29 April 2013

Tahniah Zain Kerana Berjaya Merampas Populariti Double A Dalam MCM Selebriti

Pix credit to astrogempak
Sesiapa yang menonton MasterChef Malaysia (MCM) malam tadi mesti sakit hati melihat gelagat jujur-tak-kena-tempat si Zain terhadap juri. Tu baru menonton dah panas hati inikan kalau berada di tempat kejadian ketika itu.

Mesti Lidyawati time tu rasa macam nak sepak je mulut si Zain. *eh Lidya ke saya ni?*. Tak hormat langsung pada chef yang dah berpengalaman berpuluh tahun tu. Orang bagi tips bukan nak dengar betul-betul sibuk buat kerja lain dan lebih dengar jeritan kawan-kawan yang tak seberapa menguasai teknik masak tu.

Bukan ke Cikta kata Zain tu pandai masakan western? Ragu-ragu juga sebab penkek pun tak reti masak.  Harap rupa je western. Tapi saya pernah tonton Hot Guys Who Cook - macam si Zain ni pandai masak. Tapi masatu dia dikalahkan lah. Tak silap dia masak pasta. Kalau setakat masak pasta, eh saya pun terer apa. Nak claim juga terer masak western. (padahal setakat rebus pasta pastu curah sos prego).

Rupanya selera kebanyakan selebriti Malaysia ni balik-balik sambal, masak lemak, masak kicap, dan kuih-kuih biasa yang dijual. Tak inovatif dan tak kreatif langsung. Takkanlah masa terima tawaran takde langsung persiapan untuk ke dapur MCM. Masterchef ok, bukan kelas belajar memasak kanak-kanak.

Lagipun, kata mewakili badan kebajikan untuk dana sumbangan, ishhh memalukan betul bila nak beramal tapi perangai tak serupa yang diharapkan untuk membuat kebajikan.

Apapun, tahniah buat Zain kerana berjaya merampas takhta populariti Azwan Ali aka Double A dalam merencahkan lagi MCM Selebriti yang bagi saya MC Junior Australia lagi kelas. Mungkin dapur MCM terlalu panas baginya. Kurang-kurangnya Double A nak juga dengar nasihat chef-chef dan agak pandai masak. Ko Hadoo???


tak berapa meletop: rasa macam ada ulat gonggok kat tengkuk bila dengar Cikta kata bila tengok Zain pergi, rasa macam nak ikut sekali. Rasa macam nak ridsect diri sendiri je time tu. Hamboi...*geleng-geleng kepala*

p.s: hormon kewanitaan tak berapa stabil ginilah jadinya. grrr....

24 April 2013

Musim Kempen Sana Sini

Budak-budak apa yang diorang faham...tapi kurang-kurang diorang kenal siapa PM mereka. 
Belajarlah untuk kenang jasa pemimpin negara dan kerajaan.
Walaupun tidak sempurna di mata semua, namun tetap ada jasanya bagi setiap individu. 
*hidup Malaysia!! mood bersemangat mengundi kali pertama di kampung halaman. yahuu...

18 April 2013

Berkunjung ke Spa D Nur Beauty House @ Meru Raya, Ipoh


Assalamualaikum,

Baru bulan April, tapi badan dah sengal sana sini. Maklumlah pengurus rumah tangga cum chef, cleaner, bibik, isteri, ibu, pendidik, tukang bebel dan jawatan seangkatan dengannya membuatkan minda, tenaga dan fizikal keletihan.

Tu baru jaga dua hero opps tiga termasuk bapak hero sekali. Tak terbayangkan kalau beranak 3, 4. Pheww...Aduhai, bahu ibarat ada empat biji batu bata di atasnya. Kaki pun rasa berat semacam. Nak tunggu hujung bulan balik kampung amatlah terasa lamanya.

