22 November 2012

Musim Udang Geragau Di Melaka

Kalau balik ke kampung halaman saya di Masjid Tanah, saya selalu berharap ada bahan utama makanan kegemaran saya yang singgah hanya ikut bermusim, iaitu udang geragau. Sepanjang tahun ni memang tak jumpa langsung masa balik kampung. Kadang-kadang memang rasa hampa.

Alih-alih balik kampung sebulan tempoh hari, akhirnya berjumpa juga dengan musim geragau ni. Kami orang kampung panggil 'gagau' saja. Kalau dulu musim geragau adalah antara bulan Ogos hingga Disember berikutan arus laut kurang bergelora. Namun berikutan cuaca sekarang tidak menentu musim geragau juga sukar dijangka. 

Aktiviti menangkap anak udang dipanggil melanggai dan untuk itu, sebuah alat khas dinamakan penyungkur - diperbuat daripada dua batang buluh atau kayu, jaring yang dijahit seperti pundi barang serta pelampung digunakan untuk tujuan menangkap yang bergerak secara berkumpulan di atas permukaan air dan dasar pasir. 

Bukan senang nak menangkap gagau ni. Saya pernah berbual dengan seorang pencari geragau beberapa tahun yang lalu. Katanya, antara risiko pencari geragau termasuklah digigit ikan, disengat obor-obor atau onggong (seakan anak ikan keli) namun bisanya mampu membuatkan anda ke hospital. 
Geragau adalah rahsia cincaluk dan belacan yang enak. Kalau dulu, geragau mudah saja nak dapat di sekitar kawasan Pantai Klebang, Lereh, Batang Tiga hinggalah ke Tanjung Kling. Namun, disebabkan kegiatan menambak pasir aktiviti ini semakin berkurangan. Kalau ada, janganlah lepaskan peluang membeli.

Selain itu, udang geragau enak dimasak asam rebus, cucur, bebola udang, petis selain digoreng bersama telur (resepi baba nyonya). Insyaallah, kalau berkesempatan saya akan kongsikan resepi kelak. 

Beberapa hari sebelum kami kembali ke Ipoh, semasa saya memandu ke Masjid Tanah, saya perasan ada penjual geragau yang hanya membuka dua meja di tepi jalan di kampung sebelah (Kampung Sungai Kertah) yang menjual setimbun geragau segar. Apalagi, haruslah saya cepat-cepat berhentikan kereta dan membeli. Sekilogram hanya RM5 dan terus saya memborong dua kg. 

Balik rumah Mak, apalagi terus buat cekodok geragau dengan pantas. Tak sampai setengah jam, sudah siap dijamah bersama sos. Terasa udang segar yang didambakan selama ini. Fuh...memang terasa hidup biar sedap. hehehe. Nak resepi geragau yang enak bangat dari Mak saya? Silalah berkunjung ke blog resepi saya ye atau tekan je sini.

Pesanan khidmat masyarakat dari saya, kalau ada masalah alahan dan resdung silalah kurangkan ambilan geragau kalau hidung anda nak selamat dari kegatalan. hehehe...

19 November 2012

LAP Lepas Tangan. Baguslah!!

Balik dari kampung tempoh hari, saya perasan batu penutup longkang depan pagar rumah retak menanti belah. Nak tak nak kena masuk elok-elok untuk parking ke garaj. Seriau juga kalau-kalau nanti tayar kereta termasuk dalam longkang tak pasal-pasal pulak. (hah, apahal banyak sangat kata ganda dalam perenggan pertama nih *geram punya pasal).

Selepas diselidik dengan jiran sebelah anak beranak, mereka sebulat suara mengatakan keretakan mungkin berpunca daripada jengkaut / lori LAP yang datang betulkan salur paip taman depan rumah. Anak jiran perasan, ada lori yang menurap kembali kawasan yang dikorek berada di atas penutup longkang berkenaan. Mungkin untuk mengundur lori atau sebagainya. Baiklah,saya kan menghubungi LAP dalam masa terdekat.

