasan khas lain seperti masterchef rumah, guru, driver, cleaner dan sebagainya.
Tips yang saya ingin kongsikan dan sebagai rujukan sendiri kelak:
1) Emosi - Kita perlu faham pesakit sedang bertarung dengan kesakitan dan emosi yang tidak menentu kadangkala membuatkan mereka marah tak tentu pasal atau mengamuk tanpa sebab. Kadangkala, bukan pada kita pun, maka tak perlu kecik hati bagai pada mereka. Buang masa. Sekiranya penyebabnya kita ketahui hulur bantuan segera kepada mereka.
2) Penjagaan Diri - Bagi pesakit yang melakukan pembedahan, patah anggota badan atau mengalami luka tentu tidak akan dibenarkan mandi bukan. Tugas anda, lap badan pesakit dua kali sehari (air biasa dan air sabun) untuk mengurangkan ketidakselesaan mereka. Rutin harian seperti gosok gigi dan cuci muka jangan lupa pulak. Kalau boleh, basahkan dan syampu kepala mereka sekali.
Paling penting, beli corong shi-shi (bagi lelaki) di farmasi bagi memudahkan mereka membuang air kecil. Senang kerja. Sediakan tuala basah atau tisu basah di sisi mereka.
3) Pemakanan - Minggu-minggu awal pesakit haruslah diberi menu makanan lengkap dengan segala zat. Kalau yang menjalani pembedahan, elok sediakan sup ikan haruan setiap hari tanpa miss. Kalau yang boleh telan pati ikan haruan, lagi bagus. Ayam, telur, makanan laut elakkan dalam dua minggu pertama sebab luka akan menjadi gatal ya ampun. Tapi kalau kat hospital memang menu ayam dan telur masuk senarai, risiko gatal sendiri tanggung ye. Lebihkan sayur-sayuran, buah-buahan dan susu.
Pengambilan ubat atau supplemen perlu diberi mengikut waktu yang ditetapkan.
4) Ibadah - Ingatkan pesakit untuk menunaikan solat dalam apa jua keadaan kesakitan. Islam itu mudah, maka rujuk rukhsah solat bagi pesakit yang telah termaktub. Hubungan dengan Allah perlu diteruskan dalam apa jua keadaan dan hanya Allah tempat kita meminta pertolongan, oleh itu kita berkewajipan mengingati Allah dengan menunaikan perintahNya.
5) Aktiviti - Dah nama pun pesakit, takkan nak berbaring bantai tidur setiap masa. Jadi, pastikan pesakit ada aktiviti yang mereka suka. Contoh, baca buku, surf internet, main game, sudoku, baca majalah gila-gila atau sebagainya. Lagi afdal kalau pesakit membaca Al-Quran. Untung-untung habis waktu cuti khatam Quran sekali. Kan bagus. Bagi pesakit yang boleh berjalan sendiri mungkin boleh keluar berjalan-jalan untuk mengambil angin.
6) Kasih Sayang - Sesibuk mana pun kita, luangkan masa untuk berbual-bual dengan mereka dan berkongsi pelbagai perkara untuk menghilangkan kebosanan mereka. Jangan melebih-lebih pulak atau jangan buat lawak bodoh. Nanti tak memesal kena jeling dengan si pesakit. Kalau boleh, lakukan urutan atau picitan ringan di bahagian belakang atau bahu mereka untuk menghilangkan lenguh badan. Kalau dah bahagian itu yang tercedera, jangan memandailak nak picit takut nanti ada yang kena hempuk ke dinding. kikiki
Kesimpulannya: Hargailah masa-masa sihat kita dengan sebaiknya. Cuba bayangkan seandainya kita pula yang sakit sudah tentu kita mahukan layanan yang baik daripada mereka yang menjaga kita. Ingat, ini masa kita berbakti kepada yang tersayang. Bukan terpaksa tetapi cuba ikhlas dalam setiap layanan walaupun muka ketat. hahaha...sabar jelah.
notajari : saya kagum dengan Mak dan Ayah saya menjaga arwah atuk dan sekarang nenek dengan sangat sabar dan penuh perhatian. Walaupun nenek bertanyakan soalan yang sama dekat 10 kali (kerana masalah ingatan) mak tetap dengan nada sama menjawab dengan senyuman. Mak katakan pada saya, mak berharap anak-anak mak (kami semua) dapat jaga mak dan ayah bila mereka tidak berupaya sepertimana mak ayah menjaga nenek dan atuk. Insyaallah. *kesatairmatayangbergenang.
No comments:
Post a Comment