Spa milik Kak Ully di Banda Hilir seakan melambai-lambai kedatangan saya. Namun, haruslah badan yang keletihan ini perlu direcaj semula dengan urutan yang menenangkan membetulkan segala urat simpang siur dan membuang segala angin taufan di dalamnya. Maka marilah kita cari spa berhampiran untuk dikunjungi.

Selepas membuat beberapa pertimbangan dengan masa dan jarak yang dekat berhampiran rumah, maka saya memilih untuk ke D'Nur Beauty House. Sehari sebelum kunjungan haruslah buat temujanji dulu dengan pemiliknya Kak Nur.

Saya tiba 10 minit sebelum jam 11 pagi. Sementara Khalish masih di tadika, haruslah Ilhan pergi bershopping dulu ke Mydin dengan En Bapak. Alah, tak jauh mana pun depan spa tu je. Kedatangan saya disambut dengan seorang gadis manis bernama Shira. She's my masseuse. Sayangnya malu pulak bila diminta berposing. Ha, kan rugi tak dapat masuk blog ahkak ni. hihihi.

Lepas tu, kita boleh memilih samada untuk diurut di bilik mana. Spa ni ada single dan double room. Memandangkan single room nampak menarik, kita pilih saja di situ. Macam kebanyakan spa yang dikunjungi, haruslah kena buka apa yang patut dan berkemban sebelum diurut. Jadi, kalau kita memilih ke spa, haruslah juga mencari spa muslimah untuk menjaga aurat kita.

Maka, sesi urutan aromaterapi selama sejam pun bermula. Dengan lampu tidur, bau minyak yang menenangkan, suasana nyaman ditambah pula dengan urutan yang sedap memang rasa macam nak tidur.

Tapi macam tak boleh sebab si gadis manis berkenaan sangatlah peramah mengajak berbual. hihihi. Walaupun kadangkala tak tahan bila diurut tang angin yang berkumpul, namun selepas suatu ketika, rasa sedap dan ringan je rasa. 

Lepas berurut, saya diberi minum secawan air halia yang membuatkan angin berlumba-lumba keluar dari badan. Sangat syok ok. Bila tengok katalog rasa macam nak buat facial lak, eh pakej yang disediakan juga amatlah berbaloi-baloi. 
Selain urutan badan, spa ini juga menawarkan perkhidmatan resdung, sauna, lulur, refleksologi, mandi aura & bunga, rawatan rambut, make up pengantin-dinner-daily, manicure pedicure dan sebagainya. Pendek kata, dua dalam satu - spa dan salon. Tak perlu ke tempat lain untuk buat rawatan berlainan. 

Yang bestnya sepanjang April ni, D Nur Beauty House ni ada mempromosi pelbagai pakej rawatan kecantikan muka dan badan pada harga yang berpatutan. Haruslah beramai-ramai like fanpage D Nur Beauty House Ipoh ye. 

Ingat lain kali nak buat facial dan pakej rawatan badan lagi. *kenyit-kenyit mata pada pembiaya dana urutan iaitu YAB En Bapak. kekeke...Ibarat kata angin takde, badan pun gembira. *apa punya tagline da.

Untuk yang masih tercari-cari spa di Meru Raya Ipoh, anda bolehlah berkunjung ke:

D Nur Beauty House di alamat No 37A, Jalan Meru Bistari A2, Medan Meru Raya, 30020 Ipoh, Perak. Atau menghubungi Kak Nur di talian 012-5564200 untuk temujanji dan pertanyaan lanjut. 



12 April 2013

Ilhan Yang Bermaharajalela Bila Abang Takde

Khalish akan ke tadika sebelum jam 8 pagi. Waktu pulang adalah sekitar jam 12.30 tengahari. 

Jadi, bila ketiadaan abang, Ilhan rasa seperti diberi kuasa mutlak bermain tanpa sebarang gangguan dari abangnya. Kalau Khalish tak usik adik, Ilhan pula sebaliknya. Padahal mainan dibeli samarata dan yang kat tangan abang juga Ilhan nak main. Budak-budak.

