26 July 2010

Apa Persediaan Anda Jika Pencuri Masuk Rumah?


Salam semua,

Tajuk di atas agak serius memandangkan dah beberapa kali saya bermimpi rumah saya dipecah masuk pencuri. (nauzubillah...rasanya normal bagi ibu hamil mimpi yang bukan-bukan). Kali terakhir adalah semalam mungkin kerana siang tu tengok Panic Room di 701. hehehe....

Bila terjaga dari mimpi, saya terfikir cukupkah persediaan kami sekiranya pencuri tersesat masuk ke rumah? Selain perkara asas memastikan pintu rumah dan tingkap dikunci, memastikan hp ada bateri dan tak kena bar untuk menelefon jiran atau polis, tiada sebarang plan penyelamatan lain ok.

Selain itu, berita kejadian pecah masuk beberapa rumah di sekitar taman perumahan saya ni semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Trend sekarang ni, tak payah tunggu malam nak mencuri, siang-siang pun diorang buat kerja. (mo sekitar jam 5 pagi hingga 12 tengahari, sangat scary bagi saya yang dok umah ni).

Kerugian bukan sekadar wang tunai dan barang berharga, malah penutup tangki septik pun diorang kebas. Memang dasar pencuri betul. Itu belum termasuk kerosakan pintu gril dan sliding yang dipecahkan. Mujur mangsa semua selamat.

Dulu, masa sekolah time dekat nak musim periksa mesti ada kejadian jumpa hantu sana sini. Kat taman saya ni pula, bila dekat puasa dan raya mesti time tu banyak pencuri ambil kesempatan.

Kami dah dua tahun tinggal di taman ini sejak berkahwin dan kawasan perumahan ini boleh dikategorikan kawasan kediaman baru dibuka di Meru Raya ini. Bila tiba bulan Ramadhan, time tu jugalah muncul kaki kebas-overtime-non halal ni sekali.

Malas nak cerita banyak, jom tengok tips / panduan yang boleh dilakukan bagi mengelakkan kecurian di kediaman kita. (sumber antara diperoleh dari google, PDRM dan yang difikirkan sendiri)

1. Sebelum tidur atau meninggalkan rumah, pastikan anda mengunci semua pintu, tingkap, kereta dengan sebaiknya.

2. Pasang door viewer / penyelak pintu utama. Selain itu, pasang pagar besi berkunci pada tingkap rumah anda.

3. Pasang lampu depan atau belakang. (lebih elok jika jenis automatik, yang akan terpasang jika waktu gelap).

4. Perhatikan sekiranya ada kelibat orang asing berkeliaran di kawasan rumah anda. Ambil no plat kenderaan mereka dan beritahu jiran terdekat.

5. Beritahu jiran jika ingin pulang ke kampung atau bercuti panjang.

6. Simpan alatan tajam seperti parang atau pisau ditempat tersorok (lebih elok jika berdekatan tempat tidur anda bagi membolehkan anda mempertahankan diri sekiranya pencuri masuk rumah. kalau ada pistol atau senapang patah lagi bagus, tapi pastikan anda ada lesen).

7. Serbuk lada, ridsect dan sebarang semburan boleh juga dijadikan alat mempertahankan diri.

8. Sekiranya anda mengesyaki ada pencuri sedang memecah pintu rumah anda, segera bunyikan alarm kereta sambil menelefon jiran atau polis, nak sergah dan jerit minta tolong pun boleh jika suara anda sekuat hailer.

9. Jangan simpan barang kemas atau wang tunai terlalu banyak di rumah.

10. Semasa tidur, pastikan hp atau Cordless Phone anda berada di sisi anda ataupun sambungkan satu extension dalam kamar tidur anda. Ini memudahkan anda membuat panggilan kecemasan sekiranya anda terasa kehadiran pencuri di dalam rumah anda.

11. Pastikan no telefon kecemasan 999 atau balai polis berada dalam senarai cepat-dail bagi memudahkan anda meminta pertolongan.

12. Kalau berkemampuan, pasangkan alat pengesan kecurian di rumah atau automatik alarm.

13. Kalau ada anak-anak perempuan, sebaik-baiknya pintu biliknya dikunci dari dalam (Sebab ada pencuri yg mengambil kesempatan seksual) dan anda perlu ada kunci pendua sekiranya berlaku kebakaran.

14. Ajar anak untuk mendail dan membuat panggilan kecemasan.

15. Sekurang-kurangnya simpan kayu hoki atau baseball di bawah katil anda buat mempertahankan diri dari pencuri yang ganas.

16. Kalau menyewa di rumah baru, pastikan anda menukar padlock baru, kerana mungkin penyewa terdahulu masih mempunyai kunci pendua.

17. Jangan letak kunci bawah pasu bunga/mail box/alang pintu/tepi tingkap bila keluar (Pencuri dah lama tau taktik ni...). Lebih selamat beri pada jiran yang kita kenal rapat.

18. Sekiranya terdengar/terlihat paip air di luar rumah terbuka pada tengah malam (pukul 12 ke atas), jangan keluar rumah untuk menutup paip tersebut kerana ini adalah taktik terbaru mereka di mana mereka telah menunggu diluar pintu rumah untuk masuk

19. Kereta PROTON merupakan kenderaan yang paling mudah dicuri. Kalau kereta anda baru dibeli, sekurang-kurangnya anda perlu mengunci gear & stering sebelum tidur (Sebenarnya masih boleh dicuri, tetapi ia dapat membantu melambatkan pencuri).

20. Jika berkemampuan, boleh juga menyediakan sebuah bilik ala-ala Panic Room sebagai langkah keselamatan yang terbaik. (hehehe....pengaruh tv kuat betul).

Akhirnya, setelah berusaha jangan lupa berdoa (terutamanya 3 Qul, ayat Kursi dan ayat Ma'thurat) minta dijauhkan dari kecurian dan malapetaka. Moga kita sentiasa diselamatkan dari pandangan jahat orang lain. Amin.....

No comments:

Post a Comment