Dua tiga hari kemudian hujan lebat, saya dapati penutup yang retak tu semakin melendut ke bawah. Mungkin kerana kelembapan batu penutup berkenaan nampak semakin tidak mampu bertahan lama dan akan terbelah dua. Tak boleh jadi, saya panjangkan aduan kepada LAP bahagian operasi mengenai masalah berkenaan dan mengharapkan mereka bertanggung jawab. Laporan saya diterima dan mereka berjanji melakukan siasatan.

Jadi, semalam datanglah seorang staf LAP melihat-lihat keadaan. Saya jelaskan keadaan yang saya hadapi. Pak cik tu, hah pak cik yang suka makan muruku tu mati-matian menekankan pihak mereka tidak bersalah dan menyatakan kawasan operasi mereka dan kesan retakan berada jauh dan tak memungkin mereka melakukan kesilapan. Ceh...ingat saya saja reka cerita ke apa.

Yang dikorek adalah kat tong sampah hitam sinun.
Tambahnya lagi, kalau betul mungkin dua atau tiga penutup akan menerima kesan yang serupa. Pergh...memang menyirap darah kalau ingatkan reaksi pak cik tu. Siap geleng-geleng kepala dan tunjuk tangan pada saya mengatakan tak logik. Dah kalau satu penutup tu tak kukuh nak buat macamana. Kereta saya yang lalu hari-hari kat situ baik-baik saja sebelum LAP datang buat operasi. Apa cerita??

Penyudahnya dia suruh saya baiki sendiri kerosakan dan terus blah naik motor macam tu je. 

Bagus LAP bagus. Terima kasihlah kerana memberi satu kemudahan dan masa yang sama mencipta masalah pada saya. Bagus...bagus.

Manalah nak cari penutup longkang ni. Dah la batu, berat pulak tu. Nasib...nasib.

notajari: Agak-agak Datuk Seri Dr Zambry baca tak blog picisan saya nih :

18 November 2012

Akhirnya Merasa Juga Durian Crepe di Meru Raya

Dah berbulan-bulan orang dok canang pasal durian crepe ni. Saya pun ada amik port juga bila jeling-jeling kat fb Cik Min. Setakat jeling-jeling je lah, telan air liur macam orang mengidam. Nak order takut tak sedap bila sampai dan nak ke Batu Caves adalah agak mustahil dalam keadaan sekarang.

So, saya pendamkan saja hasrat murni perut sampailah Rabu lepas akhirnya hajat di hati kesampaian. Itupun selepas menggoogle lokasi pembuat durian crepe di Ipoh, saya menemui lokasi yang paling dekat dengan rumah iaitu di Meru Raya.

Awalnya, berkira-kira juga nak pergi sebab takut nanti hampa tak bertemu dengan resepi asli durian crepe yang menggunakan lima jenis tepung tanpa secubit pun tepung gandum. Tapi, bila difikir-fikir nak tau sedap atau tidak kenalah cuba dulu baru tahu sendiri bagaimana rasanya. Makanya gigihlah saya sms dulu tuan kedai tanya ada buat tak bantal durian hari tu. Lepas diberitahu ada, maka saya terus membawa dua orang 'henbag' saya ke kedai berkenaan yang mengambil masa tak sampai 10 minit dari rumah.

Masuk-masuk je kedai....bagi salam dulu.

Saya: Ni Kak Feena ye, saya yang sms tadi. 
Tuan Kedai : Ye saya. Oh, yang nak durian crepe ye tadi.
Saya: Ni resepi sendiri ke dari Bzee Bakery Kak? (ayat asal yg nak ditanya : ni crepe durian ke ketayap?)
Tuan Kedai : Akak baru belajar ni dari Bzee Bakery. Baru tiga minggu.
Saya: Oh, patutlah. Saya baru balik bercuti sebulan di kampung patut tak jumpa masa search kat internet bulan lepas. 
Tuan Kedai : Dah lama mencarilah ni ye. Dapatlah adik merasa lepas ni.