Mula-mula, main dengan kereta dia. Siap parking baik punya sambil tangan pegang bear dan nyet-nyet (monyet mainan) oh, anak saya pencinta haiwan tau. 
Lepas main, Ilhan akan buka tab untuk belajar Jawi tak pun saya yang akan ajar dia menerusi Bacalah Anakku. Tapi, sejak dua menjak ni paling saya kurang kesabaran bila alatan memasak saya diseludup keluar satu persatu daripada kotak. Senyap-senyap je, tau-tau dah tersusun kat lantai. Kalau dah main letak balik tak pe juga, ni dia pulak sound bila kita nak simpan. adeh...
Siap cakap "adik achak...adik achak...(adik masak), no, no, no". Ilhan, Ilhan. Mungkin dia terpengaruh dengan Ibu dia yang asyik beribu pejabat kat dapur, tak pun suka layan sama menonton My Kitchen Rules kat 702, Barefoot Contessa, Sugar Dome, Cupcakes War atau Giada At Home.

Padahal dia tahu masakan Ibu dia tiap-tiap minggu sama je. Tak sampai tahap seperti dalam rancangan masakan pun. hihihi...

Seronok juga bila dia menunjukkan minat seperti itu untung-untung dah besar boleh jadi chef terkemuka. Yang tak berapa seronok tu, ruang tamu tempat dia bermain bersepah sana sini - dengan mainan, buku, kereta, basikal, motor, barang masak, makanan. Aduh boleh semput Ibu nak....

09 April 2013

Beg Kertas - Nak Dibuang Syg, Bila Disimpan Rasa Menyemak

Masa kemas barang dalam kotak tempoh hari, baru perasa ada timbunan beg kertas kira-kira 100 yang kebanyakkan diperoleh En Bapak menerusi majlis atau tugasan yang dihadiri. Cenderahati wajib di dalamnya seperti buku nota, diari, pen, mug, termos atau tshirt. Kalau majlis syarikat atau hotel dapatlah yang best sikit paling kurang pun baucer. 

Walaupun dibuat daripada jenis kain, guni, kertas kualiti tebal atau biasa serta plastik, kita tetap panggil beg kertas sebab dah empat segi bentuknya dan ada tali pemegang di atasnya. Bila dah banyak-banyak, mulalah sesi pemilihan kasih bermula. 

Yang jarang diperoleh, bersaiz besar, unik haruslah dipilih manakala yang biasa-biasa kita beri saja pada jiran atau sedara mara. Haruslah disertakan bersama 'sesuatu' di dalamnya bukan beg semata ok.

Masa kerja dulu pun, menimbun la dapat beg kertas ni. Sampaikan Mak bising pasal banyak sangat beg kertas sana sini. Penyelesaiannya, kami letgo beg tu sekali dengan lauk majlis kahwin dalamnya. Senang, jimat tak perlu beli beg plastik banyak. hehe...

Fungsi beg kertas yang besar-besar, kita bawa ke pusat membeli belah kalau nak beli barang terutama hari Sabtu. Kan senang tak delah barang-barang yang dibeli tu terpamer kat dalam troli, sekaligus menyokong pengurangan plastik. Kononnyalah. 

Tak pun, beg kertas tu kita buat isi bekal ke pejabat En Bapak. Ha, dengan bekas nasi, lauk, 2 botol air dan satu bekas air teh bunga raya sesuai sangatlah dengan beg kertas yang besar. Pulak tu boleh tukar-tukar beg lagi setiap minggu. Dah banyak beg la katakan.

En Bapak punya, sanggup beli beg dengan jajan RM10 tu
Atau setiap 2 minggu sekali beg yang terpilih akan dibawa Khalish ke kelas kolam renang. Senang nak isi baju salin, tuala dan botol air. Kelas awak nak, bawa beg SPRM, Jabatan Perbendaharaan, pejabat MB dan UTP pun ada. hihihi...

