Lepas berjaya melepasi ujian bertulis SPA tempoh hari, saya diminta untuk menghadiri Program Assesement Centre (PAC) di Rumah Seri Kenangan Taiping, Sabtu lepas.
Calon yang sepatutnya hadir sepatutnya kira-kira 130 dan yang hadir hanya 98 orang. Program berlangsung selama sehari dari 7.30 pagi hingga 5.30 petang. Rata-rata yang hadir kebanyakannya telah bekerjaya samada dengan sektor awam dan swasta. Tapi yang menariknya, dikhabarkan hampir 80 peratus yang menghadiri PAC (khususnya jawatan penolong pegawai pembangunan masyarakat s27) adalah daripada KPSL sejak 2008. Sangat kompetitif.
Apa yang dapat disimpulkan di sini berdasarkan pengalaman saya menghadiri PAC berkenaan adalah:
1. Calon seharusnya lebih tenang dan mengawal perasaan gugup.
2. Perlu lebih bekerjasama dengan rakan sepasukan supaya tidak dilihat 'gila kuasa' dalam menyampaikan sesuatu idea.
3. Calon perlu melontarkan idea yang bernas dan tidak melalut dengan isi yang tidak berkaitan.
4. Tidak berbangga diri dengan tempoh perkhidmatan 5, 10, 15 atau 20 tahun kepada mereka yang baru bekerja.
5. Muka jangan berlagak dan rasa diri hebat berbanding orang lain.
PAC JKM ini adalah kali pertama diadakan dan bagi saya ia sangat mesra calon dan tidaklah menakutkan seperti yang dibayangkan. Fasilitator dan urusetia sangat membantu dan sesi ini berlangsung dalam suasana latihan dalam kumpulan.
Nanti ada ujian psikologi SPA, jangan lupa bawa pensil 2b jawab. 185 soalan dalam masa 40 minit. Perahlah otak dengan sebaik mungkin kerana soalannya mampu membuatkan gegaran medula oblongata serta DHA dan ganglioksida berhubung dengan cepat. hahaha...lepas tu tensi dengan orang sebelah tanya macamana nak jawab dan asyik pinjam pemadam. Sabar dalam senyuman. *kecik je aku tengok dia ni.
Paling menyentuh hati, ada sesi lawatan bertemu warga emas di mana kebanyakan warga emas yang saya temui adalah bekas anggota polis dan ibu tunggal yang ketiadaan anak. Tidak dapat dibayangkan saya menghabiskan sisa hidup seusia mereka di rumah ini. Sedih, tapi perlu berwatak hati kering di depan mereka.
Ada calon yang mengawal latihan berkumpulan secara total. Ada calon nak cakap, dia potong lepas tu suka-suka hati meminta orang mengeluarkan banyak pendapat sedangkan diri sendiri hanya ada satu isi yang kurang mantap. Alahai...bajet bagus sangat. Stress orang kiri kanan depan belakang tau, ahkak oiii...
Bagaimanapun, sesi petang adalah sangat bagus dengan kumpulan yang lain. Moderatornya adalah calon KPSL yang telah berkhidmat 20 tahun. Sangat berdiplomasi, bijak mengawal sesi dan kelakar. Saya tak terkejut jika beliau lulus PAC ini.
Jika lulus, calon seterusnya akan dipanggil temuduga. Dengarnya hanya kira-kira 80 kekosongan jawatan yang diperlukan. Bayangkan minta beribu-ribu, PAC ini 800, yang lulus kelak 400 untuk ditemuduga, kekosongan 80. Hurm...tawakal pada Allah. Kalau dah rezeki Allah tetapkan, takkan ke mana.