Saya tahu resepi asal dihasilkan oleh tuan punya Bzee Bakery, dan memang saya nak rasa resepi asli. So, daripada nak beli sebekas terus jadi dua. Sebekas  ada 6 keping = RM10. 

Balik je rumah, terus letak depan En Bapak dan kami anak beranak terus ambil bahagian masing-masing. Gigitan pertama terasa lembut kulit krep tu, kedua rasa krim dan kemuncaknya rasa durian yang macam baru dikopek. Macam kata Chef Jo, meletup-letup dalam mulut!! Wallah...memang kena dengan selera kami hantu durian ni. Dap...dap...dap.

Khalish memang suka dengan durian. So, cepat-cepat dia habiskan crepe yang ada di tangan dan minta lagi 'kek durian' yang ada. Ilhan pun sama tapi dihabiskan kulit crepe tu dulu. hihihi...Bagi saya durian crepe ni, lagi sejuk lagi best makan. Nyaman je masuk tekak bila dikunyah perlahan. Ishh...terasa-rasa kat tekak.

Durian crepe ni elok dimakan segera kerana ia hanya bertahan dua hari. Dah sedapkan, haruslah dimakan cepat-cepat. Kang kalau lambat-lambat takut jadi tempoyak crepe lak. hahaha...Sangat sedap ok crepe dari Feena Cakes Delight ni. Sila serbu ramai-ramai ok.

Alamatnya adalah : No. 34, Hala Taman Meru 11, Taman Meru 2B, Ipoh, Perak. Boleh juga tengok website mereka di sini. Tapikan, lagi  molek kalau sms dulu Kak Feena di no :019-5596869/ 05-528429 tanya ada stok untuk durian crepe tak. Kang datang dah habis, ada yang meroyan lak. hewhewhew...

notajari: Sis Lea @ sallylea ada menjual tepung premix crepes. Beliau juga menuntut dengan puan Bzee Bakery tau. Harga tepung RM15 tapi tak tahulah berapa gram. Durian sekarang ni dah banyak jual merata-rata agak-agak rajin nak buat sendiri boleh contact Sis Lea. Google sendiri no nya ye. tata.


15 November 2012

Kembali Ke Ipoh & Result Exam

Assalamualaikum,

Setelah hampir sebulan tuan tanah, suami dan anak-anak balik kampung, kami akhirnya selamat menjejakkan kaki semula ke Ipoh- tanah perantauan tercinta. Kalau balik kampung tu, faham-faham sajalah line broadband di sebuah negeri yang maju di mana signalnya kadang kala dapat kadangkala tidak.pheww...

Kebanyakan aktiviti berinternet dilakukan menerusi android En Bapak yang kini berada di bengkel Samsung kerana 'sakit tenat'. Paling mendebarkan apabila memeriksa keputusan peperiksaan di portal SPA.

KEPUTUSAN PEPERIKSAAN MEMASUKI PERKHIDMATAN AWAM PENOLONG PEGAWAI PEMBANGUNAN MASYARAKAT GRED S27

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

2.    Keputusan peperiksaan yang telah Tuan/Puan hadiri bagi jawatan yang tersebut di atas adalah seperti berikut:


      Jawatan : PENOLONG PEGAWAI PEMBANGUNAN MASYARAKAT GRED S27
      Keputusan Peperiksaan : Tahniah! Anda LULUS ujian yang telah diadakan pada 07/10/2012

3.    Keputusan muktamad adalah berdasarkan kepada surat pemberitahuan rasmi yang akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia.

Syukur alhamdulillah. Terima kasih Allah. Walaupun kena lalui dua peringkat lagi dan tak tentu terpilih untuk jawatan berkenaan, saya lega sangat sebab dah tak sanggup bersengkang mata macam mata gara-gara nak ulangkaji macam-macam maklumat.

Lega sangat-sangat. Senyum sampai telinga naik kebas. Hehehe...