Kebanyakkan pencarian google ditemui melibatkan beg kertas coklat. Banyak juga kraf yang boleh dihasilkan. Untuk beg kertas seperti yang saya simpan ni tak jumpa lagi. Mana lah tau boleh jadi kreatif pulak. hihihi...Ada tak sesiapa yang pernah buat kraf daripada beg kertas? Kongsilah.  


08 April 2013

Anakonda di Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka


Assalamualaikum,

Lama benau tak mengupdate blog sampaikan nak mula balik punyalah kurang rajin. Baiklah, kita ada banyak entry tertunda untuk dikongsi. Baik selesaikan segera sebelum pilihanraya. *apa kena mengena?*. Dah nak pilihanraya, maka saya berkesempatan balik kampung lagi. yahuu...

Kembali ke siratulmustaqim...

Semasa balik kampung tempoh hari untuk mengambil Khalish, kami berkesempatan meronda ke Ayer Keroh. Tu pun sebab Ayah saya dapat 10 tiket free masuk ke Taman Rama-rama dan Reptilia Ayer Keroh.

Lepas balik dari rumah saudara yang buat kenduri aqiqah anaknya, saya, En Bapak, Khalish, Ilhan, adik bongsu saya, Acu dan Mak terus bergegas ke Ayer Keroh. Ikutkan hari yang sama kami patut bertolak balik ke rumah keluarga En Bapak di Petaling Jaya, tapi kami pergi beromba dulu memandangkan tak pernah ke taman ni walaupun telah dibuka sejak 1 Februari 1991.

Sampai je dekat jam 1 tengahari. Anak-anak dah seronok bila dengar ada rama-rama dan bermacam jenis haiwan yang bakal mereka saksikan. Budak berdua ni memang teruja sangat dengan haiwan sejak layan Nat Geo Wild di education channel.

Masuk-masuk je, ada beberapa kotak kaca memaparkan serangga, eh tengkorak pun ada *garu-garu kepala*. Ada sangkar burung dan burung Merak putih yang kurang asamnya mempamerkan sisi kurang sopan kepada pengunjung terutama kanak-kanak. Cer tengok...
Kemudian, akan berjumpa dengan kedai cenderahati yang sangat ohsem. Masa kat sini, Mak dah tak larat nak jalan dan nak rehat je kat kerusi depan tu. Ok, kami memulakan perjalanan masuk ke Taman Rama-Rama.
Mak dan Acu
Lupa nak cerita, pengunjung akan merentasi tiga bahagian taman iaitu taman rama-rama, reptilia dan kolam ikan koi. Ada juga sesi fotografi bersama reptilia seperti iguana dan ular sawa albino ataupun barangan antik di pintu masuk sebelah kiri

Dipendekkan cerita, saksikan aksi kami dan mereka yang sempat dirakamkan. 

Ini bukan telur dinasour


Tak banyak jenis yang cantik seperti di Cameron Highlands
Gua kecil menempatkan kala jengking, katak tanduk dan ular 
Di taman ikan koi
Ikan koi kelaparan - makanan dijual di kedai cenderahati

Inilah dia anakonda. Tak berani nak dekat lagi.
Pelbagai jenis ular
Lawatan berakhir di galeri yang menempatkan koleksi rama-rama yang telah diawet, kumbang dan serangga yang dipamerkan dalam kotak kaca. Selain itu, kedai cenderamata menjual pelbagai kenang-kenangan untuk dibawa pulang. Macam biasa, fridge magnet menjadi pilihan kami untuk dibawa pulang. 



Selepas penat berjalan hampir sejam, tenangkan diri dengan main piano
Bukan sekadar taman rama-rama biasa, dengan bayaran RM12 untuk dewasa dan RM7 bagi kanak-kanak 3-12 tahun ia adalah lawatan berbaloi untuk dinikmati. Taman ini dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Lokasinya terletak bersebelahan dengan susur keluar tol Ayer Keroh dan bersebelahan dengan Philea Resort & Spa.

Sila layari http://www.butterflyreptile.com untuk maklumat lanjut.